Muhammad Asad; Sarjana Islam yang Visionari

July 3, 2017 by Hasan Zillur Rahim

 

Terjemahan oleh Ahmad Nabil Amir || 3 July 2017

1.Para1Muhammad Asad, penulis, pengembara, diplomat, pemikir Islam par excellence, penterjemah al-Qur’an, dan pengarang salah sebuah autobiografi spiritual yang menakjubkan pernah dihasilkan, The Road to Mecca, tidak begitu dikenali, bahkan di kalangan orang Islam, sebagaimana seharusnya baginya. Hal yang amat menyedihkan. Tiga tahun setelah kematiannya di Sepanyol pada tahun 1992, Asad terus kekal hampir tak dikenali di Barat dan suatu enigma kepada kebanyakan Muslimin. Mereka yang mengikuti kareernya melalui buku dan penulisannya, bagaimanapun, tahu bahawa tidak ada siapa yang lebih banyak menyumbang di zaman ini terhadap pemahaman Islam dan kebangkitan ummah, atau bekerja lebih keras untuk membina jambatan antara Timur dan Barat, daripada Muhammad Asad.

Asad dilahirkan sebagai Leopold Weiss pada 2 Julai, 1900 di Lwow, Galicia, kini di Poland, dan pada masa itu adalah sebahagian daripada empayar Austria. Pada tahun 1926, beliau memeluk Islam dan menjadi Muhammad Asad. Kisah tahun-tahun sebelum pengislamannya membayangkan pengembaraan spiritual seorang lelaki yang mencari tempat pulang, lelaki yang dilanda oleh keghirahan berkelana, yang tidak mampu untuk memadamkan resahnya sehingga memeluk Islam.

Asad melarikan diri daripada rumah pada usia 14 tahun dan menyertai tentera Austria untuk bertempur dalam Perang Dunia Pertama. Menjelang tahun 1922, beliau telah menjadi koresponden luar di Timur Tengah dan Jauh bagi Frankfurter Zeitung, ketika itu merupakan salah sebuah akhbar yang paling terkemuka di Eropah. Kerjayanya dalam kewartawanan membawanya ke Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Parsi, Jordan, Arab Saudi dan Afghanistan, dan memberinya perspektif yang unik tentang ehwal dunia, terutamanya isu-isu berhubung dengan masyarakat Yahudi dan Arab.

2.Para4Ketika menetap dengan pakciknya di Baitul Maqdis, beliau berhubungan dengan Jawatankuasa Tindakan Zionis dan menyangkal penghinaannya terhadap penduduk Arab. “Walaupun aku sendiri dari keturunan Yahudi,” Asad menulis dalam The Road to Mecca, “aku merasakan dari awal penolakan yang kuat kepada Zionisme…aku menganggapnya tidak bermoral di mana kaum pendatang, dibantu oleh kuasa asing yang besar, harus datang dari luar dengan tujuan yang terang-terangan untuk mencapai majoriti di Palestin dan justeru untuk merampas penduduk dari negara asalnya sendiri…sikapku ini tidak dapat dimengerti oleh hampir semua orang Yahudi yang mana aku berhubung dengannya pada bulan-bulan itu. Mereka tidak dapat memahami apa yang aku lihat dalam diri orang-orang Arab…mereka tidak sedikitpun berminat pada apa yang orang-orang Arab fikirkan; hampir tidak seorang di antara mereka yang berusaha untuk mempelajari bahasa Arab; dan setiap orang menerima tanpa soal akan diktum bahawa Palestin adalah warisan yang sah orang-orang Yahudi.”

Di sinilah Asad terbentur dengan Chaim Weizman, pemimpin gerakan Zionis yang tak tersangkalkan dan terheret dalam perbincangan yang hangat dengannya tentang falsafah Zionis. “Bagaimana dengan orang-orang Arab?” Asad menanyakan ketika Dr. Weizmann satu hari mengartikulasi visinya tentang Tanah Kebangsaan Yahudi.

“Bagaimana dengan orang-orang Arab?” ulang Dr. Weismann.

