Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin

September 19, 2017 by Ahmad Farouk Musa

Al-Qur’an mengarahkan kita menerapkan prosedur yang rasional dan penelitian intelektual dalam manifestasi cakerawala ini, sejauh yang mungkin, dalam segala butirannya, agar ia dapat membawa pada keyakinan dalam perkara yang ia tuntuni.”
[Muhammad Abduh, Risalah At-Tauhid]

Demikianlah penegasan Imam Muhammad Abduh, salah seorang reformis ulung pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 itu. Dalam segenap tulisan dan syarahannya, pemicu dan katalis intelektual kaum Muslimin itu tidak hanya berikhtiar untuk mereformasi pemikiran religius dengan menganjurkan metodologi yang kritis dalam menghadapi kaum ortodoks yang kaku, dengan memadukan sains moden ke dalam ilmu-ilmu agama, tetapi juga berusaha untuk mentransformasi masyarakat Islam keseluruhannya, dengan memfokuskan kepada pendidikan yang merupakan kunci kepada reformasi sosial dan politik.

Sebelum Abduh, gurunya yang terkenal sebagai reformis terulung, Jamal al-Din Afghani, terdahulu mengerahkan perjuangannya melawan segala bentuk kekakuan dalam pemikiran umat Islam lantaran terikat dengan faham teologi [kalam] tradisional yang bertaqlid kepada golongan agamawan. Umat Islam yang suatu ketika dulu dalam sejarah pernah menerajui peradaban dunia, kini tercari-cari makna diri, dan tersingkir daripada kemajuan sains dan teknologi kerana menafikan dan mengkesampingkan akal yang rasional.

Kita akan melihat bahawa para reformis silam telah berjaya memberi nafas baru dalam agama melalui pemugaran semula apa yang dinamakan sebagai penalaran rasional atau ijtihad. Dan hal ini berhasil lantaran bersandar pada apa yang dimuafakati dalam perundangan Islam sebagai qiyas. Para reformis telah berhasil dalam penerobosan mereka menelusuri segala rintangan dan ranjau fiqh yang berjilid-jilid itu tanpa terikat dengan mana-mana pendapat, atau kerangka mazhab.

Jamal al-Din Afghani dan Falsafah

Syukurlah di pertengahan abad ke-19 yang lalu, timbul permulaan perubahan besar cara berfikir, dengan dibuka jalannya oleh Failasuf el-Islam el-Azhim Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan muridnya Al Muslih Al Kabir Syaikh Muhammad Abduh, yang sezaman dengan Ernest Renan di Perancis dan Herbert Spencer di Inggeris.” – [Hamka, Falsafah Hidup, xxiv]

Pada tahun 1883, Al-Afghani telah berdebat dengan Ernest Renan seputar permasalahan “Islam dan Sains” yang secara khususnya memusykilkan keupayaan Islam untuk mereformasi dan menyesuaikan diri dengan tamadun moden. Abduh bergandingan dengan gurunya setahun sesudah itu, dan mereka berkerja-sama menerbikan jurnal berkala Al-Urwah al-Wuthqa. Al-Afghani percaya, yang Islam, adalah sepertimana agama yang lain juga, cumanya ia adalah agama yang membawa obor kebenaran, yang sejati, yang berupaya memberikan kepuasan kepada kerohanian manusia. Dan sepertimana para pemikir di zamannya, beliau sanggup menerima tohmahan seperti yang ditohmah ke atas agama Kristian oleh cendikiawan Eropah bahawa agama itu adalah suatu yang tidak rasional dan merupakan musuh kepada sains dan kemajuan. Tetapi dalam masa yang sama, beliau cuba membuktikan bahawa tohmahan itu tidak benar tentang Islam. Sebaliknya Islam sentiasa harmonis dengan segala prinsip yang ditemui secara saintifik berdasarkan akal, kerana Islam ini jua adalah agama yang berpijak kepada akal.

