Kata Pengantar Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh
November 20, 2017

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد:

Dr Muhammad Imarah adalah seorang cendekiawan dan pemikir Arab, Muslim yang sangat banyak menulis dan menela’ah tulisan reformis, para ulama’ dan ahli fikir ternama Islam.

Beliau dilahirkan di Mesir pada tahun 1931. Sejak belajar di madrasah kampung, beliau telah menghafal al-Qur’an dan membacanya dengan tajwid yang baik. Kepintaran beliau terserlah sejak beliau masih muda. Beliau mula menulis dalam usia muda isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan negara dan bangsa Arab umumnya. Makalah pertama beliau tersiar dalam akhbar “Misr Al-Fatāh” atau (مصر الفتاة) dengan tajuk “Jihad dan Perjuangan Palestin”.

Beliau lulusan Doktor Falsafah dalam bidang ilmu-ilmu Islam dengan takhassus Falsafah Islam di Kuliah Dar Al-Ulum Universiti Kaherah pada tahun 1975. Beliau memiliki ijazah Sarjana Falsafah daripada Fakulti dan Universiti yang sama pada tahun 1970, di samping memegang sijil Sarjana Muda dalam Bahasa Arab dan Ilmu-Ilmu Islam daripada Universiti yang sama dalam tahun 1965.

Walaupun di peringkat awal beliau agak kabur dan pernah terpengaruh seketika dengan pemikiran marxisme dan lain-lain, namun akhirnya beliau menemui jalur pemikiran Islam kontemporari dan menekuninya.

Menurut Dr Muhammad Abbas; Muhammad Imarah adalah salah seorang ikon pemikir yang cemerlang. Allah membimbing beliau dari pemikiran Marxisme kepada pemikiran Islam yang jitu dan sebenar. Sebelumnya beliau dianggap sebagai pemikir aliran kiri, namun kemudiannya beliau menjadi pemikir Islam yang prolifik dan cemerlang. Ini membuktikan kebenaran maksud hadith Rasulullah:

خياركم في الجاهلية خياركم في الإسلام.

“Kalangan kalian yang terbaik di era jahiliah maka dia jugalah yang terbaik di era Islam.”

Beliau; Muhammad Imarah pernah mendapat pelbagai hadiah penghargaan dari sijil sampailah kepada berbagai plug hadiah cenderamata berharga. Dalam tahun 1972, beliau mendapat hadiah anugerah Persatuan Pencinta Buku di Lubnan. Dalam tahun 1976, beliau mendapat Hadiah Motivasi Negara Mesir. Tahun 1998 mendapat pingat aliran pemikiran Islam pemimpin pembina dan sebagainya.

Buku-buku karangan beliau agak banyak dan dapat dimuat turun dengan mudah dan percuma dari laman-laman tertentu. Antara tajuk buku karangan beliau ialah:

المعتزلة ومشكلة الحرية الإنسانية. معالم المنهج الإسلامي. الإسلام والمستقبل. نهضتنا الحديثة بين العلمانية والإسلام. معارك العرب ضد الغزاة. الغارة الجديدة على الإسلام. جمال الدين الأفغاني بين حقائق التاريخ وأكاذيب لويس عوض. الشيخ الغزالي: الموقع الفكري والمعارك الفكرية. الوعي بالتاريخ وصناعة التاريخ. التراث والمستقبل. الإسلام والتعددية. الإبداع الفكري والخصوصية الحضارية. الدكتور عبد الرازق السنهوري باشا: إسلامية الدولة والمدنية والقانون. الإسلام والسياسة: الرد على شبهات العلمانيين. الجامعة الإسلامية والفكرة القومية. قاموس المصطلحات الاقتصادية في الحضارة الإسلامية. عمر بن عبد العزيز. جمال الدين الأفغاني موقظ الشرق وفيلسوف الإسلام. محمد عبده: تجديد الدنيا بتجديد الدين. أبو الأعلى المودودي. الأعمال الكاملة لرفاعة الطهطاوي، (تحقيق). الأعمال الكاملة لجمال الدين الأفغاني، (تحقيق). الأعمال الكاملة للشيخ محمد عبده، (تحقيق). الأعمال الكاملة لعبد الرحمن الكواكبي، (تحقيق). الأعمال الكاملة لقاسم أمين، (تحقيق). الأعمال الكاملة لعلي مبارك، (تحقيق). رسائل العدل والتوحيد، (تحقيق). كتاب الأموال لأبي عبيد القاسم بن سلام، (تحقيق). معركة المصطلحات بين الغرب والإسلام. القدس الشريف رمز الصراع وبوابة الانتصار. هذا إسلامنا: خلاصات الأفكار. الصحوة الإسلامية في عيون غربية. الغرب والإسلام. أبو حيان التوحيدي. ابن رشد بين الغرب والإسلام. الانتماء الثقافي. التعددية: الرؤية الإسلامية والتحديات الغربية. صراع القيم بين الغرب والإسلام. الدكتور يوسف القرضاوي: المدرسة الفكرية والمشروع الفكري. عندما دخلت مصر في دين الله. الحركات الإسلامية: رؤية نقدية. المنهج العقلي في دراسات العربية. النموذج الثقافي. تجديد الدنيا بتجديد الدين. الثوابت والمتغيرات في فكر اليقظة الإسلامية الحديثة. نقض كتاب الإسلام وأصول الحكم. التقدم والإصلاح بالتنوير الغربي أم بالتجديد الإسلامي. الحملة الفرنسية في الميزان. الحضارات العالمية: تدافع أم صراع. إسلامية الصراع حول القدس وفلسطين. القدس بين اليهودية والإسلام. الأقليات الدينية والقومية: تنوع ووحدة أم تفتيت واختراق. السنة النبوية والمعرفة الإنسانية. خطر العولمة على الهوية الثقافية. مستقبلنا بين العالمية الإسلامية والعولمة الغربية. بين الغزالي وابن رشد. الدين والدولة والمدنية عند السنهوري باشا. هل المسلمون أمة واحدة. الغناء والموسيقى حلال أم حرام. أزمة العقل العربي. المواجهة بين الإسلام والعلمانية. تهافت العلمانية. الحركة الإسلامية: رؤية مستقبلية. القرآن. محمد. عمر بن الخطاب. علي بن أبي طالب. قارعة سبتمبر. العرب والتحدي، سلسلة عالم المعرفة، الكويت، العدد 29. الإسلام وحقوق الإنسان، سلسلة عالم المعرفة، الكويت، العدد 89. 1

