Tunisia Di Persimpangan: Sebuah Wawancara Bersama Sheikh Rachid Al-Ghannouchi – Bahagian IV

December 21, 2015

Oleh: Noureddine Jebnoun

Diterjemahkan oleh: Imran Mohd Rasid

Dr. Noureddine Jebnoun telah menemu ramah Sheikh Rachid Ghannouchi, Ketua Gerakan Ennahdah di Tunisia di rumah beliau di Tunis pada tanggal 9 Januari 2014.

 

1.Para1Noureddine Jebnoun: Mengapakah pihak yang terlibat dalam merangka perlembagaan tersebut berkeras untuk memasukkan segala perkara ke dalam dokumen bertulis ini? Mengapa mereka tidak sekadar memberi tumpuan untuk merangka sebuah dokumen bertulis yang meliputi kumpulan prinsip-prinsip umum sahaja - supaya para legislative yang dilantik di masa hadapan boleh memanfaatkannya mengikut kepentingan situasi itu sendiri - terutama apabila fitrah masyarakat itu sememenagnya dinamik, dan bukannya sesuatu yang static - malah selari juga dengan amalan yang dipraktiskan oleh Negara-negara demokrasi tertua di dunia?

Walaupun anda menegaskan bahawa apa yang berlaku di Tunisia adalah sebuah revolusi, dan bukannya pemberontakan, bagaimana anda menjelaskan bahawa orang-orang yang telah diamanahkan untuk merangka 149 artikel perlembagaan ini menyebut perkataan "revolusi" sekali sahaja di dalam mukadimah perlembagaan? Pertimbangkan Pasal 4, yang menjelaskan motto negara Tunisia, "Kebebasan, Maruah, Keadilan, Order”. Ia adalah campuran konsep tentang maruah yang dibangkitkan semasa menghadapi regim sebelumnya, iaitu: "pekerjaan, kebebasan dan maruah negara," dan cogan kata ini mirip seperti asas pemerintahan diktator di pasca kemerdekaan Tunisia dahulu.

Rakyat Tunisia seolah-olah tidak mendapat apa-apa daripada ini kecuali komponen menindas "order", di mana keadaan kini masih lagi berterusan, sungguhpun anda menyebut bahawa revolusi adalah sebahagian daripada motto negeri ini. Tidakkah anda fikir motto seperti ini adalah bertentangan dengan semangat revolusi itu sendiri?

 

Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Saya menyokong penuh sistem berparlimen, dan saya menolak sistem yang mengekalkan kekuasan satu presiden sahaja. Malah sejak awal lagi, inilah model yang dibawakan Ennahdah namun kami telah kalah kepada kelompok yang dipengeruhi oleh model Perancis dan konsep pemusatan kuasa pada Negara (centralized state). Mereka menyokong konsep ini walaupun Tunisia tidak pun mempunyai kecenderungan untuk berlakunya ancaman perpecahan, yang juga mewajarkan sebab penentang pada program yang kami bawa iaitu sistem berparlimen.

Walaubagaimanapun, berdasarkan apa yang telah dipersetujui dalam versi keempat perlembagaan, sistem politik yang kami terima untuk negara ini lebih dekat dengan sistem berparlimen berbanding dengan sistem presiden. Namun, teks perlembagaan itu masih lagi mempunyai beberapa kekaburan- malah beberapa helah - kerana dengan tercampurnya kedua-dua system ini maka tercabutlah kelebihan yang mereka ada.

Moto negara yang kita pegang juga bertujuan untuk mendamaikan kontradiksi-kontradiksi yang wujud dan penting dalam kehidupan orang kebanyakan, kerana sifat manusia itu tidak bersifat satu-dimensi, sebaliknya kita adalah makhluk multi-dimensi, dan kita berusaha untuk cuba mendamaikan tiap-tiap perbezaan ini pada setiap peringkat. Oleh sebab itu adalah tidak menghairankan untuk anda menemui di dalam moto kami perkataan “Kebebasan” dan juga “Kestabilan (Order)”. Hal ini kerana walaupun kami menyokong ide kebebasan, namun kebebasan itu mestilah kebebasan yang “bertanggungjawab”. Apa yang kami maksudkan ialah kebebasan itu mestilah dalam legar yang telah ditentukan seperti mana yang ditetapkan melalui perkataan “kestabilan” dalam konteks dunia Tunisia.

