Prakata kepada buku Seruan Islah Syed Shaykh al-Hady

April 21, 2018 by Ahmad Farouk Musa

Janganlah tertipu-daya kamu dengan angkatan dan pangkat kebesaran gelaran pembesar-pembesar kamu kerana mereka itulah asal segala bala yang telah menimpa ke atas kamu ini dan mereka itulah sehingga masa ini sebesar-besar penolong segala bangsa-bangsa yang telah menindih dan hendak menindih kamu akan kamu.

[Syed Shaykh al-Hady, Teriak Sebenar, Al-Ikhwan, 1 (2), 16 Oktober, 1926]

Demikian itulah teriakan Syed Shaykh al-Hady lebih kurang se-abad yang lalu. Seruan kepada orang Melayu untuk membebaskan diri daripada cara hidup tradisional mereka dan daripada bergantung kepada ketua kaum mereka, kerana mereka akan menjadi hamba kepada tuan mereka, yang akan mengheret kepada penindasan mereka yang berterusan. Mereka harus sebaliknya berusaha untuk memodenkan masyarakat mereka, ekonomi mereka, dan sistem pendidikan mereka sebelum mereka ditinggalkan selama-lamanya oleh bangsa lain di negara ini. Cara hidup golongan elit pemerintah secara moralnya korup, tidak senonoh dan zalim dan dijahanamkan oleh metode pengajaran ulamā konservatif, yang kerananya, ummah telah tenggelam dalam keadaan yang mengerikan.

Al-Hady, yang pada umumnya dianggap sebagai Khalifah Kaum Muda; tidak hanya menfokuskan kritiknya kepada pemimpin feudal Melayu dan ulamā konservatif, tetapi juga terhadap penjajah British. Dalam jurnal berkalanya al-Ikhwan, al-Hady menulis: “kerana jika kita sedar dan masih punya daya fikiran, lantas bagaimana boleh kita izinkan kaum yang lain untuk menjajah kita, untuk menjadi penjaga kita di watan kita yang tercinta?”

Tetapi tentunya, serangannya yang paling keras adalah terhadap mereka yang bergelar ulamā tradisional yang telah dengan tegar cuba mempertahankan monopoli yang eksklusif ke atas wacana Islam. Makanya tidak aneh lantaran itu apabila al-Hady menulis dalam makalahnya ‘Perchayakan Ulamā’ dalam jurnal berkalanya al-Ikhwan “Tidakkah wajar bagi kita untuk bertanya dan menyelidik? Adakah hanya perkataan orang lain sudah cukup? Selah-olah sebarang penelitian pada firman Allah dan NabiNya adalah nescaya berbuat salah, kerana hal ini akan menunjukkan kekurangan kepercayaan kepada ulamā, dan justeru, kita akan menyimpang keluar dari batas Islam! Siapa di kalangan ulamā yang berani mengatakan semacam itu? Melainkan penjaja agama yang menyara hidup mereka di atas nama Islam, walaupun Islam ingin untuk menjauhkan dirinya daripada mereka sejauh yang mungkin.” Lantaran itulah Syed Shaykh al-Hadi dan Kaum Muda berhujah bahawa bukan semua perkataan yang diucapkan oleh ulamā itu benar dan wajib diterima sepertimana kita menerima apa yang tertulis di dalam al-Qur’ān.

Perjuangan Syed Shaykh al-Hady dan angkatan yang semasa dengannya seperti Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Haji Abu Bakar al-Ashaari, Dr Burhanuddin al-Helmi, Haji Abbas Mohamad Taha, Sheikh Mohamad Salim al-Kalili dan Zainal Abidin Ahmad atau lebih popular dikenal sebagai Pendeta Za‘ba, pada asasnya adalah penerusan daripada perjuangan para pemikir reformis, Sheikh Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Redha di Mesir. Tak syak lagi, al-Hady termasuk salah seorang daripada pemikir yang paling revolusioner dan aktivis Islam pada zamannya. Dan melaluinya dan mereka yang kontemporer dengannyalah, idea-idea radikal Muhammad Abduh dan Rashid Redha diperkenalkan kepada masyarakat Melayu Islam di Semenanjung Tanah Melayu.