Seorang penulis yang demikian kaya dengan ilmu dan pengalaman di samping karya penulisan yang ilmiah dan berharga sudah tentu dapat menghidangkan kepada khalayak pembaca buah dan bahan pemikiran yang ilmiah, padat dan bernilai. Beliau bukan anak muda yang baru mula mengarang atau menulis. Tapi beliau adalah ilmuan, ahli fikir, penulis, penganalisa falsafah dan tokoh ilmuan terkenal. Sebab itu kita meyakini dan percaya kepada ketinggian ilmu dan kejituan analisa akademik beliau apabila menulis tentang tokoh-tokoh besar seperti reformis dan mujaddid ternama Syaikh Muhammad Abduh rahimahullah. Bak kata orang-orang tua: “Hanya Jauhari yang mengenal Manikam”.

Beliau berpengalaman mengkaji dan menulis berjilid-jilid buku sejarah pemikiran figur-figur besar dan ternama seperti Abdul Rahman Al-Kawakibi, Syaikh Jamaluddin Al-Afghani, pemikir Muhammad Qasim Amin, Ali Mubarak dan Syaikh Muhammad Abduh itu sendiri. Sebab itu, kita sedar dan percaya bahawa penulisan Muhammad Imarah tentang manhaj reformasi Syaikh Muhammad Abduh merupakan satu karya yang merumuskan teras-teras penting pemikiran tajdid dan pembangunan dunia Islam pada zaman berkenaan. Pemikiran ini akhirnya menyumbang kepada kelangsungan tajdid dan reformasi pada era dan zaman berikutnya oleh tokoh-tokoh baru yang muncul selepas para leluhur silam berkenaan.

Pada peringkat awal penulisan beliau mengenai sejarah hidup Syaikh Muhammad Abduh, beliau menegaskan:

“Sekalipun saya berkecenderungan untuk memberi komentar terhadap sebahagian apa yang ditulis tentang kehidupan beliau dari sudut sejarah, tetapi ini bukanlah tempat yang sesuai untuk kita berbincang berkenaan kehidupan beliau yang luas, kaya dengan pengajaran dan contoh tauladan. Yang menjadi perhatian saya di sini adalah memberi pengenalan berkenaan kehidupan beliau dari sudut intelektual dan praktikal – jika ungkapan ini boleh digunakan di sini.”

Beliau mahu menampilkan kepada pembaca sudut yang lebih penting dan bermakna daripada sekadar membicarakan perkara kehidupan biasa yang lumrah.

Kemudian beliau menghuraikan wacana beliau tentang riwayat hidup Syaikh Muhammad Abduh dalam enam bahagian:

  1. Pembentukan zaman kanak-kanak beliau dan tempoh masa di mana kurikulum pendidikan yang kaku yang digunakan dalam sistem pembelajaran di Al-Azhar menghalang beliau daripada menuntut ilmu.
  2. Tasawwuf tercerah, dan yang menyebabkan beliau tertarik dengannya adalah disebabkan ayah saudara bapanya iaitu Syeikh Darwīsh Khidr lalu Syeikh ini memberi harapan kepada beliau bahawa di sana, masih ada ruang untuk mendapatkan ilmu di samping menceritakan kepentingan menuntut ilmu dan faedah yang boleh diraih dengan ilmu pengetahuan
  3. Kepimpinan Jamāl Ad-Dīn Al-Afghānī (1254-1314H / 1838-1897M) yang terpengaruh dengan tasawwuf dalam masa yang sama aktif dalam bidang falsafah, hikmah, kerja kepolitikan sekaligus untuk kepentingan negara, masyarakat Timur dan Islam.
  4. Fasa pertama di mana beliau memikul tugas menyeru kepada pengislahan di Mesir setelah gurunya, Al-Afghani dibuang negara. Tetapi, kali ini, beliau menggunakan pendekatan tersendiri yang ternyata berbeza dengan pendekatan guru beliau; yang membawa kepada penyertaan beliau bersama-sama dengan ‘urābiyyīn dalam revolusi, lalu dipenjara dan dibuang negara setelah kekalahan mereka pada tahun 1882M.
  5. Fasa dalam buangan, pengembaraannya dari Timur ke Barat, kemudian, dari Barat ke Timur semula dan berpatah balik kepada mazhabnya yang asal dalam bentuknya yang tersendiri dalam usaha-usaha pengislahan.
  6. Sepulangnya beliau dari tempat buangan, dan beliau menjadi perintis yang mengambil tempat yang paling terkehadapan dalam intelektual dunia Islami setelah kesultanan ‘Uthmāniyyah berjaya memenjarakan gurunya, Al-Afghani dalam jerejak emas dan di kelilingi oleh polis-polis rahsia istana ketika itu sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Dalam fasal atau bab kedua beliau menerangkan tentang konsep wasatiyyah Syaikh Muhammad Abduh sebagai wacana dan mekanisma untuk membangun kebangkitan Islam di era baru. Beliau menulis:

