Pengalaman Muslim terhadap Sekularisme: Suatu Keperluan ke arah Kefahaman yang Baru—Bahagian II

January 22, 2018 by Nader Hashemi

DISKUSI

Soalan: Apakah pandangan anda tentang mereka yang secara prinsipnya benar-benar mempunyai ketidaksetujuan dengan sesetengah nilai yang tertanam dalam konsep sekular—sebagai contoh, kesamarataan warganegara—yang mana, mungkin terdapat mereka yang mempercayai bahawa perkara ini adalah tidak selari dengan apa yang sepatutnya diajar oleh Islam—seperti, ketua negara seharusnya Muslim justeru harus melaksanakan set perundangan tertentu yang mungkin ganjil pada tanggapan moden, seperti rejaman dan pemotongan tangan?

Bagi mereka, ketuanan Muslim adalah kewajipan bagi urusan pemerintahan mereka di dunia ini. Maka, idea kesaksamaan warganegara adalah bertentangan dengan idea perlaksanaan Islam secara keseluruhannya, termasuklah penundukan non-Muslim terhadap perundangan Muslim serta pengecualian perundangan.

 

Dr. Hashemi: Hal Ini adalah sebuah soalan yang baik dan dalam banyak hal ia tepat mengenai cabaran utama yang dihadapi oleh Muslim pada hari ini. Sememangnya ada interpretasi tradisional Islam yang menganjurkan dengan setepatnya apa yang telah anda utarakan. Persoalan yang perlu ditanyakan adalah: Adakah ia adalah satu-satunya interpretasi Islam yang diterima dalam perkara ini? Adakah dakwaan ketuanan Muslim berdiri di atas penelitian moral ataupun adakah terdapat interpretasi yang lebih beretika yang dapat dimajukan pada hari ini? Hal ini adalah suatu topik yang sangat penting pada hari ini, lagi-lagi dalam dunia yang saling berhubungan dan pelbagai budaya. Sekiranya anda memahami apa yang dimaksudkan untuk menjadi seorang Muslim pada hari ini adalah berakar daripada ketuanan Muslim—di mana Muslim yang patut menguasai, dan Muslim yang perlu menjadi dominan dalam sesebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama dan identiti etnik—maka dengan hal yang demikian anda menganjurkan bahawa non-Muslim perlu menjadi rakyat kelas kedua dan anda menolak idea kesaksamaan penuh antara warganegara. Pembentukan sebuah masyarakat adil, di bawah keadaan yang sedemikian, akan menjadi sesuatu yang tak tercapaikan. Perkara ini adalah suatu topik penting yang Muslim perlu selesaikan.

Dalam perumusan yang paling idealistik bagi kefahaman Islam yang sebegini, diperhujahkan bahawa golongan minoriti akan dihormati dan dilindungi. Mereka berhak untuk mendapat autonomi penuh dan diiktiraf, tetapi mereka tidak akan pernah boleh menjadi ketua negara ataupun hakim; mungkin mereka hanya boleh berkhidmat sebagai menteri-menteri. Hal ini merupakan sebuah perumusan tradisional mengenai norma-norma kewarganegaraan yang diwariskan kepada Muslim sejak era pra-moden. Tetapi pada pandangan saya, sebagai seorang Muslim, pandangan sebegini secara moralnya sudah tidak lagi berasas pada dunia hari ini. Dengan berdasarkan logik yang sama, perhambaan tidak boleh diwajarkan, begitu juga dengan mana-mana amalan yang tidak berperikemanusiaan yang pernah wujud pada zaman pra-moden.

