Sang Pencerah: Kiyai Haji Ahmad Dahlan dan Gerakan Muhammadiyah

March 1, 2018 by Ahmad Nabil Amir

Semua ibadah diharamkan kecuali yang ada perintahnya dari Nabi Muhammad” [KH Ahmad Dahlan]

Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1868-1923) adalah seorang ulama pembaharu dan pemikir penting yang telah mencetuskan revolusi perjuangan yang besar dalam rangka pembaharuan di Indonesia. Beliau dilahirkan di Kauman, Yogyakarta pada tahun 1868 sebagai Muhammad Darwis. Bapanya, Kiyai H. Abu Bakar bin Kiyai Mas Sulaiman adalah khatib di Masjid Besar Kesultanan Yogya, dan ibunya, Nyai Abu Bakar adalah puteri kepada H. Ibrahim bin Kiyai H. Hasan, seorang penghulu kesultanan Yogya juga pada masa itu. Dahlan dilahirkan dalam keluarga yang terkenal dengan latar agama dan sosial, dan mempunyai pengaruh yang kuat di daerah Kauman, dalam gerak perjuangan dan dakwahnya.

Berbeza dengan kebiasaan dan cara pemikiran masyarakat dalam lingkungannya, Dahlan menzahirkan pandangan hidup yang luas dan ufuk pemikiran yang jauh. Kesempatan mempelajari ilmu qiraat, tafsir, hadis, tauhid, fiqh, tasawwuf, dan falak di Makkah, dan kecenderungan menelaah karya-karya Shaykh Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Rida telah memberikan pengaruh yang besar dalam mencorakkan fikrah pembaharuan dalam jiwanya. Sebaik pulang ke Tanah Jawa, Muhammad Darwish menukar namanya kepada Haji Ahmad Dahlan.

Dahlan dikenal sebagai faqih dan ulama besar yang mempunyai kefahaman dan ijtihad fiqh yang tersendiri. Beliau merupakan sosok pencerah yang berhasil mengetengahkan idealisme dakwah dan pembaharuan yang digagaskan oleh Muhammad Abduh ke Tanah Jawa. Usahanya menerapkan mazhab pemikiran Abduh dan revolusi pemikiran yang dibawanya telah menghasilkan pencerahan yang bermakna di daerahnya, seperti diungkapkan oleh Solichin Salam: “Alam Kauman yang dahulu masih diliputi oleh suasana hidup beragama, tapi bersifat tradisional, konservatif dan statis, oleh Ahmad Dahlan ditukar menjadi masyarakat Islam yang dinamis dan revolusioner…bagaikan suara halilintar di siang hari dalam teriknya sinar matahari layaknya, pecahnya api-revolusi di Kauman Yogya adalah di luar dugaan. Karena mesiu itu meledak justeru di tempat hidupnya feudalisme, tradisionalisme dan konservatisme yang subur.”

Cita-Cita Perjuangan

“K.H. Ahmad Dahlan adalah manusia-amal…yang dadanya penuh dengan cita-cita yang luhur” [Presiden Soekarno]

“Ahmad Dahlan adalah manusia pejuang yang tabah dan ulet, tidak kenal menyerah dan putus asa dalam mengejar cita-cita” [Solichin Salam]

Perjuangan Kiyai Dahlan bertolak dari cita-cita besar untuk menggerakkan revolusi, mencetuskan perubahan dan reformasi, dan membawa modernisasi Islam ke Indonesia. Hal ini diperlihatkan dalam perjuangannya bersama organisasi Islam seperti Budi Utomo, Serikat Islam dan Muhammadiyah bagi menghapuskan bid‘ah, membanteras kepercayaan khurafat dan syirik, membungkam faham mistik dan tahyul daripada warisan Hindhu-Buddha, menumpaskan feudalisme, dan mengusir penjajah.

Dalam memimpin perubahan, dan merealisasikan idea-idea pembaharuannya, beliau tampil ke garis depan, memberi arahan dan “mempelopori perjuangan yang dahsyat itu” dengan meniupkan api perjuangan dan nahdah dan membangkitkan kesedaran ijtihad, dan menggerakkan aktivisme dan kegiatan rakyat dalam program keagamaan dan pendidikan, yang berhasil melenyapkan autoriti aparat agama dan membenamkan taklid yang telah menyebabkan kemunduran fikiran. Beliau membangun organisasi dakwah yang besar dengan mendirikan Muhammadiyah sebagai platform perjuangannya yang sah untuk membawa perubahan dan idealisme pemikiran yang segar di zamannya. Dalam hal ini Dr. H. Roeslan Abdulgani mengulas:

“K.H. Ahmad Dahlan adalah salah seorang tokoh yang mewakili jiwa dan semangat aktivisme dari zaman 1912 itu.”