2.Para7Ibn Khaldun (1332-1406), antara tokoh penting yang menulis tentang masyarakat Arab di dalam bukunya Muqaddimah menyebut bahawa bangsa Arab ini “adalah bangsa yang buas, dah sudah terbiasa dengan kegiatan yang buas dan hal-hal yang menyebabkan terjadinya kegiatan buas. Sifat buas ini telah menjadi sebahgian daripada watak dan fitrah dalam masyarakat mereka.” Maka sememangnya mentaliti yang mementingkan diri sendiri yang juga cenderung kepada kebuasan ini sangat dominan dalam kalangan masyarakat Arab. Islam juga sebenarnya memperoleh manfaat daripada ciri-ciri yang wujud dalam kalangan orang Arab ini yang berdasarkan semangat kebanggaan (keberanian, keyakinan, dan maruah diri) yang kadang-kala terbawa-bawa juga pada sifat keangkuhan.

Walau bagaimanapun, bentuk pemikiran yang individualistik ini tidak akan berjaya membina sebuah tamadun, melainkan orang-orang ini bersedia untuk belajar hidup dalam sebuah sistem yang menjaga batas-batas sifat individualistik itu.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab Islam untuk mewujudkan satu sistem yang mampu membina hubungan antara individu berdasarkan pendekatan berkumpulan dan sentiasa mencegah sebarang perpecahan daripada berlaku dalam kumpulan. Sistem ini sebenarnya bertujuan untuk membantu orang-orang Arab untuk mengubah gaya pemikiran padang pasir mereka - yang ditadbir berdasarkan kekuatan sesebuah pakatan antara kabilah, kepada sebuah pemikiran bandar dan bertamadun - yang berasaskan undang-undang dan kontrak sosial antara penguasa dan yang ditadbir.

Setiap orang daripada masyarakat Arab memang sudah terbiasa untuk mengekalkan kesetiaan mereka kepada kabilah dan menjauhkan diri mereka daripada daripada sikap mementingkan diri sendiri. Dalam hal ini, kecenderungan agama yang dibawakan oleh Islam sangat penting dalam membina sebuah hubungan sosial yang baharu.

Kecenderungan ini menjadi sebuah sistem nilai yang menekankan akan pembentukan sebuah sistem yang merangkumi penglibatan semua pihak dalam sesuatu masyarakat, dan hal ini penting bagi mengatasi masalah budaya individualistik dalam masyarakat Arab – suatu sifat individualistik dan juga perkauman yang sangat melampau.

Berdasarkan konteks ini, saya berpandangan perlunya kepada sebuah kebebasan diamalkan dalam kerangka undang-undang, masyarakat, amalan, atau nilai tempatan bagi menyekat seseorang individu itu daripada mengenakan pemahaman sempit kebebasan masing-masing tanpa mengambil kira kepentingan dan nilai-nilai dalam masyarakat yang mereka diami.

 

Noureddine Jebnoun: Gerakan Parti Ennahdah: Anda masih mengekalkan perkataan “Gerakan” bersama dengan perkataan “Parti” dalam nama tersebut (Gerakan Parti Ennahdah), walaupun sebuah gerakan selalunya tertubuh sebagai sebuah organisasi rahsia dan bergerak bawah tanah, manakala sesebuah parti pula kebiasaannya mempunyai kerangka politik yang bersifat terbuka dalam gerak kerja mereka. Pada pandangan anda bolehkah perkataan “Parti” dan perkataan “Gerakan” berfungsi secara bersama dalam satu organisasi?

 

3.Para14.LowerRightSheikh Rachid al-Ghannouchi: Saya tidak fikir sesebuah terminologi itu mempunyai sebuah denotasi atau konotasi yang negatif kerana kami sendiri tidaklah memikir sangat samada kami ini sebuah parti atau gerakan. Saya percaya bahawa kombinasi ini, iaitu Parti (Hizb) dan Gerakan (Harakah) , adalah sesuatu yang ditentukan melalui melalui proses undang-undang.

