Kata Pengantar “Reformasi Radikal: Etika Islami dan Pembebasan” oleh Tariq Ramadan

December 27, 2017 by Ahmad Farouk Musa

Aku bukan berbicara tentang melakukan reformasi ke atas agama Islam, akan tetapi mereformasikan pemikiran Kaum Muslimin dalam melazimi teks-teks Islami.”
[Tariq Ramadan]

 

Di manakah Martin Luther dan sekelian para reformis dalam dunia Islam? Apakah Islam itu bisa bersesuaian dengan modenisme, demokrasi, pluralism, kesetaraan gender, dan hak-hak asasi manusiawi? Apakah pula peranan yang patut dimainkan oleh undang-undang Islam dalam masyarakat Islam masakini? Walaupun mungkin persoalan-persoalan sebegini sering terdengar pada ketika ini, namun ramai yang mungkin tidak berapa sedar bahawa ia telah bermula satu kurun yang lampau di penghujung kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, di zaman Imam Muhammad Abduh dan Imam Hassan al-Banna di Timur Tengah hinggalah Sayyid Ahmad Khan dan Muhammad Iqbal di India; dan jauh di Nusantara semasa zaman Ahmad Dahlan dan Buya Hamka di Indonesia dan Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed Shaikh al-Hadi di Malaya.

Kemungkinan juga apa yang jelas di dalam minda setiap Muslim yang berfikiran rasional adalah cabaran yang dihadapi umat Islam dewasa ini, bukan semata-mata dalam merumuskan kembali prinsip-prinsip demokrasi dalam ungkapan Islami, tetapi juga memperbaharui dan menyesuaikan etika serta pengamatan perundangan Islam dengan amalan demokrasi. Lebih kurang seabad lalu, terbit harapan yang Islam akan menemui jalan untuk merancang sebuah sistem yang menyerasikan antara keimanan dan kemodenan. Ahli teologi hebat seperti Imam Muhammad Abduh berhujah bahawa walaupun sesetengah aspek di dalam agama akan kekal tidak berubah terutamanya yang berkaitan dengan ibādah and aqīdah; hal-hal tadbir urus sepatutnya dikemukakan melalui akal budi manusia memandangkan hal itu terjatuh di dalam ruang al-mutaghaiyyirat iaitu yang berubah-ubah.

Agenda reformis dan rasionalisme Abduh yang menekankan kepada penaakulan (‘aql) dan keadilan Tuhan (‘adl), awalnya kelihatan seperti mampu mendasari sebuah teologi Islam yang dinamis dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran moden. Malangnya, cubaan yang baik ini terhalang dengan kebangkitan Salafi literalis dan kesan-kesan rumit yang dibawa bersama kebangkitan itu.

Salah seorang sarjana Islam dan intelektual terkenal yang berada di barisan hadapan menentang para literalis ini tidak lain adalah Tariq Ramadan, cucu kepada pengasas al-Ikhwan al-Muslimin, Asy-syahid Imam Hasan al-Banna. Di dalam buku beliau bertajuk Radical Reform yang diterjemakan ini, Tariq Ramadan menegaskan bahawa pendekatan literalis kontemporari mengakibatkan tiga kekeliruan, yang menghadkan tafsiran dan menjadikannya mustahil untuk memberi jawapan yang memadai kepada cabaran-cabaran semasa.

Yang pertama ialah kegagalan untuk membezakan di dalam kandungan wahyu, antara yang tetap (adz-dzawābit) dan yang berubah-ubah (al-mutaghaiyyïrāt) mengikut perubahan masa dan persekitaran. Sekalipun terdapat perintah dan larangan yang bersifat mutlak dan tetap, perlaksanaannya boleh mengambil bentuk yang berbeza atau berubah mengikut persekitaran. Pada peringkat sosial dan budaya misalnya, prinsip kesusilaan dan peraturan-peraturannya telah ditetapkan di dalam etika Islam, tetapi perlaksanaannya di dalam mana-mana masyarakat sentiasa perlu mengambil kira budaya dan kebiasaan setempat. Dengan kegagalan untuk membezakan dengan baik diantara yang tetap dan yang berubah-ubah, golongan literalis kontemporari terjerumus ke dalam beberapa kekeliruan lain lalu mendatangkan akibat yang lebih serius.

Kesan daripada kekeliruan yang pertama itu telah membawa kepada kekeliruan yang kedua yang melibatkan kegagalan untuk membezakan antara prinsip and model. Walaupun prinsip boleh bersifat mutlak dan kekal, perlaksanaannya di dalam ruang masa dan di dalam sejarah adalah relatif, berubah dan berterusan bermutasi. Dengan itu, prinsip keadilan, kesetaraaan, hak dan kebebasan yang memandu Rasulullah kekal menjadi rujukan melangkaui sejarah. Akan tetapi model bandar Madinah adalah realisasi sejarah terkait dengan realiti dan keperluan di zaman Baginda. Oleh itu, sekalipun kita cuba untuk berpegang kepada prinsip-prinsip, kita tidak boleh menduplikasi sebuah model sejarah yang tidak lagi serupa dengan keperluan pada zaman kita ini.

