Feminisme Ditinjau daripada Lensa Islamis
April 16, 2010
Diterjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir daripada “Feminism Through the Lens of the Islamists” | Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front (IRF)

 


Diskusi pasca-modernisme tentang feminisme Islam adalah lapangan yang tidak lazim diterokai oleh kebanyakan tokoh Islamis. Dan sekiranya mereka dihadapkan dengan cabaran dalam wacana sepertinya, mereka cuba mengalihkannya kepada hujah yang berunsur retorik.

Salah satu dari retorik yang biasa terdengar daripada sebahagian kelompok Islamis adalah al-Qur’an telah mengurniakan hak kepada wanita lima belas abad yang lalu dengan kemajuan yang besar berbanding situasi wanita di tanah Arab sebelum kedatangan Islam, maka apa lagi yang perlu diperjuangkan. Apa yang gagal difahami oleh kebanyakan golongan Islamis, atau mungkin sengaja diketepikan, adalah kenyataan bahawa hak wanita dalam Islam mula merudum dan kembali ke zaman jahiliyah selepas kewafatan Rasulullah.

Feminisme Islam berbeza dengan feminisme Barat. Sementara benar bahawa feminisme Islam adalah berlainan daripada penampilan feminisme stail-Barat, sejauh peralihannya daripada model masyarakat dan pentadbiran Barat kepada “model Islam”, namun di sana masih terdapat sudut persamaan dengan perjuangan feminis Barat.

Sungguhpun terdapat perjuangan untuk melepaskan bangsa daripada imperialisme budaya yang diasak oleh Barat, perjuangan yang utama nampaknya lebih tertumpu dalam lingkungan umat Islam sendiri, lantaran melihat polisi yang terkebelakang dalam kebanyakan Negara Islam;di mana Malaysia tidak terkecuali.

 

Feminisme Islam di kurun kedua puluh

Ianya tercetus lewat kurun ke 19 dan pada awal abad ke 20 yang menyaksikan kebangkitan perjuangan yang dikenal sebagai feminisme dimulakan di dunia Islam. Dan ia diilhamkan daripada tulisan seorang lelaki yang unik, sosok brilian yang telah membawa gerakan ini mengalir ke seluruh pelusuk benua Islam dan akhirnya menemui pantai negara kita. Lelaki yang hebat lagi unik ini adalah Imam Muhammad Abduh, yang telah menerbitkan jurnal al-Manar(Rumah Api) dan menyemarakkan reformasi Islam sebelum pelantikannya sebagai Mufti Mesir pada 1899.

Abduh mewakafkan hidupnya untuk menginterpretasi semula hukum Islam (jurispruden) dalam suasana moden. Abduh tidak hanya menggagaskan pembaharuan terhadap syariat, teologi dan pendidikan Islam tetapi turut menyentuh wilayah yang memberi kesan terhadap kehidupan dan status wanita Muslim atau apa yang dikenali sebagai feminisme.

Abduh memberikan pembelaan terhadap ijtihad dan secara konsisten mempertahankan pandangannya bahawa tiada konflik antara agama dan akal. Oleh itu pembaharuan Islam dan masyarakat Muslim tidak harus bersandar pada perjuangan modernisasi sekular Barat, tetapi boleh disempurnakan melalui pembaharuan hukum Islam dan sosial. Corak yang tersendiri dari ideanya tentang reformasi (Islah) dan pembaharuan (Tajdid) tidak hanya bertujuan meraih semula keunggulan lampau yakni, period kehidupan ulama salaf yang bertaqwa (as-salafus salih); tetapi untuk mentafsir dan mereformulasi semula warisan Islam bagi menjawab cabaran politik, budaya dan sains Barat dan dalam kehidupan moden.

 

Posisi Abduh tentang poligami

Menyedari perbezaan antara semangat reformasi Islam yang sebenar yang dikemukakan oleh al-Qur’an dan ketidakpatuhan masyarakat Islam terhadap hak wanita, Abduh menyusun strategi perubahan yang menyeluruh dalam bidang pendidikan dan hukum yang dapat memberikan dampak terhadap wanita Islam.

