Seruan Islah Syed Sheikh al-Hadi
July 1, 2019

Ahmad Farouk Musa || 1 July 2019
Diterjemahkan oleh Muhammad Izzat Radzi

“Janganlah tertipu daya kamu dengan angkatan dan pangkat kebesaran gelaran pembesar-pembesar kamu kerana mereka itulah asal segala bala yang telah menimpa ke atas kamu ini dan mereka itulah sehingga masa ini sebesar-besar penolong segala bangsa-bangsa yang telah menindih dan hendak menindih kamu akan kamu.”

[Syed Sheikh al-Hadi, Seruan Islah, Al Ikhwan,1(2), 16 Oktober 1926]

Itulah seruan islah Syed Sheikh al-Hadi hampir satu abad yang lalu. Panggilan terhadap orang Melayu untuk membebaskan diri daripada cara hidup tradisi dan daripada terus bergantung dengan ketua kaum mereka semata, kerana selamanya mereka akan menjadi hamba kepada ‘Tuan’ mereka, yang hanya akan melanjutkan keadaan mereka yang tertindas. Mereka sewajarnya memperbaharui keadaan masyarakat, ekonomi dan sistem pendidikan mereka; atau mereka akan terus terkebelakang daripada kaum lain dalam negara mereka sendiri. Baginya, kehidupan golongan elit bangsawan telah korup, rendah akhlak, dan zalim begitu juga dengan ajaran para ulama’ yang konservatif. Umat Islam dalam masa yang sama pula telah jatuh ke satu tahap yang amat teruk.

Syed Sheikh Al-Hadi, yang dikenali sebagai Khalifah Kaum Muda (Pembaharu Islam) tidak hanya menumpukan kritikannya terhadap kaum bangsawan Melayu dan para ulama’ konservatif, tetapi juga terhadap penjajah Imperial British. Dalam jurnal al-Ikhwan-nya, Sheikh al-Hadi menukilkan:

Jikalau kita masih mempunyai kesadaran dan mempunyai kebolehan berfikir, bagaimana mungkin kita boleh membiarkan orang asing memerintah kita, menjadi penjaga kita dalam negara kita yang terchenta?

Namun, sudah semestinya kritikan pedas beliau adalah terhadap para ulama’ tradisional yang kerap kali mencoba untuk menguasai wacana Islam secara ekslusif. Maka, tidaklah pelik apabila beliau menulis di dalam esei ‘Perchayakan Ulama’ dalam jurnal al-Ikhwan-nya:

Adakah tidak boleh untuk kita menyoal dan bertanya? Adakah telah chukup kata-kata orang lain? Nampaknya pelajaran mengenai kalimat Allah dan Rasul utusannya adalah dikira salah, karena ia menandakan ketidakperchayaan kepada ulama’; oleh itu, kita telah tersesat dari jalan Islam! Kalangan ulama’ mana yang berani berkata begitu? Tidaklah melainkan penjual-penjual ugama yang menyara hidup atas nama Islam, walaupun hasrat Islam adalah untuk menjauhkan diri dari mereka sejauh mungkin”.

Disebabkan hujah inilah Syed Sheikh al-Hadi dan Kaum Muda membataskan bahawa bukan semua kata-kata ulama’ itu benar belaka dan mesti diterima bulat-bulat seperti al-Qur’an.

Perjuangan Syed Sheikh al-Hadi dan sahabat kontemporari-nya iaitu Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Haji Abu Bakar al-Ashaari, Dr Burhanuddin al-Helmi, Haji Abbas Mohamad Taha, Sheikh Mohamad Salim al-Kalili and Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba; adalah asasnya lanjutan daripada perjuangan pemikir-pemikir reformis; Sheikh Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida di Mesir. Tidak ada syak lagi bahawa al-Hadi merupakan pemikir revolusioner dan aktivis Islam teragung di zamannya. Pemikiran radikal Muhammad Abduh dan Rashid Rida telah diperkenalkan kepada Melayu Muslim di Semenanjung Tanah Melayu melalui beliau dan para sahabatnya.

