Uraian Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh

November 28, 2017 by Dr. Fadzilah Din

Buku Al-Manhaj al-Islahi li ‘l-Imam Muhammad Abduh telah ditulis oleh seorang pemikir Islam terkenal Muhammad Imarah pada tahun 2005. Ia kini diterjemahkan oleh Muhammad Thufail Sayuti dan diedit oleh Ahmad Nabil Amir dengan judul Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh dengan baik sekali. Buku ini wajib dimiliki oleh semua mereka yang berminat untuk memahami apa itu wacana pemikiran aliran Islam modernis yang dipelopori oleh Sheikh Imam Muhammad Abduh yang amat masyhur dan tersohor itu.

Kandungan buku ini amat padat, lengkap, dan ilmiah dengan idea-idea Sheikh Muhammad Abduh tentang pembaharuan dan reformasi pemikiran agama yang cuba dikembangkan oleh beliau, tetapi dalam bahasa yang mudah difahami umum. Rata-rata ia menekankan penolakan terhadap taqlid, perbincangan tentang hubungan sebenar antara agama, aqal dan ilmu. Walaupun pemikiran Sheikh Muhammad Abduh telah dipelopori sejak seratus tahun yang lalu, pengolahan yang sistematik oleh Muhammad Imarah membuatkan isu-isu ini sangat relevan buat masa sekarang. Selain dimuatkan bibliografi Sheikh Muhammad Abduh, penulis menyentuh kepentingan prinsip wasatiyyah yang dianuti oleh Sheikh dan penjelasannya yang sebenar bukan seperti yang “diagak-agak” maknanya dengan tidak tepat di masa kini.

Jika masih ada yang tertanya-tanya tentang mengapa taqlid atau ketaatan pada tradisi tanpa kritis, dan impaknya pada agama Islam dan masyarakat, inilah buku yang akan dapat menjawab persoalan itu. Buku ini menonjolkan kepentingan menekankan interpretasi rasional dalam agama dan memberikan pencerahan kepada jalan baru untuk menilai semula agama dan tradisi. Permasalahan kita hari ini dengan isu keekstriman agama dan pengaruh anti-intelektualisme menunjukkan masyarakat kita sedang bergerak jauh kebelakang meninggalkan wasatiyyah yang dianjurkan Islam sebenar yang dinyatakan oleh Sheikh Muhammad Abduh.

Antara perkara menarik yang boleh didapati dalam buku ini selain daripada yang disebut di atas ialah menjelaskan kekeliruan umat tentang kata “penggunaan akal” di mana ramai yang beranggapan menggunakan akal dalam urusan agama ialah mencampuradukkan akal dengan hawa nafsu. Hal ini adalah satu tanggapan yang salah yang rata-rata masih tidak dibetulkan. Tidak lupa juga peri-pentingnya mempelajari dan memahami ilmu Falsafah selain daripada menolak fahaman sempit dan literal serta “keekstriman materialisme buatan”. Dimuatkan juga penjelasan yang mantap terhadap ilmu yang berkaitan dengan aturan dan undang-undang kemasyarakatan yang memerlukan integrasi dengan ilmu agama. Selain itu disertakan juga topik hangat masa kini tentang agama dan negara dan persoalan apakah Islam bertentangan dengan negara sekular. Tidak lupa, isu keluarga dan wanita serta betapa pentingnya ilmu dalam hubungan kekeluargaan dan rumahtangga, dan ilmu yang dapat memertabatkan status kaum wanita. Paling penting, topik popular dan amat menarik dikalangan orang-orang Melayu, poligami, juga dibincangkan.

Buku ini tidak syak lagi adalah satu sumbangan yang besar kearah memahami wacana pemikiran Islam modernis reformis. Kita dapati Islam mazhab Muhammad Abduh ini lebih bersifat natural atau dekat dengan fitrah manusia yang murni yang mencintai ilmu pengetahuan dan keadilan menjadikan ia juga termasuk wacana Islam humanis. Langsung menjadi agama yang memberikan kebebasan berfikir dan membebaskan manusia daripada belenggu dogma bukan agama untuk orang-orang yang bebal. Ia juga amat berguna pada pensyarah dan mahasiswa serta sesuai di jadikan rujukan untuk subjek Aqidah, Ethics dan Da`wah Islam.


Dr. Fadzilah Din
Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama
Kullliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia




View original article at: http://irfront.net/post/articles/articles-malay/uraian-manhaj-islah-imam-muhammad-abduh/