“Pada wasatiyyah islam itu terdapat ciri dan bahagian yang dikira sebagai yang paling khusus dan tersendiri dalam manhaj Islami itu sendiri. Hal ini membezakannya dengan manhaj-manhaj lain kerana kepelbagaian mazhab, syariat dan falsafahnya. Dengan kepelbagaian tersebut, tamadun Islam terbentuk dengan aneka nilai, ciri, asas (usūl), dan cabang-cabangnya; sehingga kita boleh mengatakan bahawa: sesungguhnya wasatiyyah jika dilihat dalam kerangka manhaj Islami dan tamadunnya, merupakan lensa kameranya yang paling gemerlap untuk memantulkan cahaya dan menghasilkan konsep idea dan pandangannya yang lengkap sebagai suatu manhaj, paradigma dan perspektif kehidupan.”

Ketika menghuraikan konsep ilmu pengetahuan dan empat konsep hidayah dalam bab ketiga, Syaikh Muhammad Abduh menurut Muhammad Imarah menjelaskan:

“Hidayah dari segi bahasa ialah petunjuk halus, yang menyampaikan seseorang kepada perkara yang diharapkan. Tuhan sebenarnya telah menganugerahkan manusia dengan “empat petunjuk” yang dapat membawanya ke jenjang kebahagiaan yang didambakannya.”

“Hidayah pertama ialah: Petunjuk naluri secara tabi’i dan ilham dalam bentuk fitrah. Perkara ini dapat kita lihat pada anak-anak kecil semenjak mereka lahir ke dunia.

“Yang kedua: Petunjuk pancaindera dan emosi. Petunjuk ini merupakan pelengkap bagi petunjuk yang pertama dalam kehidupan haiwan. Kerana itu, haiwan liar bukan saja berkongsi kedua-dua petunjuk ini dengan manusia, bahkan ia lebih sempurna dengan kedua-dua petunjuk ini berbanding manusia. Pancaindera haiwan dan nalurinya menyempurnakan petunjuk yang pertama beberapa ketika selepas kelahirannya. Hal ini berbeza sekali dengan manusia kerana pancaindera dan emosi ini dapat menyempurnakan petunjuk pertama secara bertahap-tahap, dalam tempoh yang tidak singkat.”

“Yang ketiga: Petunjuk Akal. Manusia diciptakan untuk hidup berkomuniti. Mereka tidak dikurniakan ilham dan naluri secukupnya berserta pancaindera fizikal untuk hidup dalam suasana berkelompok ini, seperti yang dianugerahkan kepada semut dan lebah. Kerana itu, Tuhan telah mengurniakan manusia petunjuk yang lebih tinggi daripada petunjuk pancaindera dan ilham iaitu akal. Akal dapat memperbetul kesilapan pancaindera dan emosi serta menerangkan sebab musababnya. Hal ini adalah kerana indera penglihatan: apabila melihat benda yang besar dari jarak jauh; boleh kelihatan kecil. Apabila melihat batang yang lurus ketika direndam sebahagiannya dalam air pula sebagai bengkok. Pesakit kuningan mungkin merasakan benda manis sebagai pahit; akan tetapi akallah yang akhirnya akan menyedarkan kesilapan indera ini.”

“Petunjuk keempat ialah: Agama. Untuk mencapainya perlu dihubungkaitkan dengan proses penta’kulan akal dan pancaindera. Kadangkala, manusia terlalu leka menggunakan indera dan akal semata-mata yang sudah pasti mempunyai kepuasan yang tersendiri. Akan tetapi, tanpa disedari, petunjuk-petunjuk ini sebenarnya membawa tuannya kepada kesesatan. Lalu, petunjuk-petunjuk ini hanyalah menjadi alat tunggangan demi kepuasan hawa nafsu dan syahwatnya semata-mata; sehingga akhirnya membawa manusia berkenaan ke lembah kebinasaan.

“Di sinilah sebenarnya, seseorang manusia itu memerlukan kepada sebuah petunjuk lain, yang mampu membimbingnya daripada terjerumus dalam kegelitaan “hawa nafsunya”. Lebih-lebih lagi jika kegelitaan tersebut telah menguasai akal mereka. Agama menerangkan semula sempadan perbuatan manusia supaya mereka berhenti di situ. Ilmu agama menjaga mereka daripada terjebak dalam kancah kejahatan hawa nafsu.”

