Abdurrahman al-Kawakibi: Suara Rintis Pencabar Kediktatoran
November 30, 2015

Adil Salahi
Oleh: Syaikh Adil Salahi

 

Diterjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir

fb-4774Abdurrahman ibn Ahmad Al-Kawakibi dilahirkan pada 1854 (1271 H.) di Aleppo di Utara Syria. Bapanya adalah seorang ulama yang pernah menuntut di Damsyik dan menjawat Hakim Besar di Aleppo, dan merupakan seorang jaguh orator. Sebagai seorang hakim beliau cenderung memutuskan pertikaian dengan persetujuan yang dicapai antara parti yang bertelagah.

Beliau lahir daripada keluarga yang berakar dari warisan keilmuan, ketaqwaan dan pengabdian selama beberapa abad. Si anak muda, Abdurrahman kehilangan ibunya ketika berusia lima tahun, dan dibidani tiga tahun sesudahnya di Antioch oleh ibu saudaranya, Safiyah, yang fasih berbahasa Turki, selain penguasaan bahasa Arab, dan telah menempuh alam persekolahan ketika majoriti masyarakat pada umumnya masih dibelenggu buta huruf. Beliau kembali ke Aleppo ketika berusia sembilan tahun, di mana beliau dimasukkan ke Madrasah Kawakibiyah, yang diusahakan oleh bapanya. Beliau mempelajari bahasa Arab, Turki dan Parsi, selain daripada pendidikan agama dengan penguasaan yang cemerlang dalam bahasa Arab.

Al-Kawakibi adalah pembaca yang tegar, melahap apa sahaja yang dapat dicapai tangannya, yang bermakna beliau menghadham pelbagai karya yang diterjemahkan daripada bahasa Eropah, dan beliau menokok dalam pengajiannya pengetahuan matematik dan fizik. Lewat usia 20 tahun, beliau telah menzahirkan upaya yang luar biasa dengan keluasan pendidikannya.

Selain daripada semua ini, beliau memiliki personaliti yang serius dan daya akliah yang halus, di samping keghairahan melayani lingkaran ulama dan sosok pujangga.

2.Para5.LowerRightPeriod kedua daripada abad ke sembilan belas ketika mana Al-Kawakibi hidup adalah tempoh kejatuhan yang berterusan di seantero dunia Islam. Kebanyakan wilayah Islam berada dalam situasi yang lemah, diperintah oleh kelompok diktator yang ghairah memunggah kekayaan, tanpa kepedulian terhadap rakyat. Kejahilan dan buta huruf adalah kenyataan sehari-hari. Ketidakadilan berleluasa. Pergulatan dalaman sering dinyalakan. Kalangan yang terpelajar yang segelintir hanya mengetahui sedikit daripada tabiat dan sifat sebenar Islam.

Kerananya, mereka bergantung dan menempek kepada Barat, menyeru kepada pengambilan dan penyerapan cara hidup Barat. Imej Islam terbatas, dalam fikiran kebanyakan manusia, kepada beberapa amalan rituil yang bobrok dan jahil, tahyul dan praktis yang menyeleweng.

Hanya sejumlah kecil daripada manusia yang terpelajar yang tampil mencanangkan upaya kembali kepada Islam dalam gambaran dan tasawwurnya yang suci. Yang paling menyerlah daripada kelompok ini adalah Abdurrahman Al-Kawakibi, yang lantang mengkritik ketidakadilan yang berleluasa di bawah kuasa Uthmaniyah yang makin terhakis, yang telah membawa pada situasi keterbelakangan yang total.

Pada usia 22 tahun, Al-Kawakibi dilantik sebagai penyunting tidak rasmi kepada akhbar milik kerajaan, Furat yang diterbitkan dalam bahasa Arab dan Turki antara tahun 1867 dan 1911. Setelah setahun, beliau dipercaya sebagai penyuntingnya yang rasmi. Setahun atau lebih selepasnya; iaitu pada tahun 1878, Al-Kawakibi menerbitkan akhbar berkala dalam bahasa Arab pertama yang bebas, dinamakan Al-Shahbaa, yang memperlihatkan bakat kepengarangan yang besar daripada penerbit dan editornya.