Tekad perjuangannya juga adalah untuk menukar sistem lama dalam pengajian di Pesantren, dan merangka kurikulum baru yang selaras dengan perkembangan moden, seperti yang diungkapkan oleh Dr. H. Abd. Karim Amrullah (Haji Rasul) tentang ideanya untuk merobah sistem pendidikan pondok: “K.H.A. Dahlan kecewa sekali melihat kekolotan yang meliputi tanah Jawa dalam soal Islam. Faham-faham salah tentang agama masih mendalam. Kaum Kristen bertambah maju. Kiyai itu berusaha hendak membangkitkan Islam dengan cara baru, iaitu membuat pelajaran pondok dengan secara sekolah, sehingga jalan pengajaran beraturan. Cara pondok lama saja, tidak akan dapat dipertahankan lagi.”

Pengaruh Muhammad Abduh

“Pada suatu ketika, Syeikh Ahmad Surkati naik kereta api dari Jakarta menuju Surabaya, lewat Yogya dan Solo. Dalam perjalanan itu bertemulah Surkati di dalam kereta api dengan Kiyai Dahlan yang sedang membaca kitab tafsir Muhammad Abduh.” [Solichin Salam; K.H. Ahmad Dahlan Reformer Islam Indonesia, h. 80]

KH Ahmad Dahlan “termasuk salah seorang ahli fikir Muslim yang besar” yang terkesan dengan dakyah pembaharuan yang dicanangkan Muhammad Abduh. Hal ini dizahirkan daripada perjuangannya untuk membangun pemikiran moden yang diasaskan oleh Muhammad Abduh, seperti diungkapkan oleh Prof. Dr. H. Kraemer dalam bukunya Agama Islam:

“Sebetulnya di dunia Islam sudah ada teladan pergerakan Islam yang bersifat baru lagi yang bermaksud mempertahankan agama Islam terhadap pengaruh-pengaruh kebaratan yang mungkin mengancam kedudukan umat Islam. Iaitu pergerakan baru yang timbul di Mesir di bawah pimpinan Muhammad Abduh. Maksud Muhammad Abduh dan kawan-kawannya ialah membuktikan agama Islam mungkin mencocokkan dirinya dengan suasana zaman baru oleh sebab asas dasar agama Islam sebenarnya untuk segala zaman. Dengan menurut teladan itu, di Indonesia pula diisytiharkan pergerakan Islam yang bersifat baru dengan pimpinan Haji Ahmad Dahlan di Yoyakarta.” (h. 286-7)

Pengaruh Muhammad Abduh terhadap gerakan Muhammadiyah cukup besar dalam garis perjuangan yang dilakarkannya dan manhaj pemikiran yang dikemukakannya, dan ketrampilan gerakan Muhammadiyah banyak terpengaruh dengan sosok dan pemikiran Abduh yang terbangun daripada gagasan Pan Islamiyahnya.

Khittah perjuangan yang digariskan Abduh bersama al-Afghani dan Rida dalam al-‘Urwat Al-Wuthqa dan Tafsir al-Manar telah menzahirkan kesan dan dampak yang jelas dalam pemikiran dan idealisme perjuangan K.H. Ahmad Dahlan, seperti yang dirakamkan dalam Ensiklopedi Islam Indonesia tentang ketokohan dan aspirasi perjuangan Dahlan: “Ia pun semakin intens berinteraksi dengan pemikiran-pemikiran pembaharu dalam dunia Islam, seperti Muhammad Abduh, al-Afghani, Rasyid Ridha dan Ibn Taimiyah. Interaksi dengan tokoh-tokoh Islam pembaharu itu sangat berpengaruh pada semangat, jiwa dan pemikiran Darwisy.”