Lebih daripada seabad yang lalu, iaitu abad kesembilan belas di mana perjuangannya pertama kali bermula jauh di tanah Mesir, Jamaluddin al-Afghani mengajukan pertanyaan tentang punca kejatuhan peradaban Islam. Pada al-Afghani, faham ortodoks agama yang dipertahankan oleh ulamā, dan juga pemerintah yang zalim yang menunggang ulamā untuk mendukung rejim mereka, adalah sumber utama kepada kejumudan. Dan pengambilan hanya satu tafsiran agama yang tertentu sahaja oleh pemerintah bagi mempertahankan orde sosial yang berguna bagi kelangsungan hayat rejim; adalah juga sebab bagi kejatuhan.

Maka tidak aneh justeru apabila Syed Shaykh al-Hady mengisytiharkan idea yang sama bahawa elit pemerintah tradisional dan ulamā tradisional-lah yang pada dasarnya bertanggungjawab melumpuhkan umat Melayu Islam dan membiarkan mereka dalam keadaan yang jelek dan kondisi yang tidak berdaya. Dalam jurnal Al-Imam – kemungkinan besar dirumus daripada gelar Ustazul Imam Muhammad Abduh – al-Hady berkata: ‘Kita telah memperdaya diri kita dengan meminum racun kelesuan yang lazat, yang dikenakan ke atas kita oleh pemimpin kita, dan dengan itu kita telah memilih bagi diri kita penyakit penipuan dan kemunafikan sehingga kita tidak mampu melakukan lebih daripada meraung dan merayu kepada Tuhan: Ya Allah, kami telah taat kepada Penghulu-penghulu kami dan ketua-ketua agama kami dan mereka telah menyesatkan kami. Mereka adalah kepala dan kami adalah ekor. Mereka adalah benih daripada semua malapetaka dan kesengsaraan. Mereka adalah pemboros dan raja segala kejahilan. Mereka adalah pangkal daripada semua penderitaan dan nasib malang.’

Jurnal Al-Imām, yang al-Hady terbitkan bersama, adalah instrumen utama kaum reformis dalam menyebarkan idea-idea pembaharuan mereka. Ia bertujuan untuk menghidupkan semula ajaran-ajaran Islam di rantau ini dan untuk memperkenalkan semula konsep Islam tentang kehidupan dan ibadah yang bebas daripada bid‘ah yang sesat dan unsur-unsur yang membahayakan yang lain yang asing daripada sifat agama. Humanisme dan rasionalime adalah ciri yang menonjol daripada projek kaum reformis. Kerangka fundamentalnya dengan implisit dirangka untuk mengingatkan mereka yang terlupa, untuk menyedarkan mereka yang terlena, dan untuk memimpin mereka yang tersesat, dan untuk menyampaikan khabar yang membawa harapan kepada mereka.

Al-Imām menganjurkan pandangan dunia yang dinamik dan progresif dan menerbitkan karya-karya yang kuat mencerminkan ideal dan aspirasi jurnal berkala yang ia ikuti – al-Manar  - yang diusahakan oleh Abduh dan Redha – dan juga pemikiran reformis lain yang telah berkembang di Eropah. Maka dapatlah dibayangkan justeru apabila al-Imām dikatakan menjelmakan dirinya sebagai penerusan daripada gerakan reformis Eropah yang dibawa Martin Luther di dunia Melayu, yang berpusat di atas idea pencerahan.

Pada al-Hady, seruan Islam yang sebenar adalah bagi kemajuan duniawi. Pencarian selanjutnya bagi kenikmatan yang kekal di akhirat bukan alasan untuk meninggalkan usaha bagi kehidupan yang lebih baik di dunia ini. Makanya dapatlah difahami mengapa al-Hady menuduh ulamā agama tradisional sebagai kehilangan semua kemampuan untuk memahami seruan yang sebenar daripada agama mereka yang murni. Pada al-Hady, untuk merubah kondisi manusia adalah pertamanya dengan merubah sikap mereka kepada kehidupan di dunia ini. Dan bahawa, sebarang bentuk ibadah, yang tidak membantu pembangunan individu Muslim atau mempunyai sebarang keutamaan dan manfaat sosial yang praktikal kepada masyarakat pada hakikatnya, gagal untuk memenuhi semangat yang sebenar daripada hakikat ibādah itu sendiri.