Seterusnya Imam Muhammad Abduh telah membuat kesimpulan bahawa:

“Kesederhanaan Islam dalam teori pengetahuannya menjaga akal seorang Muslim daripada “idea yang berlawanan atau songsang”. Hal mana telah menyebabkan runtuhnya Tamadun Barat (iaitu hasil tanggapan mereka bahawa ilmu itu berlawanan dengan agama).”

Lantas kata beliau:

“Sesungguhnya Tuhan telah berjanji untuk menyempurnakan cahayaNya dan memenangkan agamaNya atas segala agama yang lain. Maka ada ketika, cahayaNya itu berjalan di atas jalan yang sempurna dan menang terhadap keyakinan yang batil, kemudian, pembawa cahaya itu terpesong daripada jalan tersebut, lalu mereka berjalan atas jalan yang mereka dan anda sedang saksikan. Alam ini tidak akan berakhir sehinggalah sempurna janji tersebut. Pada ketika itu, agama dan ilmu akan saling bergandingan dan melengkapkan demi menguatkan akal dan hati nurani. Maka, dari situlah akal akan mengetahui kadar kekuatannya dan menyedari had dan sempadan pengaruhnya. Dengan demikian, akal akan berfungsi dengan apa yang Tuhan telah kurniakan; seperti tindakan orang yang mendapat petunjuk. Akal juga akan menyingkap dengan kemampuannya yang tersendiri akan rahsia-rahsia alam ini, sehinggalah tatkala kesucian Yang Maha Agung sempurna meliputi dirinya (akal), ia akan tunduk penuh khusyu’, kembali dengan keinsafan, dan memilih jalan orang yang teguh, mantap serta mendalam pengetahuan mereka.”

Dalam bab berikutnya ditegaskan dengan lanjut oleh Muhammad Imarah:

“Setelah menegaskan pendirian beliau yang menolak, malah mengkritik kedua-dua gerakan yang ekstrim; keekstriman kelompok beragama dan keekstriman kelompok yang menolak agama, keekstriman kelompok yang berlebih-lebihan dan keekstriman kelompok yang memudah-mudahkan, terhadap akal dan rasionalisme, Imam Muhammad ‘Abduh selanjutnya membentangkan beberapa bentuk idea yang jelas dan seimbang berkenaan:

  1. Kedudukan akal di antara petunjuk-petunjuk yang telah dikurniakan Tuhan kepada manusia.
  2. Kaitan asbāb dan musabbab.
  3. Undang-undang kosmik yang telah dijadikan Tuhan sebagai peraturan dalam perjalanan alam dan masyarakat sosial, yang tiada tukar ganti dan tidak kunjung berubah.
  4. Had sempadan akal sebagai satu daya kebolehan manusia, punya kedudukan yang tinggi dan terpenting. Akan tetapi, ia sendirian sahaja tidak mungkin dapat merealisasi kebahagiaan manusia. Bahkan, ia memerlukan wahyu dan naql, yang dapat menyampaikan kepadanya berita ghaib berkenaan alam ketuhanan, di mana akal semata-mata tidak dapat menjangkau hakikatnya.”

Dalam memadukan peranan akal dan wahyu, Syaikh Muhammad Abduh menjelaskan:

“Sesungguhnya semua “millah Islāmiyyah” telah bersepakat bahawa jika berlaku pertembungan antara akal dan wahyu, diambil apa yang ditunjukkan oleh akal dan bagi wahyu terdapat dua cara:

  1. Menerima bahawa wahyu itu benar dan sahih tetapi dalam masa yang sama, mengakui kelemahan untuk memahaminya, lantas menyerahkan urusan ini kepada Tuhan menurut ilmuNya.
  2. Mentakwilkan teks wahyu tersebut, di samping menjaga kaedah bahasa, sehingga makna teks tersebut bertepatan dengan apa yang sudah ditetapkan oleh akal.”

Lebih jauh beliau menuntaskan bicara dengan kata-kata:

“…yang menjadi kewajipan untuk kita percaya adalah, agama Islam merupakan agama tauhid (pemadu dan penyatu) dari sudut kepercayaannya. Ia bukan agama yang memecah-belahkan pada asas-asasnya. Akal merupakan pembantu terbaik kepada ketauhidan, manakala wahyu pula adalah sendi dan pilarnya yang paling ampuh dan kuat.”

Demikianlah bagaimana Imam Muhammad Abduh berbicara dan menulis “Makalah Berkenaan Rasionalisme Islam” bertitik tolak daripada Wasatiyyah Islam yang menyatu, juga daripada prinsip menolak dan mengkritik semua jenis keekstriman; ekstrim dalam berlebih-lebihan (tafrīṭ) seperti yang dibawa oleh “Salafi Wahabi” yang menolak akal, dan mereka menganggap seolah-olah akal ini bercampur aduk dengan “hawa nafsu”, dan juga menolak ekstrim dalam bermudah-mudah atau (ifrāṭ) seperti yang dibawa oleh kelompok “materialisme Barat”, yang mempertuhankan akal. Mereka lalu menganggap kemampuan akal melebihi semua kemampuan yang lain hinggakan melebihi ilmu Tuhan, yang merangkumi semua perkara, tidak terikat dan meliputi hakikat serba segala.