Hasil karya Shaykh Muhammad Abduh seperti Risalat Tauhid, Tafsir Juz AmmaAl-Islam wa al-Nasraniyyah Ma‘a al-‘Ilm wa al-Madaniyah, Al-‘Urwat al-Wuthqa dan Tafsir al-Manar  banyak mengilhamkan ide dan fikrah pembaharuan dalam dirinya. Karya-karya ini melantarkan idea-idea reform yang tuntas dan mendasar dan melakarkan falsafah perjuangan yang jelas yang telah mencorakkan kefahaman Islam yang kental dan menggilap ruh perjuangan dalam dirinya. Pengaruh Shaykh Muhammad Abduh terhadap Kiyai Dahlan ini dirumuskan oleh Solichin Salam dalam karyanya K.H. Ahmad Dahlan Reformer Islam Indonesia yang menganalisis kekuatan tersendiri Ahmad Dahlan:

“Jikalau kita bandingkan perbedaan dari kedua reformer Islam Muhammad Abduh di Mesir dan K.H. Ahmad Dahlan di Indonesia ialah kalau Abduh terkenal dengan ketajaman penanya, dan dengan penanya itu pula dituangkannya segala fikiran dan cita-citanya, maka dalam hal ini berbeda halnya dengan Ahmad Dahlan. Beliau rupanya tidaklah termasuk seorang penulis atau pengarang yang lancar penanya sebagai Abduh. Hal ini dibuktikan bahwa sepanjang pengetahuan kita belum pernah terdengar bahwa beliau ada meninggalkan hasil karya atau karangan yang dapat dijadikan pedoman serta bahan dalam melanjutkan cita-cita dan perjuangannya. Melainkan kedua-duanya sama ahli berfikirnya, sama pula idealis dan pejuangnya, serta sama pula reformernya, namun kelemahan yang ada pada Ahmad Dahlan ialah karena beliau tidak memiliki kepandaian mengarang sebagaimana Abduh, tetapi kelebihannya ialah beliau dapat mengamalkan apa yang dicita-citakan dalam bentuk suatu organisasi seperti Muhammadiyah.” (h. 58)

Pemikiran reform Muhammad Abduh yang meledak di Mesir itu turut diperjuangkan oleh kelompok muda yang lain di Indonesia seperti Said Muhammad bin Aqil, Hamka, Hassan Bandung, Hasbi ash-Shiddiqi, Abdul Halim Hasan, Zainal Arifin Abbas, Sulayman Rasyid dan Ahmad Surkati menerusi Jam‘iyat al-Islah wa al-Irsyad al-Islamiyyah. Di Tanah Malaya perjuangan Abduh diteruskan oleh Syaikh Tahir Jalaluddin, Ustaz Abu Bakar al-Ashaari, Ustaz Mustafa Abdul Rahman, Sayid Sheikh al-Hadi dan lain-lainnya yang hampir kesemuanya pernah menuntut di al-Azhar dan berusaha menghidupkan semula tradisi pemikiran yang diperjuangkan Abduh dan melanjutkan gagasan pembaharuannya.

Muhammadiyah

“Saya titipkan Muhammadiyah ini kepadamu!” [K.H. Ahmad Dahlan]

Terkesan dengan perjuangan Shaykh Muhammad Abduh, KH Ahmad Dahlan mendirikan Perserikatan Muhammadiyah pada 18 November 1912 (8 Zulhijjah 1330) bagi meneruskan cita-cita perjuangan Abduh. Tujuan asasnya adalah untuk memperbaharui pemahaman agama, memangkin perubahan sosial, mengangkat kehidupan rakyat, dan menggerakkan aspirasi moden dan memajukan pesantren-pesantren di seluruh Indonesia. Ia berusaha melenyapkan aliran orthodoks yang masih terbelenggu dengan faham konservatif yang kolot, membasmi kebekuan, stagnansi, dan keterbelakangan umat Islam dari sudut kemajuan fikiran.