Lebih satu abad yang lalu, di satu tanah nun jauh di Mesir, Jamaluddin al-Afghani telah menyoal akan sebab-musabab kemunduran ketamadunan Islam di abad ke-19 pada masa perjuangannya bermula. Bagi al-Afghani, sebab paling utama kemunduran itu adalah disebabkan gaya fikir agama yang lama yang dipertahankan oleh para ulama’ dan pemimpin kuku besi yang mempergunakan golongan ulama’ tersebut untuk menyokong rejim mereka. Sebab yang lain juga adalah kerana penguatkuasaan kepada hanya satu fahaman agama yang tertentu sahaja oleh pemerintah agar dapat memastikan kelangsungan rejim mereka.

Oleh itu, tidaklah mengejutkan apabila Syed Sheikh al-Hadi mengisytiharkan idea yang sama bahawa bangsawan dan golongan ulama’ tradisi-lah yang bertanggungjawab menyebabkan orang Melayu Muslim itu tersesat serta berada dalam keadaan yang memilukan dan tidak berdaya. Dalam jurnal Al-Imam– berkemungkinan tajuknya terhasil daripada panggilan gelaran kepada  Muhammad Abduh, iaitu Ustazatul Imam – Syed Sheikh al-Hadi berkata:

Kami telah menipu diri kami dengan meminum rachun yang menjadikan kami tidak peduli apa, dipaksakan ke atas kami oleh pemimpin-pemimpin kami, yang disebabkan itu menjadikan kami memilih penyakit ditipu dan kemunafikan sehingga kami tiada daya melainkan menangis dan meminta dari Tuhan: Ya Allah, kami telah taat setia kepada penghulu-penghulu kami dan pemimpin-pemimpin kami dan mereka telah membiarkan kami tersesat. Merekalah kepala dan kami hanyalah ekornya. Merekalah benih-benih malapetaka dan kesengsaraan. Merekalah pemboros dan raja bagi kejahilan. Merekalah puncha segala penderitaan dan nasib malang’.

Jurnal Al-Imam, yang diasaskan oleh Syed Sheikh al-Hadi, adalah alat utama bagi para pendokong kaum reformis dalam menyebarkan idea pembaharuan mereka. Ia bertujuan untuk menghidupkan semula ajaran Islam dalam rantau ini dan memperkenalkan semula konsep kehidupan dan pengibadahan Islam yang merdeka daripada segala amalan rekaan atau bid’ahdan elemen-elemen lain yang asing daripada fitrah agama. Semangat humanisme dan rationalisme adalah ciri utama dalam projek reformis tersebut. Pondasi-pondasi bagi rangka kerja itu dibentuk dengan bermakna bagi mengingatkan mereka yang terlupa, membangunkan mereka yang tertidur, dan memimpin mereka yang tersesat, serta memberi khabar gembira kepada mereka yang beriman.

Al-Imam mendokong pandang alam yang progresif dan dinamik dan menghasilkan karya-karya yang mencerminkan dengan jelas cita-cita dan aspirasi yang mana jurnal itu berharap untuk contohi – karya al-Manar oleh Muhammad Abduh dan Rashid Rida – juga pemikir-pemikir reformis lain yang telah berkembang maju di Eropah. Al-Imam boleh dikatakan ingin berdiri di tengah pentas sebagai melanjutkan gerakan reformasi Martin Luther di Eropah ke atas dunia Malaya, yang berpusatkan kepada idea pencerahan.

Bagi Syed Sheikh al-Hadi, seruan Islam sebenar ialah untuk kemajuan hidup dunia. Usaha bagi mendapatkan kebahagiaan hakiki di akhirat tidak patut menjadi sebab untuk menggugurkan usaha-usaha yang dapat meningkatkan taraf hidup di dunia ini. Oleh sebab itulah Sheikh al-Hadi menempelak para ulama’ tradisi sebagai hilang semua kebolehan untuk memahami seruan sebenar agama mereka yang agung. Untuk mengubah keadaan masyarakat, bagi Sheikh al-Hadi ialah dengan mengubah sikap dan pandangan mereka terhadap hidup di dunia. Juga, segala macam amalan, yang tidak membantu memajukan orang Islam atau mempunyai apa-apa nilai dan manfaat yang praktikal kepada masyarakat dikira sebagai gagal untuk mencapai semangat utama ibadah itu sendiri.

Bagi Syed Sheikh al-Hadi, Kaum Muslimin tidak patut menjangka perubahan akan berlaku dengan hanya duduk berdo’a kepada Tuhan dan segala keajaiban Tuhan itu akan berlaku. Mereka tidak boleh mempunyai kepercayaan karut yang mana segala yang di atas muka bumi ini telah ditentukan kepada mereka. Dengan ini seolah-olah, walau sehebat manapun mereka berusaha, apa yang telah ditentukan kepada mereka tidak akan berubah atau bertambah. Hal ini kerana hasilnya, orang Islam akan menjadi golongan yang paling mundur dan tidak produktif dalam sumbangan mereka dalam sains dan teknologi, dan juga dalam ketamadunan manusia.

Berturutan itu, Kaum Muslimin perlu membebaskan diri mereka daripada faham agama golongan Ash’ariyyah, yang beku lagi fatalistik. Generasi Muslim terdahulu tidak duduk sahaja menunggu Imam al-Mahdi datang untuk menyelamatkan dan memimpin mereka. Demikian itulah sebab utama berkembang hebatnya perjuangan umat dan ketamadunan mereka. Kefahaman terhadap al-Qur’an telah menggegarkan dunia Arab, dan membentuk umat yang bersatu padu daripada puak-puak yang tidak pernah berhenti berperang sesama sendiri. Dalam beberapa dekad, pandangan sarwa al-Qur’an telah meluas jauh dari batasan dunia Arab dan berupaya menghasilkan masyarakat berideologi pertama yang diketahui manusia, melalui penekanannya terhadap kesedaran dan ilmu pengetahuan. Ia telah memupuk di kalangan pengikutnya semangat rasa ingin tahu yang berpaksikan intelektualisme dan kebebasan bertanya. Yang berkesudahan dengan membawa kepada satu era yang gemilang dalam kesarjanaan dan penyelidikan saintifik yang membezakan dunia Islam yang tinggi dalam budaya dan ketamadunan daripada bangsa-bangsa lain pada ketika itu. Demikian inilah asas dalam semangat pengajaran utama Ustazatul Imam Muhammad Abduh, yang mempunyai pengaruh terbesar dalam minda Syed Sheikh al-Hadi.

Namun, agenda utama bagi jurnal al-Imamyang disebar-luar oleh Syed Sheikh al-Hadi dan sekelian Kaum Muda adalah untuk mempertahankan penggunaan penaakulan (‘aql) dan kebebasan membuat keputusan (ijithad). Penyelidikan dan penafsiran baru terhadap asas-asas agama tidak dapat dielakkan berbanding dengan hanya bergantung kepada tradisi dan pentafsir-pentafsir Islam terdahulu. Prinsip ini jelas sekali bertepatan dengan idealisma dan prinsip Muhammad Abduh dalam mempertahankan penggunaan penaakulan dan penyiasatan rasional dalam bentuk ijtihad, yang diutamakan berbanding dengan hanya ikut membuta tuli atau taqliddengan pendapat mereka yang terdahulu.

Muhammad Abduh telah mengumumkan dalam karyanya yang terpenting Risalah at-Tawhid– yang telah dibaca dan dirujuk oleh al-Hadi – bahawa al-Qur’an telah menyuruh kita untuk menggabungkan persoalan-persoalan intelektual dan prosedur-prosedur rasional ke dalam manifestasi alam semesta dan sejauh mungkin ke dalam ciri-ciri di dalamnya yang tertentu, untuk mendapatkan dengan keyakinan yang pasti bagi perkara yang ia tunjuki.

Jelasnya, sikap orang Islam pada masa al-Hadi, malahan pada masakini juga, yang mempunyai kecendurangan untuk menggunakan penafsiran teks (nas) secara literal dan menyangkal segala yang berkait dengan logika penaakulan, telah menyumbang kepada intelektual yang tidak berkembang dan keadaan umat yang semakin merosot.

