Prakata Sumbangan Imam Muhammad Abduh kepada Sains dan Teknologi

November 27, 2017 by Ahmad Nabil Amir

Tulisan ini mengemukakan analisis yang ekstensif dan terperinci mengenai sumbangan Imam Muhammad Abduh kepada sains dan teknologi. Ia menfokuskan pada ideanya seputar kemodenan, falsafahnya yang dinamik dan sumbangannya yang besar kepada reformasi agama, dan tafsir saintifik nya yang autoritatif dan tak terbantahkan ke atas al-Qur’ān i.e. Tafsīr Juz ‘Amma dan Tafsīr al-Manār. Kitab Tafsīr tersebut mencerminkan manhaj saintifik dari tafsir al-Qur’ān, dalam memproyeksi dan merangka penjelasan yang rasional dan inovatif terhadap teks, yang memperlihatkan daya aspirasi dan keghairahan Abduh kepada pembaruan, dan pendekatan saintifik yang bertenaga terhadap al-Qur’ān.

Penyediaan karya ini dibawahi dan diamati dengan dekat oleh Pengerusi dan Pengarah Islamic Renaissance Front, Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa, yang telah secara konsisten bekerja dengan penulis dari permulaan projek, dan secara substantif menyumbangkan idea dan menyuguhkan pandangannya yang kritis untuk menilai semula idea dan menstrukturkan semula isi dan draf. Kebanyakan daripada idea yang dibentangkan dalam karya ini telah secara teliti direvisi semula dan diperbaiki oleh Dato’ Dr yang cendekia, yang telah melengkapi dan melontarkan fikiran yang sofistikated dan menggariskan metode yang tepat untuk dipakai dalam karya ini, terutamanya keperluan untuk memperkukuh hujah dengan dalil dan bukti. Minat yang khusus dan dukungan yang tak putus ini cukup instrumental dalam menghasilkan dan merealisasikan karya ini dalam bentuknya yang akhir.

Karya ini membentuk bahagian yang penting dari projek penyelidikan saya di Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front, untuk menghasilkan penelitian yang asli tentang sumbangan Muhammad Abduh kepada sains dan teknologi. Ia merupakan inisiatif yang penting dan projek yang dinamik dari Islamic Renaissance Front untuk menggerakkan usaha kajian di kalangan penyelidik IRF dan merealisasikan aspirasi dan impiannya untuk menjadi badan pemikir dan pelopor dalam pemikiran dan pembaharuan. Mengejar visi yang dinamik ini, IRF berhasrat untuk menjadi “sebuah badan pemikir dan institusi peneraju berasaskan-penyelidikan yang: mempromosi idea reformasi (islah) dan perubahan (tajdid) ke arah menggerakkan pembacaan, pemahaman dan penerapan teks Islam dalam konteks moden dan pluralistik; menyegarkan semula dinamisme intelektual umat Islam di Malaysia; menyumbang ke arah pembentukan masyarakat sivil yang adil di Malaysia;” dan berusaha untuk mengembalikan semula peranan yang progresif dan dinamik umat Islam dalam semua lapangan pengetahuan.

Selaras dengan misi yang dicanang IRF, dan dalam rangka untuk mengilhamkan “dinamisme intelektual” dan menanam pandangan dunia “tauhid dan falsafah Islam tentang kesatuan ilmu serta konsepsinya tentang pendidikan yang holistik”, ia berusaha untuk “membekalkan kepada komuniti Malaysia dan lingkungan awam yang lebih luas – melalui penerbitan, forum dan aktiviti lain – maklumat yang terbaik seputar isu yang relevan dengan visi IRF; menyediakan analisis yang terbaik tentang polisi yang harus diketengahkan bagi mempromosi dan mempertahankan keamanan dan keharmonian; meningkatkan kefahaman kita tentang sifat kasih sayang dan visi demokratik Islam; dan memperkasa pemahaman antara budaya dan memugar dialog antara peradaban di Malaysia dan di seluruh dunia.”

Selaras dengan peranannya sebagai sebuah gerakan intelek dan badan pemikir yang menfokus kepada pemberdayaan anak muda dan pemugaran wacana intelek, IRF telah menzahirkan upaya yang keras untuk terlibat dalam perdebatan sosial dan mempromosi kebebasan bersuara dan agama, demokrasi dan kebebasan.  Ia mencanangkan suara akliah dan rasionalisme, dan percaya dengan upaya membebaskan pemikiran umat Islam daripada belenggu ortodoks dan konservatif. IRF bertekad mempelopori kebangkitan dan pembaharuan dalam pemikiran Islam dan metodologinya bagi memungkinkan umat berdepan dan menangani dengan berkesan cabaran mutakhir dan menyumbang kepada kemajuan dalam peradaban manusia.

Idea yang signifikan daripada pemikiran saintifik Muhammad Abduh direpresentasikan daripada tafsirnya yang ringkas dan autoritatif (Tafsīr Juz ‘Amma dan Tafsīr al-Manār) yang menawarkan interpretasi dan interpretasi ulang yang segar terhadap idea Islam dan secara konsisten telah menjadi landas dan pelantar dari ideanya yang utama tentang sains dan teknologi. Karya ini berusaha untuk menyoroti idea yang signifikan ini dan pencapaiannya dalam menghidupkan semula sains dan teknologi Islam, dan peranannya untuk memulihkan semangat saintifik dan menyegarkan semula praktik teknologi, yang menyumbang kepada pemekaran idea dan pertumbuhan yang belum pernah terjadi dan masa depan yang menjanjikan bagi sains dan tekonologi di masa akan datang.  

 


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front. Beliau adalah graduan Usuluddin daripada Universiti Malaya. Buku Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh ini akan diluncurkan pada 2 Disember di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.

 

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/prakata-sumbangan-imam-muhammad-abduh-kepada-sains-dan-teknologi-2/