Uraian Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin
August 10, 2017

1.Para1Munculnya buku The Closing of the Muslim Mind di pasaran bacaan intelektual Nusantara Melayu Raya dengan tajuknya sahaja sudah cukup untuk mencetuskan kontroversi dan ketegangan antara budaya. Buku hebat yang pertama kali terbit pada tahun 2010 kini diperkenalkan dalam terjemahan Bahasa Melayu kini telah melahirkan sekurang-kurang dua reaksi dan pola tindak-balas.

Pertama; secara positif dan rasional, ia mengajak pembaca memahami dan mendalami apa yang dikatakan sebagai politikal Islam, aliran Islamisme dan juga terorisme yang sering dikaitkan dengan fenomena politikal Islam yang dilabel radikal dan militan.

Kedua; secara negatif dan emosional buku ini sekali dengan penulis dan penerbitnya dikecam oleh sebahagian umat Islam sebagai biadab dan satu provokasi jahat musuh-musuh Islam terhadap Islam dan umatnya. Lantaran itu ia bakal mengundang kemarahan masyarakat Islam di alam Nusantara Melayu.

Apapun alasan yang mahu diberikan oleh penerbit dan penulis, umat Islam terutama golongan yang percaya kepada teori konspirasi akan bertambah yakinlah mereka bahawa pihak yang memusuhi dan memerangi Islam akan terus membuat apa sahaja bagi memburukkan imej Islam termasuk dengan menerbit, mempromosi dan menyebarkan buku ini ke seluruh dunia.

Sebenarnya buku ini memberi fokus dalam menghalusi tindakan individu atau kumpulan berlandaskan Islamisme yang pada zaman ini yang diutuduh telah mencetuskan tindakan terorisme. Di kalangan pembuat dasar dan intelektual Barat istilah Islamisme dikaitkan dengan gerakan sosio-politik dan ekonomi yang menjadikan Islam sebagai landasan bagi mendapatkan sokongan rakyat dalam proses demokrasi. Oleh itu, sebelum ini para penganalisis lebih menghujahkannya di segi politik, ekonomi, kesan daripada tindakan negara-negara kuasa dunia menduduki negara-negara Asia Barat dengan bala tentera yang besar. Persoalan migrasi dan faktor penindasan bagi mereka yang mencari tempat dan negara untuk berlindung daripada penindasan politik ataupun penghapusan etnik.

Buku ini dengan begitu pintar dan teliti menggambarkan suatu naratif yang cukup kemas perihal masalah global yang terbit dan merebak ke seluruh dunia. Dianggarkan empat juta manusia yang terjebak dalam lingkaran gelap dan merbahaya ini. Buku ini juga mendakwa lebih menakutkan lagi adalah apabila terorisme hanyalah salah satu sahaja daripada manifestasi penyakit spiritual akibat Islamisme – terrorism is only one manifestation of the spiritual pathology of Islamism.

Lebih daripada itu, sebenarnya buku ini turut menyingkap akar umbi permasalahan dalam krisis kontemporari umat Islam. Di sinilah buku ini dengan berani membahaskan persoalan teologi yang dikatakan menjadi dasar sebenar dalam konflik perebutan kuasa politik sejak awal Islam lagi, iaitu sejak berakhirnya Al-Khilafah Ar-Rasyidun. Hal ini kerana jika dihimpun pelbagai sengketa para khulafa’ sama ada daripada kalangan Banu Umayyah mahupun Banu Abbasiyah dengan kelompok pembantah sama ada daripada golongan Muktazilah, Khawarij, Syi’ah, Jahmiah mahupun ulama salafus-salihan, jelas ia mendambakan sokongan hujah di segi teologi dan juga sokongan kekuatan politik asabiyah bahkan kekuatan ketenteraan dan persenjataan tercanggih.

3.Para8.RightPersoalan ini adalah berkenaan kuasa manusia untuk melakukan sesuatu dan takdir sebagai ketetapan Allah. Maka timbullah ketika itu polemik yang hebat antara golongan Qadariah dan Jabariah, wujud kumpulan yang mencetus ilmu kalam yang digelar mutakallimin dengan ditentang oleh ulama yang menggunakan kaedah salaf untuk menolak pendekatan mengutamakan aqal daripada naqal. Di tengah-tengah konflik yang menjurus kepada persoalan teologi inilah muncunyal kumpulan Muktazilah dengan doktrin al-Quran adalah makhluk. Doktrin Muktazilah ini ditentang oleh aliran salaf yang mementingkan asas-asas aqidah, syari’ah, ibadah dan akhlaq mesti bersumber daripada al-Quran dan as-Sunnah dan sekaligus menolak al-Quran sebagai makhluk dan menegaskan bahawa al-Quran adalah kalam Allah yang azali.

Buku ini juga mendakwa bahawa ia telah berjaya mendedahkan akar umbi krisis semasa umat Islam. Krisis ini merupakan satu persengketaan dalaman yang sangat sengit dalam dunia Islam. Pertelagahan tersebut telah memakan masa hampir seribu tahun. Dalam persengketaan antara peranan akal dan apa yang boleh dibuktikan oleh akal ini, akhirnya berkesudahan dengan kemenangan di pihak irrationality atau ‘ketidak-rasionalan’. Dari sinilah munculnya teologi pincang dan senget sebelah yang seterusnya melahirkan patologi spiritual serta adat resam dan budaya yang tidak berfungsi secara teratur dan tersusun.

Buku ini berhujah tentang keterbukaan fikiran dalam seluruh dinamisme kehidupan manusia pada hari ini yang terdiri daripada sains, fizik, astrofizik, matematik, undang-undang, astronomi, falsafah, migrasi besar-besaran sesebuah etnik termasuk pembersihan etnik, pencabulan hak asasi manusia, pemerdagangan wanita dan pelacuran anak-anak gadis bawah umur, kartel-kartel dadah dan judi serta sindiket maksiat seks dan seks di luar tabie, penjualan organ manusia dan isu-isu LGBT di mana orang awam dan ahli-ahli politik berinteraksi secara berterusan dalam persekitaran yang paling mencabar dan sentiasa berubah-ubah. Berdepan dengan cabaran ini, umat Islam lesu dan tidak bermaya berbanding kumpulan bukan Islam yang begitu maju kehadapan. Bahkan mereka menerajui dan mencipta tren baru dalam perubahan semasa.

Document13Buku Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin ini mungkin tidak disenangi oleh agensi agama Islam di beberapa negeri di negara ini. Tambahan pula apabila dinyatakan kemenangan aliran al-Asha’irah ke atas Muktazilah menandakan bermulanya sifat jumud serta lesu dan terbinanya satu asas yang menyuburkan sikap dan amalan taqlid. Taqlid dalam pengertian beramal dengan tuntutan agama tanpa memahami atau tanpa cuba meningkatkan ilmu untuk memahami apakah dalil dan hujah sesuatu perintah ataupun larangan al-Quran, as-Sunnah, ijma’ dan ijtihad (qiyas).

Prinsip Islam terhadap ilmu, membaca serta memahami sesuatu dengan nama Allah seperti yang terkandung dalam Surah al-Alaq menuntut agar manusia berfikir secara kreatif dan beramal di atas dalil yang yakin dan jelas. Pada ketika umat Islam dilanda amalan taqlid inilah para ulama’ telah mengisytiharkan bahawa pintu ijtihad telah ditutup.

 


SaariSungibYB Saari Sungib adalah ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Hulu Kelang dan Mantan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022