Kata Pengantar kepada Edisi Terjemahan Melayu “Islam, Secularism and Liberal Democracy: Toward a Democratic Theory for Muslim Societies”

July 10, 2016 by Nader Hashemi

Saya gembira mendengar bahawa terjemahan Melayu dari buku saya akan diterbitkan tak lama lagi. Sebelum para pembaca menghabiskan masa menelaah buku saya, saya ingin memberikan sedikit latar belakang tentang sejarahnya, dorongan saya dalam menulisnya dan keterbatasannya.

1.Para2Buku “Islam, Secularism and Liberalism Democracy: Toward a Democratic Theory for Muslim Societies” [Islam, Sekularisme dan Demokrasi Liberal: Membentuk Teori Demokratik Untuk Masyarakat Muslim] berasal daripada disertasi kedoktoran yang saya tulis dan berjaya dipertahankan di University of Toronto pada tahun 2005. Ia melalui beberapa penyemakan dan pertama kali diterbitkan sebagai sebuah buku pada tahun 2009, oleh Oxford University Press. Versi kulit tipis diterbitkan pada tahun 2012 yang membincangkan tesis buku dalam hubungannya dengan revolusi Musim Semi Arab. Terjemahan Arab dan Indonesia telahpun muncul, dan terdapat minat untuk menterjemahkan buku saya ke dalam bahasa Turki, Bosnia dan Parsi.

Saya menulis buku ini kerana sebab peribadi yang mendalam. Saya dilahirkan dan dibesarkan sebagai seorang Muslim di Canada. Agama dan peradaban Islam adalah teras kepada identiti saya. Pergolakan politik di dunia Islam membentuk latar belakang kepada kehidupan saya. Dua peristiwa yang menonjol yang membentuk pandangan dunia saya ialah: legasi dari kolonialisme dan imperialisme Barat dan hubungannya dengan konflik Israel-Palestin; dan Revolusi Islam di Iran pada tahun 1979 dan kebangkitan politik Islamis. Sebagai hasilnya, saya dibesarkan di mana hubungan antara agama dan politik sentiasa dibincangkan dalam isi rumah saya.

2.Para4RightSebaliknya, Canada, negara kelahiran saya, di mana saya menyelesaikan semua pendidikan saya kekal sebagai masyarakat yang sangat sekular. Justeru, dari saat menjadi matang secara intelektual, telah wujud ketegangan yang dalam antara identiti Islam dan Canada saya. Tema tentang sekularisme adalah induk kepada ketegangan ini. Ia membingungkan saya. Saya merasa jijik dengannya dan tertarik kepadanya dalam masa yang sama. Di Canada, sekularisme difahami dalam budaya politik yang lebih luas sebagai konsep pembebasan yang dengan rapat berkait dengan faham tentang kemajuan manusia, toleransi dan demokrasi. Namun, dalam konteks dunia Islam (dan dalam rumah saya sendiri) sekularisme bermaksud sesuatu yang sepenuhnya berlainan. Ia dihubungkan dengan ateisme, kelemahan moral dan autoritarianisme politik. Cubaan untuk mendamaikan dan memahami ketegangan yang mendalam ini adalah dorongan utama saya dalam menulis tentang subjek ini.

Pembaca Malaysia harus mengetahui bahawa buku ini bukan ditulis untuk khalayak Islam tetapi sebaliknya untuk pelajar, ahli akademik dan intelektual Barat. Terdapat bab yang panjang dan sangat tebal tentang pemikiran politik John Locke yang mungkin dapat dilangkau. Terdapat juga bab sejarah yang panjang tentang politik pada abad ke16/17 di Eropah di mana saya meletakkan kebangkitan politik agama yang radikal dan konservatif dalam konteks kehancuran masyarakat tradisional, dan kebangkitan kemodenan. Hal ini juga dapat dilangkaui melainkan pembaca mempunyai minat yang spesifik dalam topik ini. Bab-bab yang lain adalah lebih langsung berkait dengan politik semasa, dan justeru lebih dapat diakses kepada pembaca yang umum.