Apabila kami mula beroperasi secara sah dari sisi undang-undang dan diklasifikasikan sebagai sebuah Parti, dan setelah kami menjadi sebuah parti, kami menerima hakikat ini sebagai satu kesinambungan daripada gerak kerja kami terdahulu, iaitu sebagai sebuah gerakan yang kini menjadi sebuah parti politik yang sah. Dalam erti kata yang lain, kami melihat perkara ini sebagai penghubung antara gerak kerja kami yang lalu dan yang paling terkini. Gerak kerja kami yang lalu kami dikenali sebagai sebuah gerakan. Dalam erti kata lain, tugas kami melibatkan kerja-kerja sosial dalam bentuk dakwah, moral dan kegiatan intelektual. Kini kami mula pula ceburi dimensi politik.

Gabungan kedua-dua perkataan tersebut (gerakan dan parti) menghubungkan kedua-dua peringkat yang berbeza dalam kerja kami, serta menegaskan janji yang kami buat; bahawa kami sentiasa perjuangkan sebuah projek yang komprehensif, dan kami bukanlah sebuah parti yang hanya berminat pada legar kekuasaan sahaja. Kami masih lagi memperjuangkan sebuah projek yang menaruh minat pada hal-hal pemikiran, budaya, kerja dakwah, dan kerja-kerja kebajikan dalam dimensi politik, dan kami akui bahawa dimensi politik ini telah berkembang dan mula meliputi kegiatan-kegiatan lain yang pernah kami buat sebelum menjadi parti.

 

Noureddine Jebnoun: Hubungan antara Gerakan Parti Ennahdah dan beberapa kumpulan Salafi (Salafiyyah Pembaharuan, Salafiyyah Saintifik, Salalfiyyah tekstualis) tergambar melalui kewujudan parti-parti politik dalam arena Politik Tunisia dan mereka ini dikenali secara sah sebagai Hizb al-Asāla (Parti Asal), Jabhat al-Islāh (Parti Reformis), Hizb al-Rahmah (Parti Rahmah), and Hizb al-Tahrīr al-Islāmī (parti kebebasan Islam). Sungguhpun begitu parti yang terakhir yang disebutkan sebelum (iaitu Hizb al-Tahrir) ini mempunyai dimensi Islamik dan tidak mengakui kepentingan konteks nasional di mana mereka beroperasi, serta masih terus menyeru kepada kebangkitan khilafah sebagai sebuah projek politik yang melangkaui batas nasional Tunisia dan memasukkan agenda ummah dalam erti kata yang sangat luas.

Di sini saya ingin menyebut bahawa pada 5hb januari 2014, pada sebuah demonstrasi awam yang diketuai oleh Hizb Tahrir: mereka telah menolak dan mengutuk draf perlembagaan dengan menyebut bahawa “perlembagaan tersebut adalah perlembagaan murtad yang mengingkari semangat revolusi, para revolusioneir, dan rakyat jelata”.

Jadi apakah bentuk hubungan yang wujud antara Ennahdah dengan parti-parti politik yang berlatar belakangkan Salafi seperti ini - terutama apabila kini ada beberapa parti politik Tunisia yang lain mula mencurigai hubungan gerakan anda dengan kelompok Salafi ini, serta melihat hubungan ini mempunyai peranan tertentu antara parti anda dengan parti mereka sendiri yang juga dipercayai sebagai usaha menarik undi - sungguhpun parti-parti salafi ini secara tradisinya adalah sebuah gerakan Militan yang radikal, dan akan menyusahkan Ennahdah dalam merangka draf perlembagaan kelak?

 

Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Setiap usaha untuk mendefinisikan kelompok Islamis sebagai sebuah kumpulan yang konsisten dan homogenus, sungguhpun dari luaran tampak berbeza, adalah satu usaha yang tidak benar, berpura-pura serta satu konspirasi. Secara mudahnya, ini adalah bacaan Politik islam yang naïf dan tidak saintifik. Sebagai permulaan, Pluralisme adalah undang-undang kemasyarakatan yang universal, dan sebarang usaha untuk memudahkan dan memperkenalkan realiti ini dalam bentuk yang konsisten, atau cuba menyatakan bahawa perbezaan antara bentuk pemikiran dan parti adalah perbezaan palsu sebenarnya adalah satu konklusi akademik dan sistematik yang salah dalam memahami pluralism sesama gerakan mahupun di dalam gerakan Islam itu sendiri.

