Kemanusiaan Dalam Beragama: Persoalan Asas & Kritikan Sosial
December 19, 2022

Oleh: Abdul Rahman Sayuti || 19 Disember 2022

Agama mempunyai bahasa universal yang melampaui batas perkauman, tempat dan pengalaman kolektif tersendiri. Agama juga boleh menjadi pembatas yang eksklusif bagi sesuatu kumpulan, tempat atau kaum dengan masyarakat yang lain. Persoalan di sini adalah, bagaimanakah secara logiknya kitab-kitab suci dan dasar kepercayaan itu diterjemahkan oleh agamawan daripada setiap agama sebagai bahasa universal bagi menjalin komunikasi dialog dalam komuniti pemeluk agama itu sendiri dan masyarakat?

Mampukah mereka menterjemahkan ajaran agama yang diyakini benar itu sebagai bentuk keperihatinan terhadadap persoalan kemanusiaan? Masalah akan menjadi berbeza ketika beberapa kelompok agama dalam semua pemeluk agama menjadikan agama dan Tuhannya bagi kepentingan politik dan ekonomi yang sempit yang hanya menguntungkan kumpulan dan dirinya sendiri. Hasilnya, agama dan Tuhan hanya akan menjadi pengesah kebenaran dan kebaikan secara sepihak.

Berdasarkan kepercayaan kebenaran sendiri itulah yang menjadikan setiap tindakan pemeluk agama dan elit agamawan menjadi selalu benar dan sah untuk melakukan apa-apa tindakan menindas dan mengganggu kewujudan komuniti pemeluk agama lain serta menafikan pemeluk agama yang sama yang mempunyai kefahaman dan kecenderungan yang berbeza.

Di sinilah peranan agama yang terlembaga atau terinstitusi akan mengalami kepincangan dan gagal memenuhi fungsi kewujudannya bagi menyelesaikan masalah kemanusiaan, kemiskinan dan nasional. Berperang dan berbalah merebut kebenaran dan kebaikan menurut versi kita sendiri walaupun kita sedar setiap tindakan kita bukan sahaja tidak sedikitpun membantu menyelesaikan masalah, bahkan membuat majoriti masyarakat makin terkeliru, merana dan menderita.

Doktrin Kemanusiaan

Sudah sampai waktunya wahyu dan ajaran Tuhan ditafsirkan sebagai doktrin 𝐊𝐄𝐌𝐀𝐍𝐔𝐒𝐈𝐀𝐀𝐍. Kesalehan dalam beragama haruslah diertikan sebagai kepedulian dan sekaligus kemampuan menyelesaikan krisis kemanusiaan, masalah ekonomi dan kemiskinan malahan masalah nasional. Jika para agamawan serta pemeluk agama yang menyatakan dirinya yang paling soleh itu gagal membuktikan kepedulian kemanusiaan, maka agama yang diyakini dan dipeluknya hanya menjadi alat tunggangan demi kepentingan politik dan ekonomi bagi kelompoknya sendiri sahaja.

Tuhan pun akan marah ketika melihat betapa umat yang menyakini kebesaran dan kebenaran wahyu-Nya ternyata menjadi pecundang, penyimpang dan penindas kemanusiaan. Namun ketika agama dikenali sebagai parti politik, Lembaga, institusi atau NGO dan simbol fizik, maka ia secara tidak sengaja menjadikan pemeluk agama lain seperti ajaran cinta, kasih sayang dan rahmah hanya berlaku bagi diri dan kelompok seagamanya sendiri. Orang lain yang berbeza agama dan kepercayaan  bukan sahaja seolah-olah tidak berhak menerima rahmat dan cinta, malah akan dianggap sebagai pendosa dan kafir yang layak diperlakukan secara tidak adil dan tidak berperikemanusiaan.

Perkara ini juga berlaku kepada penganut agama yang sama tetapi berbeza pendekatan, corak kefahaman dan berbeza organisasinya. Persoalan utama di sini adalah, apakah kita bersedia mengembangkan model keagamaan universal (Rahmatan Lil-Ālamin) yang bukan hanya memenuhi aturan formal ritual ibadah semata-mata, bahkan turut memberi tumpuan kepada kemanusiaan, penderitaan manusia, dan krisis nasional di luar batas kepartian serta kelompok institusi keagamaan dan perkauman?

Adakah para agamawan, pemeluk Islam, serta gerakan-gerakan keagamaan terlibat aktif dalam mencari penyelesaian di atas? Ataupun mereka hanya sekadar sibuk bertarung, berbalah dan bersengketa merebut kebenaran dan kebaikan menurut versi mereka tersendiri sedangkan penderitaan masyarakat dan masalah kemiskinan saban hari makin membimbangkan?