Ketika beliau membicarakan tentang Sunnah Allah atau hukum sejarah dan sebab musabbab atau juga disebut hukum alam Syaikh Muhammad Abduh mengulas dengan terperinci berkenaan aturan yang mengawal pergerakan alam, perjalanan sejarah, jatuh bangunnya tamadun, punca kemajuan dan kemunduran sesebuah umat dan masyarakat, silih berganti kemakmuran dan kemerosotan antara manusia – dalam bab lima – beliau menegaskan tentang perlunya kita meniti dan mengikuti hukum sebab musabbab itu dalam rangka meraih kemenangan perjuangan.

Sifat bersatu, tolong-menolong, bermuafakat dan sebagainya akan memungkinkan faham kebatilan menang dan juga pihak yang memperjuangkan kebenaran menang. Kesudahan terakhirnya yang menentukan pihak mana yang akan menang bergantung kepada pihak mana yang sebenarnya lebih menepati kehendak hukum sebab musabbab berkenaan.

Dalam menghuraikan maksud ayat 137 Surah Ali Imran:

فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Maka berkelanalah kalian dimuka bumi dan saksikan apakah padah yang menimpa golongan yang mendustakan ayat-ayat kami…”

 Syaikh Muhammad Abduh – umpamanya – menegaskan:

“Sesungguhnya antara petunjuk Tuhan kepada kita adalah bahawa dalam penciptaanNya, terdapat satu aturan (sunan) yang mewajibkan kita merumuskannya sebagai sebuah ilmu dalam bentuk penulisan seperti ilmu-ilmu yang lain. Hal ini bertujuan agar kita senantiasa mencari di dalamnya petunjuk dan hidayah dalam bentuk yang paling sempurna. Ertinya menjadi kewajipan umat keseluruhannya untuk membentuk dalam komuniti mereka satu kumpulan yang menerangkan kepada mereka peraturan Tuhan (sunnah Allāh) dalam penciptaanNya, seperti mana yang telah mereka lakukan terhadap ilmu-ilmu lain, seperti ilmu dan seni yang telah diisyaratkan oleh al-Qur’an secara umum, lalu diperincikan oleh para ulama, sebagai mengikut petunjuk al-Qur’an, seperti ilmu Tauhīd, Uṣūl Fiqh dan Fiqh.

Ilmu berkenaan “Sunan” dan aturan Allah merupakan antara ilmu yang paling penting dan bermanfaat. Adapun al-Qur’an telah mengisyaratkan kepada ilmu ini dalam banyak tempat, seperti ia telah menunjukkan kepada kita kritikannya terhadap keadaan sesebuah umat. Kerana itu, ia menyarankan kepada kita agar berjalan di atas muka bumi untuk lebih menjelaskan lagi perkara tersebut dan mengetahui hakikat sebenar yang berlaku kepada umat tersebut.”

Adalah jelas bahawa pertembungan antara kebenaran dan kebatilan memang berlaku pada umat-umat yang terdahulu. Sejarah membayangkan bahawa golongan yang membawa obor kebenaran itu senantiasa mengalahkan golongan batil, apabila dibantu dengan kesabaran dan ketaqwaan. Semua ini berlaku kerana mengikut sebab musabbab yang sudah tetap. Apa yang dapat disimpulkan daripadanya ialah bahawa pembawa kebenaran jika ia mengikut aturan alam ini, sudah pasti akan diberi kemenangan serta kekuasaan untuk mewarisi persada dunia ini. Adapun mereka yang melencong jauh daripada aturan ini, yang menyebarkan malapetaka dan kerosakan, sudah pasti akan akan mendapat kehinaan, dan kesudahan mereka adalah kehancuran.

Mereka yang berjalan di atas muka bumi, menyelidiki keadaan umat terdahulu, mengenalpasti apa yang menimpa mereka, maka usaha-usaha sebegini akan membawa manusia mengetahui aturan-aturan Tuhan terhadap alam ini, di samping mengambil pengajaran daripadanya yang semestinya perlu dituntut. Demikianlah, dengan meneliti sejarah yang menceritakan dengan terperinci apa yang diketahui oleh mereka yang telah berjalan di atas muka bumi dan mereka yang melihat sendiri kesan peninggalan umat terdahulu, akan memberi manusia input pengetahuan yang juga akan menghantar mereka ke arah memahami aturan tersebut. Dalam masa yang sama, ia juga bermanfaat sebagai pengajaran dan iktibar tetapi pengajaran dan iktibar tersebut tidak akan sama dengan mereka yang berjalan sendiri dan melihat dengan mata kepala mereka. Kerana itulah, Tuhan menyuruh kita untuk berjalan dan melihat sendiri kesan-kesan sejarah berkenaan.