Manusia secara umumnya adalah sebuah entiti yang juga sebahagian daripada alam, dan adalah menjadi satu kesilapan sekiranya kita mengabaikan persamaan yang wujud antaranya dengan yang lain. Perbezaan adalah sesuatu yang diiktiraf oleh al-Qur’an apabila Tuhan menyebut:

4.Below Para22

“Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia jadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih (pendapat)” (Surah Hud: 118).

Hal ini bermaksud Tuhan telah ciptakan manusia berbeza antara satu sama lain, dan hal ini adalah lumrah bagi sesuatu kejadian. Setiap perkara dalam alam ini adalah bersifat pelbagai dan saling berbeza, maka kesatuan mutlak tidak pernah wujud. Hanya Tuhan saja yang satu. Maka kecerdikan manusia terletak pada bagaimana mereka menguruskan perbezaan ini dan politik adalah ruang di mana perbezaan ini diurus dengan cermat, aman, dan bertamadun, tanpa sebarang keganasan yang dikenakan untuk membolehkan manusia saling tinggal bersama sungguhpun tiap dari mereka itu berbeza.

Malah perbezaan yang wujud itu sebenarnya memperkaya lagi kepepelbagaian dlam kehidupan, ia bukan satu elemen destruktif, dan hal inilah yang membezakan antara kelompok yang bertamadun dengan masyarakat yang terkebelakang.

Masyarakat bertamadun adalah masyarakat yang mampu menguruskan perbezaan dalam kalangan mereka secara aman dan bertamadun. Masyarakat yang terkebelakang pula gagal melakukan perkara ini: mereka saling bunuh-membunuh antara satu sama lain, dan mereka bazirkan tenaga mereka akan hal-hal seperti ini. Perbezaan antara Ennahdah dan gerakan Islam yang lain, termasuklah juga gerakan Salafi, adalah perbezaan dari sudut perangkaan fiqh. Perbezaan ini sudah lama wujud sejak mulanya Islam lagi, dan hal ini mula terjadi sewaktu munculnya perbezaan antara mazhab Sunni dan Syiah. Ennahdah mengikut faham sunni dari segi fiqh, namun perbezaan intepretasi dalam mazhab sunni sendiri membawa kepada sebuah perbalahan yang panjang.

Ennahdah dan rakan pakatan kami yang bersama dalam kerajaan menentang kelompok Salafi Sunni seperti “Ansar Sharī‘ah” kerana mereka memilih jalan keganasan serta membawa pemahaman teks Qur’an yang sangat sempit. Pemahaman ke atas teks yang sempit ini bertujuan untuk memonopoli hak untuk menjadi jurubicara bagi teks tersebut, dan hal ini bermaksud pada pandangan organisasi tersebut teks hanya terikat pada satu interpretasi sahaja, dan mereka yang berbeza dan tidak bersetuju dengan intepretasi yang satu ini adalah terkeluar daripada agama dan tidak beriman.

Namun ini tidak bermakna pemahaman seperti ini secara terus membawa kepada terorisme. Terorisme bermaksud memberikan hak kepada seseorang untuk memaksakan intepretasi teks beliau ke atas orang lain dengan pendekatan yang tidak aman. Terdapat gerakan Salafi yang sangat keras dalam cara mereka memahami teks namun mereka tidak memberikan hak kepada diri mereka untuk memaksakan pemahaman mereka ini ke atas orang lain secara paksa, malah mereka bersedia untuk hidup secara damai dengan kelompok lain, sungguhpun mereka beranggapan kelompok yang berbeza dengan mereka itu telah sesat.