“Ya, bagaimana mungkin engkau dapat berharap menjadikan Palestin tanah airmu berhadapan dengan penentangan yang keras dari masyarakat Arab yang, bagaimanapun, adalah penduduk majoriti di negara ini?”

Pemimpin Zionis itu mengangkat bahunya dan membalas dengan hambar: “Kami menjangkakan mereka tidak akan menjadi kelompok yang majoriti dalam beberapa tahun.”

Pengalaman yang Menyedihkan

Asad diselubungi dengan kesedihan ketika dia merenungkan pengalaman ini. “Bagaimana mungkin, aku tertanya-tanya, bagi bangsa yang memiliki kecerdasan yang kreatif yang begitu berlimpah sepertimana kaum Yahudi untuk memikirkan tentang konflik Arab-Zionis dari segi kepentingan Yahudi sahaja? Adakah mereka sampai demikian buta kepada masa depan yang polisi mereka akan bawakan kepada perjuangan dan kepahitan yang kaum Yahudi akan sentiasa terdedah di tengah lautan umat Arab yang bermusuhan? Dan bagaimana aneh, aku fikirkan, bahawa bangsa yang telah menanggung begitu banyak peninindasan dalam diasporanya yang panjang dan menyedihkan kini dalam pengejaran tunggal terhadap matlamatnya, bersedia untuk mengenakan kezaliman yang parah ke atas bangsa yang lain. Fenomena seperti itu, aku tahu, bukan tidak dikenal pada sejarah, tetapi ia membuatkan aku, bagaimanapun, sangat sedih untuk melihatnya diberlakukan di depan mataku.”

Dalam pengembaraan yang meluas sepanjang dunia Islam, minat Asad pada Islam makin mendalam. Pada masa yang sama, dia mula menyelidiki dengan kritis kereputan yang ditemuinya di kalangan umat Islam. Arabia terheret dalam perang kabilah; kuasa luar menakluk negeri Islam dengan bantuan boneka Muslim; kebanyakan orang Islam terperosok dalam jurang yang rendah dengan merasa dirinya sendiri yang benar, berkubang dalam kebekuan intelek dengan membuta tuli dan dengan semberono bertaklid kepada Barat.

3.Para8.RightUntuk memahami bagaimana umat Islam dapat memperbaiki semula diri mereka, Asad mengambil pendekatan yang tersendiri: beliau membenamkan dirinya untuk memahami sumber Islam, al-Qur’an. Berangkat dengan penekunan yang intensif terhadap bahasa Arab klasik, beliau mula pada masa yang sama menetap di tengah-tengah kaum Badwi di Tengah dan Timur Jazirah Arab yang perbicaraannya dan asosiasi linguistiknya pada dasarnya kekal tak berubah sejak zaman Nabi Muhammad ketika al-Qur’an diturunkan. Ia memberikannya pencerahan tentang semantik dari bahasa al-Qur’an yang tidak diketahui oleh mana-mana orang Barat dan memungkinkannya kemudian untuk menterjemahkan al-Qur’an ke dalam bahasa Inggeris sebagai The Message of the Qur’an. Bersama dengan komentarnya, The Message tiada tandingan dalam menyampaikan maksud dan ruh dari kitab suci kepada para pembaca yang bukan-Arab.

Kebangkitan Ummat menjadi Matlamat Hidup Asad

Dalam kajiannya tentang al-Qur’ān, Asad mendapati bahawa Islam menyatakan “Ya kepada tindakan, Tidak kepada kepasifan. Ya kepada Kehidupan dan Tidak kepada Pertapaan.” Dalam helaian-helaiannya, beliau menemui kesedaran-bertuhan yang intens yang tidak membuat pemisahan antara jasad dan ruh, atau agama dan akal, sebaliknya terdiri daripada interaksi yang harmonis terhadap keperluan spiritual dan tuntutan sosial. “Ia jelas kepada saya bahawa kejatuhan umat Islam bukan disebabkan oleh sebarang kelemahan dalam Islam tetapi lantaran kegagalan mereka sendiri untuk mengamalkannya...bukan orang Islam yang menjadikan Islam hebat; Islamlah yang menjadikan umat Islam hebat. Tetapi sebaik saja agama mereka menjadi adat kebiasaan dan berhenti daripada menjadi program kehidupan, untuk diikuti secara sedar, dorongan kreatif yang mendasari peradaban mereka pudar dan perlahan-lahan memberi laluan kepada kelembapan, kemandulan dan kereputan budaya.”