Pada Al-Afghani, Islam membutuhkan Martin Luther-nya. Malahan ini merupakan tema kesukaan Al-Afghani dan beliau menampakkan dirinya sebagai reformis yang diharap-harapkan itu. Sekiranya reformasi tercetus dalam pemahaman agama yang telah usang itu, beliau percaya Islam sekali lagi dapat mengungguli dalam tamadun umat manusia. Hal ini telah dibuktikan dalam sejarah; di mana sains yang rasional mekar tatkala era kegemilangan Kaum Muktazilah. Tapi sudah semestinya, akan terjadi ketegangan dan konflik antara agama dan falsafah, kerana seyogianya konflik seumpamanya akan tetap wujud dalam pemikiran manusia.

“Selama manusia hidup, pergulatan tidak akan berhenti antara dogma dan pencarian yang bebas, antara agama dan falsafah; pergelutan yang gawat yang mana, saya khuatir, kemenangan tidak berpihak kepada pemikiran yang bebas, kerana kebanyakan massa tidak menyukai nalar, dan ajarannya hanya dapat difahami oleh sesetengah yang cerdas dari kelompok elit…” [Jamaluddin al-Afghani]

Perjuangan Al-Afghani bukan sahaja menimbulkan prasangka pihak pemerintah, terutamanya pejabat atasan Inggeris di Mesir, malahan juga kelompok ulama’ al-Azhar. Bagi golongan ulama’ yang konservatif ini, kecurigaan mereka berasaskan dua faktor yang utama; pertamanya kerana keghairahan Al-Afghani untuk menghidupkan kajian dan studi falsafah – yang seharusnya dipandang kelompok agamawan ini sebagai musuh kepada agama; dan keduanya, kerana keengganan Al-Afghani untuk terikat kepada mana-mana mazhab tertentu, yang bagi kebanyakan gerombolan agamawan itu, termasuk sesuatu yang wajib dalam beragama. Kritik seperti ini menunjukkan yang perjuangan Al-Afghani merupakan sesuatu yang baharu, lantaran itu ia harus ditolak. Hal ini seperti diungkap oleh Elie Kedourie tentang aspirasi moden yang digerakkan oleh Al-Afghani dan Abduh.

“Sayyid Jamaluddin Al-Afghani dan pengikutnya yang terkenal Muhammad Abduh, mengukir suatu reputasi sebagai pembela dan pembaru Islam moden” [Elie Kedourie, Afghani and Abduh: An essay on religious unbelief and political activism in modern Islam. London: FranCass and CO. ltd, 1966, h. 1]

Sebenarnya Al-Afghani tidak pernah menyamakan falsafah dengan nubuwwah, walaupun beliau diselar sedemikian oleh golongan agamawan kerana falsafah itu berubah mengikut perubahan sosial dan kecenderungan epistemologi budaya; akan tetapi falsafah dan nubuwwah itu harus digabungkan untuk memacu kemajuan dalam ketamadunan. Ringkasnya, al-Qur’an adalah kalam Allah yang diwahyukan oleh malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad; akan tetapi ijtihad adalah pencerapan manusia terhadap wahyu Ilahi itu yang dikerahkan dengan daya dan usaha kefalsafahan.  Justeru itu Afghani berhujah bahawa tertutupnya pintu ijtihad telah menghambat kemajuan sosial dan politik, yang turut mengakibatkan, kerencatan dalam kemajuan sains dan teknologi.

Di dalam Reply to Renan, Al-Afghani menanyakan bagaimana peradaban Islam ini merudum dengan aliran zaman. Lalu Afghani mengkritik pemahaman ortodoks yang dipertahankan para ulama’ dan penguasa yang menunggang ulama’ untuk menyokong regim mereka, yang menjadi punca kebekuan peradaban dan ketamadunan. Demikian juga dengan terikatnya penafsiran agama itu dengan satu mazhab yang ditentukan pemerintah, bagi kelangsungan hayat regim tersebut, juga merupakan salah satu sebab kemunduran umat Islam.