Dasar Muhammadiyah yang termaktub dalam pasal IV perlembagaannya mengisytiharkan: “Bahwa maksud dan tujuan perserikatan ini ialah menegakkan dan menjunjung tinggi agama Islam, sehingga dapat mewujudkan masyarakat Islam yang sebenar-benarnya.” Untuk mencapai maksud dan tujuan tersebut diusahakanlah berbagai langkah termasuk: (1) meneguhkan iman, memperkuat ibadah serta mempertinggi akhlak (2) menggiatkan penyelidikan ilmu Islam dan mendapatkan kemurniannya (3) memajukan dan memperbaharui pendidikan dan kebudayaan menurut tuntutan Islam (4) menggerakkan dakwah dengan kegiatan amar ma‘ruf nahi munkar (5) mendirikan dan memelihara tempat-tempat ibadah dan wakaf (6) membimbing pemuda-pemuda supaya menjadi orang Islam yang bererti (7) menyuburkan amalan tolong menolong dalam kebajikan dan taqwa, dan  (8) menanam kesedaran agar tuntunan dan peraturan Islam berlaku dalam masyarakat. Muhammadiyah ditunjangi oleh Majlis Tarjih, Hikmah, Aisyiyah, Hizbul Watan, Pemuda, Pengajaran, Taman Pustaka, Tabligh, Penolong Kesengsaraan Umum, Ekonomi, Wakaf dan keharta-bendaan, yang mewakili hasratnya di setiap peringkat untuk melancarkan penyebaran ilmu, mengangkat kedudukan wanita, memacu pertumbuhan ekonomi, memajukan pengetahuan dan dakwah Islam dan menyemai semangat kerukunan beragama.

Mengulas peranan Muhammadiyah yang penting dalam pemberdayaan massa ini, Soedarisman Poerwokoesoemo menyatakan: “Lahirnya Muhammadiyah bererti suatu renaissance bagi agama Islam sebab Muhammadiyah memperbaharui cara-cara agama Islam itu harus dipraktikkan oleh umatnya. Logis bahawa ada reaksi terhadap usaha Muhammadiyah itu, karena dalam perjuangan memang suatu hal yang biasa, di mana ada aksi mesti ada reaksi. Rasanya kesan reaksi inilah yang dapat menjadi pendorong bagi Muhammadiyah untuk giat berjuang untuk mencapai cita-citanya.”

Muhammadiyah dianggap gerakan Islam paling tersusun di dunia yang diterajui oleh jentera dakwah yang tersusun dan saf kader yang teguh mempertahan idealisme dan cita-cita perjuangannya, seperti ditegaskan oleh Sayyid Amin al-Husayni, bekas mufti Palestin ketika mengunjungi Indonesia dan melihat gerakan Muhammadiyah dengan mata kepalanya sendiri:

“Perserikatan adalah perserikatan Islam yang paling besar dan paling teratur di dunia…di tanah Arab pun tidak ada perserikatan agama sebesar dan seteratur ini.”

Kegiatan Islah

Kiyai Dahlan memainkan peranan yang aktif dalam pembangunan Muhammadiyah dengan menyusun aktiviti dakwah dan sosial yang konsisten dengan matlamat islah. Kegiatannya bercorak keagamaan dan pendidikan berteraskan usaha pemerkasaan wanita, pemberdayaan masyarakat, penyebaran ilmu dan pemacuan dakwah yang intens. Dalam tahun 1922, beliau meninggalkan Yogya untuk berdakwah, mendirikan cabang, dan menghadiri rapat di pelbagai daerah, dan menambahkan tenaga guru di Madrasah Mu‘allimin Muhammadiyah Yogya.

Muhammadiyah berdiri di garis depan dalam kegiatan rakyat, dan merintis usaha pemberdayaan dan pemerkasaan sosial, dengan membangunkan sekolah, menyediakan khidmat klinik percuma, mewujudkan pusat pendidikan untuk anak-anak yang terpinggir, menyara dan menyekolahkan anak-anak yatim, menerbitkan al-Qur’an dalam bahasa Jawa dan Melayu, membangunkan perpustakaan, mendirikan institusi pengajian untuk kaum wanita, mengadakan prasarana dakwah, dan sebagainya. Ia berhasrat menciptakan suatu masyarakat yang benar-benar menerapkan ajaran dan hukum-hukum Islam di dalamnya.

Muhammadiyah memberi tekanan yang penting terhadap usaha dakwah, bagi mengimbangi gerakan zending yang ditaja oleh badan-badan tabligh Kristian. Hal ini dinyatakan oleh Kraemer:

“Sebab di kalangan umat Islam tidak ada badan-badan memperduli nasibnya (umat Muslimin). Berdasar atas maksud…itu pergerakan yang dipimpin oleh Kiyai Dahlan, dengan bernama Muhammadiyah, mengadakan sekolah-sekolahnya di seluruh kepulauan Indonesia serta pula poliklinik dan lain-lain. Meskipun di antara umat Islam ada beberapa orang yang tidak setuju dengan maksud tujuan Muhammadiyah hasilnya tidak dapat dipungkiri.”