Hakikatnya, apa yang kita hadapi di sini adalah cabaran pentafsiran yang beretika. Bagaimana kita secara berperikemanusiaan dan beretika dapat mendamaikan tradisi Muslim dengan tuntutan kemodenan—dalam hal ini, kesamarataan kewarganegaraan bagi kesemua ahli sesebuah komuniti politik tanpa diskriminasi? Pentafsiran literalis daripada masa lalu tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Satu cara untuk memikirkan tentang isu ini adalah dengan menyoal satu soalan mudah: Jika anda adalah seorang Muslim yang hidup sebagai seorang minoriti dalam sebuah masyarakat non-Muslim, adakah anda akan gembira hidup sebagai warganegara berstatus kelas kedua? Sekarang, kebanyakan Muslim, sebagai contoh di Amerika Utara, mencintai kenyataan bahawa mereka dilayan sama rata di bawah undang-undangan dan perlembagaan Amerika Syarikat memberikan mereka kebebasan beragama sepenuhnya. Mereka tidak akan sama sekali ingin untuk menukar perkara ini. Maka, cabaran moral dan ketekalan etika menyediakan hujahnya sendiri terhadap pendukung ketuanan Muslim: apabila berada dalam kalangan majoriti, anda menginginkan ketuanan hak kewarganegaraan, tetapi apabila anda berstatus minoriti, anda menginginkan hal yang bertentangan pula, iaitu kesamarataan penuh.

Secara dasarnya, saya berpandangan bahawa perkara ini kembali kepada persoalan pentafsiran dan persoalan prinsip asas moral dan keadilan. Sekiranya kesempurnaan sebuah masyarakat Muslim adalah untuk membentuk sebuah masyarakat yang adil di mana setiap orang dilayan dengan penghormatan dan kemuliaan, tidak akan ada lagi dalih untuk mengelak daripada persoalan tentang layanan kesaksamaan dan kesamarataan.

 

Soalan: Tetapi tarikan kumpulan-kumpulan seperti ISIS adalah begini: Sekarang kita mempunyai wilayah ini dan memandangkan khilafah adalah satu-satunya bentuk kerajaan yang sah di sisi Muslim, kenapa tidak anda datang dan sertai kami?

Dr. Hashemi: Ya, saya bersetuju bahawa ia merupakan sebuah masalah dan sesetengah Muslim mungkin secara teologinya tertarik dengan naratif yang dibawa oleh ISIS; terutamanya mereka yang di bawah pengaruh Wahhabi. Walau bagaimanapun, perlu dimaklumi bahawa modus operandi ISIS adalah menggunakan sejumlah keganasan melampau, yang sebahagian besarnya ditujukan kepada sesama Muslim yang tidak bersetuju dengan mereka. Secara persejarahannya, Islam tersebar ke seluruh dunia dengan cara yang berlawanan langsung daripada naratif yang mereka bawa, yang menjelaskan bahawa pengekalan kuasa Islam adalah apabila ia tersebar secara aman. Secara teorinya, sekiranya sekumpulan Muslim mahu berpisah dan mendirikan sebuah masyarakat alternatif yang berdasarkan prinsip-prinsip Islam, dan mereka terus melakukannya tanpa paksaan dan keganasan, maka saya tidak bermasalah dengannya. Malangnya, model ISIS adalah sesuatu yang berakar daripada sejumlah keganasan yang melampau, pembunuhan beramai-ramai seperti halnya yang berlaku terhadap golongan Yazidi, dan sejumlah paksaan fizikal yang melampau.

Saya berpandangan bahawa, model ini tidak mempunyai masa depan dan syukurlah kebanyakan Muslim menolaknya. Apa yang menarik dalam perdebatan dan kefahaman ini adalah persoalan yang berikut: Kenapa terdapatnya tarikan ke arah model ISIS dalam kalangan sesetengah remaja Muslim? Apakah keadaan politik, intelektual, ekonomi, dan teologi yang menghasilkan keadaan sebegini? Jawapannya terletak pada krisis agama dan politik yang menimpa masyarakat Muslim pasca-kolonial yang mana saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk menjelaskannya. Tetapi baru-baru ini saya telah menulis sebuah bab panjang mengenai topik, “The ISIS Crisis and the ‘Broken Politics’ of the Middle East: A Framework for Understanding Radical Islamism” (Krisis ISIS dan ‘Politik yang Rosak’ Timur Tengah: Sebuah Kerangka bagi Memahami Islamisme Radikal).

