Uraian “Golongan Muslim Pertama: Sejarah dan Memori

July 12, 2018 by Ahmad Nabil Amir

Golongan Muslim Pertama: Sejarah dan Memori ini membawa kita meninjau dan menjejaki sïrah dan praktik generasi Islam pertama yang terlakar dalam sejarahnya yang terawal. Di sinilah bertemu lakaran penting tentang tradisi perjuangan yang mendalam yang dipelopori dan ditegakkan dalam sejarah Islam oleh kaum salāf dalam kurun Hijri-nya yang pertama. Melalui buku ini Professor Asma Afsaruddin mencatatkan kesannya tentang kehidupan dan legasi kaum Muslimin yang pertama dan kesan-kesan yang ditinggalkan dari sejarah perjuangan mereka yang dinamik dan menentukan.

Beliau melihat era yang revolusioner dalam sejarah awal Islam di mana suatu dokumen yang bersifat egaliter yang telah berupaya untuk menggabungkan mereka yang daripada pelbagai kaum, suku, dan latarbelakang. Ia berupaya menggabungkan golongan Muhājirūn dan Ansār, Muslim dan Yahudi di Madinah, patuh kepada satu perlembagaan yang dipanggil Sohifah al-Madïnah. Mereka tunduk pada sebuah kerajaan dalam masyarakat majmuk tersebut. Dokumen itu dianggap sebagai perintis kepada perlembagaan pada kurun ke-tujuh yang memberikan mereka tugas dan tanggungjawab yang spesifik, termasuk jaminan ke atas agama dan harta benda mereka.

Beliau juga cuba untuk berhujah menangani interpretasi golongan yang ekstrim yang cuba mempamirkan Islam yang bengis yang kononnya disandarkan pada sïrah Rasulullah. Secara khusus, beliau menyelidik tentang apa itu sebenarnya jihād (al-jihad fi sabilillah) yang sering dikaitkan dengan perang. Dengan terjemahan yang bersifat semantik yang diraih daripada al-Qur’ān dan hadith, beliau mengajukan interpretasi tentang jihad yang membawa ertikata usaha yang bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri sendiri serta menyumbang kepada kebajikan keluarga dan masyarakat. Namun dengan merujuk kepada satu riwayat daripada ‘Abd al-Razzaq, beliau menemui satu lagi keutamaan jihād iaitu suatu aktiviti ketenteraan yang merupakan satu usahasama antara golongan Muslimin dan Yahudi. Dalam ertikata bahawa pertahan dalam ketenteraan tidak hanya khusus bagi kaum Muslimin semata malahan juga mereka yang berlainan agama oleh kerana ia adalah tanggugjawab moral demi menghalang kerosakan di mukabumi (al-fasd fil-ard, al-Qur’an, 5:32). Huraiannya ini merupakan suatu alternatif kepada fenomena baru tafsiran puak ekstremis masakini yang sering bergelumang dengan budaya takfir.

Falsafah yang diketengahkan tentang nilai kehidupan dan pemikiran Muslimin pertama dalam buku ini menjadi asas penting dalam memahami dan menggarap idealisme dan keutamaan Islam dalam kehidupan moden. Terjemahan ini krusial dalam memperkenalkan kepada khalayak Melayu kesan penting yang dijelmakan daripada sejarah kehidupan dan perjuangan yang digerakkan kelompok Islam terawal dalam menegakkan pandangan tauhid dan mempertahankan ruh dan visi perjuangan yang mencabar. Dengan menginsafi sejarah perjuangan Rasul dan para Sahabat dalam menggalang misi wahyu, kita dimatangkan oleh perjuangan dan pandangan hidup mereka yang inklusif, dalam usaha merangkul serta mempertahankan warisan pemikiran dan harakat perjuangan mereka yang bermakna dan mengilhamkan.


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front dan sarjana Kedoktoran dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya. Buku Golongan Muslim Pertama: Sejarah dan Memori ini akan diluncurkan pada 21 Julai 2018 di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.

 

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/uraian-golongan-muslim-pertama-sejarah-dan-memori-2/