Prakata Penterjemah “Reformasi Radikal: Etika Islami dan Pembebasan” oleh Tariq Ramadan

December 27, 2017 by Ahmad Muziru Idham

Tariq Ramadan merupakan sebuah sosok yang tidak asing lagi daripada dunia pemikiran Islam kontemporari. Dengan pembawaan dan gaya pemikirannya, ramai yang tidak menyedari bahawa beliau juga merupakan cucu kepada tokoh utama dalam dunia harakah Islam, iaitu Hassan al-Banna yang mengasaskan gerakan al-Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Tariq Ramadan merupakan seorang tokoh kontemporari yang lantang mendengungkan isu-isu kemanusiaan dan konsisten menjulang hujah bahawa dalil-dalil agama itu tidak harus sekadar berdiri mandiri melainkan harusnya dipasakkan penyepaduan antaranya dengan konteks yang akan terus membugar dan menyegarkannya dalam semangat zaman.

Wacana Islam kontemporari tidak harus sekadar terbiar kaku dengan teks dan tidak dibiar cair dalam konteks melainkan upaya pertemuan antara kedua-duanya harus sentiasa sejajar dalam nafas yang segar. Upaya sebegitu merupakan suatu perencanaan besar yang menjadi nyalaan semangat kepada masyarakat Muslim agar tidak hidup hanyut tanpa arah tuju, tetapi tidak pula mengeras beku di balik faham agama yang kaku. Kemungkinan inilah buku yang mengisi gagasan besar bagi ranah-ranah pemikiran beliau. Sebab pada akhirnya, idea-idea beliau dalam tulisan-tulisannya yang lain tetap akan berpangkal kembali kepada apa yang telah beliau bicarakan dalam buku ini. Buku ini merupakan sebuah buku penting bagi membincangkan buah fikiran yang membina kesepaduan antara disiplin tradisi dan disiplin kontemporari dalam sebuah jalur disiplin ilmu yang lebih inklusif.

Tariq Ramadan membuktikan bahawa penyepaduan antara agama dan kehidupan itu tidak terletak pada nama dan jenamanya, dan tidak pula bererti pemisahan langsung daripada kedua-duanya. Tetapi apa yang menjadi gagasan Tariq Ramadan adalah pada bagaimana etika agama itu menjadi panduan agar setiap apa jua yang dibawakan dalam kehidupan seharian itu dapat berdiri di atas amalan nilai-nilai yang baik. Tariq Ramadan merumuskan idea etika Islam sebagai pasak yang memaknai kehidupan bagi melorong jalan pada kebenaran dan kebaikan. Sintesis Tariq Ramadan terhadap tradisi Islami agar disiplin-disiplin klasikal itu tidak sekadar terhenti kepada norma-norma tradisi, tetapi tidak pula ia ditinggalkan langsung kerana mengambil kira manfaatnya yang cukup besar sebagai khazanah ilmuwan Islam yang dapat menjadi pedoman. Di sinilah keunikan Tariq Ramadan yang tidak sekadar mengambil langsung secara membuta tuli terhadap disiplin ilmu klasikal Islam, melainkan beliau rungkai dan kembangkannya menjadi lebih rencam serta lebih bernuansa kontemporari.

Beliau tidak melihat akan perlunya pintu ijtihad itu tertutup atau ditutup. Tetapi beliau melihat bahawa ijtihad itu adalah kunci kepada peradaban ilmu yang membuka pintu-pintu keilmuan melalui penalaran akal manusia yang lebih maju dan ke hadapan bagi menghadapi zaman yang semakin bervariasi. Maka, di sinilah jasa Tariq Ramadan yang telah membaca dan merenungi semula disiplin-disiplin tradisi Islami silam lalu membawa kesegaran kepadanya dengan saranan-saranan yang lebih kontemporari dan menyusun semula tradisi silam sebagai sebuah tradisi yang baharu. Ilmu-ilmu alat penting tradisi Islam yang dibiarkan sekadar dicedok dan dihafal daripada kitab lalu dilontar semula tidak akan membawa erti apa-apa; tidak ada bezanya seperti sebuah kitab al-Qur’an yang dihafal sekadar untuk dibawa kepada medan-medan perdebatan, sedangkan fundamental makna daripadanya langsung sekadar terhenti pada hafalan tanpa digali untuk dimaknai kehidupan yang lebih bererti.

