Apa Yang Isa Bisa Ajarkan Umat Islam Hari Ini

March 15, 2017 by Mustafa Akyol

Mustafa Akyol || 14 March 2017

1.Para1Apakah masalahnya dengan Islam? Mengapa terlalu ramai orang Islam yang berang di dunia yang bencikan Barat? Mengapa negara Islam yang diisytihar-sendiri mengenakan undang-undang yang keras yang menindas golongan minoriti, wanita dan mereka yang “murtad”? Mengapa timbul kaum teroris ini yang membunuh atas nama Allah?

Ramai di Barat telah menanyakan pertanyaan semacam ini selama berdekad. Jawapannya berbagai daripada klaim tiada masalah di dalam Islam hari ini, yang cukup defensif, kepada penegasan bahawa Islam itu sendiri adalah masalah yang besar kepada dunia, yang nyata tidak adil dan prejudis.

Mujurnya, kian ramai pemerhati yang tersuluh menawarkan lebih banyak jawapan yang objektif: peradaban Islam, yang dulunya adalah dunia yang paling tercerah, baru-baru ini telah melalui krisis yang genting dengan konsekuen yang amat dahsyat.

Salah seorang pemikir yang menonjol dari abad yang lalu, sejarawan British Arnold Toynbee, juga merenungkan krisis Islam, dalam esei tahun 1948 yang dilupakan “Islam, the West, and the Future.”. Dunia Islam telah terbelenggu dalam krisis sejak abad ke-19. Toynbee menulis, kerana ia telah diungguli, dikalahkan dan malah dikepung oleh kuasa Barat. Islam, agama yang sentiasa berbangga dengan kejayaan duniawinya, kini “menghadapi Barat dengan belakangnya mundur ke tembok” menyebabkan tekanan, kemarahan dan pergolakan di kalangan umat Islam.

Toynbee, dengan tinjauan ahli sejarah yang besar, tidak hanya menganalisis krisis Islam bahkan turut membandingkannya dengan krisis yang lebih awal dari agama yang lebih tua: nasib buruk orang-orang Yahudi dalam menghadapi penguasaan Romawi pada abad pertama Sebelum Masihi. Kaum Yahudi, juga, adalah umat monoteistik yang memandang tinggi diri mereka, tetapi mereka ditumpaskan, ditakluk dan kebudayaannya dicabar oleh empayar asing. Pengalaman pahit ini, Toynbee uraikan, membiakkan dua reaksi yang ekstrim: Satu adalah “Herodianisme,” yang bererti bekerjasama dengan Romawi dan menuruti jalannya. Yang lain adalah “Zealotisme,” yang bererti militansi dan perlawanan terhadap Romawi dan kepatuhan yang ketat kepada undang-undang Yahudi.

Umat Islam zaman moden, juga, Toynbee berhujah, dihantui oleh perjuangan yang tak berakhir antara Herodian mereka sendiri yang bertaklid kepada Barat dan Zealot mereka sendiri yang mewujudkan “ungkapan kuno yang ditimbulkan oleh tekanan asing.” Beliau menunjukkan kepada pendiri Turki moden, Mustafa Kemal Ataturk, sebagai “Herodian-yang terbesar” dan “Wahhabi Arab Tengah” sebagai Zealot-yang utama. Beliau meramalkan yang Zealot akhirnya akan ditumpaskan kerana mereka tiada kecanggihan untuk menggunakan tekonologi moden. Akan tetapi, jika beliau hidup hari ini – dan melihat, sebagai contoh, bagaimana efektifnya Islamic State [ISIS] menggunakan internet – beliau mungkin meninjau semula keyakinan tersebut.

Sepanjang dekad, cuma segelintir intelektual Islam yang telah memperhatikan analogi Toynbee dan berhujah bahawa umat Islam harus menemukan jalan ketiga, sesuatu antara Herodianisme dan Zealotisme. Ia adalah hujah yang munasabah, tetapi ia mengabaikan banyak dari sejarah.

Akan tetapi para reformis Muslim ini, sepertimana Toynbee juga, alpa bahawa dunia Yahudi abad pertama tidak terhad kepada dikotomi Herodian-Zealot sahaja. Terdapat pihak Yahudi yang lain dengan kecenderungan intelektual, mistik atau konservatif. Terdapat juga rabbi yang unik dari Nazareth: Isa.

Isa didakwa sebagai penyelamat – al-Masih – yang dinantikan kaumnya. Tetapi berbeza daripada pengklaim al-Masih yang lain, dia tidak melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap Romawi. Dia tidak juga tunduk kepada Romawi. Dia menaruhkan perhatiannya kepada sesuatu yang lain: menghidupkan semula kepercayaan dan memperbaiki agama kaumnya. Secara khusus, dia menyeru kaum Yahudinya untuk menfokuskan kepada prinsip moral agama mereka, ketimbang daripada taksub dengan rincian yang mendetil daripada syariat agama. Dia mengkritik kaum Pharisees yang legalis, sebagai contoh, kerana “membayar zakat akan setiap daun dan inggu dan setiap herba,” tetapi mengabaikan “keadilan dan kasih sayang Tuhan.”

