Uraian Jalan ke Mekah

December 30, 2018



Muhammad Asad dilahirkan sebagai Leopold Weiss pada Julai 2, 1900 di Lviv, Galicia, kini Ukraine, yang sebelum ini adalah sebahagian daripada jajahan empayar Austria. Pada tahun 1926, beliau memeluk Islam dan menjadi Muhammad Asad. Kisah tahun-tahun sebelum keIslamannya menggambarkan pengembaraan kerohanian seorang manusia yang mencari jalan yang sebenar, seorang manusia yang dilanda keinginan untuk mengembara, yang tidak dapat mententeramkan jiwa yang meronta sehinggalah beliau memeluk Islam. Pengembaraan inilah yang dirakam beliau di dalam buku ini, Jalan Ke Mekah.

Buku ini yang juga merupakan suatu travelog dan sebuah biografi yang menceritakan kisah seorang pengembara dari Barat yang akhirnya menemui apa yang beliau cari. Ia adalah suatu pengembaraan spiritual yang melangkaui Timur Tengah, benua Iran dan Afghanistan. Ia menceritakan bagaimana pengembaraannya di semenanjung Tanah Arab itu telah menggerakkan dhamirnya kepada suatu kesedaran. Buku ini juga boleh dibaca pada beberapa tahap yang berlainan; sebagai sebuah perjalanan hidup dalam mencari makna diri, sebuah kisah cinta yang abadi, dan sebuah kisah yang menafikan sebarang bentuk adat dan tradisi..

Tidak dapat dinafikan bahawa Muhammad Asad merupakan salah seorang pemikir Islam teragung yang pernah hidup, yang hampir tidak di kenali di dunia Barat, malahan juga menjadi suatu misteri bagi kebanyakan orang Islam di Timur. Tetapi, kepada mereka yang mengikuti kehidupannya melalui buku-buku penulisannya, mereka pasti mengetahui bahawa tidak ada seorangpun yang lebih banyak memberi sumbangan di dalam zaman ini terhadap kefahaman Islam dan kebangkitan umat Islam, atau yang telah berkerja lebih keras untuk membina jambatan diantara Timur dan Barat, yang melebihi daripada Muhammad Asad.


Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa adalah Direktur di Islamic Renaissance Front