Tentangan

Perjuangan islah yang dipelopori K.H. Dahlan telah ditentang keras oleh ulama konservatif yang masih terbelenggu dengan wacana usang dan jumud dalam agama, dan terperangkap dengan kerangka pemikiran yang dogmatik, seperti diungkapkan oleh Solichin Salam:

“Tidak sedikit ujian dan rintangan yang dihadapinya…berbagai tuduhan, fitnah dan hasutan dilemparkan orang kepadanya. Ada yang menuduh, bahwa beliau hendak mendirikan agama baru yang menyalahi agama Islam, ada pula yang mengatakan, bahwa beliau adalah Kiyai palsu, karena sudah meniru-niru Kristen.”

Tekanan yang ditempuhnya dalam perjuangan islah cukup besar, lantaran masyarakat feudal yang dihadapinya mempertahankan dasar taqlid yang menolak usaha ke arah perubahan yang dianggap menggugat dan mencabar adat. Berfikir cara taqlid seperti ini yang diungkapkan oleh Hamka dalam bukunya Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor ketika mengupas pertentangan pandangan antara Kaum Tua dan Kaum Muda dan sikapnya yang kritis dalam menilai khabar yang tidak bersandarkan kepada asas fikiran yang rasional:

“Kalau tuan menyatakan tidak percaya akan khabar-khabar seperti itu (khabar tentang kebolehan syaikh yang luar biasa yang akal tuan tak menerima), atau tuan meminta sendiri cerita itu dan siapa perawinya, sebagai meneliti dan menapis hadith Nabi, awaslah! Itulah tanda bahawa tuan telah kaum-muda! Tuan telah dicap sesat! Pendeknya kalau memakai akal tuan akan dituduh kaum-muda! Dan kalau tuan sudi menjadi bodoh, tuan jadi kaum-tua!”

Kiyai Dahlan dicap sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, Kiyai Kafir, Kiyai Kristen lantaran usahanya mengajar dengan alat-alat sekolah “hal mana mendapat ejekan dari lawan-lawannya”, malah langgarnya (surau) dibongkar pada waktu malam atas perintah penghulu Kamaludiningrat.

Hamun dan fitnah ini tidak menggasir semangat perjuangannya dan dengan ketahanan yang luar biasa Dahlan merespon dan mengenepikan setiap cemuhan yang dilemparkan dengan baik, sebagaimana lumrah penegak agenda islah yang lain seperti Abduh, Rida, Sayyid Qutb, Zainab al-Ghazali, Hasan al-Banna, Mawdudi dan Ghannouchi yang terus bertahan dalam garis perjuangan biar dihentam, ditekan dan dipulaukan.

Perjuangan Kiyai Dahlan dan ketahanan daya juang Kaum Muda menyingkirkan fahaman kolot dan bobrok ini akhirnya berhasil dan diakur sendiri oleh Kaum Tua yang tumpas dalam mempertahankan hujah mereka, seperti diungkapkan oleh Hamka tentang hasil yang dicapai daripada agenda islah dan perjuangan Muhammadiyah menentang gerakan zending di Indonesia:

“Berpuluh-puluh tahun lama pemerintah Belanda membiarkan kaum Kristian menyebarkan agama itu dan dibantu dengan wang berbilion-bilion rupiah, terutama di Tanah Jawa kerana di Jawa Tengah itu Islam kurang kuat. Kristian mendirikan rumah-rumah sakit, rumah-rumah sekolah dan memujuk fakir miskin supaya masuk Kristian. Maka bangunlah al-Syeikh Ahmad Dahlan mendirikan perserikatan Muhammadiyah lalu mendirikan sekolah-sekolah pula dan rumah-rumah sakit pula dan diberi pendidikan Islam, sedang yang beliau dapat dari kaum-tua hanya cela dan maki, bahawa mendirikan sekolah itu haram! Bahawa dia Muktazilah, dia Khawarij dan lain-lain. Dan Kaum Tua sendiri baru 20 tahun, belakang menuruti!”
[Teguran Suci, h. 31]

