Islah dan Reformasi dalam Pemikiran dan Perjuangan Syed Shaykh al-Hady

June 13, 2018 by Saari Sungib

Syed Shaykh al-Hady adalah satu nama besar dalam dunia Islam di mana perjuangannya adalah berpaksikan kepada langkah-langkah untuk mengangkat martabat dan maruah anak bangsa yang telah dijajah oleh kuasa-kuasa asing. Jika jiwa tidak terbangun untuk bangkit melawan maknanya bangsa itu telah kehilangan identiti. Bila sudah tiada identiti dan tiada maruah diri untuk apa pula mahu berjuang. Persoalan sekitar kemelut umat Melayu Islam ketika itu adalah persoalan kepimpinan—iaitu kepimpinan diri, kepimpinan keluarga, kepimpinan komuniti dan kepimpinan ummah.

Syed Shaykh adalah pejuang tegar yang seangkatan dengan tokoh-tokoh seperti Shaykh Muhammad Tahir Jalaluddin, Haji Abu Bakar Al-Ash‘ari, Dr Burhanuddin Al-Helmi, Haji Abbas Mohamad Taha, Shaykh Mohamad Salim Al-Kalili dan Zainal Abidin Ahmad lebih dikenali sebagai Pandita Za’ba. Kelompok pejuang ini kesemuanya pada dasarnya adalah penerusan daripada perjuangan para pemikir reformis, iaitu Shaykh Jamāl al-Dīn al-Afghānī, Muhammad ‘Abduh dan Rashīd Rida di Mesir. Tanpa ragu, Syed Shaykh adalah salah seorang daripada pemikir yang paling revolusioner dan aktivis Islam pada masanya.

Tanpa diragui lagi, melalui Syed Shaykh serta tokoh-tokoh seangkatan dengannyalah, idea-idea radikal Muhammad ‘Abduh dan Rashīd Rida diperkenalkan kepada masyarakat Melayu Islam di Semenanjung Tanah Melayu.

Syed Shaykh al-Hady amat bencikan penindasan. Lebih dahsyat lagi apabila penindasan itu dilakukan oleh segelintir manusia terhadap suatu kelompok bangsa lain. Keadaan ini katanya akan terus mengukuhkan satu kitaran kezaliman, iaitu merupakan perhambaan manusia ke atas manusia. Di mana pihak yang diperhamba itu telah mati akal budi manakala semangat melawan dalam dirinya sudah lumpuh. Ketika itu apa yang mampu dilakukannya hanyalah mengikut dan melaksanakan arahan daripada tuannya semata-mata.

Bagi Syed Shaykh, paling jahanam adalah apabila rangkaian serta hierarki perhambaan ini telah berjaya mewujudkan sekumpulan pemimpin elit di kalangan anak-anak peribumi yang secara senang hati dan reda menjadi proksi bagi sang penjajah yang korup moralnya dan suka makan rasuah lantaran itu menjadi golongan yang menghisap darah bangsanya sendiri.

Melalui penulisannya yang tajam, Syed Shaykh sering mengkritik golongan intelektual muda yang juga termasuk golongan ‘ulamā’. Hal ini kerana Syed Shaykh tidak sanggup membiarkan para ‘ulamā’ hanya mengulang-ulang kisah lama. Demikian ini berlaku sama ada kerana para ‘ulamā’ tidak dapat mengkonsepsikan hal-ehwal sosio-ekonomi dan politik semasa satu ataupun gagal melihat dan membaca secara global realiti amalan penindasan dan perhambaan sesama manusia. Keadaan membiarkan para ‘ulamā’ bercakap dan berbahas di sekitar perkara-perkara tradisional yang memang puluhan tahun telah dibicarakan oleh mereka yang sering hadir ke halaqah-halaqah ilmu para ‘ulamā’ guru-guru mereka. Ramai di kalangan mereka tidak ada keupayaan untuk  mengupas tajuk-tajuk penting sekitar geopolitik serta hegemoni negara-negara Eropah yang semakin kukuh cengkamannya ke atas negara-negara yang menjadi tanah jajahan mereka.

Para ‘ulamā’ selesa dengan status mereka sebagai tempat rujukan orang ramai berkenaan kemusykilan agama. Bahkan, selama orang yang berpendidikan agama mendapat kepercayaan rakyat terhadap mereka maka itu sudah cukup baik dan memadai bagi mereka. Bukan setakat itu saja, bahkan bertambah kukuh pula pengaruh para ‘ulamā’. Perkara ini berlaku dek kerana keyakinan telah diberikan oleh masyarakat terhadap peribadi diri mereka, bukan atas dalil-dalil yang dikemukakan serta kualiti penghujahannya.

Laungan nyaring Syed Shaykh al-Hady adalah agar minda angkatan muda dilatih melalui perbahasan agar keupayaan berhujah dapat ditingkatkan. Dengan itu anggota masyarakat akan dibudayakan untuk menghayati bahawa bukan semua perkara yang diucapkan oleh ‘ulamā’ itu benar dan wajib diterima sepertimana kita menerima dalil-dalil al-Qur’an dan as-Sunnah.

Dengan itu bersama dan berpadulah peranan para ‘ulamā’ untuk membebaskan diri daripada cara hidup tradisional mereka dan daripada bergantung kepada pimpinan yang tidak mahu berubah daripada kubu-kubu konservatif dan tradisional mereka. Bahkan para ‘ulamā’ hendaklah berusaha untuk memajukan masyarakat mereka dari segala segi terutamanya sosio-ekonomi dan politik serta mengemukakan sistem pendidikan bersepadu untuk umat Islam.


YB Saari Sungib adalah ADUN Hulu Kelang dan Mantan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM). Buku Seruan islah Syed Shaykh al-Hady ini akan diluncurkan pada hari Sabtu, 7 July di Concorde Hotel, Kuala Lumpur oleh Sahibus Samahah Dato' Arif Perkasa DR Mohd Asri Zainul Abidin




View original article at: http://irfront.net/post/articles/articles-malay/islah-dan-reformasi-dalam-pemikiran-dan-perjuangan-syed-shaykh-al-hady/