Penswastaan Bukan Penyelesaian Kepada AUKU

March 5, 2012 by Ahmad Fuad Rahmat

Dalam pertemuan mutakhir dengan para mahasiswa di Kolej Dar Al-Hikmah, Wan Saiful Wan Jan, pengarah IDEAS, mengusulkan penswastaan universiti-universiti di Malaysia sebagai penyelesaian kepada masalah campurtangan kerajaan dalam hal ehwal akademik.  Ini, ikut teorinya, akan membebaskan dunia akademia seluruhnya dan menghadkan peranan kerajaan hanya sebagai pengeluar dana terhad untuk membiayai yuran pelajar.  Wan Saiful menyenaraikan contoh sistem wakaf yang dilaksanakan di Al-Azhar dan Harvard, dan sistem baucar di Universiti-Universiti Scandinavia, sebagai model alternatif yang dapat dipertimbangkan oleh sistem akademik di Malaysia.



Kesalahan fakta

Masalahnya bermula dengan kenyataan mesej yang bercanggah.  Al-Azhar didanai melalui sistem wakaf tetapi universitinya diletak di bawah pengawasan dan seliaan Pejabat Perdana Menteri Mesir sejak 1961.  Dengan perkataan lain, institusi itu seluruhnya tertakluk kepada rencana Kabinet.  Malah, rejim Mubaraklah yang telah melantik secara langsung dua Imam besar (Shaykh) Al-Azhar yang lepas, Muhammad Sayyid Tantawi pada 1996 dan kemudian Ahmad al-Tayyib pada 2010.  Dalam aksi yang lanjut, pentadbiran wakaf agama juga telah di kawal secara konsisten oleh Kementerian Hal Ehwal Agama.

Sejak revolusi, tuntutan terhadap autonomi telah meningkat walaupun nyata tiada suatu konsensus yang dicapai tentang apakah kesan yang terlihat dari sudut autonomi.  Perdebatan menunjukkan bahawa pertelingkahan adalah berakar dari perbezaan ideologi, yakni, tertumpu pada persoalan cap Islam yang mana (Wasatiyah, tradisional, reformis) yang harus merebut pengaruh yang kuat dalam perencanaan semula agenda universiti.

Motif liberalisasi keuntungan atau penanggungan kos sendiri tidak dilihat terangkum dalam agenda.  Titik persoalannya, bagaimanapun, adalah ianya sama sekali tidak tepat untuk menyamakan Al-Azhar dengan Harvard meski pada perbandingan kecil tentang ruang autonomi universiti.

Tambahan, seseorang akan sukar memahami sistem baucar apa yang diperkatakan oleh Wan Saiful dalam merujuk kepada universiti-universiti di Scandinavia.  Di Finland, Denmark, Sweden dan Norway majoriti universiti adalah institusi awam dan percuma kepada rakyatnya.

Kes Amerika

Wan Saiful bagaimanapun benar ketika menyatakan bahawa Harvard telah diswastakan dan menanggung perjalanan kosnya-sendiri melalui sistem wakaf.  Lantaran itu kadar yuran tahunan di Harvard mahal.  Untuk mengutip cuma satu contoh, pelajar sepenuh masa di Sekolah Pendidikan Siswazah dijangka membayar sejumlah US$36,992 (RM114,675) setiap tahun pengajian.  Ini tidak termasuk kos perjalanan dan komunikasi, buku, alat tulis dan biaya harian seperti makanan dan riadah.

Tidak ada suatu yang janggal terhadap hal ini dalam konteks Amerika.  Kadar tuisyen di universiti-universiti Ivy League menjangkau sekitar US$30,000 setiap tahun tetapi kebanyakannya adalah universiti persendirian, malah banyak yang lebih rendah tarafnya, mengenakan kos yang hampir sama.  Malah universiti awam tidak lagi bercirikan awam dalam pengertian yang sebenar kerana banyak yang telah terlibat dengan dasar separuh penswastaan dalam banyak bahagiannya, yang telah melonjakkan inflasi yang mendadak.  Sebagai contoh, Forbes melaporkan pada bulan Mei 2011 bahawa yuran dalam sistem California State University sahaja telah meningkat kepada 400 per ratus sejak 2002.

Kesan langsung dari amalan ini adalah penambahan beban hutang pelajar.  Berdasarkan kenyataan bahawa biasiswa adalah terhad dan pemilikan ijazah pertama diperlukan untuk mendapat pekerjaan, rakyat Amerika yang seremaja 18 tahun pun terpaksa membuat pinjaman yang masif bagi membiayai kos pengajian mereka.  Seorang pelajar saya menanggung hutang sebanyak US$90,000 setelah menamatkan ijazah pertamanya.  Hasilnya beliau terpaksa mengambil ubat anti-depressant untuk meredakan tekanannya.

Menurut Wall Street Journal, dianggarkan dua pertiga dari pelajar-pelajar kolej di Amerika yang lulus bersama hutang pelajaran.  Statistik lanjut yang dibuat pada dekad yang lalu sahaja melakarkan gambaran yang suram tentang perkara ini.  Dari tahun 2007 ke 2010 paras hutang pelajar di peringkat nasional Amerika melonjak kepada 50 per sen.  Adalah tidak mengejutkan bahawa sebelum 2010, jumlah hutang tertunggak pelajar di seluruh Amerika mengatasi jumlah hutang tertunggak kad kredit debit.  Angka tersebut telah mencecah US$900 bilion.