Yang paling menarik dari pengamatan Afghani tentang kemunduran peradaban Islam, bukannya pada siapa yang menyebabkan kemunduran tersebut, tetapi bagaimanakah ianya dapat diterbalikkan. Jelaslah di sini bahawa Afghani bukan hanya mengkritik sikap ortodoks para ulama’ yang menjadi punca kebekuan ini di dalam Reply to Renan, tetapi beliau juga mengkritik sikap para ulama’ yang mempertahankan pendirian ortodoks dalam beragama sebagai cara untuk mengekalkan kebekuan intelektualisme kaum Muslimin.

Imam Muhammad Abduh dan Rasionalisme

Di sana terdapat dua buah buku: satu dicipta iaitu alam cakerawala; dan satu lagi di wahyukan iaitu al-Qur’an. Dan hanya melalui akal kita akan dipimpin oleh buku ini untuk memahami buku yang satu lagi” [Al-Manar, Jil. VII, p.292]

Permusuhan terhadap falsafah dan tanggapan rasional yang menyebabkan kebekuan pemikiran umat telah bermula sejak berkurun dengan tewasnya Kaum Muktazilah kepada Kaum Asya’irah. Dan perjuangan Afghani untuk mengembalikan kekuatan rasionalisme dan falsafah dalam pemikiran umat ini telah diteruskan dan diperkasai oleh muridnya yang setia, Muhammad Abduh. Abduh membawakan sintesis antara rasionalisme dan kesedaran sosio-poitik yang moden. Hal ini membolehkan beliau untuk menyorot semula akar dari pengetahuan Islam; iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah, dan struktur teologi Islam. Dan inilah yang menjadi asas kepada apa yang dikenal sebagai gerakan atau manhaj Islahnya.

Kita melihat bahawa isu-isu tentang Islam dan pengetahuan moden ini merupakan hadaf utama dalam penulisannya sehingga beliau merevisi dan meninjau kembali tamadun Islam itu sendiri. Dan beliau telah membuka pintu ijtihad dengan lebih luas lagi. Lantaran beliau melihat bahawa agama itu sesuatu yang terpenting dalam kehidupan manusia, maka satu-satunya cara untuk menggerakkan perubahan atau islah yang sebenarnya adalah dengan merubah cara berfikir dan mentaliti umat.

Sepertimana ulama’ Muktazilah sebelumnya yang membangkitkan upaya penalaran dalam memahami ayat-ayat al-Qur’an yang bersifat metaforika [tamthil], beliau percaya inilah caranya untuk membawa umat Islam berfikir semula supaya tidak menerima secara melulu pernyataan al-Qur’an dari kerangka harfiah [literal] semata-mata. Usaha ini telah dirintis oleh ulama’ Muktaziah berkurun lalu disebabkan pemahaman mereka yang al-Qur’an itu makhluk, yang mengertikan bahawa kehendak Tuhan ke atas hambaNya, mestilah dapat ditafsirkan dengan akal dan rasio. Ini sudah semestinya berbeza dengan kalam Asha’irah yang menganggap al-Qur’an itu qadim adanya, coeval, atau setara dan kebersamaan dengan kewujudan Tuhan itu, kerananya, ia hanya untuk dilaksanakan sepertimana ianya.

Para pengkaji tamadun manusia telah melihat bagaimana kebangkitan puak anti-rasionalisme daripada mazhab Asha’irah ini berkait rapat dengan penyusutan sains di dunia Islam. Dengan bangkitnya kaum Asha’irah, pembelajaran dan pemahaman di dunia Islam mulai menunjukkan pertentangan dengan sebarang kaedah pemikiran saintifik yang bagi mereka, tidak membawa sebarang kebaikan dalam menjalankan tugas keagamaan dalam ruang peribadi maupun awam.

