Prakata Penterjemah “Rekonstruksi Pemikiran Keagamaan Dalam Islam” Muhammad Iqbal

October 25, 2017 by Maryam Zakiah

Muhammad Iqbal atau lebih dikenali sebagai Allamah Iqbal telah dilahirkan pada tanggal 9 November 1877 di Sialkot, Punjab dan meninggal dunia pada 21 April 1938 di Lahore. Iqbal dianggap secara meluas sebagai pemikir Islam paling asli dan berpengaruh pada zaman moden. Iqbal berdiri di titik pertemuan antara dunia-dunia yang berbeza.

Di satu sisi beliau berdiri di antara dunia kolonialisme British dan India pasca-kolonial. Di sisi lain beliau berdiri di antara tamadun Islam dan Eropah, dan satu sisi lagi di antara tradisi dan modeniti. Iqbal bercita-cita untuk membina jambatan ketika kebanyakan pemikir lain hanya melihat kemustahilan bagi kita untuk mengasimilasikan idea-idea Barat dengan Islam. Iqbal bukan sahaja menjadi ‘bapa spiritual bagi Pakistan’, beliau bahkan telah menjadi penunjuk arah bagi kaum reformis modenis Islam di seluruh dunia. Iqbal melihat bahawa penjajahan kolonial Inggeris bukan sahaja jajahan terhadap agama, malah ranah intelektual dan sosiopolitik telah turut dijajah oleh golongan British Raj.

Iqbal memahami tugasnya dan sumbangan yang dia harus lakukan bagi menjawab persoalan posisi seorang Muslim yang beragama dalam dunia politik moden. Dengan ini terlahir visi-visi yang terdapat dalam ‘Rekonstruksi Pemikiran Keagamaan Dalam Islam’. Pandangan-pandangan dalam Rekonstruksi menonjolkan usaha seorang Muslim yang beragama untuk membuktikan bahawa Islam bukan sahaja kekal konsisten dan relevan kepada dunia moden, malah Islam telah memberikan sumbangan yang begitu bernilai kepada kebudayaan dunia seluruhnya.

Terdapat beberapa idea penting yang harus diberi penekanan dalam Rekonstruksi seperti konsep khudi (kedirian), ijtihad, Sufisme, penekanan kepada pandangan Alam yang bersifat dinamik dan juga penekanan kepada pembacaan Al-Quran yang tidak lagi berada di bawah payungan Yunani. Dengan ini Iqbal berusaha untuk menjadi inspirasi kepada mereka yang tersepit di antara tradisi dan modeniti, budaya Islam dan proses pembaratan.

Rekonstruksi adalah sebuah karya yang sarat dengan idea. Setiap bab digarap dengan teliti bagi menyentuh permasalahan-permasalahan yang melanda kaum Muslim. Namun begitu haruslah difahami bahawa ianya mustahil bagi sebuah karya untuk menyentuh semua sisi pandang yang ada.

Syed Muhammad Dawilah Al-Edrus menukilkan dalam bukunya bertajuk Islamic Epistemology: An Introduction to the Theory of Knowledge in Al-Quran [1] bahawa Kaum Muslimin masih kekurangan pemikir seperti Iqbal yang mendepani persoalan epistemologi dengan garapan intelektual yang jelas dan kukuh. Malah terdapat empat aliran jelas yang datang selepas Iqbal iaitu:

1) Perkembangan pembinaan ‘ideologi’ Islam sebagaimana yang dibawa oleh Sayyid Abu al’Ala Al Maududi dan Sayyid Qutb yang berpisah jauh daripada pendekatan falsafah seperti digunapakai oleh Iqbal. Permasalahan ilmu telah ditukar kepada permasalahan ideologi.

2) Karya Sufi oleh penulis Islam dan bukan Islam telah menjadi sama ada karya mengenai sejarah Sufisme ataupun pernyataan terhadap pendekatan kaedah mistik tanpa membangkitkan sebarang persoalan epistemologi.

3) Karya-karya falsafah oleh Seyyed Hossein Nasr dan Frithjof Schuon yang memberi penekanan terhadap teosofi (al-Hikmat al-ilahiyyah) dan antroposofi (al-Hikmat al-insaniyyah) tanpa menyentuh dengan jelas aspek epistemologi sumbangan mereka yang luar biasa. Ini berbeza dengan Development of Metaphysics in Persia oleh Iqbal dan The Metaphysics of Rumi oleh Khalifah Abdul Hakim (yang jelas melibatkan persoalan epistemologi).

4) Penulis-penulis yang mutakhir terutamanya Ismail Raji al-Faruqi dan beberapa tulisan Seyyed Hossein Nasr yang menolak epistemologi Barat dan oleh itu berpisah daripada pendekatan penyatuan yang digunapakai oleh Iqbal.