Dan hujah Muhammad Abduh bahawa agama tidak akan sekali-kali bertentangan dengan ilmu pengetahuan dan logika penaakulan dalam menerima dogma agama sesudah memeriksa akan kebenarannya, telah memberi impak yang besar terhadap Syed Sheikh al-Hadi. Beliau yang sangat kagum akan hujah ini telah menulis sebuah buku yang bertajuk Kitab Agama Islam dan Akal, yang di dalamnya beliau mempersembahkan idea Muhammad Abduh dengan lebih mudah kepada pembaca Melayu sekelian.

Dalam buku inilah Syed Sheikh al-Hadi melancarkan serangannya terhadap golongan konservatif dan Sufi, yang bersikap dingin terhadap golongan reformis yang menyebarkan idea pembaharuan Islam. Supaya orang Melayu dan umat Islam itu maju, bagi Sheikh al-Hadi, mereka haruslah berupaya untuk bersaing dengan penjajah. Asas utama bagi agenda reformis ini ialah untuk menyusun atur semula pandangan sarwa Islam dan menyediakan diri dengan kehendak moden dalam tamadun yang dinamis. Sheikh al-Hadi berkata:

Apabila orang-orang tempatan mempunyai pelajaran sama tara dengan pendatang, mengikut chara-chara mereka dalam memberi pelajaran kepada anak cucu mereka, berani untuk masuk ke dalam industri dan bidang kerja, menggunakan pertahanan yang sama dalam pergulatan kehidupan; maka dengan pastinya mereka akan terus bertahan hidup dan bersaing dengan orang luar.”

Maka, apabila Syed Sheikh al-Hadi membantah golongan Sufi, tidaklah ia sesuatu yang ganjil, atas kerana penekanan mereka yang berlebihan terhadap ilmu akhirat (eschatology) dalam Islam, sehinggakan beliau merasakan ia telah menjauhkan masyarakat daripada tanggungjawab duniawi.

“Tiada syak lagi sekalian penjaja-penjaja agama dan penjual-penjual azimat atau penjinjit tasbih atau pemusing akal perempuan dan segala pengikutnya akan mengatakan saya dengan sebab karangan saya ini seberapa daya upayanya daripada segala perkataan yang jahat-jahat, tetapi tiada saya endah akan perkataan mereka itu selama saya menyeru dengan seruan Qur’an. Kepada Allah jua saya bergantung”

[Syed Sheikh al-Hadi, Saudara, 27 October 1928]

Tidak ada ragu-ragu lagi bahawa perjuangan Syed Sheikh al-Hadi dan Kaum Muda dalam upaya untuk membebaskan minda Melayu Islam daripada belenggu konservatif agama masih releven pada abad moden ini. Masyarakat Melayu Islam sekali lagi di persimpangan jalan. Namun, kali ini, mereka terperangkap antara tiga alternatif yang tidak akan bertemu punca: aliran konservatif yang terus berjuang dalam menguasai dominasi Melayu dan teologi Ash’ariyyah, aliran revisionis yang menafsir kembali agama dalam pandangannya dan fahamannya yang literal lagi eksklusif; dan aliran pembaharu modernis yang mengendong logika dan rasionaliti dalam beragama.

Imtihannya, kami dengan yakin telah bertemu di satu titik persamaan bahawa kehidupan dan visi Syed Sheikh al-Hadi beserta obor da’wah dan jihad Kaum Muda sedang dibawa ke hadapan di abad ini dalam Kepulauan Melayu ini oleh pelbagai organisasi dan badan pemikir, yang percaya akan perlunya seruan islah dan reformis itu diteruskan. Dan semoga perjuangan Syed Sheikh al-Hadi dan para sahabat kontemporarinya daripada kalangan Kaum Muda tidak membeku dalam lipatan sejarah dan semoga ia mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Tuhan Yang Maha Esa.


Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa adalah Direktur di Islamic Renaissance Front (IRF), sebuah badan pemikir yang komited dalam membebaskan minda Kaum Muslimin daripada fahaman yang konservatif dan ortodoks, dan komited dalam agenda islah dan tajdid.

Muhammad Izzat Radzi adalah mahasiswa Sains Aktuari, UCSI University.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022