Bermua dari detik itu, kebangkitan Muslim menjadi matlamat hidup Asad. Beliau mengembara jauh dan meneroka luas, bertukar fikiran dengan Raja-Raja, para pemimpin dan orang biasa “antara Gurun Libya dan dataran Pamir, antara selat Bosporus dan Laut Arab,” dan mula melakarkan ideanya di atas lembar kertas. Islam at the Crossroads, yang diterbitkan seawal tahun 1934, masih menakjubkan pembaca kontemporer dengan analisisnya tentang kejatuhan Muslim dan preskripsinya yang berani untuk menanam keyakinan-diri kepada dunia Islam yang menghadapi tekanan dan serangan teknologi Barat.

Tetapi awan gelap telah menyelubungi ufuk Eropah (hanya pada akhir 1940an di mana Asad mendapat tahu ibu bapanya telah mati dalam kem tahanan Nazi.) Ketika Perang Dunia Kedua meletus, Asad berada di India di mana dia berhubungan dengan Muhammad Iqbal (1876-1938), bapa spiritual tentang idea pemisahan Pakistan. Iqbal membujuk Muhammad Asad untuk mengurung rencananya menjelajah ke timur Turkestan, China dan Indonesia, dan “bagi membantu melakar dan menjelaskan premis intelektual bagi masa depan negara Islam”.

4.Para12Asad ditahan di India pada akhir Perang Dunia Kedua. Ketika Pakistan dibentuk pada tahun 1947, Asad dilantik sebagai wakil menteri bagi Hal Ehwal Timur Dekat dan menjadi perwakilan tetapnya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1952. Di sinilah beliau menemui isterinya, Pola Hamida, yang berasal dari Boston, yang dikahwininya pada tahun yang sama. Di sinilah juga beliau mula menulis karyanya yang tiada taranya, The Road to Mecca (1954), yang meliputi separuh pertama daripada kehidupannya, termasuk pemelukan Islamnya pada tahun 1926 dan “kepulangan hakiki [homecoming of the heart], sebagaimana saya mula memahaminya dalam hari-hari yang jauh itu pada akhir musim panas tahun 1932.”

Setelah dua tahun di New York, Asad dan isteri menjelajah dengan ekstensif sebelum kembali ke Pakistan pada tahun 1955. Tetapi semangat yang gelisah dari kedua pasangan itu mendorong mereka terus, pertama ke Maghribi, kemudian ke Tangiers, kemudian ke Portugal, dan akhirnya ke Sepanyol. Dalam The Principles of State and Government in Islam, yang diterbitkan pada tahun 1961, Asad menggariskan dengan jelas dasar negara Islam bersandarkan kepada al-Qur’an dan as-Sunnah. Secara ringkas, dua batas penentu adalah dalam negara Islam kedaulatan yang sebenar terletak pada Tuhan dan bahawa orang-orang beriman harus menyelenggarakan semua urusan menyangkut dengan negara dan masyarakat melalui musyawarah. Dalam kerangka ini, Asad menunjukkan bahawa negara Islam mempunyai keluwesan untuk merangkul bentuk dari demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang, termasuk institusi moden dari kepresidenan dan Mahkamah Agung.

Pengarang berharap dengan buku ini bagi menyumbang “ke arah pemahaman yang lebih baik tentang ideologi Islam oleh masyarakat Barat yang bukan-Islam – pemahaman yang sangat mendesak yang diperlukan di zaman kita.” Menimbangkan gambaran yang gelap dan ekstrim yang para orientalis dan “pakar-pakar Islam” seperti Bernard Lewis, Daniel Pipes, Steven Emerson dan lain-lain lukiskan tentang Islam dan negara Islam, karya Asad harus menjadi bacaan wajib bagi “pakar-pakar” dari lingkungan academik dan media ini.