Jika saya menulis untuk khayalak Muslim, saya akan mendekati hubungan antara Islam, demokrasi liberal dan sekularisme dengan sangat berbeza. Semua istilah ini adalah kontroversil, dan mempunyai kesan yang emosional bagi umat Islam. Perkataan-perkataan ini dan konsep-konsepnya yang terkait menimbulkan perdebatan yang sengit dalam masyarakat Islam, lebih-lebih lagi apabila ia dibandingkan dan dianalisis dalam konteks sistem politik yang normatif yang dapat membawa kepada penciptaan masyarakat yang adil. Terdapat juga hujah dalaman Islam yang kuat yang saya akan kemukakan kepada khayalak Muslim untuk membela demokrasi dan liberalisme sebagai konsep yang selari dengan kehendak Tuhan dan misi Nabi Muhammad. [1] Istilah ‘sekularisme’ adalah lebih kontroversil, atas sebab yang mana pada khalayak Muslim yang umum, saya memilih untuk tidak menggunakannya. Ia akan menghentikan pembicaraan tentang subjek tersebut. Bagaimanapun, ia adalah sebahagian daripada leksikon sejagat dan para pelajar dan intelektual Muslim perlu ikut serta dan membahaskan makna sekularisme. Saya harap buku saya akan menyumbang kepada perdebatan ini dalam wacana yang lebih bermakna.

Sesungguhnya tidak mudah menjadi seorang Muslim di Barat pada hari ini. Tahun 2016, yang secara kasarnya bersamaan dengan tahun 1438 dalam taqwim Hijriah, akan berlalu sebagai masa yang secara khususnya amat sukar. Dua perangkat dari perkembangan politik telah menyumbang kepada keadaan ini: kebangkitan ISIS [Negara Islam Iraq dan Syria] dan sumbangan yang dihasilkannya kepada Islamofobia sejagat; dan kehancuran revolusi Musim Semi Arab dan pengukuhan yang berikutnya daripada otoritarianisme politik.

3.Para8Kebangkitan ISIS telah melancarkan gelombang besar dari Islamofobia yang tidak pernah tercetus sejak 11 September 2001. Penaklukan bahagian yang besar daripada Iraq dan Syria oleh gerakan militan yang ganas ini, disulami dengan pemenggalan kepala tahanan asing, perhambaan dan pemerkosaan wanita daripada kaum minoriti, pembunuhan masal tawanan perang – yang kesemuanya dilakukan di atas nama Islam, dan dengan persetujuan yang jelas daripada berpuluh ribu umat Islam yang telah berduyun-duyun ke Timur Tengah untuk membantu mendirikan Khilafah yang baru – telah memperkuat stereotaip dan kecurigaan global yang terburuk tentang Islam dan umat Islam. Agama yang sejahtera dan adil kini sebaliknya terpahat dalam pemikiran ramai manusia dengan perang dan kezaliman.

Perkembangan kedua yang telah menyumbang kepada perasaan yang umum daripada keputusasaan dan kekecewaan tentang masa depan masyarakat Islam adalah kegagalan Musim Semi Arab. Lima tahun dahulu, bermula di Tunisia dan merebak ke arah timur, siri-siri pemberontakan demokratik telah menumbangkan tiga daripada diktator yang paling lama berkuasa di dunia Islam, dan hampir menggulingkan dua yang lain. Protes yang sebahagian besarnya tanpa kekerasan ini menggoncangkan dasar autoritarianisme politik sepanjang Utara Afrika dan Timur Tengah, sementara mengilhamkan kekuatan demokratik untuk bertindak di seluruh dunia. Terdapat optimisme yang meluas pada masa itu bahawa arus telah akhirnya berputar, dan masa depan demokrasi yang baru telah terbuka bagi dunia Arab-Islam. Tetapi kemerosotan dan penumpasan pembukaan demokratik ini, terutamanya diwakili oleh rampasan kuasa militer di Mesir pada Julai 2013, dan pembantaian yang masal yang berterusan oleh Bashar al-Assad ke atas rakyatnya sendiri, telah melemahkan emosi, dan telah menghasilkan rasa keputusasaan yang mendalam di kalangan demokrat Islam. Otoriter yang lama dan undang-undang despotik kembali dengan dendam, ditunjangi oleh wang berbilion dolar dari Arab Saudi dan Emirat, dan dengan restu dari kuasa-kuasa Barat yang tersilap percaya bahawa kestabilan dapat dibeli dengan mengorbankan demokrasi.