Bagaimanapun, Al-Kawakibi lekas menyerang, menuntut reformasi yang menyeluruh dalam kehidupan awam dan menunjukkan berontakan ke atas undang-undang otokratik dan mengkritik polisi kerajaan secara khusus. Hanya lima belas keluaran yang sempat diterbitkan dan akhbar tersebut diarah tutup oleh kerajaan. Al-Kawakibi lalu mengeluarkan akhbar ketiga, Al-I‘tidal, dalam dua bahasa Arab dan Turki, menggagaskan kebebasan dan keadilan, tetapi sekali lagi akhbarnya dibredel dan digam.

Al-Kawakibi telah menjawat pelbagai tugas dalam kerajaan. Pada usia 25 tahun, beliau adalah ahli kehormat dalam jawatankuasa pendidikan dan kewangan, dan kemudian dilantik sebagai ahli kehormat lembaga pemeriksaan pengamal guaman. Kemudian beliau diangkat sebagai pengurus seksyen percetakan kerajaan di Aleppo, dan kemudiannya sebagai ahli dalam mahkamah komersial. Dalam semua kedudukannya, Al-Kawakibi menarik kekaguman dan penghormatan kerana ketelusan dan kecekapannya.

3.Para11Beliau menggerakkan reformasi di manapun beliau bekerja dan cuba menyingkirkan apa jua yang merintangi kelancaran kerja atau yang menghambat kepentingan awam (maslahah). Pada waktu yang sama, beliau menulis pelbagai artikel dalam akhbar yang diedarkan di Istanbul dan Beirut. Pemerintah tidak senang dengan tulisan-tulisannya dan merencanakan masalah kepadanya. Hal ini membawa kepada pengundurannya daripada tugas kerajaan pada tahun1886, di mana beliau memulakan kerjayanya sebagai peguam.

Beliau kembali berkhidmat dalam kerajaan pada usia 40 tahun, memegang beberapa portfolio. Sekali lagi beliau adalah teladan dalam kerjayanya, dicintai oeh rakan sekerja dan kelompok awam. Popularitinya sentiasa menimbulkan kejengkelan kepada pemerintah, yang cuba menekan aktivitinya. Beliau terus mengasak dan menuntut reformasi, meletakkan ketidakadilan sebagai sasaran kritikannya. Kerana itu, kerajaan terus menghambat dan menyulitkan pergerakannya. Akhirnya, beliau memutuskan untuk menyisihkan diri, belayar ke Mesir pada tahun1900.

Di Mesir, Al-Kawakibi diraikan oleh golongan inteligensia dan tak lama kemudian berhasil menjalin hubungan yang akrab dengan Sheikh Ali Yusuf, penyunting akhbar yang terkenal, Al-Muayyad. Beliau mula menerbitkan artikel tentang pemerintahan despotik, yang kemudian dikeluarkan dalam sebuah buku bertajuk Taba’i Al-Istibdad, atau tabiat kediktatoran. Buku lain yang ditulisnya menyusul dengan judul Umm al-Qura. Kedua-duanya cukup berpengaruh.

Dalam pengenalan kepada bukunya yang pertama, Tabiat kediktatoran (The Nature of DictatorshipTaba’i al-Istibdad wa-Masari al-Isti’bad), Al-Kawakibi menyebut ia tidak diarahkan langsung kepada mana-mana kerajaan atau diktator. Beliau hanya ingin menyedarkan masyarakatnya terhadap punca kelesuan mereka, dengan itu “mereka akan insaf bahawa mereka sepatutnya tidak menyalahkan selain daripada diri mereka sendiri. Mereka tidak wajar menyalahkan bangsa asing atau takdir. Saya cuma berharap mereka yang peduli akan nasib bangsanya akan bangkit melakukan sesuatu untuk merobah situasi ini sebelum benar-benar terlambat.”

Al-Kawakibi menyatakan bahawa beliau meminjam sebagian idenya daripada penulis-penulis lain. Adalah jelas Al-Kawakibi terpengaruh dengan Voltaire, Rousseau dan Montesquieu, walaupun beliau tidak dapat membaca karya kesemua penulis ini kecuali dalam terjemahan.