Abduh sangat kritikal tentang poligami dan kesannya yang buruk terhadap kehidupan keluarga. Poligami, menurut Abduh, diizinkan pada zaman Nabi sebagai rukhsah terhadap kondisi sosial yang berlaku. Sekiranya teks al-Qur’an dikaji semula, maka akan jelas bahawa lebih daripada satu isteri hanya dibenarkan apabila keadilan dan kelurusan yang objektif dipatuhi. Apabila untuk menyempurnakan pencapaian ini dianggap mustahil secara praktikal, Abduh menyimpulkan bahawa tuntutan al-Qur’an yang ideal adalah monogami.

Demikianlah pendapat beliau bahawa poligami harus ditolak berdasarkan “maslahah al-mursalah.” [iaitu sifat sifat yang selaras dengan tindakan dan tujuan tasyri’ tetapi tidak ditemukan dalil khusus yang mensyari’atkannya atau membatalkannya, dan daripada perhubungan hukum dengan sifat tersebut maka akan tercapai kemaslahatan dan bisa menolak kerusakan pada manusia – Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam kitab Ushul al- Fiqh al-Islami]

Abduh menekankan bahawa titik moral al-Qur’an adalah tujuan teksnya yang tertinggi dan akhir. Dalam Tafsir al-Manar, pandangannya tentang isu ini dilukiskan dengan jelas:

“Tuhan telah menetapkan bahawa seseorang harus menolak ketidakadilan sebagai basis untukNya mendatangkan undang-undang (tentang pernikahan). Hal ini mengesahkan kenyataan bahawa keadilan adalah diperintahkan sebagai syarat dan tugas tersebut terkandung dalam pengerahan usaha untuk merealisasikannya.

Poligami adalah seperti salah satu keperluan yang diizinkan kepada seseorang yang (hanya) dibenarkan dengan ketetapan ia bertindak adil dan dapat dipercaya dan ia terlepas daripada kecurangan. Melihat kepada kekangan ini, apabila seseorang menimbangkan kebobrokan yang terhasil daripada poligami di zaman moden, maka ia akan mengetahui dengan pasti bahawa manusia tidak boleh dilatih supaya dengan itu penawar mereka terletak dalam poligami, kerana, dalam keluarga yang mana seorang lelaki mempunyai dua isteri; tiada situasi yang dapat memberi faedah dan tiada undang-undang keadilan yang dapat ditegakkan.”

 

Suara Abduh di kepulauan Melayu

Perjuangan reformis Abduh di dunia Islam menggariskan batu penanda yang baru apabila penuntutnya dari Timur jauh, Tanah Melayu dan Indonesia, mengadakan jaringan hubungan denganal-Manar. Dan di antara pelajar Abduh yang terkemuka adalah anak muda yang bernama Syed Shaykh al-Hady. Bersama dengan rakan-rakan penuntut Abduh lulusan al-Azhar yang lain, seperti Shaykh Tahir Jalauddin dan Abbas Taha, al-Hady menerbitkan jurnal al-Imam (Pemimpin) pada tahun 1906, yang mengupayakan agenda reformasi dan pembaharuan.

Sepanjang hidupnya, al-Hady menerajui perjuangan modernisasi dan reformasi terhadap masyarakatnya sendiri. Tuntas dengan semangat al-Manar, al-Hady tidak saja menempelak taqlid(ikutan semberono) tetapi turut menyalakan obor ijtihad (kemerdekaan fikiran).

Hujah Abduh bahawa agama tidak mungkin berbentur dengan pengetahuan, dan akal tentunya menerima pengajaran agama setelah diuji kebenaran dalilnya; membawa pengaruh yang besar terhadap al-Hady. Beliau cukup kagum dengan hujah ini yang melorongkannya untuk menulis buku bertajuk Kitab Agama Islam dan Akal (Islam dan Akal) yang memaparkan buah fikiran Abduh dengan terminologi yang mudah untuk pembaca Melayu.