Kemudian, ayat tersebut diikuti dengan ayat:

هَٰذَا بَيَانٌ لِّلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِّلْمُتَّقِينَ

Demikian ini [harus menjadi] pengajaran yang jelas kepada semua manusia, dan suatu petunjuk dan peringatan kepada yang sedar pada Tuhan.” [Āl ‘Imrān: 138]

Tuhan seolah-olah berfirman bahawa kesemua manusia telah dikurniakan akal untuk menjadi wahana meraih pengajaran. Dengan akal yang dikurniakan itu, manusia faham bahawa dengan berkelana di atas muka bumi dapat membimbing mereka untuk menemui aturan tersebut. Sudah pastilah orang yang beriman lagi bertaqwa lebih layak untuk memahami perkara ini terlebih dahulu kerana kitab petunjuknya telah menunjukkan kepada perkara ini. Ia juga lebih utama untuk mengikuti dan mengambil pengajaran daripada aturan tersebut.

Sepanjang perjalanan manusia dalam kehidupan ini terdapat satu aturan yang akan membawa sebahagian mereka kepada kebahagiaan dan kesejahteraan, dan sebahagian yang lain pula kepada kesengsaraan dan kecelakaan. Barangsiapa yang menuruti aturan ini, sudah pasti ia akan mencapai kepada tujuannya, tidak kira sama ada ia mukmin atau kafir. Hal ini adalah seperti yang pernah disebutkan oleh Saidina Ali:

“Sesungguhnya mereka itu diberi kemenangan kerana kesatuan mereka meskipun di atas kebatilan. Kalian pula telah dikalahkan kerana kalian berpecah belah daripada mendapatkan hak kalian yang sebenar (kemenangan).”

Antara aturan tersebut adalah apabila manusia bersatu, saling berhubung dan membantu antara satu sama lain serta komited dalam menuntut hak dan kepentingan mereka, ia akan menjadi penyebab kejayaan dan membawa mereka sampai kepada tujuan mereka, sama ada mereka bersatu atas kebenaran ataupun kebatilan. Itulah dia kelebihan bersatu, saling membantu dan komited dalam mencapai sesuatu.

Kelebihan-kelebihan ini memerlukan tiang yang teguh untuk berpaut iaitu kebenaran. Maka, apabila seseorang itu bangun menyeru kepada kebatilan, tetapi majoriti masyarakat melihatnya bahawa dia benar, menyeru kepada sesuatu yang bermanfaat dan wajib untuk membantunya, lalu mereka semua bersatu untuk membantunya dan komited dalam usaha mereka, maka mereka dan dia sudah pasti akan berjaya kerana memiliki sifat dan prasyarat kemenangan.

Akan tetapi, kebatilan lumrahnya tidak akan kekal. Bahkan, tidak akan berterusan dalam tempoh yang panjang kerana secara realitinya, bukan sahaja ia tidak ada apa yang membantunya, bahkan, banyak pula yang menentangnya. Kerana itu, ahli batil akan senantiasa goyah dan tergugat. Apabila muncul kebenaran, lalu ada para pengikut yang cuba membawa kebenaran mengikut aturan sosial seperti saling membantu dan menolong, dan mereka menyokong orang yang membawa obor kebenaran tersebut dengan komited dan tolong-menolong; maka kebatilan pada ketika itu tidak akan bertahan lama. Kesudahannya, kemenangan sudah pastilah untuk mereka yang berhak. Jika kebenaran mereka itu dikotori dengan campuran kebatilan, atau mereka menyimpang daripada aturan Tuhan yang selama ini di pihak mereka, maka kesudahan yang buruklah dijanjikan kepada mereka.

Al-Qur’an memberi kita petunjuk sebagai contoh, dalam masalah berkaitan peperangan atau pertelingkahan dengan kelompok lawan kita, supaya kita sedar dan kenal semula siapakah kita dan apakah persiapan yang lebih utama yang sepatutnya kita sediakan. Hal ini supaya kita dapat mengetahui dengan jelas apakah hak-hak kita, dan supaya kita mengikut aturan Tuhan dalam menjaga dan menuntut hak-hak tersebut. Begitu juga supaya kita dapat mengetahui keadaan dan situasi musuh kita, malah supaya kita membuat pertimbangan yang adil antara kita dengan mereka. Jika kita tidak berbuat demikian, maka kita bukanlah dari kalangan yang mendapat petunjuk serta mengambil pelajaran. Allah berfirman

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Janganlah, kalian berasa lemah semangat, dan jangan gundah dan bersedih hati; kerana kamu pasti meningkat tinggi jika kamu [benar-benar] beriman.” [Āl ‘Imrān: 139]

Tuhan seakan-akan berfirman: Lihatlah cara hidup orang yang sebelummu. Kamu akan mendapati bahawa tidak akan ada suatu kaum yang bersatu di atas kebenaran, lalu mereka menggunakan kemahiran yang ada dengan baik, melakukan persiapan dengan tersusun, mempersiapkan semua perkara dalam perkiraan, serta tidak menzalimi diri mereka dalam usaha memenangkan kebenaran, mereka pasti akan mendapatkan apa yang mereka tuntut. Malah segala kerugian mereka akan mendapat pampasan. Sebab itu, alihkanlah wajahmu daripada membayangkan perkara yang telah kalian rugi, dan hadapkanlah ke arah apa yang akan kalian hadapi di masa akan datang, majulah kalian dengan semangat dan kecekalan yang tinggi, di samping berserah dan tawakkal kepada Allah.