 

Soalan: Kita sentiasa mendengar perkataan “Islam perlu dikontekstualisasikan dengan tempat yang kita diami.” Permasalahan bagi tradisionalis adalah, bagaimana kita dapat memisahkan idea kontekstualisasi daripada model Barat? Ada ketika dirasakan bahawa hanya terdapatnya pilihan yang sebegini: sama ada kita kekal terhadap tradisi Islam ataupun kita mengkontekstualkannya, yang secara dasarnya bermaksud berada sejalan dengan apa yang diamalkan pada hari ini di Barat.

Dr. Hashemi: Hal ini merupakan satu persoalan yang bagus. Saya sangat percaya dengan ketulenan Islam, yang mana Muslim harus mempunyai hak untuk membangunkan kefahaman mereka sendiri terhadap hubungan negara-agama dan mereka tidak perlu mengikuti mana-mana model yang berasingan daripada mereka. Tetapi idea bahawa terdapatnya sebuah “model Barat” yang secara eksklusifnya milik Barat dan sebarang perkara yang berlaku tidak mengandungi pertindihan ataupun keserasian dengan apa yang kita lakukan sebagai Muslim, perkara ini adalah suatu penghujahan rapuh yang pada akhirnya membawa kepada kediktatoran. Dakwaan sebegini adakala mengandaikan bahawa kesemua yang berada di Barat ataupun “model Barat” adalah sememangnya dan semestinya “tidak Islamik” justeru tidak ada apa-apa yang kita dapat belajar daripada Barat. Perkara ini secara dasarnya akan membahayakan sebarang konsep nilai-nilai universal dan saya perlu tambah—nilai-nilai Islam juga—sekiranya difahami dengan betul.

Saya berpandangan bahawa terdapatnya nilai-nilai universal yang mana komuniti dan ketamadunan yang berbeza dapat bersetuju dengannya. Saya bukannya seorang penyokong yang meniru semua benda yang dilakukan oleh Barat; jauh sekali daripada itu. Muslim perlu mempunyai hak untuk berdebat dan menentukan apa jenis norma politik dan sosial serta nilai-nilai yang mereka inginkan untuk membentuk masyarakatnya. Secara peribadi  saya sangat percaya bahawa bentuk kerajaan yang terbaik pada hari ini ialah demokrasi liberal—jika difahami dengan betul—dan perkara ini boleh dan sesuai dengan nilai-nilai Islam. Hal ini demikian kerana demokrasi adalah suatu bentuk kerajaan yang—dibandingkan dengan model-model yang lain—satu-satunya bentuk kerajaan yang paling adil, sekalipun bukanlah sebuah model yang sempurna.

Sebuah demokrasi yang teguh melayani manusia dengan saksama dan menguatkuasakan  kebertanggungjawaban pada kekuasaan politik, justeru mengurangkan kemungkinan untuk politik tirani dan penindasan. Penginstitusian semak dan imbang yang dibina ke dalam demokrasi moden menghasilkan keadilan sosial terhadap semua orang. Semua ini adalah nilai-nilai Islam pada hakikatnya. Apa yang saya kritik adalah terhadap pemaksaan identiti politik yang, walaupun ia dapat difahami dek situasi Muslim kebelakangan ini, mendakwa bahawa segala-galanya yang berkaitan dengan Barat tidak boleh menjadi Islamik dan mesti ditolak. Dalam konteks ini, saya mengingatkan bahawa sebuah pemerhatian mendalam daripada Khaled Abou El Fadl yang menyatakan dengan tajam bahawa “pemikiran Islam… kekal reaktif… [dalam] pendefinisian kedudukannya yang berhubungan dengan demokrasi… ataupun hak asasi manusia, sentiasa dengan pandangan yang mengarah kepada bagaimana hal-hal yang lain itu mendefinisikannya dirinya sendiri.” Beliau menambah bahawa dalam “era pasca-kolonialisme, Muslim menjadi sibuk dengan usaha-usaha untuk mengubati perasaan ketidakberkuasaan kolektif dan perasaan kecewa akan kekalahan politik, seringkali dengan melibatkan tindakan sensasi simbolisme kuasa. Kepentingan normatif dan selok-belok intelektual bagi tradisi moral Islam tidak dilayan dengan usaha keras analitikal dan kritikal yang berhak mereka terima, tetapi ditundukkan kepada kemanfaatan politik dan penampilan simbolik kekuasaan.”