Namun wujud juga kelompok Salafi yang bukan sahaja merasakan pemahaman teks mereka itu sahaja yang paling tepat, malah cuba memaksakan pemahaman ini ke atas orang lain, dan mereka ini melihat bahawa masyarakat yang berbeza dengan pandangan mereka telah sesat dan enggan untuk hidup bersama dengan mereka serta mahu mengubahnya dengan memaksakan kefahaman yang mereka anggap benar pada tiap masa dan tempat.

Dalam masyarakat kami ada lebih dari satu jenis kelompok salafi, dan sebahagian mereka ada yang sangat sempit dalam pemahaman mereka namun masih mampu hidup secara aman bersama anggota masyarakat yang lain dan menerima perbezaan yang ada. Ennahdah sendiri tidak mempunyai sebarang masalah dengan kelompok Salafi yang aman seperti ini. Ennahdah menerima secara damai perbezaan daripada kumpulan komunis, kumpulan yang sangat berkeras dalam mengatakan mereka benar, namun masih bertimbang rasa untuk hidup secara aman dengan kumpulan lain dan menolak keganasan.

5.Para30Maka sebenarnya dalam sesebuah masyarakat ada ruang yang mencukupi buat semua pihak, kecuali buat mereka yang memilih jalan keganasan dengan menentang negara dan masyarakat dengan senjata, atau mereka yang bertindak melakukan pelbagai ancaman untuk tujuan politik.

 

Noureddine Jebnoun: Apabila sebuah parti yang dipanggil sebagai “Nidā’ Tūnis” ditubuhkan, Ennahdah pada awalnya enggan bertemu dengan parti tersebut atas alasan parti itu adalah lanjutan daripada parti “Perhimpunan Perlembagaan Demokratik” yang telah dibubarkan. Kemudiannya gerakan mengubah pandangan mereka dan anda sendiri telah mengadakan pertemuan dengan “Nidā’ Tūnis,” berserta dengan pemimpin Mr. Beji Caid Essebsi. Bolehkah kita simpulkan perubahan pandangan dan pertemuan ini sebagai suatu bentuk penerimaan kepada kelompok ini?

 

Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Perjumpaan dan negosiasi yang berlaku dengan Nida’ Tunis dan ahli-ahlinya adalah sebahagian daripada proses politik. Memang benar bahawa revolusi Tunisia menentang kumpukan mereka ini kerana mereka dahulunya memonopolikan hak mewakili rakyat, mengetepikan suara orang lain dengan kekerasan, serta menggunakan institusi-institusi negara untuk menindas pihak yang lain. Sewajarnya Revolusi Tunisia boleh menafikan hak mereka untuk wujud, menarik lesen mereka dan meletakkan sebahagian mereka untuk dibicara di mahkamah.

Namun revolusi Tunisia juga adalah sebuah revolusi yang aman dan menolak keganasan, maka kerajaan yang baharu selepas revolusi tidak mengambil jalan radikal dan tidak memilih polisi yang bertujuan untuk memencilkan yang lain, menindas, dan berdasarkan dendam. Ennahda sewajarnya dipuji kerana turut menyokong pendekatan yang aman ini. Kita tidak bersetuju dengan pendekatan revolutionary yang berdendam.

Melalui pendekatan yang aman Nida Tunis dan juga parti- parti lain yang mempunyai hubungan dengan regim sebelumnya diberi peluang untuk bangun semula dan memperbaharui harapan mereka untuk kembali ke tampuk kuasa. Mereka kini sudah mula beroperasi, dan kerajaan baharu yang disertai Ennahdah juga mengiktiraf mereka sebagai sebuah organisai politik.

6.Para35.LowerRtMaka sebenarnya Ennahdah tidak pun perlu memberi alasan untuk menolak melakukan perjanjian dengan parti mereka kerana hak mereka sudah pun diiktiraf oleh Ennahdah sendiri.

Namun setelah bermuhasabah, kami merasakan semacam suatu kontradiksi dalam gerakan Ennahdah pula apabila kerajaan yang diketuai Ennahdah mengiktiraf kewujudan parti mereka namun enggan berurusan dengan mereka. Dengan tidak mengikiraf kewujudan mereka kami melihat hanya akan mengundang kekacauan dan ketidakstabilan dalam masyarakat kerana selepas pilihanraya 23 October 2011 sebuah sistem politik baharu mula diperkenalkan dan sistem ini dibentuk semasa mereka ini masih lagi tidak wujud.