4.Para16.LowerRightDalam bukunya, Al-Kawakibi menggariskan dengan jelas bahawa pertanggungjawaban atau akauntabiliti penting untuk sesuatu kerajaan untuk tidak beralih menjadi diktator. Hal ini diperlihatkan dalam kerajaan Islam terawal, dan dalam sistem pentadbiran British. Beliau menerima bahawa kediktatoran dalam politik sering merupakan hasil daripada kediktatoran agama, tetapi beliau menolak faham bahawa Islam mengizinkan pemerintahan despotik. Sebaliknya, Islam “menggabungkan hikmah dan penyelesaian yang kukuh. Ia melenyapkan kepercayaan jahiliyah dan melantarkan asas kepada kebebasan politik.” Beliau percaya bahawa kediktatoran dan pendidikan berjalan dalam arah dan halatuju yang berbeza. Semua diktator berada dalam kebimbangan sekiranya rakyat bertambah peka dan celik. Justeru, mereka cuba untuk mengekalkan dan membiarkan rakyat dalam kebodohan.

Tambahan pula, pemerintahan diktator melumpuhkan ekonomi nasional dan menggalakkan kerusakan sosial, lantas memusnahkan nilai etika.

Bukunya yang lain, Umm al-Qura (Mother of Towns – Ibu Kota) bersifat inovatif dalam konsepsi dan strukturnya. Al-Kawakibi menghidangkannya dalam bentuk minit mesyuarat daripada persidangan yang dibayangkan dihadiri oleh perwakilan dari pada dua puluh dua negara Islam. Tema yang dipilih untuk persidangan adalah “mengenalpasti punca keterbelakangan umat Islam, simptomnya dan bagaimana mengatasinya dan langkah memulihkan kedudukan umat Islam.”

Tiga hari pertama daripada persidangan yang dibayangkan ini dimulakan dengan topik pertama, membincangkan punca kelemahan umat Islam dan syor untuk mengatasi dan menanganinya. Topik kedua yang dibahaskan konferen adalah “definisi sebenar Islam.” Tiga poin utama disebutkan di sini: 1) keimanan bahawa Nabi Muhammad telah menyampaikan risalahnya dengan lengkap dan utuh, tanpa terluput walau sesuatupn; 2) tiada sesuatu yang dapat ditokok tambah terhadap apa yang telah disampaikan Nabi kepada kita; dan 3) Umat Islam bebas untuk menguruskan kehidupan duniawi mereka sebagaimana diinginkan, dengan syarat tidak melanggar mana-mana prinsip asas Islam.
Persidangan tersebut mengenalpasti tidak kurang daripada lapan puluh enam sebab daripada kelemahan umat Islam, sebahagian darinya adalah faktor sampingan dan cabang. Ia menyiapkan kesatuan yang didedikasi untuk memperbaharui kondisi umat Islam. Salah satu daripada objektif utama dari kesatuan ini adalah untuk menggalakkan peranan pendidikan yang menyebar luas di seluruh dunia Islam, menggalakkan penerokaan sains dan seni. Dan kesimpulan utama daripada persidangan tersebut adalah seperti berikut:

5.Para21Umat Islam dalam kelesuan yang kronik; penawar kepada gejala ini adalah cukup mustahak; kuman yang menyebabkan penyakit ini adalah kejahilan; satu-satunya penawar adalah dengan jalan pendidikan dan menggalakkan anak muda untuk bekerja mencapai status yang lebih baik; terdapat keperluan yang mendesak untuk menggembeling perhimpunan pendidikan; tugas ini harus disempurnakan melalui gabungan kerjasama semua yang dapat menyumbang dan menggerakkan usaha ke arahnya terutamanya para ulama dan kelompok manusia yang mempunyai pengertian yang mendalam dan kebijaksanaan.  

Al-Kawakibi adalah seorang penggagas kebebasan dan pendidikan yang tulen sebagai satu-satunya pemacu ke hadapan bagi masyarakat Islam. Beliau wafat pada tahun 1902, dalam usia yang muda, iaitu 48 tahun.


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Sarjana PhD dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya dan juga Ketua di Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front.

 

 

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022