Uraian Sumbangan Imam Muhammad Abduh kepada Sains dan Teknologi

November 28, 2017 by Saari Sungib

Ketika mana pada zamannya para ilmuan Islam masih bersikap paling kuat menolak sepenuhnya dan paling ringan berawas dan berjaga-jaga untuk mewujudkan sebarang  hubungan di antara al-Qur’an dan sains,  Syeikh Muhammad Abduh dengan nada penuh yakin telah mengatakan:“Sains adalah jalan kehidupan yang berakar dalam kebebasan dan kemajuan. Dalam bentuknya yang sejati, sains, apabila dengan tepat disatukan dengan agama, membawa masyarakat kepada kesempurnaan.”

Pemikiran bahawa penyatuan sains dan al-Qur’an di atas asas yang tepat inilah yang dikatakan beberapa dekad kemudiannya oleh Zaghlul Al-Najjar sebagai: “Sains adalah pengetahuan yang diperoleh melalui wahyu Ilahi, dengan pemikiran manusia, daya intelek yang kreatif dan melalui legasi dan tradisi kemanusiaan.”  Dengan itu ia bermaksud bahawa sains dari segi kerangka dasar dan prinsipnya adalah bersumber daripada wahyu manakala penghuraian yang meluas (kosmologi) mahupun terperinci (kuantum fizik) adalah natijah daripada daya intelek dan kreativiti akal fikiran manusia.

Inilah bezanya antara definisi sains yang berasaskan tauhid kepada Allah dengan kefahaman anti-ketuhanan. Sayyed Hossein Nasr menjelaskan: “Sains Islam adalah sentiasa berkait kepada kewujudan Tuhan dan kuasaNya yang berwibawa. Manakala bagi sains moden, Tuhan adalah tidak relevan dengan sains?” Oleh itu sains Islam dicirikan dengan kesatuan, harmoni dan realiti yang keseluruhannya membawa manusia agar menghayati pengabdian kepada Allah Rabbul ‘Ālamin.

Pandangan Syeikh Muhammad Abduh itu memberi pentakrifan yang mantap terhadap perhatian kita kepada wahyu al-Qur’an, dalam konteks ini, sains dari perspektif al-Qur’an adalah penerimaan kita terhadap kebenaran kenyataan al-Qur’an di peringkat paling tinggi dan teori atau falsafah akan membantu untuk memberi pemahaman, penerangan dan kemampuan meramalkan untuk (prediction) sehingga kebenaran al-Qur’an selalu diuji (verify) tingkat relevannya dengan perkembangan, perubahan dan tuntutan cara pandang masyarakat tertentu.

Hal ini kerana, verifikasi kebenaran falsafah atau teori al-Qur’an akan melahirkan penemuan teori-teori baru (body of knowledge) yang bersifat responsif mampu menjelaskan fenomena-fenomena yang sedang berkembang dalam masyarakat. Lebih penting, ia tidak hanya memberi respons dan menjelaskan tetapi juga memberikan halatuju ke arah reformasi dan transformasi yang sedang bergerak dan digerakkan oleh oleh pelbagai golongan yang cuba untuk membuat perubahan besar.

Dengan demikian, sesuai dengan tujuan ditanzilkan al-Qur’an ia tidak terhenti pada kerangka hudan li-annas (petunjuk bagi manusia) sebagai pedoman moral bagi tujuan tauhidullah, tetapi juga memberikan kerangka bayyinat minal-huda wal-furqaan - fungsi hermeneutik dan transformatif. Penerimaan wahyu al-Qur’an sebagai kebenaran iman-moral dan falsafah-teori akan dimungkinkan jika pendekatan terhadap interpretasi ayat al-Qur’an dilakukan secara sintesis antara pendekatan doktrin-falsafah dan pendekatan scientific method yang dimaksudkan sebagai scientific cum doctrinaire. Pendekatan scientific method terhadap interpretasi ayat al-Qur’an inilah yang dimaksudkan saintifikasi al-Qur’an.

Tanpa kebebasan, sains tidak mungkin boleh wujud, sebagaimana tanpa keadilan, kebebasan dan kemajuan tidak mungkin boleh wujud. Kebebasan mengimplikasikan keadilan sebagaimana sains mengimplikasikan kebebasan. Nilai ini telah diterima oleh masyarakat yang percaya bahawa keadilan, kebebasan dan kemajuan sebagai prinsip-prinsip yang mesti diperjuangkan dan dipertahankan. Bagi Muhammad Abduh, sains mempunyai perkaitan yang erat dengan akal (‘aql) dan agama dengan kesedaran moral (wijdan). Keduanya memberi kesempurnaan kepada manusia di mana ia saling melengkapi. Ia tidak akan bertelingkah atau menyanggahi antara satu sama lain dan keduanya adalah satu dalam jiwa manusia.


YB Saari Sungib
Ahli Dewan Negeri Selangor
Mantan Presiden, Jamaah Islah Malaysia (JIM)




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/uraian-sumbangan-imam-muhammad-abduh-kepada-sains-dan-teknologi/