Rekonstruksi telah ditulis pada tahun 1930 namun kebanyakan daripada isu yang disentuh oleh Iqbal masih kekal relevan bahkan lebih perlu dibincangkan oleh masyarakat Islam pada zaman ini. Segala usaha telah cuba saya lakukan untuk mencari jalan tengah di antara audien pembaca bahasa Melayu dan audien asal kepada siapa yang Iqbal cuba sampaikan iaitu kaum Muslim di India pada zamannya. Namun begitu membaca karya penterjemahan tidaklah seperti membaca karya asal. Terdapat banyak kekurangan dan kelemahan pada diri seorang penterjemah kerana seorang penterjemah itu bahkan sedang meletakkan kefahamannya yang tidak seratus peratus sempurna terhadap sesuatu teks kepada orang yang membaca terjemahannya.

Seperti kata-kata Bahrum Rangkuti, penterjemah Indonesia Asrar-i Khudi, karya-karya Iqbal adalah “panggilan umat manusia kepada nilai-nilai kemanusiaan dan keperibadian sebagaimana termaktub dalam Al-Quran dan menyerukan kepada umat Islam sendiri supaya mendengarkan suara Al-Quran itu kembali. Iqbal adalah perpaduan yang indah antara cita agama, politik, falsafah dan kebudayaan”. [2] Oleh itu, saya berharap dengan usaha saya untuk menterjemah salah satu daripada karya-karya Iqbal yang agung ini, para pembaca akan dapat berkongsi rasa kenikmatan cinta Iqbal kepada Allah, Nabi Muhammad dan Islam seluruhnya.

Segala terjemahan ayat suci Al-Quran daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu telah saya ambil daripada Mushaf Al-Quran terjemahan Pustaka Darul Iman yang telah diluluskan oleh Bahagian Penerbitan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri. The Reconstruction of Religious Thought in Islam ini telah diterjemahkan sebanyak tiga kali di Indonesia. Yang pertama oleh Osman Raliby dengan tajuk Pembangunan Kembali Alam Pikiran Islam (Bulan Bintang Press), yang kedua oleh Taufiq Ismail, Ali Audah dan Goenawan Mohamad dengan tajuk Membangun Kembali Pemikiran Agama Islam (Penerbit Tintamas) dan yang ketiga oleh Musa Kazhim dan Hawasi dengan tajuk Rekonstruksi Pemikiran Religius Dalam Islam (Mizan Press). Saya telah membandingkan makna terjemahan saya dengan karya terjemahan oleh Mizan Press dan Bulan Bintang Press (pada bahagian-bahagian yang sangat memeningkan). Meskipun begitu segala terjemahan dalam edisi ini adalah oleh saya sendiri secara langsung daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Saya merasakan perlu untuk masyarakat Malaysia kembali menelusuri idea-idea yang dibawa oleh Iqbal. Idea-idea Iqbal turut ditelaah dan dikembangkan oleh pemikir-pemikir mutakhir seperti AbdolKarim Soroush, Tariq Ramadan dan Rifaat Hasan. Oleh kerana cinta saya pada Iqbal dan cinta saya pada bahasa Melayu, saya telah berusaha dengan kudrat masa dan ruang yang diberi oleh Allah untuk menterjemah karya ini. Dari awal lagi saya menyedari betapa mustahil untuk saya melakukan keadilan terjemahan terhadap satu karya yang begitu jitu dan luas seperti Rekonstruksi. Oleh itu, segala ruang untuk penambahbaikan daripada pembaca amatlah saya alu-alukan.

Sebahagian rujukan-rujukan versi PDF untuk buku yang dipetik perenggan mereka seperti yang dianotasikan oleh saudara M. Saeed Sheikh boleh didapati di www.iqbalcyberlibrary.net.

Saya ingin menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Islamic Renaissance Front terutamanya Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa kerana bersetuju untuk menerbitkan edisi terjemahan bahasa Melayu Rekonstruksi ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada saudara Shuhaib Ar Rumy Ismail kerana sudi menyunting buku ini setelah saya selesai menterjemahkannya. Terima kasih juga kepada saudara Ehsan Shahwahid kerana sudi memberi komentar dan saranan untuk penambahbaikan terjemahan buku ini. Akhirnya saya ingin berterima kasih dan mendedikasikan terjemahan buku ini ke dalam bahasa Melayu untuk ibu saya Puan Fathiah Hj Abd Latif yang telah bersabar menasihati saya agar menyiapkan terjemahan ini dan juga memperkenalkan saya kepada sarjana Islam terunggul abad moden ini, Muhammad Iqbal!

 


Dr. Maryam Zakiah adalah graduan perubatan daripada USM KLE International Medical Programme, India. Beliau juga adalah Media Officer di Islamic Renaissance Front.

 


[1] Syed Muhammad Dawilah Al-Edrus, Islamic Epistemology: An Introduction to the Theory of Knowledge in Al-Quran, 1992, ms 9-10.

[2] Bahrum Rangkuti, Rahasia-Rahasia Pribadi, 1976, ms 12.

 




View original article at: http://irfront.net/post/articles/articles-malay/prakata-penterjemah-rekonstruksi-pemikiran-keagamaan-dalam-islam-muhammad-iqbal/