Pada al-Hady, umat Islam tidak boleh mengharapkan perubahan dengan hanya duduk dan berdo’a dan bahawa mukjizat dan karamah akan berlaku. Mereka tidak harus mempunyai kepercayaan yang karut ini bahawa tiap sesuatu di dunia ini telah ditentukan bagi mereka. Seolah-olah, sekeras manapun mereka berusaha, apa yang telah ditakdirkan kepada mereka tidak akan berubah. Kerana akibatnya adalah, umat Islam akan menjadi golongan yang paling terkebelakang dan tidak produktif dalam sumbangan mereka kepada sains dan teknologi, dan kepada peradaban manusiawi.

Selanjutnya, umat Islam perlu untuk membebaskan diri mereka daripada teologi Ash‘ariyyah yang jumud dan pasif. Generasi Islam yang terawal tidak hanya duduk menantikan al-Mahdi datang untuk menyelamat dan menuntun mereka. Penolakan yang serupa itulah yang merupakan pemangkin utama bagi percambahan ummah dan peradaban mereka terdahulu. Pemahaman al-Qur’an telah menggemparkan tanah Arab, dan menyatukan bangsa dan umat yang lahir daripada percakaran dan pertembungan kabilah yang keras; dan dalam beberapa dekad, al-Qur’an menyebarkan faham dan pandangannya yang menerobos jauh melewati wilayah dan sempadan Arab dan membentuk sebuah masyarakat berideologi yang pertama dalam sejarah manusia; dengan menekankan kekuatan ilmu dan kesedaran aqliah. Ia menjana semangat intelektual yang tinggi di kalangan penganutnya, memupuk kemahuan yang keras serta kebebasan berfikir, yang akhirnya mencetuskan era yang amat mengkagumkan daripada ilmu pengetahuan dan penemuan saintifik yang meyuguhkan dunia Islam di puncak ketrampilan budayanya. Demikian inilah intipati daripada perjuangan dan ajaran Ustazul Imam Muhammad Abduh, yang mempunyai pengaruh yang terbesar dalam pemikiran Syed Syaikh al-Hady.

Tetapi kemungkinan agenda jurnal al-Imām yang terpenting sebagaimana yang disebarkan oleh Syed Shaykh al-Hady dan Kaum Muda, adalah untuk membela akal (‘aql) dan kemerdekaan fikiran (ijtihād). Sesungguhnya penelitian dan pentafsiran yang baru terhadap dasar-dasar agama adalah perlu ketimbang daripada bergantung kepada tradisi dan para penafsir Islam yang lepas. Prinsip ini jelas bergema dengan prinsip dan idealisme Muhammad Abduh dalam membela akal dan penelitian akliah dalam bentuk ijtihad, mengatasi daripada apa yang didakwa pergantungan buta atau taqlid kepada pendapat-pendapat fuqaha’ abad pertengahan.

Muhammad Abduh telah mengisytiharkan dalam karyanya yang terpenting Risalah at-Tawhid, yang dibaca dan dikutip oleh al-Hady; bahawa al-Qur’an mengarahkan kita menerapkan prosedur yang rasional dan penelitian intelektual dalam manifestasi cakerawala ini, sejauh yang mungkin, dalam segala butirannya, agar ia dapat membawa pada keyakinan dalam perkara yang ia tuntuni.

Tetapi jelas sikap umat Islam pada zaman al-Hady, dan malah pada hari ini; yang mempunyai kecenderungan untuk beralih kepada tafsiran harfiah daripada “teks” (nas), dan menyangkal apa jua yang jatuh dalam lapangan “akal”; telah menyumbang kepada kebekuan intelek dan kemerosotan kondisi ummah itu sendiri.

Dan hujah Abduh bahawa agama tidak akan sesekali berbentur dengan sains dan bahawa akal akan tentunya menerima dogma agama setelah menguji kesahihan dalil daripada kebenarannya; benar-benar mempunyai kesan yang mendalam ke atas pemikiran al-Hady. Beliau begitu terkesan dengan hujah ini sehingga beliau menyusun karya bertajuk Kitab Agama Islam dan Akal di mana beliau menjabarkan idea-idea Abduh dalam istilah yang mudah bagi pembaca Melayu.