Kita melihat, umat Islam masa kini lebih banyak meyakini perkara yang ajaib dan luar biasa walaupun bercanggah dengan prinsip-prinsip sains tabii kerana teologi Asha’irah mengajar bahawa Allah Maha Berkuasa menentukan segala sesuatu walaupun ia bertentangan dengan akal dan hukum alam. Lantaran itulah kita mendapati begitu ramai yang percaya dengan pembedahan batin walaupun hukum sains dan perubatan saintifik menegaskan yang ianya mustahil berlaku. Menurut mereka, faham Asha’irah mengajar bahawa kesemuanya mungkin, kerana Zat Tuhan Maha Berkuasa melakukan segala sesuatu itu. Air bisa tidak menghilangkan dahaga, dan api bisa tidak membakar. Manusia yang memperoleh karamah bisa terbang dan tidak terikat pada hukum graviti. Dan dia juga boleh berada di beberapa tempat pada masa yang sama. Kefahaman sebegini menatijahkan kepada penolakan hukum alam dan teori sains yang dapat difahami dan dibuktikan secara saintifik berhubung fenomena alam ini.

Oleh kerana itulah, Imam Muhammad Abduh merasa menjadi tugas dan tanggungjawabnya untuk menjernihkan semula kefahaman sebegini. Ini dimulai dengan tafsirnya, yang dikumpulkan oleh murid beliau, Muhammad Rasyid Rida. Di dalam Tafsir al-Manar, Abduh menghuraikan konsep al-Qur’an sebagai “teks”, pertamanya dengan menegaskan secara implisit tentang struktur kesusasteraannya, dan seterusnya membawa gengsi risalah yang disampaikan pada kurun ke-tujuh dengan tahap intelektualisme masyarakat Arab pada ketika itu. Makanya, sesuatu yang tampak tidak rasional dan bertentangan dengan logika dan sains, haruslah difahami sebagai mencerminkan bagaimana umat Arab memandang dunia pada ketika itu. Kesemua ayat mengenai sihir umpamanya dapat diuraikan sebagai ekspresi dari kepercayaan Arab. Dan kerana itulah, ungkapan dan istilah seperti “metafora’ dan “alegori” tercatat dalam Tafsir al-Manar sebagai struktur asas bagi sebarang huraian yang rasional terhadap segala hal ajaib yang diungkapkan dalam al-Qur’an.

Kita melihat, lantaran itu, tatkala Abduh mentafsirkan ayat-ayat yang menyebutkan tentang malaikat yang turun berperang menghadapi golongan kuffar Quraish (āl –Imran: 124-125), bagi Abduh ia bukanlah malaikat seperti yang diyakini kelompok literalis tetapi menggambarkan satu ekspresi dari pendorong dan peransang; para malaikat itu menambahkan cetusan semangat dan daya juang pasukan tentera yang beriman untuk terus bertempur merebut kejayaan. Ini secara eksplisit jelas menunjukkan usaha Abduh untuk mengkontekstualisasikan pemahaman al-Qur’an supaya selaras dengan akal yang rasional dan mengenyahkan sebarang mitos daripada ayat suci al-Qur’an.

Lihat pula bagaimana Abduh menguraikan ayat yang mengaitkan tentang burung Abābil yang telah menghancurkan tentera bergajah Abrahah. Abrahah, panglima Kristian di Yaman - yang diperintah ketika itu oleh kerajaan Habsyah - membangunkan sebuah gereja agung di San’ā, kerana ingin mengalih urusan haji masyarakat Arab yang saban tahun berkunjung ke tempat tumpuan di Mekah, Kaʻbah, kepada gereja yang baru. Apabila harapan ini tidak dipenuhi, dia bertekad untuk menghancurkan Kaʻbah; lalu menyiapkan tentera yang dilancarkan ke Mekah bersama dengan pasukan gajah, yang merupakan sesuatu yang tak pernah dikenal dan luar biasa bagi masyarakat Arab: kerana itu, mereka yang hidup pada zaman tersebut dan para ahli sejarah yang datang kemudian menamakan tahun tersebut “Tahun Gajah”.