Masyarakat Pluralisma Dan Kemerdekaan Beragama

Menurut Abdulaziz Sachedina dalam bukunya The Islamic Roots of Democratic Pluralism, beliau dengan tegas membezakan antara kebenaran agama dengan fanatisme agama. Baginya, seorang pemeluk agama semestinya meyakini kebenaran agama yang dianutinya  tetapi tidaklah bermaksud dengan meyakini kebenaran agamanya itu membuatkan ia membentuk kebencian  terhadap agama lain yang berbeza.

Sebaliknya pula fanatisme agama adalah yakin akan agamanya tetapi dalam masa yang sama mencipta permusuhan terhadap agama lain yang berbeza dengannya. Dalam konsep pluralisma, Sachedina beralasan bahawa bukan sahaja perlu untuk meletakan kesedaran dalam keadaan masyarakat plural sahaja, tetapi juga bagaimana kita tidak akan menjuruskan konsep ekslusif itu kepada fanatisme. Lantaran itu amat tepat sekali apa yang disarankan oleh beliau sepertimana yang termaktub di dalam al-Qur’an Surah al-Maaidah ayat 48 yang bermaksud:

Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (fastabiqul khairat); beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.

Asas pemerhatian Sachedina pada ayat ini adalah konsep “fastabiqul khairat” sebagai asas prinsip pluralism yang dibangunkan atas prinsip etika berbuat kebaikan dengan memahami dan mengakui  keterlibatan aktif bersama penganut agama lain. Al-Qur’an jelas dasarnya menganjurkan keterlibatan kerjasama antara agama lain atas dasar ia sebagai  penegak keadilan dan kebenaran kerana menurut beliau, sudah jelas al-Qur’an itu mengiktiraf kemuliaan manusia dan kemerdekaan beragama. Manusia bebas memilih dalam urusan keimanannya sejajar dasar pluralism agama yang mendorong kebebasan dalam beragama.

Maka dalam hal ini, menjamin sebuah masyarakat yang plural dan kebebasan beragama, negara  tidak seharusnya mendokong atau mendominasi wacana agama tertentu sahaja dalam masa yang sama menindas kepercayaan dan penglibatan agama lain mahupun daripada sekte atau mazhab yang berlainan dengan mazhab negara. Semua warganya mempunyai hak untuk melaksanakankan aktiviti kepercayaan agama masing-masing dan haruslah diberi ruang kebebasan yang sebenarnya tanpa sebarang sekatan, pencerobohan dan penindasan.

Seruan Ke Arah Manusiawi

Islam adalah agama yang menuntut kepada seruan pengislahan dan pembaharuan. Kecelakaan yang menimpa ketika ini adalah bagaimana pengamalan atau perlaksanaan undang-undang syariah yang bersifat historis atau pentafsiran klasik yang membentuk wajah syariah itu dilihat sebagai agama yang bersifat ekslusif, menindas, dan melanggar hak asasi kemanusian.

Penganut  agama yang bersifat fundamentalis hari ini menggambarkan wajah permusuhan dan kekerasan. Para Islamis hari ini gagal meletakkan konsep agama sebagai titik kesatuan yang menghubungkan kemajmukan dalam budaya dan agama. Kegagalan ini mengakibatkan wacana intelektual tradisi Islam gagal dikembangkan dalam konteks masyarakat kontemporari.

Seperti yang telah dijelaskan Abdullah An-Naim,  untuk mencapai tahap reformasi yang secukupnya, kita perlu mengenepikan teks-teks al-Qur’an dan sunnah era Madinah kerana teks tersebut memenuhi tujuan yang sementara manakala menerapkan teks-teks pada era  Mekah yang sebelum ini dianggap tidak sesuai tetapi menjadi keperluan mendesak masakini. Demikian itulah yang telah di anjurkan oleh Mahmoud Mohammed Taha dengan ungkapan al-Risalah al-Tsaniyah min al-Islam  iaitu Risalah Kedua Islam; bahawa seruan risalah yang disampaikan period Mekah adalah seruan perpaduan yang sebenarnya dengan melihat kepada keadaan mendesak dunia global hari ini yang lebih memerlukan kesatuan hidup masyarakat plural yang aman damai.


Abdul Rahman Sayuti ialah seorang Hāfiz lulusan Maahad Tahfiz Al-Qur’ān Hira’. Beliau mengambil Diploma Bahasa Arab di International University of Africa, Khartoum, Sudan sebelum melanjutkan pelajaran dalam jurusan Dirasat Islamiyyah di Universiti Al-Iman, Sana’a, Yemen. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Shari’ah dan Undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzzam Shah (UniSHAMS), Kedah Darul Aman.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022