The Message of the Qur’an diterbitkan pada tahun 1980. Asad bermaksud untuk menumpukan hanya dua tahun bagi menyiapkan terjemahan dan komentar tersebut tetapi ia berakhir dengan memakan masa tujuh-belas tahun. Beliau menujukannya kepada “Kaum yang Berfikir”. Kepentingan untuk menggunakan daya intelek seseorang untuk memahami teks suci, fakta yang ditekankan dalam al-Qur’ān sendiri, adalah tema yang Asad rujuk berulang kali.

5.Para16.RightTanpa ijtihād; Asad yakin umat Islam akan mendapatinya sukar, jika bukan mustahil, untuk mempraktikkan Islam yang sebenar dalam kehidupan mereka, dan mereka akan terbelenggu sebagai tawanan intelek terhadap kelompok yang lain seperti mana mereka juga adalah tawanan kepada idealisme lampau dan tidak mampu melahirkan sumbangan yang bermakna kepada kebangkitan Islam dalam dunia moden. Hanya melalui ijtihād, beliau rasakan, bahawa umat Islam dapat berkembang, berubah dan membangun selaras dengan keperluan masa dan perkembangan pengalaman manusia, sementara tetap setia kepada al-Qur’an dan ajaran yang dibawa Nabi. Hal ini bukan untuk menafikan kepentingan ulama, akan tetapi umat Islam diwajibkan untuk memahami agama mereka dengan cara yang terbaik yang mereka upaya menggunakan daya akliah mereka yang dikurniakan Tuhan, sebelum mencari pertolongan untuk memperluaskan pemahaman mereka. “Setiap Muslim harus bisa mengatakan ‘Al-Qur’an telah diturunkan untuk diriku,’” dia nyatakan dalam sebuah wawancara beberapa tahun sebelum kematiannya. Beliau gemar memetik hadith Nabi “Jika engkau berijtihad dan terkeliru, Tuhan tetap memberi pahala kepadamu. Dan jika engkau benar, engkau akan diganjari pahala dua kali lipat.”      

Ketepatan Waktu dan Keabadian

Pada tahun 1987, Asad menerbitkan This Law of Ours and Other Essays yang menghimpunkan koleksi esainya tentang pemikiran agama dan politik umat Islam yang ditulisnya sepanjang beberapa tahun dan tidak diterbitkan, termasuk “Answers of Islam,” “Calling All Muslims”, dan “A Vision of Jerusalem”. Kenyataannya, ia adalah isterinya, Pola Hamida, yang menyelenggarakan dan menghimpunkannya dari temuannya terhadap nota-nota syarahan, lembaran kertas-kertas kerja Asad yang lama, yang terpencar dan bertaburan dan, menyedari kepentingannya, menyarankan supaya ia diterbitkan. “Aku percaya pembaca akan terpukau, sebagaimana diriku,” beliau menulis dalam pengantarnya kepada buku tersebut, “tidak hanya dengan kesesuaian waktu yang luar biasa dan keabadian yang merentas masa dari pemikiran tersebut beserta ramalan-ramalannya, tetapi juga dengan sifat yang cukup konsisten.”

Penulis beruntung mendapat peluang berutus surat dengan Muhammad Asad. Pada tahun 1986, aku membaca The Road to Mecca dan begitu tergugah dan terpujuk oleh naratif pengarang di mana aku nekad entah bagaimana untuk menghubunginya. (Satu-satunya buku lain yang mempunyai impak yang sama kepada diriku, sekalipun dari perspektif yang berlainan, adalah Autobiography of Malcolm X.) Tak lama kemudian aku mendapat kesempatan menemuramah Asad dalam majalah yang dipanggil Arabia, yang diterbitkan di England. Aku menulis surat kepada editor Arabia untuk memanjangkannya kepada Asad. Aku tak tersangka dan tercengang, Asad kemudian membalas dari Sepanyol. “Saya sangat tersentuh dengan surat anda,” dia menulis, “yang dipanjangkan kepada saya oleh Dr. Fathi Osman. Terima kasih kerana penghargaan anda atas karya saya; ia adalah bagi orang-orang seperti anda yang saya menulisnya.”