Agenda Pembaharuan

Dalam gerakan Muhammadiyah, Dahlan telah memperjuangkan dasar-dasar perubahan yang tuntas, dengan memperkenalkan upaya-upaya besar ke arah pemodenan dan islah. Usaha ini diperkukuh dan dilanjutkan dengan gerakan “Hizbul Watan” yang merupakan sayap pemuda yang tangkas menerajui kegiatan sosial dan dakwah yang berusaha menggarap kefahaman Islam yang holistik dan mengadakan usaha-usaha pembaharuan yang berkesan, seperti diungkapkan oleh Abdul Aziz Atha’alabi, seorang pemikir Muslim yang terkenal, tentang gerak perjuangan yang dipimpin oleh Kiyai Dahlan dan peranannya dalam memugar kefahaman agama dan kegiatan rakyat:

“Saya telah mengetahui tentang pulau Jawa dan sebagian dari pulau Sumatera. Dan saya mempelajari rakyat di sana dalam tahun 1913. Pada waktu itu gerakan kemasyarakatan masih belum matang. Akan tetapi telah mempengaruhi kepada jiwa saya setelah saya bertemu dengan seorang tua yang utama, lemah badannya, akan tetapi mempunyai jiwa yang besar yang bernama Syeikh Ahmad Dahlan. Sesungguhnya agama Islam itu hampir bangun di pulau-pulau yang jauh itu.”

Aspirasi pembaharuan yang diungkapkan Dahlan memfokuskan kepada pemerkasaan akal kerana menurutnya “kekurangan pengetahuan itu menjadikan seseorang berpikiran sempit,” dan menolak adat istiadat yang jelek yang jelas merupakan sesuatu yang bobrok, “karena hanya berhukum kepada adat kebiasaan dan adat istiadat, padahal adat istiadat itu tidak boleh dijadikan dasar hukum dalam menentukan baik buruk, betul salah. Untuk menentukan baik buruk, betul salah hanyalah hukum yang sah dan sesuai dengan hati yang suci.” (Pesan-Pesan Dua Pemimpin besar)

Gerakannya adalah berdasar kepada manhaj salaf, yang menekankan kepada akar kefahaman dan penghayatan terhadap ayat-ayat suci, dan dizahirkan dengan praktis yang jelas, seperti diperlihatkan dari dialognya dengan Pak H. Soedja’:

“Dalam kuliah subuh, berulang kali Kiai mengajarkan tafsir surat al-Ma‘un, hingga beberapa pagi tidak ditambah-tambah. “Kiai! Mengapa pelajarannya tidak ditambah-tambah?” Pak Soedja’ bertanya. “Apakah kamu sudah mengerti betul?” Tanya beliau. “Kita sudah hafal semua, Kiai.” Jawab Pak Soedja’. “Kalau sudah hafal, apa sudah kamu amalkan?”, Tanya Kiai. “Apanya yang diamalkan? Bukankah Surat Ma‘un pun berulang kali kami baca untuk rangkapan Fatihah di kala kami salat?”, jawab Pak H. Soedja’. “Bukan itu yang saya maksudkan. Diamalkan, artinya dipraktikkan, dikerjakan. Rupanya saudara-saudara belum mengamalkannya. Oleh kerana itu mulai pagi ini, saudara-saudara agar pergi berkeliling mencari seorang miskin. Kalau sudah dapat, bawa pulanglah ke rumah mu masing-masing. Berilah mereka mandi dengan sabun yang baik, berilah pakaian yang bersih, berilah makan dan minum, serta tempat tidur di rumah mu. Sekarang juga pengajian saya tutup, dan saudara-saudara melakukan petunjuk-petunjuk saya tadi,” Jawab Kiai.  (K.H. Ahmad Dahlan Reformer Islam Indonesia, h. 79)

Berbeza dengan cara pesantren yang kolot, Dahlan menggariskan fatwa-fatwa berani yang menyentuh tentang faham agama dan hukum dengan dasar maqāsid dan fiqh yang luas, seperti memperbolehkan bersembahyang dengan memakai bahasa jawa (bagi murid yang belum mengetahui bahasa Arab), menetapkan hisab hilal dengan rukyat bil ‘ain, dan menukar arah kiblat Masjid Agung Yogya dan Masjid Besar Kauman, dengan memberi garis-garis putih pada setiap saf, mengikut darjah ukuran yang sebenar.

