Prakata “Apa Yang Aku Yakini” terjemahan “What I Believe” oleh Tariq Ramadan
December 14, 2017

“Saya tidak mewakili semua Muslim tetapi terlingkung kepada tren reformis. Saya terus istiqamah pada prinsip Islam, berasaskan kepada sumber tekstual, sambil menimbangkan evolusi sejarah dan konteks geografi…tidak seperti kaum literalis yang hanya bergantung pada nukilan ayat, kaum reformis harus mengambil masa untuk meletakkannya dalam perpektif, mengkontekstualisasi, dan mencadangkan pemahaman yang baru.”
[Tariq Ramadan, What I Believe, ms. 2]

Buku ini ‘What I Believe’ ditulis oleh Tariq Ramadan sebagai klarifikasi langsung tentang dirinya, yang menyajikan idea-idea asas yang dipertahankannya dengan prosa yang jelas dan dapat diakses kepada khayalak. Ia memaparkan pandangan budaya dan falsafah yang kreatif yang cuba dibawa dan diketengahkannya dalam diskusi pembaharuan dan pemikiran Islam moden. Antara terjemahan yang dihasilkan, termasuklah dalam bahasa Itali Islam e libertá dan Arab Al Islam wal-Hurreya Qira’a min al-Dakhil.

Ia menjabarkan substansi utama daripada pemikirannya di luar kontroversi dan polemik, yang menggarap tema-tema krusial seperti isu-isu wanita, sosio politik, media, identiti Muslim di Eropah, etika, tradisi agama, reformasi pemikiran, akar kebudayaan Eropah, pandangan dunia Barat, dan sebagainya. Ia mengungkapkan aspirasi dan idealisme Islam yang progresif yang diperjuangkan dan dipertahankannya dengan konsisten. Gagasan ini disingkap dengan penceritaan peribadi yang mendalam tentang dirinya, sebagai pelopor falsafah dan teologi dan faham humanis Islam yang ideal, penggerak politik dan sosial Islam yang global, dan pencetus aspirasi reform yang dilontarkan secara intens dan dramatis.

Buku ini menelusuri perjalanan awal kehidupannya, dan menyorot pembawaan modennya sebagai Muslim di Eropah, kareernya sebagai pemikir dan filosof Muslim yang kontroversil, tentangan dan cabaran intelektual yang dihadapinya, dan aspirasi besar dari projek modernisme Islam yang dicetuskannya. Ia turut menggulirkan falsafahnya yang mendalam tentang idea pluralisme dan aspirasi pemikirannya yang kompleks yang digarap dan dirumuskan dengan berkesan dalam karya ini. Spencer Dew, dalam Rain Taxi Review of Books mengupas kekuatan karya dan kesan fikrah yang dilontarkannya: “What I Believe offers an accessible and at times quite moving entrée into the thought of this important figure.” (What I Believe menawarkan imbasan yang mudah diakses dan kadang-kadang agak mengharukan ke dalam pemikiran sosok yang penting ini).

Buku ini turut menekankan keperluan pada penyertaan dan sumbangan yang konkrit daripada Muslim untuk menjadi rakan dalam masyarakat demokratik di Eropah, di mana “bagi kalangan yang lahir di Barat atau adalah warganya, persoalannya tidak lagi berkisar tentang “penempatan” atau “integrasi” tetapi sebaliknya tentang “penyertaan” dan “sumbangan”. Kekuatan pengaruh Islam, menurutnya telah mengakar dan pantas berkembang di Barat, di mana “pergerakan yang konstruktif, mendalam sedang berjalan dan Islam telah menjadi agama Barat. Islam Barat adalah realiti, sebagaimana Islam Afrika, Arab atau Asia.”

Dalam tulisannya tentang idea perubahan yang radikal yang dicetuskan oleh Tariq Ramadan, Ahmad Farouk Musa menegaskan “Tariq Ramadan telah tampil sebagai satu suara yang terdepan dari reformis Islam. Keyakinannya berteraskan manhaj yang integratif, yang menyatukan pendekatan teologi yang bertenaga, berasaskan nilai dengan pemahaman spiritual yang realistik tentang permasalahan semasa adalah resep yang penting bagi pembaharuan yang sebenar. Dan penekanannya bahawa sebagaimana dunia terus berubah, terdapat keperluan bagi pandangan kedua terhadap al-Quran dan teks-teks Islam yang lain adalah konsisten dengan semangat islah dan tajdid.”

Ramadan menunjukkan bagaimana Muslim dalam negara bangsa Eropah yang pluralistik, liberal, rencam-agama dapat hidup, dengan menganjurkan kepada keterbukaan dan penyertaan dalam kehidupan di Barat, sambil mempertahankan identiti dan nilai agama yang hakiki. Tujuan Ramadan adalah untuk menciptakan Barat Islam yang mandiri, yang diikat tidak dalam tradisi negara-negara Islam tetapi dalam realiti budaya di Barat. Ini sebagai ditekankan oleh Andrew F. March dalam makalahnya Reading Tariq Ramadan: Political Liberalism, Islam and Overlapping Consensus: “that his views on European citizenship and social cooperation are largely ‘reasonable’ from the standpoint of political liberalism” (2007)

Tema-tema kritikal yang lain yang menyorot tentang idea kebebasan dan liberalisme politik dan menggariskan nilai persefahaman dan menegaskan tanggungjawab untuk mengembangkan tradisi dan nilai Islam yang demokratik telah melakarkan peta laluan yang dinamik bagi sumbangan yang positif. Interpretasinya yang baru tentang fiqh al-aqalliyyat telah menarik ramai kelompok muda untuk memakai fatwa dan tafsiran Islamnya yang relevan dengan kehidupan di Eropah sambil mempertahankan idealisme dan keyakinan mereka. Diharapkan buku ini dapat memberikan kefahaman yang tuntas tentang usaha pembaharuan dan pencerahan yang dinamik yang diperjuangkannya dalam merealisasikan perubahan dan membawa idealisme Islam yang inklusif, plural dan universal, dan menegaskan sumbangan besarnya kepada reformisme pemikiran dan nahdah budaya dan kebangkitan intelektual dan reformasi radikal yang dicetuskannya.


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front. Beliau adalah graduan Usuluddin daripada Universiti Malaya. Buku Apa Yang Aku Yakini ini akan diluncurkan pada 16 Disember di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022