“Sesungguhnya pandangan yang menolak perkaitan antara sebab dan akibat sangat sesuai dengan penganut agama lain, yang mana disebutkan di dalam kitab mereka (Injīl) bahawa keimanan semata-mata cukup untuk menjadikan seseorang itu mukmin seperti seseorang yang percaya jika dikatakan kepada sebuah gunung “bergeraklah daripada kedudukan asalmu!” lalu gunung itu pun bergerak! Perbincangan ini juga layak kepada penganut agama yang mengira bahawa solat semata-mata, jika pelakunya ikhlas menunaikannya, sudah cukup untuk mengubah perjalanan planet dan menukar sistem dunia yang rasis! Akan tetapi, agama sebegini bukanlah agama Islam.

Agama Islam adalah agama yang tertera dalam kitabNya ajaran-ajaran seperti yang disebut dalam firman Allah:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan katakanlah [kepada mereka, Wahai Nabi: “Berbuat dan beramallah! Pasti Tuhan akan menyaksikan amalan kamu, bersama Rasul dan orang yang beriman, kelak kalian akan dipulangkan ke alam ghaib dan kesaksian, lalu di sana nanti Tuhan akan memperincikan dan mengganjari prestasi dan pencapaian kamu.” [At-Taubah: 105]

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ….
Kerana itu, siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan apa jua kekuatan dan tunggangan (peralatan) perang…” [Al-Anfāl: 60]

سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلُ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَبْدِيلًا
Yang demikian itu adalah peraturan dan sunnah Allah yang telah ditetapkan di kalangan kaum kaum masa silam, maka engkau sama sekali tidak akan menemui sebarang perubahan pada “Sunan” dan ketentuan Allah.” [Al-Ahzāb: 62]

Banyak lagi contoh ayat-ayat yang lain. Tidak mungkin bagi seseorang Muslim menolak segala kejadian yang berlaku di atas muka bumi ini yang mengikut peraturan sebab dan akibat kecuali ia telah kufur dengan agamanya sebelum ia mengkufuri akalnya!”

Begitulah ulasan Imam Muhammad Abduh berkenaan ilmu aturan Ilahi (atau ilmu sosiologi Islami dan politik keagamaan). Beliau merupakan orang pertama yang menyeru supaya diasaskan ilmu ini, yang mana ijtihad-ijtihad baru dan inovasi dalam ilmu ini masih lagi ditunggu untuk merealisasikan cita-cita beliau, di mana beliau telah mengimpikannya sebelum lebih dari satu abad yang lalu! Manakala untuk merealisasikannya sebagai satu pencapaian ilmiah, kita sangat memerlukan kepada ilmu ini tambahan pula kita sedang mengendalikan wacana dan isu berkenaan kemajuan dan kebangkitan.

Intipati Pemikiran Muhamad Abduh

Menurut salah seorang penulis biografi Syaikh Muhammad Abduh; intipati pemikiran beliau ialah:

  1. Membebaskan pikiran daripada ikatan taqlid dan memahami agama seperti kaum salaf sebelum timbulnya pertentangan-pertentangan dan kembali dalam mencari pengetahuan agama kepada sumbernya yang pertama dan mempertimbangkan dalam lingkungan timbangan akal yang diberikan Allah untuk mencari keseimbangan dan mengurangi kecampuradukan dan kesalahan.
  2. Memperbaiki bahasa Arab dan susunan kata, baik dalam percakapan resmi atau dalam surat menyurat antara manusia.
  3. Pembaharuan di bidang politik, di mana hal ini dilakukannya di Majlis Syura sejak ia dipilih menjadi anggota majelis itu.”2

Manakala agenda pembaharuan yang beliau bawa dinyatakan sebagai berikut:

  1. 1. Purifikasi

Purifikasi atau pemurnian ajaran islam telah mendapat tekanan serius daripada Muhammad Abduh berkaitan dengan munculnya bid’ah dan khurafah yang masuk dalam kehidupan beragama kaum muslimin.

  1. Reformasi

Dengan agenda reformasinya, Muhammad Abduh berhasrat untuk melenyapkan sistem dualisme dalam pendidikan di Mesir. Dia menawarkan kepada sekolah modern agar menaruh perhatian pada aspek agama dan moral. Dengan mengharapkan aspek intelektual saja, sekolah moden hanya akan melahirkan pendidikan yang merosot moralnya.

Sedangkan kepada sekolah agama, seperti Al-Azhar, Muhammad Abduh menyarankan agar dirombak menjadi lembaga pendidikan yang mengikuti sistem pendidikan moden. Sebagai pionirnya, ia telah memperkenalkan ilmu-ilmu Barat kepada Al-Azhar, disamping tetap menghidupkan ilmu-ilmu Islam klasik yang asli, seperti Muqaddimah karya Ibnu Khaldun.

Reformasi pendidikan tinggi Islam difokuskan Muhammad Abduh pada Universiti Al-Azhar. Muhammad Abduh menyatakan bahwa kewajiban belajar itu tidak hanya mempelajari buku-buku klasik berbahasa Arab yang berisi dogma ilmu kalam untuk membela Islam. Akan tetapi kewajiban belajar juga terletak pada mempelajari sains-sains moden, serta sejarah dan agama Eropah, agar diketahui sebab-sebab kemajuan yang telah mereka capai. Usaha awal reformasi Muhammad Abduh adalah memperjuangkan agar filsafat diajarkan di Al-Azhar. Dengan belajar filsafat, semangat intlektualisme Islam yang padam diharapkan dapat hidup kembali.