Dalam surat itu aku telah zahirkan harapanku supaya beliau melanjutkan kisah kehidupannya dari mana beliau tinggalkan dalam The Road to Mecca. “Aku telah berjanji kepada isteriku, yang telah mendesak sekian lama,” beliau menjawab, “bahawa aku harus meneruskan dan merampungkan memoirku. Kerjaku yang seterusnya adalah persis itu dan tentunya ia akan, semestinya, termasuk tahun-tahun di mana aku berada di India dan Pakistan…Doakan semoga Tuhan mengizinkanku untuk menyelesaikan karya ini.” Koresponden kami berlanjutan untuk seketika sehingga Asad menjadi terlalu tenat untuk menjawab sebarang surat.

6.Para20Setelah Asad wafat di Sepanyol pada tahun 1992, aku menulis kepada Pola Hamida Asad, yang memaklumkan kepada diriku bahawa sambungan kepada The Road to Mecca hanya separuh yang sempat dilengkapkan oleh Asad – bahagian satu – dan beliau sendiri akan menyudahkan bahagian kedua. Ia akan diberi judul Homecoming of the Heart, “tajuk yang Asad sendiri cadangkan.” (Buku tersebut masih belum terdapat di Amerika Syarikat.)

Muhammad Asad berdiri tersendiri di kalangan umat Islam kontemporer dengan persepsinya yang luar biasa tentang, dan sumbangannya kepada, Islam. Dengan penguasaannya dalam bahasa Inggeris, pengetahuannya tentang kitab Bible dan sumber-sumber Bible, dan juga sejarah dan kebudayaan Yahudi, Asad lebih berhasil daripada kebanyakan yang lain dalam menyampaikan kepada pembaca Muslim dan bukan Islam intisari Islam dalam konteks sejarah dan keabadiannya.

Tetapi melangkaui perkataan dan buku, Asad ingin melihat jasad Islam yang hidup berkembang di dunia moden. Walaupun tertekan oleh keadaan dunia Islam yang menyedihkan dan agendanya yang reaktif, dia kekal optimistik mengharapkan suatu generasi Islam yang baru akhirnya akan bangkit untuk merealisasikan mimpinya.

Amatlah mudah untuk membayangkan Asad menyetujui aktivisme umat Islam Amerika yang aman dan bersemangat dalam membela prinsip agama mereka dan dalam berjuang untuk membawa keseimbangan kepada masyarakat Amerika. Dia akan, khususnya, menanamkan harapan yang tinggi kepada para pemuda bagi idealisme dan keupayaan mereka dan kesungguhan untuk berfikir dan menalar. Asad membenci ekstremisme dalam semua bentuknya. “Dan demikian telah Kami menghendakimu untuk menjadi umat Pertengahan” adalah ayat al-Qur’an yang sering dikutip beliau, menjelaskan bahawa dalam Islam, tiada tempat bagi sebarang revolusi, hanya evolusi.

Asad adalah suara nurani umat Islam yang berfikir. “Pintu ijtihad akan sentiasa terbuka,” beliau sering tegaskan, “kerana tidak ada sesiapa yang mempunyai autoriti untuk menutupnya.” Ketika Islam memasuki fasa yang paling kritikal dari pembangunannya di Barat, legasi Muhammad Asad mengambil kepentingan yang mendesak yang tiada Muslim yang berfikir boleh lengahkan.

 


Hasan Zillur Rahim, adalah editor majalah kuartal IQRA, dikeluarkan setiap suku tahunan di San Jose, CA. Buku-buku Muhammad Asad boleh dipesan dari Kazi Publications, Chicago, IL atau Threshold Books, Brattleboro, VT.

Diterjemahkan daripada esei asal Muhammad Asad: Visionary Islamic Scholar, Washington Report on Middle East Affairs, September 1995, pgs. 45-46 Issues in Islam oleh Dr Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front

Pautan:

http://www.washingtonreport.me/1995-september/issues-in-islam-muhammad-asad-visionary-islamic-scholar.html

 




View original article at: http://irfront.net/post/articles/articles-malay/muhammad-asad-sarjana-islam-yang-visionari/