 

Soalan: Kemungkinan terdapatnya dua pendekatan: Anda menangani isu tersebut daripada sebuah pendekatan teori politik, yang mana mempunyai sudut pragmatik terhadapnya—iaitu kita hidup dalam konteks hari ini di mana kepelbagaian  adalah suatu anugerah dalam masyarakat dan justeru itu, terkadang kita perlu mempunyai sebuah pengaturan politik yang memberi manfaat yang terbaik semampu kita kepada semua orang, dan mengekalkan tahap tertentu bagi keamanan dan keadilan. Tetapi isunya adalah sesetengah Muslim lebih banyak bergelut dengan dimensi kefalsafahan dan teologi, yakni bagaimana seseorang itu mendamaikan antara penghujahan menarik ini bahawa sekularisme adalah seperti yang difahami pada bentuknya yang terbaik, merupakan suatu cara yang terbaik sebagai sebuah pengaturan politik dalam sebuah masyarakat majmuk; dengan keseluruhan beban pemikiran politik Muslim yang telah diwarisi daripada era yang berbeza di mana Muslim telah hidup dalam zaman empayar dan di mana pluralisme bukanlah sebuah norma pada zaman tersebut. Oleh sebab itu, kemungkinan terdapat keperluan bagi pembaharuan teologi juga, yang mana sesetengah ilmuwan Muslim telah terlibat dengannya.

Dr. Hashemi: Pertamanya, saya berpendapat bahawa empayar Muslim secara persejarahannya adalah sangat pluralistik. Sudah tentu, mereka adalah pluralistik dalam erti kata bahawa mereka bersikap toleran dengan perbezaan komuniti keagamaan, tetapi masih, terdapat hierarki keistimewaan—sekiranya anda adalah seorang Muslim, anda akan berada pada posisi kekuasaan dan mempunyai keistimewaan dan sekiranya anda adalah seorang minoriti, anda akan mempunyai kekurangan walaupun anda masih dihormati. Perkara ini merupakan norma pra-moden bagi masyarakat Muslim dalam senario yang terbaik buat masa itu.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kebanyakan isu-isu ini adalah berdasarkan kepada pengalaman negatif pada kurun ke-20 dengan kegagalan projek pembangunan sekular dan keinginan untuk mencari sebuah model alternatif yang berkesan. Secara umumnya, sekiranya sekumpulan Muslim pada beberapa bahagian dunia hendak meniru masyarakat Islam pra-moden, maka saya katakan, ‘Teruskan’, sekiranya anda mendapat sokongan majoriti—dan selagi mana ia bukanlah paksaan atau kekerasan terhadap orang lain. Saya percaya pada hak penentuan sendiri. Tetapi pada masa yang sama, pada tahap norma-norma, seharusnya tidak wujud paksaan untuk menganuti versi tertentu visi pra-moden ini kepada semua komuniti Muslim yang lain di dunia.

Perkara ini merupakan salah satu daripada permasalahan yang dihadapi oleh Muslim pada hari ini, dan ia merupakan permasalahan kontemporari, bukannya permasalahan sejarah. Ramai Muslim percaya bahawa terdapat hanya satu cara “untuk menjadi Muslim” dan terdapat hanya “satu pentafsiran sah tentang Islam” termasuklah dalam ranah politik. Perkara ini menjadi masalah kerana ia membawa kepada ketidak-toleran, penindasan, dan usaha-usaha untuk mendiam atau menapis suara-suara yang lain. Kita melihat perkara ini terjadi di kebanyakan dunia Muslim—di Arab Saudi, Iran, atau Malaysia. Pada dasarnya kerajaan-kerajaan sebegitu yang cuba untuk mengamalkan penapisan yang melampau, penindasan, dan paksaan, adalah sesungguhnya membuktikan krisis keabsahan mereka, di mana mereka tidak mampu untuk memenangi penghujahan awam, dan mereka takut dengan perdebatan idea yang bebas. Pemerintah-pemerintah sebegini mengetahui bahawa jika terdapat kebebasan pengaliran idea, pemikiran politik autoritarian mereka tidak akan mendapat sokongan popular. Oleh sebab itu, pemerintah-pemerintah autoritarian ini—yang mana secara kolektifnya adalah sesuatu yang memalukan—melaksanakan penapisan, penindasan, dan pemenjaraan. Sedihnya, perkara sebegini menjadi norma bagi kebanyakan masyarakat Muslim.

