Uraian Rachid Ghannouchi: Seorang Demokrat Dalam Wacana Islamisme oleh Azzam Tamimi
February 28, 2018

Rachid Ghannouci, nama tidak asing lagi dalam dunia politik Islam. Beliau yang dalam regim awal 70-an Tunisia menjadi mangsa penindasan politik penguasa diktator sehingga menjadi pelarian di luar negara. Ghannouchi hidup dalam suasana demokrasi menjadi perkataan yang hanya wujud di dalam senarai impian, sebab itu beliau menumpukan segala aset Islaminya untuk memperjuangkan demokrasi yang amat bermakna kepada rakyat yang ditindas.

Namun sebagai anggota al-Ikhwan al-Muslimin, beliau memerlukan kewajaran satu model yang merumuskan bahawa demokrasi adalah intipati perjuangan politik Islam. Demokrasi baginya adalah perjuangan atas keperluan semasa yang diwajarkan dengan teori Faraghat atau Vacuum yang diperuntukkan dalam Syariah untuk diisi. Sebelumnya tuduhan kepada golongan politikal Islam ialah mereka hanya menggunakan demokrasi untuk menang dan kemudian golongan Islami akan melaksanakan agenda mereka tanpa mengikut lunas demokrasi. Kepercayaan terhadap golongan Islami diragui. Ghannouchi cuba meyakinkan golongan yang skeptikal terhadap kelompok Islami dengan memberikan makna baru kepada demokrasi  iaitu demokrasi sebagai teras dan bukan sekadar wasilah.

Berbanding dengan golongan lain yang berbicara tentang demokrasi dan Islam hanya dalam kerangka teori, Ghannouchi hidup dalam teorinya dan membumikan idealismanya tentang demokrasi melalui parti Ennahdah Tunisia dan menterjemahkan aspirasi demokrasinya untuk mengislahkan negara. Ennahdah pimpinannnya telah menunjukkan bahawa golongan Islami tidak menggunakan demokrasi tetapi membumikan demokrasi dalam proses politik sehingga berjaya membentuk buat pertama kali satu perlembagaan negara secara konsensus. Proses demokrasi juga adalah menghormati pilihan rakyat dan apabila partinya kalah Ghannouchi mengundur diri tanpa cuba mengeksploitasi demokrasi untuk kepentingan dirinya.

Ghannouchi juga berbeza dengan sesetengah kelompok Islami yang hanya beretorika tentang demokrasi tetapi bertindak dalam amalan politiknya secara otokratik samada dalam partunya mahupun dengan rakyat jelata. Ghanouchi tidak berhenti sekadar membumikan perjuangan demokrasi tetapi dengan komitmen sebagai ahli siyasah Islam, beliau meninggalkan era politikal Islam dan gelar Islamisnya  kepada seorang Muslim Democrat. Political Islam adalah sebahagian fasa kematangan keterlibatan kelompok Islami dalam politik, kini evolusi alam politik diperkenalkan dengan nama baru iaitu Muslim Democrat. Nama itu adalah perlaksanaan kepada teori ‘faraghat’ atau kelompongan yang sengaja ditinggalkan oleh syariah agar tujuan utama Syariah atau Maqasid Syariah dapat tercapai, iaitu memartabatkan karamatul insan. Demokrasi pada falsafahnya ialah memberikan manusia kehormatan memilih, kehormatan membuat keputusan dan kehormatan menerima keputusan selagi ia memartabatkan hak insani. Dan buku ini menggariskan fikrah dan perjuangan politik Ghannouchi untuk melaksanakan teori yang telah beliau asaskan.


YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Ahli Parlimen Malaysia merangkap Naib Presiden Parti AMANAH. Buku Rachid Ghannouchi: Seorang Demokrat dalam Wacana Islamisme ini akan di lancarkan oleh YB Nurul Izzah Anwar pada tanggal 10 March, 2018 di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022