Malangnya, mungkin reformasi sosial yang terpenting yang diusahakan oleh al-Hady adalah dalam emansipasi wanita dan feminisme. Pandangannya tentang wanita berbeza jauh dari ulama tradisional di zamannya. Beliau berhujah mempertahankan hak pendidikan wanita dan kebebasannya, dan mengutarakan idea bahawa wanita harus dilayan setanding dengan lelaki. Dalam hal tersebut, al-Hady mungkin boleh dirujuk sebagai feminis Tanah Melayu yang pertama.

 

Faridah Hanum: Protagonis Feminisme Melayu

Dalam usahanya untuk menyiarkan faham feminisme, al-Hady mula menulis tentang isu yang menyentuh langsung pendidikan dan posisi wanita di rumah dan di dalam masyarakat. Beberapa artikel dikeluarkan dalam jurnal periodik, al-Ikhwan (Saudara). Namun, setelah itu hanya novel yang ditulis oleh al-Hady yang berhasil menggemparkan umat Melayu.

Hikayat Faridah Hanum kemungkinan merupakan literasi Melayu yang pertama yang mengenengahkan wanita sebagai karakter utamanya. Karakter Faridah Hanum diacu dengan ketampanan peribadi, agensi akal dan matlamat; bukan sebagai subjek yang pasif yang hanya bertindak balas terhadap persekitarannya. Beliau dilukiskan sebagai wanita yang kental, yang menuntut supaya dirinya dilayan seperti lelaki. Faridah Hanum kepada al-Hady menggambarkan wanita Islam moden yang progresif dan ideal yang mampu menggunakan kekuatan rasionalnya sendiri dan kebebasan untuk memilih, sementara masih mempertahankan warisan keagamaan dan nilai moral.

Apa yang dizahirkan oleh al-Hady daripada lakarannya tentang Faridah Hanum adalah monopoli tentang perbincangan fekah Islam yang dibolot oleh Ulama tradisional, dan pendirian yang salah tentang sikap ketundukan yang dianggap kelemahan wanita yang fundamental yang sentiasa memerlukan perlindungan lelaki secara konstan.

Faridah Hanum meleburkan semua pantang, berdiri di atas prinsipnya dan menentang semua faham ortodoks. Beliau memperlihatkan contoh pengisian yang menggabungkan sikap rasional, progresif dan moden yang mampu mengawal tubuh dan keinginan seksualnya dan pada waktu yang sama menggunakan upaya rasionalnya.

 

Cabaran di hadapan

Meski dengan kisah tentang aktivisme feminis, yang dimulakan oleh Abduh dan kemudiannya dikembangkan oleh pengikutnya; dan perjuangan mengungkapkan kesetaraan gender dan keadilan sosial bersandarkan semangat liberalis yang didengungkan al-Qur’an; pemikiran dan praktis patriak, yang dibalut dengan ketidakseimbangan dan ketidakadilan, telah mencerobohi kehidupan moden kita dan membuatkan Islam kelihatan sebagai patriakal padahal kenyataannya agama datang untuk menghapuskan kepincangan dan ketidakadilan daripada faham patriak.

Pembela mazhab patriaki dan ortodoks harus menyedari bahawa sebarang usaha untuk menghalang implementasi pesan al-Qur’an tentang kesamaan dan keadilan hanya akan membalik dan menyimpangkan masyarakat kita semula ke zaman jahiliyah.

Suara feminisme Islam tidak harus dibiar dikumandang oleh Faridah Hanum moden, tetapi harus juga disertai, jika tidak diterajui, oleh para pemuda pejuang reformis yang berinspirasikan Abduh.

“Wanita, wanita, wanita! Kalian adalah Kehormatan Hidup, Petunjuk ke arah Kebaikan. Kalian adalah tukang magis yang pintar menanam benih kemajuan dan keindahan hidup yang diperjuangkan oleh lelaki setelah mereka diajar tentang maknanya yang sebenar (olehmu)” – Syed Syaikh al-Hady.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022