Kepada gambaran suasana ini seseorang dapat menambah dengan penjajahan yang berterusan di Tebing Barat, serangan terbaru Israel ke atas Gaza yang membunuh lebih 2000 rakyat Palestin (termasuk 500 orang kanak-kanak), kekacauan di Libya, Iraq dan Yaman, keganasan sekterianisme mazhab dan pengeboman yang kerap dan pembunuhan orang awam oleh Boko Haram dan Taliban, dan kemerosotan yang berterusan demokrasi di Turki, yang satu ketika dahulu merupakan sebuah ilham dan model kerana paduannya terhadap agama dan demokrasi. Tetapi pada hari ini Recep Tayyib Erdogan tidak dapat dibezakan daripada Vladimir Putin. Hanya Tunisia dan Indonesia kini tegak sendiri sebagai cahaya demokratik yang terang di tengah lautan otoriter yang gelap.

4.Para11Memikirkan keadaan ini, Khaled Abou El Fadl, menggambarkan masa sekarang ini seumpama “mimpi buruk Islam.” Kita telah mencapai suatu titik dalam sejarah Islam, beliau meninjau, di mana “penjenayah antisosial berpura-pura menjadi penjaga dan pemuka agama Islam; di mana kaum ekstremis mengambil peranan sebagai jurucakap bagi agama yang sederhana; di mana perbuatan aib lagi buruk yang tak terkatakan diteruskan bagi pihak Tuhan dan namaNya; di mana agama kasih sayang dan rahmat telah terkait dalam pemikiran manusia dengan kezaliman dan penindasan; dan di mana ramai umat Islam tidak lagi mengingati norma-norma etika yang sepatutnya membaringi hubungan mereka kepada Tuhan dan kemanusiaan.”

Beliau meneruskan: “Lebih-lebih lagi, ia adalah mimpi buruk yang menjadi kenyataan di mana sikap apolgetik mengabaikan pemikiran yang teliti, di mana anugerah intelek dan penalaran manusia diisytiharkan menjadi pintu gerbang kepada Syaitan, di mana idea tentang keindahan dan perlambangan keindahan, seperti muzik, dikecam sebagai remeh dan merosak, dan kemungkinan yang paling penting daripada kesemuanya, di mana, di sesetengah bahagian di dunia Islam, dalam nisbah perkadaran yang langsung kepada retorik dan kejahilan seseorang manusia itu, ia juga memegang autoriti agama. Kita telah mencapai titik di mana di sebahagian dunia Islam; lebih mendalam kejahilan seseorang tentang teologi dan hukum Islam, lebih meluas penghasutannya yang membubung; dan malah lebih “asli keislaman” pakaian dan penampilan luarannya, akan lebih cerahlah peluang bahawa dia akan dikenal sebagai pemimpin yang agung dan ahli dalam agama Islam.[2]

Kedua-dua kondisi Muslim zaman penjajahan dan pasca-penjajahan telah meninggalkan legasi yang pedih yang mana umat Islam masih berjuang untuk mengatasinya. Banyak pemimpin politik Islam yang mementingkan diri mengeksploitasi memori ini untuk meraih kuasa. Dari segi ideologi, Abou El Fadl berhujah, umat Islam telah menjadi asyik dengan cuba untuk mengubati perasaan kolektif dari ketidakberdayaan dan kekalahan politik dengan “terlibat dalam aksi sensasi yang sangat simbolik daripada perlambangan kuasa.” Ia telah menghasilkan suatu “dinamika doktrin…yang bersangkutan dengan teologi kekuasaan dalam agama Islam zaman moden”

5.Para14RightHasil yang akhir daripada perkembangan ini adalah “Keharusan normatif dan kelicikan intelektual daripada tradisi moral Islam tidak disorot dengan analitis dan kritis yang seharusnya menjadi tradisi Islam tetapi sebaliknya tunduk kepada kemanfaatan politik dan penayangan yang simbolik akan kuasa.” Mentakrifkan identiti agama yang menyalahi Barat menjadi tujuan yang utama. “Ketimbang dari Islam menjadi visi moral yang diberikan kepada kemanusiaan,” Abou El Fadl mengamati, “ia terbina ke dalam perjuangan nasionalistik yang sering menjadi antitesis kepada Barat.” Beliau berpendapat bahawa Umat Islam yang bekerja dalam paradigma moral dan intelektual ini adalah lebih bersifat anti-Barat daripada imej mereka sebagai pro-Islam.[3]

Cabaran bagi umat Islam hari ini adalah untuk memecahkan paradigma ini. Kita perlu berfikir secara kritis, secara introspeksi dan yang paling penting – secara beretika – tentang banyak permasalahan yang mendepani masyarakat kita dalam perubahan dunia yang sangat pantas. Biar saya akhiri kata pengantar ini dengan berkongsi dengan pembaca Malaysia saya dua kutipan yang dengan mendalam yang telah membentuk pemahaman saya sendiri tentang bagaimana untuk membayangkan dan menganjurkan perubahan di dalam dunia Islam.