Menarik diperhatikan yang Abduh merujuk pada kata nama tā’ir, di mana kata jamaknya tayr, dalam surah ke-105, al-Fīl; dengan menunjukkan setiap “makhluk yang terbang”, sama ada burung, serangga atau kuman. Memandangkan di dalam al-Qur’ān, tiada keterangan yang menjelaskan tentang sifat “makhluk yang terbang” yang disebut oleh ayat di dalam surah al-Fīl itu, dan dari satu sudut, setiap “gambaran” yang disampaikan oleh para pentafsir itu, bagi Abduh, hanyalah berbentuk khayalan semata. Dan Abduh mengertikan perkataan “hijāratin min sijjil”, dalam surah tersebut “dengan batu-batu sijjīl”, yang merupakan istilah yang sinonim dengan sijjīl, yang menunjukkan “catatan”, dan, menurut Abduh, secara figuratifnya membawa makna “sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah”. Maka dengan itu, frasa hijārah min sijjīl adalah metafora untuk “batu keras yang tercatat dengan azab yang ditentukan” iaitu, dalam ketetapan Allah. Manakala azab yang tertentu yang digambarkan itu membayangkan jangkitan penyakit yang merbahaya; samada penyakit cacar yang merebak ataupun penyakit thypus.

Jelas Abduh dalam penafsirannya cuba mengetengahkan tafsiran yang rasional, yang bisa diterima akal yang waras, dan lebih munasabah dari sudut pandangan sains. Demikianlah cara Abduh membawa umat Islam berfikir dengan daya intelek dan bukan semberono mempercayai perkara yang boleh berlaku dengan melanggar hukum alam. Ia harus bermula dengan cara kita membaca dan memahami al-Qur’an. Dan inilah manhaj Abduh dalam menghimbau bangsa Arab dan umat Islam untuk keluar daripada rongrongan dan keteledoran fikiran kerana percaya hal-hal yang sakti lagi ajaib, hanya kerana mereka meyakini dan beriman dengan kalam Asha’irah, yang Allah berkuasa melakukan sesuatu yang berlawanan dengan hukum alam yang, anehnya; Tuhan itulah yang telah menetapkan sendiri.

Bagi Abduh, agama harus dianggap teman terintim kepada sains, yang menggerakkan manusia untuk menyelongkar rahsia kewujudan alam ini, menyuruhnya untuk mengiktiraf hakikat kebenaran yang tersingkap, dan menjadikannya tempat rujukan dalam kehidupan dan prilaku moralnya. Tetapi mungkin, sumbangannya yang terbesar dalam hal ini adalah dalam penegasannya yang al-Qur’an bukanlah sebuah buku sejarah, ataupun buku sains; sebaliknya ia adalah kitab yang membawa petunjuk. Kerana itu, segala usaha untuk membuktikan kebenaran sesuatu teori sains adalah tidak absah. Naratif al-Qur’an juga, tidak harus ditanggapi sebagai dokumen sejarah. Segala naratif sejarah yang disampaikan di dalam al-Qur’an adalah supaya umat bisa mengambil pengajaran daripadanya, baik ianya berbentuk nasihat maupun peringatan.

Menurut Abduh; tidak ada percanggahan antara “iman” dan “akal”. Jika terdapat semacam percanggahan antara “akal” dan “wahyu” ia harus diandaikan bahawa satu atau lainnya telah disalahtafsirkan; kerana keduanya pada dasarnya merupakan dua cara yang berbeza untuk menyampaikan satu kebenaran Ilahi. Pandangan dunia yang inklusif terhadap perjuangan memperkasa daya intelek ini berkembang dengan lebih komprehensif dalam era moden Islam seperti digagaskan dalam tafsirnya. Sangat berpengaruh dan menarik watak dakwah dan perjuangannya mengangkat kekuatan akliah dan intelek sehingga telah mengilhamkan kefahaman tafsir dan sejarah yang kukuh dalam pemikiran tafsir moden.

