Uraian Ke Arah Reformasi Islam: Kebebasan Sivil, Hak Asasi dan Undang-Undang Antarabangsa
May 13, 2019

Seruan “al-Islam huwa al-hal” atau Islam adalah penyelesaian merupakan slogan golongan Islamis dan fundamentalis demi menyemarakkan semangat untuk kembali semula kepada Islam. Pada sudut yang lain, golongan reformis telah mendepani cabaran intelektual untuk menilai semula relevannya apa yang dikenali sebagai undang-undang Islam pada era moden dengan adanya negara-bangsa pada ketika ini. Dalam buku ini, An-Naim, sebagai seorang reformis, berhadapan dengan epistemologi dan masalah yang praktikal daripada shari’ah yang bersifat historis demi untuk sebuah penterrjemahan yang aktif  bagi menserasikan Islam dengan wacana undang-undang antarabangsa, hak-hak asasi manusia, dan perlembagaan.

Bagi An-Naim, reformasi Shari’ah hanya dapat dilakukan berdasarkan teori gurunya, Shaykh Mahmoud Muhammad Taha, yang menekankan peri pentingnya ayat-ayat Makkiyyah itu diberikan keutamaan. Pengajaran dan tulisan Ustadz Mahmoud Taha memberikan inspirasi kepada An-Naim dalam proses formulasi intelektual dalam menginterpretasi dan melaksanakan apa yang tersirat daripada Shari’ah itu sendiri. An-Naim berusaha untuk membawa keserasian praktis dalam agama ini dengan hak-hak asasi dengan tidak mengabsahkan undang-undang Islam yang bersifat historis. Dalam hal ini beliau telah berkata: “Shari’ah telah dikanunkan oleh para fuqaha’ dalam tiga abad yang pertama daripada Islam. Walaupun ia terhasil daripada sumber-sumber yang suci daripada al-Qur’an dan as-Sunnah, Shari’ah bukan bersifat Ilahi kerana ia adalah hasil daripada pentafsiran manusia terhadap sumber-sumber yang suci tersebut”.

Penilaian Shari’ah menurut konteks historis mencerminkan pemahaman intelektualnya dalam integrasi antara akal manusia dan wahyu Ilahi dalam memertabatkan keadilan dalam masyarakat Islam. Menurut penilaian An-Naim, mengakomodasikan Islam dengan nilai-nilai dalam period moden ini adalah melalui metodologi alternatif yang mengiktiraf hak mereka yang bukan Mu’min dan hak-hak asasi manusiawi yang sejagat. Lantaran itu, demi untuk mewujudkan suatu masyarakat yang adil, badan legislatif sesebuah negara Islam itu harus mengkanunkan hukum yang mengawal kuasa politik daripada mempengaruhi sistem perundangan tersebut. Metodologi baru ini dan peristiwa memanipulasi hukum Shari’ah oleh kekuasaan politik, membuatkan buku ini harus dibaca oleh kedua-dua golongan awam daripada kalangan Kaum Muslimin dan juga para cendikiawannya.


Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa adalah Direktur di Islamic Renaissance Front, sebuah badan pemikir yang memperjuangkan Islah dan Tajdid, dan pemerkasaan pemikiran.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022