 

Soalan: Dalam kes di Malaysia, mereka mempunyai pilihanraya dan mereka menganggap diri mereka sebagai sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik. Sudah tentu, sama ada pilihanraya tersebut bebas dan adil, adalah persoalan yang lain. Tetapi secara keseluruhannya, kerajaan semasa boleh dikatakan dipilih secara sah dalam sebuah pilihanraya umum yang bebas dan adil, tetapi sudah tentu dengan kejanggalan, seperti politik wang. Seperti juga dengan Amerika Syarikat, sebagai contoh. Seseorang dapat mengatakan bahawa pilihanraya di Amerika tidak sepenuhnya adil dalam erti kata bahawa politik wang turut terlibat. Mereka mungkin bebas, tetapi jika anda mempunyai wang, anda dapat mempengaruhi ramai pengundi melalui pelbagai cara.

Maka, untuk mengatakan bahawa “selagi mana kerajaan mempunyai sokongan popular, mereka boleh melaksanakan sebarang sistem yang mereka mahukan,” mungkin akan menjadi suatu permasalahan. Di mana mereka dapat melakar perbatasan—sebagai contoh—dalam hal-hal berkaitan dengan pelanggaran terhadap hak-hak minoriti, sekiranya demokrasi adalah sekadar tentang sokongan popular?

Saya berpandangan bahawa, permasalahan ini hakikatnya adalah sebuah permasalahan moden bagi negara bangsa, di mana negara telah memusatkan kekuasaan untuk memaksa. Perkara inilah di mana terletaknya intipati perkara tersebut. Jika kita membiarkan negara untuk mengatur dan keabsahan negara berasal daripada kehendak popular, negara boleh menindas kelompok minoriti dan kelompok yang berbeza pendapat. Ia merupakan sebuah penindasan oleh majoriti (tyranny of the majority) melalui instrumen pemaksaan negara.

Dr. Hashemi: Perkara itu benar, kecuali jika minoriti tersebut dan suara-suara yang berbeza pendapat diberikan kebebasan untuk mengekspresikan diri mereka dan terdapat perundangan yang mengatur dan melindungi mereka. Tetapi saya bersetuju, ia merupakan sebuah permasalahan moden. Tetapi apa yang anda timbulkan tersebut adalah berbeza daripada perkara yang saya sebutkan mengenai penentuan diri-sendiri (self-determination).

 

Soalan: Jadi, persoalannya juga adalah mengenai bagaimana kita membentuk kayu ukur yang mana hak-hak fundamental tertentu tidak boleh dilanggar oleh negara. Sebagai contoh, sekiranya sesebuah pihak mendapatkan kekuasaannya dan memutuskan untuk mengisytiharkan diri mereka sebagai khilafah dengan sokongan majoriti, kita mengetahui bahawa ia akan menimbulkan kesan selepas itu dan dengan implikasi serius yang melemahkan asas-asas demokrasi.

Dr. Hashemi: Sebab itulah apabila kita berbicara tentang demokrasi pada skala global, kebiasaannya kita tidak memaksudkannya dengan sekadar prosedur demokrasi ataupun demokrasi sebagai kehendak majoriti, sebaliknya yang kita bicarakan ialah “demokrasi liberal”. Maka, ia tidak sekadar kekuasaan majoriti, tetapi kekuasaan majoriti tertakluk kepada perlindungan asas hak asasi manusia oleh perlembagaan yang mana majoriti tidak dapat melanggarnya. Sebagai contoh, sekiranya majoriti menginginkan untuk menghapuskan populasi minoriti kerana mereka mempunyai undi majoriti, mereka tidak boleh melakukannya secara sah, kerana tindakan sebegitu dikekang oleh perlembagaan. Disebabkan oleh itu juga, konsep pemisahan kuasa wujud, di mana anda perlu mempunyai sebuah badan perundangan yang bebas, yang mana tugasnya adalah untuk mentafsirkan undang-undang secara bebas daripada eksekutif. Maka, sekiranya seseorang dilantik ke pejabat eksekutif, mereka tidak boleh melanggar perundangan dan norma-norma asas. Sebab itu idea pemisahan kuasa dan kewujudan apa yang kita panggil sebagai Rang Undang-Undang Hak di Amerika Syarikat, dan di Kanada, Piagam Hak dan Kebebasan adalah penting, dan ia dianggap sebagai asas dan fundamental kepada sebuah demokrasi moden. Jika anda hendak mengubah asas perundangan ini, anda memerlukan sokongan undi yang sangat tinggi untuk melakukannya di parlimen atau kongres. Perubahan fundamental terhadap sifat sesuatu kerajaan selalunya memerlukan sokongan undi yang sangat tinggi demi mengelakkan daripada berlakunya penyalahgunaan.

