Prakata Jalan ke Mekah

December 30, 2018 by Saari Sungib


Keindahan bahasa dalam novel oleh Muhammad Asad

Mohammad Asad Leopold Weiss dilahirkan di Austria pada tahun 1900. Pada umur 22 tahun, beliau mengembara ke kawasan padang pasir gersang Timur Tengah dan selanjutnya menjadi wartawan luar negara.

Setelah tegaknya negara Pakistan, beliau diangkat sebagai wakil Pakistan di PBB. Dengan pendekatan naratif sejarah dan polemik menawarkan pengambilan tempat dan tahaluf politik, dua buku Mohammad Asad yang paling penting ketika itu ialah Islam at the Cross Roads (Islam di Persimpangan Jalan) terbit pada tahun 1934 dan The Road to Mecca (Jalan Menuju Mekah) terbit dua puluh tahun kemudian pada 1954.

Apa yang menarik dan dianggap menakjubkan adalah apabila sesuatu keindahan dapat tercipta pada saat penulis mencurahkan semua pengalamannya, sehingga mengeluarkan kata-kata yang indah dan menyentuh emosi. Terbukti itulah yang dilalui oleh Asad setelah terhasilnya dua penulisan tersebut di atas terutamanya The Road to Mecca.

Sehingga ungkapan Asad di atas memperkuat suatu penelitian bahwa keindahan penulisan suatu karya akan terjalin saat seorang penulis itu sendiri merasakan dan seterusnya dapat mencurahkan kudrat-kudrat intelektual, spiritual, emosional, navigasional, spatial, politikal dan lain-lain dengan baik dan benar.

Karya asal buku ini yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan pada tahun 1954 adalah suatu naratif yang mengasyikkan. Sejak tarikh tersebut hingga diulang-ulang cetak ia telah mengangkat secara kolektif penerokaan spiritual dan intelektual para pembaca yang memiliki hati dan minda yang peka. Selesai membacanya seakan-akan menjadikan seseorang pembaca itu bebas daripada mimpi bercengkerama penuh keasyikan, sebaliknya kembali memperkemaskan minda dan menatari paradigma.

Jalan ke Mekah ini hampir-hampir menjadi sebuah buku yang mengabungkan persoalan yang sarat dengan sengketa dan konflik sama ada dalam medan teologi mahupan medan ideologi. Namun, adakalanya naratif lembut dan lunak dalam buku ini mampu menerobos ke sempadan dan perbatasan terlarang bagi mewujudkan muafakat, pemaafan dan perdamaian.

Terdapat pihak yang menganggap bahawa Jalan ke Mekah adalah sebuah buku yang bersifat separuh travelog dan separuh memoir pencarian kedamaian. Ia tidak sepenuhnya sebuah travelog kerana buku ini hanya memperihalkan kisah pengembaraan pada tahun-tahun yang berlalu singkat sejak Asad masuk ke Mekah dan selepas beliau meninggakan Arabia untuk ke India dan kawasan gurun-gurun gersang dalam perbatasan negara-negara Arab. Dalam kembara padang pasir itu Asad menganggap tempoh dua puluh tiga hari yang dilalui untuk sampai Mekah itulah yang menjadi penyuluh dan intipati pengembaraan yang kemudian mencorakkan seluruh kehidupannya.

Selain sebagai genre separuh-travelog, buku ini juga boleh dianggap sebagai sebuah memoir dengan kecenderungan memperihalkan rentetan sejarah bersandarkan sumber penaratifan yang kukuh dan teguh. Hal ini memang benar kerana melalui penulisan separuh-memoir ini Asad diberi peluang untuk melakarkan secara serius jalan pemikiran, kepercayaan dan keyakinannya terhadap peradaban Islam dan timur dari segenap seginya. Bahkan adakalanya Asad pergi jauh ke garis-garis sempadan halus dengan secara intelektual membidas mitos dan menegakkan kebenaran dengan menceritakan kedudukan malaikat khasnya cerita Harut dan Marut serta kisah jin dan perbicaraan para jin ke atas manusia.

Sekiranya Jalan Menuju Mekah adalah sebuah travelog maka Asad telah berjaya menjadikan kembara gersang di padang pasir Arabia ke tahap kemuncak wacana intelektual warisan para anbiya. Lantas segera meletakkan paksinya di atas wacana iktikad, adab dan budaya. Manakala jika ia sebuah memoir kembara untuk kembali ke fitrah maka ia adalah kembalinya insan yang tunduk dan patuh kepada kehendak Allah. Ia adalah berkenaan kesetiaan seorang insan kepada Rabb-nya dan kepasrahan hati untuk akur kepada janji-janji Allah di atas rahmah yang mekar merah dan indah.


YB Saari Sungib adalah ADUN Hulu Kelang dan Mantan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM)