KERAJAAN PERLU SEGERA MERATIFIKASI ICERD DEMI KEHARMONIAN MASYARAKAT  || 31 Oktober, 2018

October 31, 2018

Kenyataan Media
KERAJAAN PERLU SEGERA MERATIFIKASI ICERD DEMI KEHARMONIAN MASYARAKAT  || 31 Oktober, 2018

 

Kami daripada Islamic Renaissance Front (IRF) memberi perhatian terhadap isu ratifikasi ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) yang sedang hangat dipolemikkan oleh masyarakat pada akhir-akhir ini.

Secara ringkasnya, ICERD merupakan sebuah konvensyen di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berasaskan prinsip maruah (dignity) dan kesamarataan (equality) terhadap kesemua manusia, bahawa semua manusia adalah sama rata di sisi perundangan berhak mendapat perlindungan saksama daripada sebarang diskriminasi dan hasutan untuk mendiskriminasi.

Apabila kerajaan meratifikasi ICERD, maka kebaikan paling penting yang akan diterima adalah penghapusan kepada segala diskriminasi perkauman, agama, ras, keturunan, gender, fizikal, dan sebagainya yang akan memberi kebaikan kepada masyarakat Malaysia untuk hidup secara harmoni dan melayani setiap anggota masyarakatnya secara bermaruah dan berperikemanusiaan. Isu diskriminasi dalam bidang pekerjaan, pendidikan, hak bersuara, hak keselamatan, kebebasan, dan sebagainya tanpa mengira warganegara ataupun bukan warganegara tidak lagi timbul.

Sesebuah masyarakat tidak akan dapat hidup harmoni sekiranya wujudnya unsur-unsur kebencian ataupun sikap tidak bertoleransi yang akan menimbulkan prejudis dan prasangka lalu menimbulkan suasana yang tidak aman. Banyak kes yang telah berlaku sama ada di dalam negara mahupun luar negara yang berakibat daripada amalan diskriminasi ini sehingga wujudnya ketidaktenteraman sosial.

Allah SWT telah berfirman di dalam al-Qur'an yang bermaksud, "Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam." (Surah al-Isra': 70). Firman Tuhan tersebut memberi penegasan bahawa setiap manusia adalah mulia dan sama-rata, justeru tidak wajar ada mana-mana manusia yang dengan sewenang-wenangnya melakukan penghinaan terhadap manusia lain dengan mendiskriminasi mereka tanpa mengira apa-apa perbezaan identiti sekalipun. Setiap manusia harus melayani sesama manusia yang lain dengan seadanya.

Diskriminasi ini datang dalam pelbagai bentuk, seperti penghinaan terhadap warna kulit, memulaukan kelompok tertentu, memandang rendah seseorang disebabkan faktor gender, menghasut masyarakat untuk merendah dan mengancam kelompok tertentu, pembulian siber, dan banyak lagi tingkah laku diskriminasi lain yang boleh mengancam keselamatan masyarakat. Kesannya amat besar terhadap mangsa diskriminasi, sama ada dari sudut fizikal mahupun emosional.

Dalam hal ini, suatu kerisauan utama masyarakat adalah ratifikasi ICERD oleh pihak kerajaan akan menyebabkan terhapusnya Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi kedudukan keistimewaan kepada orang Melayu dan bumiputera.

Ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan di sini bagi menjawab kekeliruan pihak yang tidak menampilkan konteks ICERD secara keseluruhan sebelum membuat petisyen bantahan.

Pertama, ratifikasi ICERD tidak akan menggugat Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 1, 2, dan 3 dalam Artikel 1 bagi ICERD itu sendiri sudah menjamin bahawa ICERD tidak akan terpakai terhadap mana-mana negara yang memperuntukkan dalam perundangannya tentang perlindungan terhadap kelompok etnik atau ras tertentu bagi memastikan kumpulan tersebut menikmati hak asasi manusia dan kebebasan fundamental yang sama rata serta merapatkan jurang ekonomi antara kaum. Tindakan afirmatif terpimpin dan bermatlamat sebegitu tidak dianggap sebagai diskriminasi perkauman menurut peruntukan di dalam ICERD. ICERD menuntut pihak kerajaan menjadi lebih terbuka dengan menyatakan sebab kenapa tindakan-tindakan khas(special measures) itu perlu dilaksanakan.Hal ini bagi memastikan langkah-langkah demikian tidak disalah guna oleh pihak-pihak berkepentingan.

Jadi, ICERD secara jelas selari dan tidak bercanggah dengan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan dari sudut intipati dan tujuan yang hendak dicapai. Dan momokan-momokan bahawa ratifikasi ICERD akan menyebabkan MRSM ditutup, MARA dibubar, Tanah Rizab Melayu dihapuskan, penutupan UiTM dan pelbagai lagi penghapusan hak-hak keistimewaan Melayu dan bumiputera yang lain adalah sesuatu yang tidak akan berlaku dan sekadar berhujah di atas prasangka semata-mata.

Kedua, ratifikasi ICERD tidak akan merendahkan Perlembagaan Persekutuan, kerana Perkara 4(1) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang tidak selaras dengan perlembagaan adalah tidak sah. Bahkan bagi sebuah negara yang menerima pakai sistem ‘dualist’, undang-undang antarabangsa tidak akan secara automatik berkuatkuasa di Malaysia melainkan setelahdibahasakan dan diluluskan oleh Parlimen. Maka, ratifikasi ICERD sama sekalitidak akan menggugat Perlembagaan, bahkan memperkasakan hak-hak madani yang diangkat Perlembagaan.

Ketiga, berhubung dengan kebimbangan bahawa ratifikasi ICERD akan menyebabkan campur tangan antarabangsa terhadap Malaysia, ia harus dimaklumi bahawa Piagam PBB pada Bab 1, Artikel 2, Perkara 4, telah memperuntukkan bahawa tidak boleh ada campur tangan terhadap integriti wilayah dan kebebasan politik bagi mana-mana negara. Jadi, ratifikasi ICERD tidak akan menjadikan kedaulatan negara tergadai, mengikut telunjuk PBB, atau apa-apa sangkaan berkaitan yang tidak munasabah. Malaysia adalah sebuah negara berdaulat, ratifikasi undang-undang antarabangsa yang mengangkat nilai-nilai kemanusiaan secara tidak lansung menzahirkan kemadanian Malaysia.

Oleh sebab itu, ratifikasi ICERD ini sebenarnya memberi lebih banyak kebaikan dalam memastikan setiap masyarakat menerima layanan secara sama rata tanpa diskriminasi agar mereka dapat hidup secara harmoni dan demokratik. Pihak kerajaan berhak membawa perbincangan mengenai ICERD ini ke parlimen untuk diperbahaskan bagi mendapat persetujuan secara demokratik dan menerima pakai serta mentafsir ICERD ini sesuai dengan konteks Malaysia.

Dalam masa yang sama, intipati ICERD yang membawa maksud yang baik ini tidak wajar diketepikan bagi membina masyarakat harmoni. Hanya pihak yang seringkali melaungkan seruan-seruan yang bersifat rasis dan menghala kepada tujuan diskriminasi sahaja – walaupun mereka berjenama Islam – yang tidak akan selesa dengan objektif ICERD yang ingin menghapuskan segala anasir rasisme dan diskriminasi perkauman.

Sesungguhnya, Islamic Renaissance Front telahpun menyeru kepada ratifikasi ICERD ini semenjak tahun 2012 dengan meluncurkan petisyen atas talian (online petition) dan kempen Katakan Tidak Kepada Rasisme (Say No To Racism) dan tetap berprinsip bahawa kerajaan Malaysia haruslah meratifikasi ICERD ini tanpa melengah-lengahkannya lagi.

 

Ahmad Muziru Idham
Felo Advokasi
Islamic Renaissance Front

 

 

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/kerajaan-perlu-segera-meratifikasi-icerd-demi-keharmonian-masyarakat-31-oktober-2018/