Dan kelebihan alat analisisnya itu adalah ia tetap berpangkal daripada disiplin tradisi ulama-ulama silam dengan membicarakan disiplin pemikiran tokoh-tokoh sarjana Islam silam yang mengasaskan disiplin usuliyyun, iaitu Imam asy-Syafie, Imam Abu Hanifah, dan Imam Asy-Syatibi. Di sinilah buktinya bahawa Tariq Ramadan bukanlah seseorang yang meninggalkan tradisi ilmu daripada wacana kontemporari. Tariq Ramadan membincangkan secara terperinci tentang tiga kaedah ilmu yang digagaskan oleh tokoh besar Islam, iaitu kaedah istintaji (deduktif) yang dibawa oleh Imam asy-Syafi’e lalu menyusun ilmu usul fiqh; kaedah istiqra’i (induktif) yang dibawa oleh Imam Abu Hanifah dengan pendekatan yang banyak menalarkan ilmu daripada akal melalui qiyās (penaakulan analogikal) dan istihsan (keutamaan hukum) bagi perhubungan antara teks-konteks dengan merencanakan dan memberdayakan fungsi akal sebagai alat yang paling dekat untuk memahami wahyu; dan kaedah maqāsid yang digagaskan oleh Imam asy-Syatibi sebagai sebuah ilmu alat untuk memahami makna dan tujuan di sebalik wahyu yang menjadi pegangan umat Islam sehingga ke akhir zaman. Tariq Ramadan merasakan bahawa ketiga-tiga ilmu alat itulah yang menjadi tunjang kepada perkembangan tradisi ilmu Islam justeru ia perlu dikoreksi semula bagi menggali fundamental intinya yang dapat dibawa kepada renungan sintesinya.

Beliau merumuskan akan konsep reformasi Islam yang beliau maksudkan pada sepanjang perbincangannya dalam buku ini dengan menggabungkan antara konsep tajdidiyyah dan islahiyyah dalam membangunkan sebuah gagasan reformasi. Tariq Ramadan menghuraikan betapa perlunya Muslim harus pandai membezakan antara perkara-perkara yang telah menjadi mutlak dalam agama dan perkara-perkara yang terbuka kepada perbincangan dan penalaran kritis. Kekeliruan dalam memahami hal yang inilah akan mendorong sesetengah pihak bersikap keras dalam beragama dan tidak toleransi dalam menguruskan hal-hal yang diperselisihkan. Dalam hal ini, Tariq Ramadan merasakan perlunya reformasi itu mencapai kepada reformasi transformasi yang bersifat menyeluruh dengan menjadikan etika Islam sebagai landasan, dan bukannya reformasi beradaptasi yang sekadar membentuk penyesuaian bentuk dengan arus perdana tanpa mengambil kira hal-hal dasar intinya yang lebih utama untuk dipersoalkan dan diambil kira.

Kita harus memuji usaha berani Tariq Ramadan ini yang pastinya akan segera mendapat kecaman daripada golongan konservatif yang beranggapan bahawa kitab-kitab ulama’ silam itu sudah cukup sakral dan kita sebagai golongan terkemudian sentiasa ketidakcukupan ilmu untuk membuat bacaan dan penaakulan semula terhadap karangan-karangan muktabar mereka. Kesakralan sebegitulah yang menjadikan kesempitan wacana ilmu kerana merasakan bahawa kita sudah cukup selesa dengan pendekatan-pendekatan yang dibina para ulama’ silam yang sudah pastinya terbatas pada zaman dan tempat mereka. Sudah tentu penta’kulan mereka terlitup pada lingkup zaman dan penalaran mereka kepada ilmu-ilmu wahyu adalah berdasarkan kepada batasan penafsiran seorang manusia. Bagaimana mungkin keterbatasan ilmu pentafsiran dan fiqh itu boleh disakralkan seperti sebuah wahyu Tuhan?

Di sini saya ingin mengucapkan berbanyak berterima kasih kepada Islamic Renaissance Front (IRF) terutamanya kepada Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa yang memberi ruang dan peluang untuk saya menterjemah buku ini yang saya fikir penting untuk dibaca dan difahami oleh masyarakat, serta saudara Shuhaib Ar Rumy Ismail dan Dato’ Dr. sendiri sebagai editor yang tekun menyunting terjemahan saya ini sebaiknya berkali-kali dalam menghidangkan sebuah buku dan idea yang mengajak masyarakat untuk terus memikirkan semula perkara-perkara konvensi. Dan kepada masyarakat, saya hidangkan sebuah terjemahan daripada sebuah buku yang fikir adalah cukup bermakna untuk dibaca dengan tenang dan renungan. Paling tidak, inilah sebuah buku yang sedang menghidupkan suatu kesedaran kepada sebuah reformasi yang kembali kepada akarnya bagi memuncak tranformasi, dan inilah yang sedang dihidangkan – sebuah reformasi radikal!


Ahmad Muziru Idham Adnan adalah graduan International Relations daripada UNIMAS dan juga Advocacy Officer di Islamic Renaissance Front.

 




View original article at: http://irfront.net/post/articles/prakata-penterjemah-reformasi-radikal-etika-islami-dan-pembebasan-terjemahan-radical-reform-islamic-ethics-and-liberation-oleh-tariq-ramadan/