Di dalam buku jugalah, al-Hady telah melancarkan serangannya terhadap golongan konservatif daripada golongan Ash‘ari dan kaum Sufi, yang bermusuh dengan kelompok kaum Muslimin yang menganjurkan idea tentang modernisme Islam. Pada al-Hady, bagi orang Melayu dan kaum Muslimin untuk maju, mereka harus sanggup untuk bersaing dengan penakluk mereka. Matlamat yang fundamental daripada agenda reformasinya adalah untuk merekonstruksi semula pandangan dunia Islam yang moden dan menyesuaikan kepada keperluan moden dari peradaban yang dinamik. Al-Hady berkata: ‘Apabila masyarakat pribumi mempunyai pendidikan yang setanding dengan penjajah, mengikut cara penjajah ini mendidik anak-anak mereka, terjun ke dalam sebarang industri dan profesyen, menggunakan perisai yang sama dalam pertarungan hidup; maka pastinya mereka akan dapat terus bertahan dan bersaing dengan orang-orang asing’.

Justeru ia tidak mengejutkan bahawa al-Hady juga menyerang kaum Tareqat dan Sufi kerana penekanan mereka yang berlebihan terhadap aspek-aspek eskatologi Islam, yang beliau rasakan membawa manusia jauh daripada tanggungjawab duniawi mereka.

Tiada syak lagi sekalian penjaja-penjaja agama dan penjual-penjual azimat atau penjinjit tasbih atau pemusing akal perempuan dan segala pengikutnya akan mengatakan saya dengan sebab karangan saya ini seberapa daya upayanya daripada segala perkataan yang jahat-jahat, tetapi tiada saya endah akan perkataan mereka itu selama saya menyeru dengan seruan Qur’ān. Kepada Allah jua saya bergantung.

[Syed Sheikh al-Hadi, Saudara, 27 Oktober 1928]

Maka tiada sekelumitpun keraguan bahawa perjuangan Syed Shaykh al-Hady dan Kaum Muda dalam percubaan mereka untuk membebaskan pemikiran golongan Melayu Islam daripada belenggu konservatisme agama, masih relevan di zaman moden kita. Kini, masyarakat Melayu-Islam berada di persimpangan sejarah sekali lagi. Tetapi kali ini, mereka kelihatan terperangkap antara tiga alternatif yang tampak tidak dapat didamaikan iaitu: aliran konservatif yang terus berjuang bagi penguasaan dan kedaulatan Melayu dan teologi Ash‘ariyyah;, aliran revisionis yang menginterpretasi semula agama ke dalam pandangan dan pemahaman harfiah dan sifat eksklusifnya, dan yang ketiganya, aliran modernis yang mendakap akal dan rasionaliti.

Dan akhirnya, tanpa ragu, setelah membaca keseluruhan bab dalam buku ini, kita sampai kepada kesimpulan yang tidak terbantahkan bahawa kehidupan dan visi Syed Shaykh al-Hadi telah dengan jelas digarap dan dibentangkan dengan terang dan tepat sekali. Kerana da‘wah dan jihad Kaum Muda telah digembleng dalam abad ini di Kepulauan Tanah Melayu ini oleh pelbagai ormas dan badan pemikir; di mana Islamic Renaissance Front, tidak terkecuali. Mudah-mudahan usaha ini diberkati oleh Tuhan, kerana perjuangan Syed Shaykh al-Hady dan mereka yang kontemporer dengannya di kalangan Kaum Muda adalah usaha yang tidak harus dibiarkan terbenam dan dilupakan dalam lipatan sejarah.

 


Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa adalah Pengarah Islamic Renaissance Front, badan pemikir yang komited membebaskan pemikiran umat Islam daripada pandangan konservatif dan ortodoks yang tegar; dan memfokuskan kepada islāh dan tajdīd dalam pemikiran Islam. Buku Seruan Islah Syed Shaykh al-Hady ini akan diluncurkan pada Sabtu, 7 July di Concorde Hotel, Kuala Lumpur oleh Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin.




View original article at: http://irfront.net/post/articles/prakata-kepada-buku-seruan-islah-syed-shaykh-al-hady/