Tarikan kepada kesilapan yang disebutkan itu boleh ditemui di dalam sesetengah aliran Salafi semasa yang menyokong komitmen politik yang hampir esklusif, dengan cubaan untuk kembali kepada struktur politik tertentu di dalam sejarah sehingga menjejaskan prinsip-prinsip yang mentadbir masyarakat di zaman itu. Tariq Ramadan menegaskan bahawa intipati dalam mentaati Rasulullah bukan dengan meniru bulat-bulat tindakan-tindakan mereka di zaman Rasul, atau cuba menghasilkan kembali pencapaian-pencapaian yang telah menjadi sejarah, tetapi ketaatan itu terletak pada usaha menawan kembali kekuatan spiritual dan kuasa intelektual mereka untuk mencapai model sosial yang meyakinkan bagi zaman kita, sepertimana yang mereka lakukan bagi zaman mereka. Bukanlah rupa bentuk yang perlu diulangi tetapi substansi, semangat dan objektif itulah yang lebih utama untuk digapai.

Yang ketiga, menurut Tariq Ramadan adalah kegagalan untuk membezakan antara metodologi perundangan berkaitan dengan aqīdah dan ibādah; dengan hal-hal yang berkaitan mu’amalah atau urusan sosial. Walaupun ruang lingkup aqīdah dan ibādah, kita didatangi dengan ajaran yang telah ditentukan oleh wahyu; ruang lingkup mu’amalah pula sebaliknya, yang mana semua perkara adalah dibenarkan melainkan yang jelas ditegah oleh wahyu. Prinsip asas di dalam urusan sosial ialah tiap sesuatu itu dibenarkan - al-asl fil-ashyā al-ibāhah -  dengan itu memberi manusia ruang dalam lapangan rasionaliti, kreativiti dan penyelidikan. Selama mana manusia itu kekal berpegang kepada prinsip-prinsip, apa-apa hasil sosial, ekonomi dan politik itu bukan bid’ah (perbuatan inovasi yang keji dari sudut agama) tetapi seharusnya dilihat sebagai pencapaian untuk kebajikan manusia.

Sesungguhnya ketiga-tiga kekeliruan itu mempunyai kesan besar terhadap pemikiran Islam kontemporari dan cenderung untuk membendung sebarang reformasi dalam pembacaan, pemahaman dan perlaksanaan teks di dalam konteks sejarah. Umumnya, ia akan mengakibatkan terlampau meringkaskan mesej Islam yang bersifat universal yang akhirnya akan menyanggahi objektifnya yang abadi tanpa batas masa.

Sejarah telah menunjukkan, semenjak para cendekiawan Islam membuat keputusan untuk ‘menutup pintu bagi Ijtihād’ sekitar kurun ke-13, dunia umat Islam telah menjadi sebuah tamadun yang statik, terbatas dengan penjelasan orang-orang yang terdahulu, melangkah kehadapan hanya dengan tapak-tapak kecil di dalam perjuangan yang besar. Islah (reformasi) dan tajdid (pembaharuan) telah ditentang daripada tanah umat Islam dan para reformis serta para pemikir Muslim samada dikutuk ataupun didakwa, hingga menghalang  proses pembaharuan yang mampu membawa agama dan umat Islam menelusuri arus kemodenan.

Disebabkan itulah Tariq Ramadan menekankan keperluan Ijtihād dalam mengejar agenda pembaharuan. Menurut beliau, Ijtihād sentiasa diperlukan dalam menggalakkan pembacaan kritis teks apabila ia terbuka untuk tafsiran, atau ketika teks hanya bersikap diam dalam sesetengah situasi, atau ketika konteks perlu diberi perhatian dalam perlaksanaan teks, walaupun teks-teks itu kelihatan qat’ie atau eksplisit. Keabsahan dan keperluan kepada pembacaan kritis sedemikian adalah diperlukan dan jarang sekali dipersoal, melainkan oleh mereka yang mengikut aliran literalis yang sempit. Hubungan dialektik antara teks and konteks adalah satu panggilan kepada kecerdikan manusia bagi mencari jalan untuk terus berpegang kepada ajaran agama melalui penggabungan dua pengetahuan iaitu prinsip yang kekal abadi dalam urusan amalan dan etika, serta memahami keadaan realiti masyarakat yang sentiasa berubah-ubah.