Mereka tidak termasuk dalam perbahasan politik sewaktu itu. Namun selepas setahun mereka mula menyusun gerakan mereka, serta mula mengambil kesempatan ke atas kelompok elit dalam sistem birokrasi Negara Tunisia, dan akhirnya menjadi punca tercetusnya perbalahan dalam masyarakat.

Maka selepas perkara itu berlaku kami melihat ada dua pendekatan yang boleh diambil: adakan semula sebuah pilihanraya baharu untuk mengagih-agihkan kuasa kerana kestabilan politik sudah tidak seimbang dengan hadirnya parti (Nida’ Tunis) yang cukup berpengaruh yang sebelumnya tidak wujud dalam dalam suasana politik Tunisia; atau kita mulakan dialog dengan mereka bagi meleraikan sebarang konflik. Mengadakan sebuah pilihanraya yang baharu adalah agak mustahil kerana ia memerlukan beberapa perkara seperti badan pengurus pilihanraya yang bebas serta perlembagaan, dan kami masih lagi pada fasa awal untuk merangka perkara-perkara tersebut.

Akhirnya kami sepakat untuk mengadakan dialog dengan parti tersebut; kerana kami percaya bahawa dialog akan membantu mengurangkan ketegangan situasi sedia ada, seterusnya membuka jalan untuk NCA (National Constituent Assembly) kembali menyambung sesinya selepas sebelumnya terganggu semasa musim panas 2013 yang lalu. NCA kemudiannya telah ditubuhkan dan diberikan amanah untuk menyiapkan proses merangka draf perlembagaan dan mewujudkan sebuah badan pilihanraya bagi menguruskan pilihanraya akan datang.

7.Para40Kesemua langkah positif ini adalah hasil dialog yang dilangsungkan dan pada pandangan Ennahdah, hal ini bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan kerana Nida’ Tunis, sebuah parti yang berkait rapat dengan legasi Bourgeuiba, sebelum ini telah pun mengharamkan gerakan kami selama lebih 30 tahun lamanya. Tindakan kami untuk mengadakan dialog dengan mereka adalah satu keputusan yang sangat sukar buat Ennahdah.

Saya sendiri bertanggungjawab dengan hasil yang timbul daripada tindakan ini kerana sayalah yang mencadangkannya serta membawanya kepad perbincangan bersama dengan ahli-ahli lain dalam gerakan Ennahdah. Saya juga bersedia mengambil tanggungjawab untuk mengesahkan Plan Program ini.

 

Noureddine Jebnoun: Adakah dialog nasional ini mencapai misinya?

Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Pada sudut pandang Ennahdah, Dialog nasional ini adalah satu tindakan positif kerana keputusan yang terhasil daripada dialog ini adalah dipersetujui oleh semua parti.

Politik diukur berdasarkan hasil dan bukan sekadar pada niat yang baik semata-mata. Hasil dialog ini antaranya ialah mengurangkan ketegangan dalam Negara ini, serta meminggirkan kelompok penyokong radikal yang ekstrimis- sama ada mereka itu di kalangan gerakan kiri, atau Jihadi, atau Salafi- dan seterusnya telah berjaya meletakkan negara ini kembali kepada landasan menuju pilihanraya.

Ketika ini negara Tunisia mula menyaksikan munculnya keadaan-keadaan yang optimis. Kapal kita tidak tenggelam sungguhun dilanda badai yang cukup kuat semenjak beberapa bulan yang lalu, terutama selepas berlakunya beberapa kejutan daripada negara Mesir.


Imran Mohd Rasid adalah graduan University of Manchester dalam bidang Politik, Filosofi dan Ekonomi yang juga merupakan pengasas bersama Universiti Terbuka Anak Muda dan seorang Felo di Islamic Renaissance Front. Wawancara ini diterbitkan oleh Al Waleed bin Talal Center for Muslim-Christian Understanding, (ACMCU), Georgetown University pada April 2014.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/tunisia-di-persimpangan-sebuah-wawancara-bersama-sheikh-rachid-al-ghannouchi-bahagian-iv/