Abduh menjelaskan hakikat historiografi dan perbezaannya dengan ceritera dalam al-Qur’an. Historiografi adalah lapangan saintifik dari ilmu yang berasaskan kajian dan penyelidikan yang kritis bersumberkan data-data yang diperolehi. Manakala di dalam al-Qur’an pula, cerita sejarahnya bermaksud untuk menganjurkan nilai-nilai kesusilaan, spiritual dan keagamaan. Cerita-cerita tersebut mungkin berasal daripada insiden sejarah, namun maksudnya bukanlah untuk mengajar sejarah. Disebabkan itulah nama-nama sesetengah orang, tarikh dan tempatnya, tidak dipaparkan di dalam al-Qur’an. Walaupun naratif itu menyentuh seorang Rasul, ataupun musuhnya, Fir’aun umpamanya; banyak fakta-fakta yang ditinggalkan. Lantaran itu Abduh berlain dengan mufassirun lampau yang berusaha menerangkan hal-hal mubhamat - yang tidak diperincikan – ini. Beliau menegaskan yang pengajaran dari naratif tidak bergantung dari maklumat seumpama itu, tetapi kepada pengajaran yang dapat diraih daripadanya.

Sepertimana ketika Tuhan menggambarkan perkara-perkara yang di luar jangkauan pemahaman manusia, maka Tuhan menggunakan loan-images atau imej pinjaman daripada keadaan fizikal yang sebenar atau pengalaman-mental; atau dengan menggunakan apa yang disebut oleh ahli tafsir Muktazilah yang terulung, Az-Zamakhshari, di dalam tafsirnya al-Kasyaf terhadap surah ke-13 ayat ke-35, “tamthilan li-ma ghaba anna bi-ma nushahid “ iaitu “melalui sebuah gambaran parabolik, dalam erti kata sesuatu yang kita tahu daripada pengalaman, tentang sesuatu yang melangkaui daya tanggapan kita”. Dalam bahasa yang mudah, sebagai contoh, bagaimanakah Allah menggambarkan ketenteraman dan keindahan di dalam al-Qur’an tentang syurga umpamanya. Maka loan-images atau imej pinjaman yang dipakai yang dapat dirasakan daripada pengalaman di dunia adalah sungai-sungai yang mengalir. Ertinya, sungai-sungai yang mengalir itu adalah imej pinjaman yang digunakan Tuhan untuk menggambarkan ketenangan dan ketenteraman di dalam syurga; dan bukan dalam pemahaman literalnya.

Membuka Semula Pemikiran Yang Tertutup

“Beliau (Abduh) adalah lelaki dengan perwatakan yang berani dan semangat yang merdeka, dengan terbuka mengungkapkan pandangannya dan mempertahankannya, tanpa gusar terhadap sesiapa jua yang memegang autoriti atau kekuasaan mana-mana yang besar”
[Akhbar Arab, al-Muqattam]

Perjuangan Muhammad Abduh untuk mengembalikan keagungan umat Islam dengan mengajak mereka menggali khazanah dan warisan yang ditinggalkan oleh pelopor yang terdahulu, yang pernah menguasai dan menakluki dunia, dalam segala lapangan pengetahuan, kerana mereka itulah Kaum-nya Muktazilah, yang tidak pernah memusuhi akal, yang meyakini nasib baik dan buruknya sesuatu kaum itu ditentukan oleh manusia sendiri. Tuhan tidak campur tangan dalam menentukan nasib sesuatu kaum. Tuhan hanya menetapkan hukum-hakam alam yang diciptakanNya. Dan dengan memahami bagaimana hukum-hakam alam itu yang tidak pernah berubah memungkinkan manusia mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.

Graviti yang dicipta Tuhan itu akan membuatkan apa saja yang diruang angkasa yang terefek dengan kuasa graviti itu tertarik ke arah bumi. Demikian contoh hukum yang telah dicipta Tuhan. Dan inilah keyakinan Kaum Muktazilah yang yakin hukum alam ini tetap kekal dan tidak berubah. Seperti itu jualah, sperma yang bergabung dengan ova, akan menghasilkan zigot, yang bertukar menjadi mórula, yang kemudian itu bertukar menjadi blastosis, yang pada peringkat akhirnya akan menjadi janin di dalam rahim. Demikian hukum ciptaan Tuhan. Memahami hukum-hakam ini membolehkan manusia mencipta in-vitro fertilization atau persenyawaan beradas, yang seakan-akan sepertimana Tuhan menjadikan manusia mengikut peraturan alam. Kesemuanya menurut hukum alam yang diciptakan Tuhan, dan bukannya magic. Pemikiran seperti ini dan pembuktian empirikal inilah yang memungkinkan Kaum Muktazilah menerajui dunia di zamannya dengan seluruh pengetahuan sains biologi, astronomi, geografi, fizik, kimia, perubatan dan sebagainya.