Sesungguhnya kesemua aliran reformis bersetuju bahawa sarjana perundangan Muslim mestilah memikirkan dan mempertimbangkan fiqh berdasarkan cabaran-cabaran baru zaman mereka. Ijtihād dianggap, sepertimana Muhammad Iqbal sebutkan, alat yang lazim, ditawarkan oleh tradisi perundangan Islam untuk mencapai pengubahsuaian dan pembaharuan. Disebabkan oleh proses globalisasi, para fuqahā’ kini dilanda persoalan berkaitan kelangsungan ketetapan-ketetapan agama Islam dalam era baru ini. Dunia ini terus bergerak manakala ahli-ahli fikah sentiasa kentinggalan di belakang kemajuan yang terus memecut.

Kerana itulah, Tariq Ramadan mengusulkan, sebuah pendekatan transformasi berbanding pendekatan adaptasi.  Pembaharuan transformasi, menurut beliau lebih tepat kerana menambah langkah lanjutan dan kondisi kepada keseluruhan proses. Pembaharuan tersebut mensasarkan untuk mengubah susunan sesuatu itu di atas nama etika yang cuba dipegang. Dalam erti kata lain, membuka langkah daripada teks (nusus) menuju konteks (waqi’), yakni untuk bertindak ke atas konteks and memperbaikinya, tanpa menerima kekurangannya sebagai takdir semata.

Langkah selanjutnya memerlukan kondisi yang paling asas yang perlu dipatuhi. Iaitu memperoleh pengetahuan mendalam tentang konteks, dan menguasai penuh kesemua lapangan ilmu termasuklah ilmu-ilmu sains moden. Pembaharuan yang radikal mensasarkan untuk mengubah dunia, juga memberikan pembacaan baru kepada teks-teks, tidak boleh sekadar bergantung kepada ulamā’ an-nusus atau pakar teks sahaja, tetapi memerlukan persepaduan penuh dan sama rata semua cabang ilmu daripada ulama’ al-waqi’ iaitu pakar yang memahami ilmu-ilmu moden.

Maka dalam hal ini, adalah sangat mustahak untuk meluaskan lingkaran kepakaran dan melibatkan ulamā’ al-waqi’ dan bukan lagi sekadar ulamā’ an-nusus. Pembaharuan radikal adalah satu panggilan untuk mempertimbangkan sumber-sumber agama kepada keperluan menyelaraskannya dengan dunia dan evolusinya serta pengetahuan manusia. Oleh yang demikian, penyelarasan hati nurani dan sains adalah penting sekali. Pastinya akan terdapat kawasan-kawasan yang perlu diperbahaskan, dan akan ada percanggahan pendapat. Tetapi hati nurani umat Islam kontemporari mestilah mengubah kekacauan pertembungan dan percanggahan idea menjadi sebuah tenaga perbahasan, pembaharuan dan kreativiti yang melahirkan keyakinan dan juga perhubungan yang tenteram di tengah-tengah zaman moden dan cabarannya.

Tidak dapat dinafikan bahawa Tariq Ramadan telah muncul sebagai salah satu suara terpenting bagi Islam aliran reformis. Kepercayaan beliau pada pendekatan intergrasi, yang menyatukan kekuatan teologi, pendekatan berdasarkan nilai dengan pemahaman realistik masalah kontemporari adalah resipi penting untuk reformasi sebenar. Dan penegasan beliau bahawa dunia terus berubah, terdapatnya keperluan untuk meninjau dan menilai kembali pada al- Qur’ān dan teks-teks Islam yang lain adalah konsisten dengan semangat pemulihan dan pembaharuan.

Seruannya untuk membaca kembali teks-teks Islam kerana banyaknya salah tanggapan dalam komuniti Islam, agak menyerupai tuntutan Martin Luther untuk kembali kepada “teks asal”, yang bebas daripada segala salah tanggapan. Walau bagaimanapun, sementara pembacaan semula Martin Luther membebaskan teks Kristian daripada monopoli Gereja dan membuka jalan bagi penterjemahannya ke dalam semua bahasa Eropah, usaha Tariq Ramadan masih belum lagi diterima penuh oleh umat Islam, yang majoritinya masih terperangkap dalam perbincangan dan polemik antara kaum traditionalis, kaum salafi dan kaum modernis.


Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa merupakan Pengarah di Islamic Renaissance Front (IRF), sebuah badan pemikir yang mengupayakan Islah dan Tajdid dalam pemikiran umat Islam serta pemerkasaan akal. Beliau juga adalah Felo Penyelidik di Sekolah Tinggi Falsafah Islam (STFI) Sadra, Jakarta, Indonesia. Buku Reformasi Radikal: Etika Islami dan Pembebasan ini akan diluncurkan pada 6 Januari 2018 di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.

 

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/kata-pengantar-reformasi-radikal-etika-islami-dan-pembebasan-terjemahan-radical-reform-islamic-ethics-and-liberation-oleh-tariq-ramadan/