Oleh sebab itu, sebuah demokrasi yang berasaskan majoriti adalah sesuatu yang berbahaya. Dan sudah tentu, perkara ini kembali kepada keseluruhan persoalan mengenai hak-hak perlembagaan: Bagaimana anda menulis sebuah perlembagaan yang menentukan apakah yang menjadi hak-hak asas tersebut. Dalam kes Tunisia, yang telah melalui sebuah proses penulisan perlembagaan yang sangat mencabar dan berjaya, yang mana mengambil masa bertahun-tahun dan tergelincir berkali-kali, salah satu daripada persoalan sukar yang rakyat Tunisia perlu tangani adalah: Apakah batas-batas kebebasan berekspresi (freedom of expression)? Ramai rakyat Tunisia berpandangan bahawa perujukan terhadap Tuhan, Nabi Muhammad, dan Sahabat Nabi merupakan topik-topik suci yang sepatutnya tidak boleh menjadi subjek kepada ejekan dan fitnah. Maka, perlu ada sebuah penyekatan ataupun perbatasan kepada apa yang seseorang dapat perkatakan, kerana ia dianggap sebagai pusat kepada apa ertinya menjadi seorang Muslim. Sebab itu, kebebasan berekspresi adalah baik dan diterima, tetapi apabila ia melibatkan hal-hal kesucian, maka adalah perlu untuk dilakar sebuah garis perbatasan. Pihak-pihak lain di Tunisia—segmen populasi yang lebih sekular—telah mengatakan bahawa perkara ini dapat digunakan sebaliknya untuk menghukum dan membataskan ekspresi artistik; kerana siapakah yang berhak menentukan apa yang dianggap sebagai penghinaan atau penhujatan (blasphemous)? Maka, hal ini merupakan perkara besar yang diperdebatkan. Ia merupakan suatu keputusan yang sukar, tetapi akhirnya, pemimpin parti Islam iaitu Ennahdah, menggunakan sebuah bahasa yang sangat samar-samar dalam perlembagaan untuk menghasilkan keseimbangan di antara dua kelompok pemilihan ini.