Kerana bagi Kaum Muktazilah, hukum alam yang diciptakan Tuhan itu senantiasa tetap dan tidak berubah. Kerana demikianlah sunnatullah. Dan kerana itulah penemuan segenap ilmu sains menjadi mercutanda kejayaan Kaum Muktazilah. Penemuan sains dalam semua lapangan menjadi norma kerana sains dapat dibuktikan secara empirik. Dan Kaum Muktazilah percaya bahawa tidak akan ada kelainan atau perubahan dalam hukum alam yang telah ditetapkan Tuhan itu.

Maka tidak akan kamu temui dalam sunnatullah ini sebarang perubahan, dan tidak akan kamu temui dalam sunnatullah ini sebarang penyimpangan
[Surah Fātir; 35: 43]

Bukannya dengan mempercayai perkara ajaib seperti pembedahan batin dan seumpamanya itu adalah benar kerana disangka itulah perubatan Islam. Inilah akibat fahaman Asha’irah yang percaya segala perkara ajaib boleh berlaku kerana Tuhan  Maha Berkuasa dan tidak terikat dengan hukum yang Dia ciptakan sendiri. Bukankah mereka juga percaya yang nasib baik dan buruknya manusia itu adalah ketentuan Tuhan. Manusia tidak mempunyai apa-apa kekuasaan dalam menentukan nasibnya. Paradigma pesimisme dan fatalisme yang menganggap ketentuan nasib ditentukan Tuhan bersandarkan qada’ dan qadar sebagaimana difahami Asha’irah inilah yang seringkali digunakan untuk menjusfikasi kemalasan dalam berjuang dan mengikhtiarkan perubahan. Dari sinilah Kaum Muslimin menjadi statis, tidak kreatif, terperuk dalam kemiskinan, kesengsaraan, dan penderitaan, kerana mereka harus pasrah menerima kehidupan ini dengan rela sebagai takdir Tuhan.

Akan tetapi Kaum Muktazilah adalah pendukung doktrin free will atau ikhtiyar; yang bererti mereka menafikan perbuatan manusia itu daripada ciptaan Tuhan. Sebaliknya, manusialah yang mencipta perbuatannya sendiri, berdasarkan pada kesanggupan yang telah diberikan Tuhan kepadanya.

Perkara ini dapat difahami dengan lebih jitu apabila kita menilik kisah Adam dan Hawa di dalam Surah al-A’rāf. Peristiwa di mana Syaithan, atau yang boleh dimaksudkan dengan “dorongan kejahatan” telah menghasut mereka agar mendekati pohon al-khuld—pohon yang dilarang sebagai alegori bagi batasan yang Allah telah tetapkan bagi nafsu dan kehendak manusia. Namun dengan meningkatnya tahap kesedaran—yang dilambangkan dengan tindakan mengingkari perintah Tuhan yang dilakukan dengan sedar—maka Adam dikurniakan dengan “moral free will” atau kehendak moral yang bebas, di mana manusia bisa membezakan antara benar dan salah, dan lantas memilih cara hidupnya sendiri. Dalam maksud yang lebih mendalam, alegori tentang peristiwa “ketergelinciran” Adam ini bukan memberi makna yang retrogresif, sebaliknya menunjukkan satu tahap baru dalam perkembangan manusiawi, yang membuka ruang pada pertimbangan moral. Dengan melarang Adam daripada “mendekati pohon itu”, Tuhan memungkinkan manusia untuk memilih membuat salah, yang dengan itu juga, memilih berbuat benar, kerana manusia dikurniakan dengan “moral free will” yang membezakannya daripada para malaikat.