3.Para10Kaum Kristian, sudah tentu, arif dengan cerita ini. Namun orang Islam perlu memperhatikannya juga. Kerana mereka menghadapi krisis yang sama dengan kaum yang dialamatkan Isa: sementara ditekan oleh peradaban asing, mereka juga dipersulit oleh kelompok fanatik mereka yang melihat cahaya hanya dalam mengenakan undang-undang, Syariah, yang ketat, dan memperjuangkan pemerintahan teokratik. Umat Islam membutuhkan jalan ketiga yang kreatif, yang akan selaras dengan kepercayaan mereka tetapi juga bebas daripada beban tradisi yang lampau dan konteks politik semasa.

Adakah ia sepenuhnya idea yang baru bagi umat Islam untuk belajar daripada Isa? Pada beberapa segi, memang benar. Sementara umat Islam menghormati dan menyintai Isa - dan ibunya yang suci, Maryam – kerana al-Qur’an setulusnya memuji mereka, kebanyakannya tidak pernah memikirkan tentang misi sejarah Isa, intipati daripada ajarannya dan bagaimana ia dapat berkait dengan realitas mereka sendiri.

Pengecualian yang menyerlah adalah Muhammad Abduh, salah seorang pelopor kemodenan Islam pada akhir abad ke-19. Abduh, ulama Mesir yang alim, menanggapi bahawa dunia Islam telah kehilangan toleransi dan keterbukaan Islam yang awal dan telah dibungkam oleh tradisi yang tegar lagi dogmatik. Apabila beliau membaca Perjanjian Lama, beliau takjub. Sebagai Muslim, beliau tidak bersetuju dengan teologi Kristian tentang Isa, tetapi beliau masih terkesan oleh ajaran Isa, yang relevan dengan masalah yang Abduh amati dalam dunia Islam. Ia adalah masalah “kebekuan terhadap pengertian hukum yang literal,” beliau menulis, dan justeru gagal untuk “memahami maqasid hukum.”

4.Para13Sebahagian ulama Islam yang lain melihat masalah yang sama seperti Abduh. Tetapi tiada pemimpin Islam yang pernah menekankan jurang yang penting antara tujuan Ilahi dan legalisme yang gersang sebagaimana yang Isa lakukan dengan penuh bertenaga. Isa menunjukkan bahawa mengorbankan semangat agama kepada literalisme membawa kepada kebobrokan, seperti perejaman wanita yang tidak bersalah oleh lelaki yang fanatik – sebagaimana ia masih berlaku di sebahagian negara Islam hari ini. Dia juga mengajar bahawa keasyikan dengan ekspresi lahiriah akan ketaqwaan sebenarnya memupuk budaya kemunafikan – sebagaimana kesnya dalam sebahagian masyarakat Islam hari ini. Isa malah mendefinisikan humanisme sebagai nilai yang lebih tinggi daripada legalisme hukum, dengan masyhur mengisytiharkan, “Sabbath dibentuk untuk manusia, bukan sebaliknya.”

5.Para14.RightDapatkah umat Islam juga menalar, “Syariah dibentuk untuk manusia, dan bukan sebaliknya”? Atau, seperti Isa, dapatkah kita juga mengusulkan bahawa Kerajaan Tuhan – yang juga dipanggil “Khalifah” – akan ditegakkan bukan dalam negara di dunia ini, tetapi sebaliknya dalam hati dan fikiran kita? Jika Isa adalah “Nabi Islam,” sebagaimana kita kaum Muslimin sering dengan bangga mengungkapkannya, maka kita harus fikirkan persoalan ini. Kerana Isa mengalamatkan masalah yang sama yang menghantui kita hari ini, dan menegakkan hikmah kenabian yang sepenuhnya bersesuaian dengan zaman kita.


AkyolMustafa Akyol, adalah penulis opini, felo pelawat di Freedom Project di Wellesley College dan pengarang buku Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty [Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan], dan paling mutakhir: The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims [Isa Yang Islam: Bagaimana Raja Yahudi Menjadi Nabi Bagi Umat Islam]

NabilEsei ini diterjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir, Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front.

Pautan daripada artikel asal:
What Jesus Can Teach Today's Muslims
https://www.nytimes.com/2017/02/13/opinion/what-jesus-can-teach-todays-muslims.html?rref=collection%2Fcolumn%2Fmustafaakyol&action=click&contentCollection=opinion&region=stream&module=stream_unit&version=latest&contentPlacement=1&pgtype=collection




View original article at: https://irfront.net/post/articles/apa-yang-isa-bisa-ajarkan-umat-islam-hari-ini/