  1. Pembelaan Islam

Muhammad Abduh melalui Risalah al-Tauhid-nya tetap mempertahankan imej kendiri Islam. Hasratnya untuk menghilangkan unsur-unsur asing merupakan bukti ia tetap yakin dengan kemandirian Islam. Muhammad Abduh berusaha mempertahankan imej Islam dengan menegaskan bahwa jika fikiran dimanfaatkan sebagaimana mestinya, maka hasil yang dicapai secara otomatis akan selaras dengan kebenaran Ilahi yang dipelajari melalui agama.

  1. Reformulasi

Agenda reformulasi tersebut dilaksanakan Muhammad Abduh dengan cara membuka kembali pintu ijtihad. Menurutnya, kemunduran Kaum Muslimin disebabkan oleh dua faktor, yaitu internal dan eksternal. Muhammad Abduh dengan reformulasinya menegaskan bahawa Islam telah membangkitkan akal pikiran manusia dari tidur panjangnya.3

Syaikh Rashid Redha dalam buku beliau, Tarikh Al-Ustaz Al-Imam Al-Syaikh Muhammad Abduh, Juz 1 menulis:

“Rumusan inti usaha beliau ialah bahawa Tajdid dan Reformasi mesti merangkum Tajdid dalam Konteks Agama dan Tajdid atau pembaharuan dalam konteks keduniaan dan kehidupan.”4

Sebenarnya banyak lagi yang diungkapkan oleh pengarang buku ini tentang Syaikh Muhammad Abduh. Saya yakin sidang pembaca akan mendapat kepuasan terhadap hasil penulisan Dr Muhammad Imarah ini. Memandangkan topik dan tema buku ini ialah mengenai tokoh pemikir terkenal yang disebut oleh Wikipedia sebagai:

عالم دين وفقيه ومجدد إسلامي مصري، يعد أحد رموز التجديد في الفقه الإسلامي ومن دعاة النهضة والإصلاح في العالم العربي والإسلامي، ساهم بعد التقائه بأستاذه جمال الدين الأفغاني في إنشاء حركة فكرية تجديدية إسلامية في أواخر القرن التاسع عشر وبدايات القرن العشرين تهدف إلى القضاء على الجمود الفكري والحضاري وإعادة إحياء الأمة الإسلامية لتواكب متطلبات العصر.

Beliau (Syaikh Muhammad Abduh) adalah seorang ilmuan agama, mujaddid Islam berbangsa Mesir. Beliau dianggap salah seorang ikon pembaharuan dalam fiqh Islam, penyeru ke arah kebangkitan dan islah di dunia Arab dan Islam. Beliau ikut menyumbang selepas bertemu dengan guru beliau Syaikh Jamaluddin Al-Afghani dalam usaha membangun gerakan pembaharuan pemikiran Islam di penghujung kurun ke-sembilan belas dan di awal kurun ke-dua puluh. Beliau membangun satu gerakan yang bertujuan membenteras kebekuan berfikir dan kemalapan peradaban. Satu kebangkitan yang bermatlamat untuk membangun dan melayakkan umat Islam menjadi umat yang selaras dengan perkembangan dan tuntutan zaman masa kini.5


Al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin adalah Timbalan Penasihat Parti Amanah Negara. Beliau juga adalah Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia Tenggara (SHURA), Ahli Majlis Pemegang Amanah, Al-Ittihad al-‘Aalami li’Ulama’I al-Muslimin, dan Ahli Majlis Pimpinan, Al-Ittihad al-‘Aalami li’Ulama’I al-Muqawamah. Buku Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh ini akan diluncurkan pada 2 Disember di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.

 

————————

  1. https://www.kutub-pdf.net/author/181-د-محمد-عمارة/3.html
  2. Amry Thanjung “Biografi Pemikiran Mohd Abduh” dalam pautan berikut:

http://just4th.blogspot.my/2015/06/biografi-dan-pemikiran-abduh.html (hal 5-6)

  1. Ibid, hal:6-7
  2. Muhammad Rasyid Redha “Tarikh Al-Imam Al-Ustaz Al Syaikh Muhammad Abduh” Juz 1 Halaman 592 (edisi PDF) daripada pautan berikut:

https://www.google.com/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=3&cad=rja&uact=8&ved=0ahUKEwio4unhhMLXAhVMv48KHdUDDF8QFgg1MAI&url=https%3A%2F%2Fupload.wikimedia.org%2Fwikisource%2Far%2F5%2F52%2F%25D8%25AA%25D8%25A7%25D8%25B1%25D9%258A%25D8%25AE_%25D9%2585%25D8%25AD%25D9%2585%25D8%25AF_%25D8%25B9%25D8%25A8%25D8%25AF%25D9%25871.pdf&usg=AOvVaw23dNPlV9FQWPCoiN0zHdIF

  1. https://ar.m.wikipedia.org/wiki/محمد_عبده_(عالم_دين)
Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022