Angka ini hanya mula menggambarkan desakan kehidupan yang diburu oleh tuntutan hutang oleh remaja tersebut, tanpa kerjaya yang kukuh kerana status pelajarnya. Tekanan itu digandakan dengan kemelut ekonomi dunia yang parah dengan masalah pengangguran yang meningkat.  Golongan libertarian bagaimanapun akan masih pertahankan bahawa ini adalah kebebasan.  Bukti yang dikemukakan menunjukkan sebaliknya, yang sangat melimpah, baik dalam bentuk teks atau laporan video yang boleh dilayari dari enjin pencarian Google, terutamanya dalam pelbagai kempen untuk memansuhkan hutang pelajar yang sedang digerakkan untuk menyelesaikan kekusutan yang mengesankan ini. Lihat sendirilah akibatnya apabila pendidikan dijadikan suatu komoditi yang boleh digadai dan dijual beli.

AUKU

Apa pun jua, keanehan merujuk kepada model-model universiti yang dibiayai kerajaan di Sweden, Mesir dan Amerika sebagai contoh pada perhitungan akhirnya tidak mempunyai kaitan dengan permasalahan sebenar berhubu

ng Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

AUKU adalah bukti jelas dari niat serong pemerintah mempertahankan kuasa politik dengan mencampuri urusan akademik tetapi ini bukan masalah kewujudan kerajaan sahaja, bahkan kerana sikap tidak bertanggungjawab dan kejahilan tentangnya.  Contoh mengenai Scandinavia yang diusulkan oleh Wan Saiful sendiri adalah bukti bahawa universiti awam mampu menawarkan pendidikan berkualiti.

Ianya bukan suatu yang hebat dalam pemikiran politik untuk mengungkapkan bahawa kerajaan cenderung melakukan korupsi dan menyalahguna kuasa.  Tetapi ia adalah suatu tanda yang jelas terhadap kepincangan intelek untuk berfikir bahawa entiti swasta tidak dapat dirusak dan dicabul juga.  Krisis kewangan yang sedang melanda dunia adalah bukti bahawa penswastaan dan polisi ekonomi neo-liberal telah gagal dan tidak harus diambil untuk mengilhamkan sesuatu yang halus dan penting bagi pembangunan bangsa seperti sistem pendidikan kita.

Apa yang diperlukan Malaysia adalah pemimpin yang bertanggungjawab yang dapat berperanan dalam sistem keadilan yang telus dan bermaruah.  Untuk mencapai matlamat tersebut kita selanjutnya perlukan budaya demokrasi yang terbuka yang komited terhadap persamaan maruah dan karamah insan dan pengakhiran terhadap penindasan.
Sistem pendidikan kemudiannya harus menzahirkan tekad untuk melahirkan rakyat yang bertanggungjawab yang dapat menyumbang untuk menyempurnakan objektif tersebut, di mana mahasiswa universiti dapat berkembang dalam bidang yang dipilihnya, dan menghargai dan memahami hak mereka, dan memainkan peranan dan tugas sebagai kelompok yang terdidik dalam masyarakat yang bebas.

Dalam buku "The Quest for Meaning" (Pemaknaan Hakiki) Tariq Ramadan mengungkapkan bahawa "tidak mungkin wujud kebebasan dan kuasa melainkan kehendak insan terhadap keperluan basiknya dipenuhi".  Seseorang dapat mengandaikan bahawa dengan "kehendak asas manusia", beliau merujuk pada keperluan fizikal seperti makanan dan tempat perlindungan, tetapi apabila kita membaca lebih jauh kita dapati Profesor Ramadan juga merujuk kepada pendidikan, kerana kebebasan tanpa ilmu adalah tidak bererti, "Sekiranya kita nyatakan bahawa kita memberi individu kebebasan untuk memilih setelah kita halang individu tersebut dari menuntut dan belajar, kita sebenarnya tidak berlaku jujur dan khianat: kebebasan dalam negara yang jahil hanya ilusi."

Manusia, pada sifat lahirnya, mahukan dan berhak mengecap kebebasan.  Pendidikan adalah ciri-ciri yang diperlukan bagi merealisasi potensi tersebut dalam memberikan kebebasan pengisian dan bentuknya.  Pendidikan adalah ruang di mana cita-cita tersebut dilacak, difahami dan dipugar.  Pendidikan dari itu adalah hak kemanusiaan yang fundamental, sepertimana hak terhadap kehidupan, kesihatan, air dan tanah.  Ia adalah keperluan yang basik yang tanpanya kita tidak dapat menyempurnakan nilai kemanusiaan dengan sepenuhnya.  Untuk menjual keperluan ini kerana meraih laba dari pembida yang tertinggi tidak hanya menandakan terhakisnya keperibadian yang tulen tetapi yang lebih membimbangkan, kurangnya kasih sayang.

*Ahmad Fuad Rahmat ialah Penyelidik Islamic Renaissance Front.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/penswastaan-bukan-penyelesaian-kepada-auku/