Lantaran itu, usaha pertama yang perlu dilakukan untuk mengembalikan umat Islam ini secara umum, dan umat Melayu Islam di negara ini secara khusus, adalah dengan mendobrak akar teologi dari kesedaran dan pemikiran umat ini untuk dijuruskan pada pemikiran teologi yang membebas dan mencerahkan. Pemikiran yang membolehkan manusia membuat pertimbangan sendiri dan bukannya hanya berserah pada nasib. Kaum Muslimin tidak boleh mengharapkan perubahan dengan hanya duduk dan berdo’a dan mengharap mukjizat akan berlaku. Mereka mempunyai kepercayaan yang salah, yang secara langsung atau tidak diakibatkan daripada kalam Asha’irah, bahawa setiap urusan di dunia ini telahpun ditentukan untuk mereka. Tidak kira betapa keras mereka berusaha, apa yang telah ditakdirkan tidak akan berubah. Hasilnya, Kaum Muslimin ini menjadi kaum yang paling terkebelakang dan tidak produktif dalam sumbangan mereka terhadap sains, teknologi dan tamadun manusiawi.

Bandingkan dengan pemikiran teologi yang dibentuk Kaum Muktazilah itu, yang mengertikan sabar itu bukan bermaksud pasrah dengan ketentuan, tetapi semangat untuk membanting usaha berjuang dan bekerja keras, yakni kesabaran yang ditanggung setiap Muslim dalam menahan jerih payah perjuangan dan bekerja keras untuk membangun kehidupan yang mulia lagi sejahtera. Dan qada’ dan qadar bukanlah ketentuan mutlak Allah bagi nasib baik buruk seseorang, tetapi ia harus dimaknai sebagai hukum Allah yang menescayakan adanya hubungan antara sebab dan musabab.

Artinya akibat baik buruknya itu tergantung pada ikhtiar dan usaha manusia itu sesuai dengan hukum Allah darihal syarat keberhasilan usahanya, maka manusia itu pasti memperoleh kejayaan dalam usaha atau perjuangannya; demikian itulah sebaliknya. Demikian juga ajaran dan doktrin tentang tawakkal, redha dan qana’ah itu haruslah diartikan sebagai fungsi penyelaras spiritual atas kudrat yang terbatas dalam penciptaan manusia, sehingga perasaan manusia tidak tertekan apabila usaha yang telah mereka kerahkan dengan bersungguh tidak meraih hasil yang diharapkan.

Sesungguhnya Allah berfirman di dalam al-Qur’an:
Sesungguhnya Kami tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka merubah apa yang ada di dalam diri mereka sendiri” [Surah ar-Ra’d; 13: 11]

Sekiranya kita ingin merubah keadaan dan kondisi umat Islam pada ketika ini, maka kita harus terlebih dulu merubah pemikiran dan mempersoalkan teologi yang kita pegang agar kita benar-benar memahami kehendak daripada al-Qur’an yang dengannya, telah membawa kegemilangan pada umat yang lalu. Dan buku yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu ini, Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin, membawa kita menghimbau semula sejarah masa lalu tatkala tercetus pertembungan intelektual yang hebat antara Kaum Asha’irah dan Kaum Muktazilah. Dan bagaimana kemenangan Kaum Asha’irah itu telah menjadi malapetaka dan krisis pemikiran yang maha dahsyat bagi umat Islam selama berkurun lamanya. Dan konflik dan pembenturan pemikiran ini akan terus berlangsung selagi mana masih ada di kalangan umat ini yang meyakini bahawa wahyu (revelation), dan akal (reason) merupakan dua hal yang tidak dapat dipisahkan. Seperti kata Malik Bennabi:

Revelation’s relation to Reason is like that of the eye to light; neither may exist without the other.


Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa merupakan Pengarah di Islamic Renaissance Front (IRF), iaitu sebuah badan pemikir yang mengupayakan Islah dan Tajdid dalam pemikiran umat Islam serta pemerkasaan akal. Esei ini merupakan Kata Pengantar Editor bagi buku Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin yang akan diluncurkan pada 23 September di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.

 




View original article at: http://irfront.net/post/others/tertutupnya-pemikiran-kaum-muslimin/