Pada hari ini, ramai yang mungkin berfikir bahawa perkara ini adalah khusus pada Muslim sahaja: bahawa Muslim tidak dapat menerima kebebasan berekspresi. Tetapi sekiranya anda melihat kepada Eropah sekular, mereka memiliki garis perbatasan mereka yang tersendiri. Garis perbatasan ini bukannya mengenai agama, tetapi terdapat perundangan di dalam buku-buku di mana sekiranya anda menafikan kewujudan Holocaust Nazi, anda boleh dipenjarakan. Hal ini demikian kerana pengalaman sejarah Eropah yang anti-Yahudi (anti-Semitism) membawa kepada kemuncak pembunuhan beramai-ramai Yahudi Eropah oleh Nazi. Persoalan tentang apa yang berlaku pada Yahudi Eropah—yang dalam tempoh pra-Perang Dunia Kedua dan ketika peperangan—adalah sangat penting kepada politik dan prinsip moral hinggakan ia meninggalkan sebuah tanda yang kekal terhadap identiti Eropah, seperti beberapa negara Eropah mempunyai undang-undang tegas terhadap anti-Yahudi, termasuklah terhadap penafian Holocaust. Perkara ini membawa kepada konflik di Perancis antara Muslim dan Yahudi serta masyarakat Perancis secara amnya. Sesetengah Muslim mempersoalkan kenapa manusia boleh mengatakan apa-apa sahaja yang mereka mahukan tentang Islam—termasuklah mengeluarkan kenyataan menghina secara terbuka atas nama kebebasan berekspresi, tetapi apabila seseorang mengatakan sesuatu yang dianggap sebagai menentang Yahudi Perancis, perundangan Perancis melaksanakan standard yang berbeza. Orang Eropah yang mahu mempertahankan keadaan yang sebegini menawarkan penjelasan yang berakar daripada kefahaman pensejarahan sekular mereka bagi apa yang dianggap sebagai “suci” dan yang boleh menghina masyarakat majoriti. Kita boleh dan sepatutnya memahami pendekatan ini sebagai Muslim sementara masih mempersoalkan layanan pilih kasih ini. Perkara ini menimbulkan persoalan-persoalan yang menarik dan mencabar tentang sama ada terdapatnya perjanjian universal terhadap apakah yang sepatutnya menjadi perbatasan kepada kebebasan berekspresi. Setiap komuniti perlu menentukan persoalan ini sendiri berdasarkan kepada perdebatan dalaman mereka untuk menentukan di mana garis perbatasan ini harus dilakar, sebuah garisan yang membolehkan dan perlu dianjak berdasarkan kepada perdebatan dan perundingan demokratik. Sekiranya Muslim diberikan peluang untuk berdebat tentang di mana garis perbatasan bagi kebebasan berekspresi, mungkin kebanyakan Muslim akan mempertimbangkan bahawa penghinaan yang jelas terhadap Islam tidak akan diterima dan sepatutnya mempunyai sekatan terhadap penghinaan kepada Nabi dan para Sahabat baginda. Tetapi seterusnya, perkara ini membangkitkan kepada tiga persoalan yang sukar: apakah yang dipanggil sebagai penghinaan agama setepatnya dalam Islam; apakah yang sepatutnya menjadi bentuk hukuman yang paling sesuai; dan siapakah yang mentafsir dan menghukum jenayah ini? Perkara ini merupakan sebuah wilayah yang sangat sukar dan bermasalah di mana seterusnya perundangan dapat disalahgunakan dalam pelbagai cara oleh aktor politik yang ingin mendiamkan suara-suara pembangkang, seperti yang seringkali berlaku dalam banyak masyarakat Muslim pada hari ini. Tetapi perkara ini bukannya permasalahan yang khusus berlaku dalam kalangan Muslim sahaja. Perkara ini merupakan masalah bagi kebebasan berekspresi yang harus dihadapai oleh setiap demokrasi moden.

 


Dr. Nader Hashemi merupakan Pengarah di Pusat Pengajian Timur Tengah (Center for Middle East Studies), dan Profesor Madya Politik Islam dan Timur Tengah (Middle East and Islamic Politics) di Pengajian Antarabangsa Sekolah Josef Korbel (Josef Korbel School of International Studies), University of Denver, USA. Kepakaran kajian adalah dalam bidang Hubungan Islamik dan Timur Tengah; agama dan demokrasi; sekularisme, teori politik dan perbandingan politik; politik Timur Tengah; demokrasi dan hak asasi manusia; dan hubungan Islam-Barat. Penerbitannya termasuklah Islam, Secularism and Liberal Democracy: Toward a Democratic Teory for Muslim Societies (2009); The People Reloaded: The Green Movement and the Struggle for Iran’s Future (Editor bersama Danny Postel, 2010); The Syria Dilemma (editor bersama dengan Danny Postel, 2013); dan Sectarianization: Mapping the New Politics of the Middle East (Editor bersama dengan Danny Postel, 2017). Diskusi ini diterjemahkan oleh Ahmad Muziru Idham dan Shuhaib Ar Rumy Ismail, Felo di Islamic Renaissance Front.

 




View original article at: http://irfront.net/post/articles/articles-malay/pengalaman-muslim-terhadap-sekularisme-suatu-keperluan-ke-arah-kefahaman-yang-baru-bahagian-ii/