Hampir dua puluh-lima tahun yang lalu, Abdullahi An-Na‘im mengamati bahawa:

Untuk mencari jawapan yang bersifat sekular [kepada kondisi Muslim] adalah sama dengan meninggalkan lapangan itu kepada kaum fundamentalis, yang akan berhasil dalam membawa majoriti terbesar daripada masyarakat dengan mereka dengan menyitir autoriti agama bagi polisi dan teori mereka. Umat Islam yang cerdas dan tercerah adalah justeru dinasihatkan untuk kekal dalam kerangka agama dan berusaha untuk mencapai pembaikan dan islah yang akan menjadikan Islam sebagai ideologi yang terus tangkas berdaya.[4]

Lebih mutakhir, sarjana kiri Pakistan Almarhum Eqbal Ahmad mengusulkan sesuatu yang sama dalam temu ramah yang tidak diterbitkan.

Seseorang harus berusaha untuk memahami masa yang lampau, memahaminya dengan kasih sayang, simpati dan kritikan. Alasan saya menekankan hal ini adalah kerana ramai di kalangan kita, intelektual Arab dan Islam lebih mengetahui tentang Barat, lebih tentang sejarah moden, lebih tentang idea perihal pencerahan, dari apa yang kita tahu tentang [sejarah dan budaya] kita sendiri. Tiada perubahan yang signifikan yang akan berlaku melainkan bentuk yang baru selari dengan yang lama. Ia hanya berlaku apabila sesuatu semaian itu sesuai dengan tanah yang di mana ia disemaikan. Justeru, adalah amat penting untuk mengetahui tentang pemindahan dan juga tanah yang asal.

Terdapat banyak sekali dalam peradaban kita yang telah menjadi tua, sangat kreatif, sangat manusiawi dalam banyak bidang dan juga terdapat banyak kelemahan, dengan banyak permasalahan. [Maka adalah perlu] bagi kita untuk memahami peradaban kita terlebih dahulu dan kemudian membangunkan perubahan dalam hubungannya yang organik kepada peradaban yang diwarisi. Kita harus membayangkan perubahan dalam cara itu, jika tidak, ia pasti tidak akan berhasil. [5]

Akhirnya, ucapan terima kasih saya kepada Islamic Renaissance Front kerana menterjemahkan buku saya. Saya merasakan persaudaraan yang amat mendalam dan hubungan kerohanian dengan kerja-kerja mereka, terutamanya tafsiran mereka tentang Islam dan diagnosa umum mereka tentang kondisi umat Muslimin. Ia mengingatkan saya tentang usaha-usaha reformis Islam daripada perjuangan Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh. Saya harap masa dan usaha yang mereka habiskan dalam projek buku ini akan menyumbang biarpun sekelumit, dalam perjuangan demokrasi di Malaysia.


NaderHashemiNader Hashemi
Direktur, Center for Middle East Studies
Professor Madya, Middle East and Islamic Politics
Josef Korbel School of International Studies
University of Denver


[1] Bagi pembaca yang berminat dengan pendekatan saya, saya sepenuhnya mengesyorkan buku Khaled Abou Al Fadl, Islam and the Challenge of Democracy, yang diedit oleh Joshua Cohen and Deborah Chasman (Princeton University Press, 2004).

[2] Khaled Abou El Fadl, Reasoning with God: Reclaiming the Shariah in the Modern World (Roman and Littlefield, 2014).

[3] Ibid.

[4] Abdullahi An-Na’im, Toward an Islamic Reformation: Civil Liberties, Human Rights and International Law (Syracuse: Syracuse University Press, 1990), p. xii

[5] Wawancara yang tidak diterbitkan dengan Emran Qureshi, 1994.

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/kata-pengantar-kepada-edisi-terjemahan-melayu-islam-secularism-and-liberal-democracy-toward-a-democratic-theory-for-muslim-societies/