Pengiktirafan terhadap Kiyai Dahlan

Sumbangan besar Kiyai Dahlan dalam merobah welstanchung dan pemikiran umat telah mengangkatnya sebagai Pahlawan Nasional Indonesia. Dahlan dijulang sebagai ulama’ pembaharu yang telah melakarkan pengaruh yang signifikan dalam perjuangan Islam di Indonesia. Usahanya mendirikan Muhammadiyah telah meraih dukungan yang padu daripada setiap lapisan umat.  Perjuangannya yang keras telah mencetuskan perubahan dan membangkitkan kesedaran Islam di kalangan rakyat. Pengiktirafan terhadap sumbangan “manusia yang berjiwa besar” ini diungkapkan oleh Prof. Sugarda Purbakawatja dengan tuntas:

“Sikap kami terhadap beliau lain tidak hanyalah kagum dan hormat, sebagai seorang anak yang berada di samping orang tuanya…beliau itu orang besar yang dapat melintasi batas yang memisahkan antara kaum Islam dan kaum agama lain-lainnya…dan suatu keajaiban…K.H.A. Dahlan tidak ragu-ragu masuk gereja dengan pakaian hajinya (ketika mengunjungi sahabatnya Pastor van Lith di Muntilan). Gejala ini saja sudah menarik, sehingga dengan ini perhatian terhadap peribadi K.H.A. Dahlan bertambah meluas dan menimbulkan perhatian untuk mempelajari ilmunya.” Dokter van de Borne pula menggambarkan ketinggiannya di kalangan pemuka agama: “Kamu semua beruntung mempunyai Kiai Dahlan ini. Beliau bukanlah sembarang orang. Saya baru sekali ini menjumpai seorang yang sifat-sifatnya demikian. Andaikata tanah Jawa (Indonesia) mempunyai orang yang demikian ini tiga saja, saya percaya tanah Jawa akan beruntung sekali dan berbahagia.”

Dengan kesedaran yang dicetuskannya Dahlan telah mengukir sumbangan yang bermakna dalam memperbaharui kefahaman dan pemikiran Islam di Indonesia. Beliau telah menyalakan semangat perjuangan yang tuntas dipertahankan hampir seabad setelah zamannya.

Kesimpulan

Kesan pemikiran KH Ahmad Dahlan dan idealisme perjuangannya telah meninggalkan legasi yang besar, dan mencetuskan perubahan yang signifikan dalam gerakan Islam di nusantara. Aspirasi pembaharuan dan perjuangan dakwah yang dirintisnya telah membawa kefahaman baru tentang perubahan dan tajdid dan mencetuskan revolusi pemikiran dan kebangkitan yang jelas. Gerakan tajdid di rantau ini terkesan dengan pemikiran Dahlan yang dinamik dan melangkaui zamannya. Pembelaannya terhadap Islam tiada taranya dari sudut kemanusiaan dan keagamaan. Usahanya menangkis serangan zending Kristen, mengangkat kedudukan wanita, memajukan pesantren, memperbaharui pemikiran umat, melenyapkan taqlid, menolong golongan terpinggir, menyantuni anak yatim, dan menyemai persaudaraan yang erat sesama manusia patut diteladani. Legasi pemikirannya yang dinamis harus dilanjutkan dan pesan islah yang diungkap dan diperjuangkannya harus dinyala dan disemarakkan dalam agenda pembaharuan, dan diteruskan khususnya oleh generasi muballighin Muhammadiyah hari ini.

 


Dr Ahmad Nabil Amir adalah sarjana kedoktoran dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya dan Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front.

 

 

 

Bibliografi

Abdul Munir Mulkhan (1986), Pesan-Pesan Dua Pemimpin besar Islam Indonesia Kyai Haji Ahmad Dahlan, dan Kyai Haji Hashim Asy‘ari. Tp.: t.t.

Abdul Munir Mulkhan (2010), Kiai Ahmad Dahlan: Jejak Pembaruan Sosial dan Kemanusiaan: Kado Satu Abad Muhammadiyah. Jakarta: Penerbit Buku Kompas.

Akmal Nasery Basral (2010), Sang Pencerah. Jakarta: PT Mizan Publika.

Charles Kurzman (2002), Modernist Islam 1840-1940: A Sourcebook. USA: Oxford University Press.

Hamka (2010), Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor. Shah Alam: Pustaka Dini.

Roxanne, L. Euben, Muhammad Qasim Zaman (eds.) (2009), Princeton Readings in Islamist Thought:  From al-Banna to Bin Laden. Princeton: Princeton University Press.

Solichin Salam (1963), K.H. Ahmad Dahlan Reformer Islam Indonesia. Jakarta: Penerbit Jajamurni.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/sang-pencerah-kiyai-haji-ahmad-dahlan-dan-gerakan-muhammadiyah/