Wawancara dengan International Quran News Agency (IQNA) Mengenai Ali Shariati dalam memperingati Ulangtahun Kematiannya yang ke-43 | 18th June 2020
June 18, 2020

Prolog

Ali Shariati, (dilahirkan pada tanggal 23 November 1933, Mazīnān, Iran – meninggal dunia pada 18 Jun, 1977, England), merupakan seorang intelektual Iran dan pengkritik terhadap rejim Reza Shah Pahlawi. Ali Shariati membangunkan sebuah perspektif baru terhadap sejarah dan sosiologi Islam dan menyampaikan syarahan-syarahan yang sangat berharga di Tehran yang menjadi asas kepada Revolusi Islam Iran pada tahun 1979.

Shariati menerima pendidikan awal dalam agama daripada bapanya sebelum mengikuti pengajian di maktab perguruan. Kemudiannya, beliau menyambung pengajian di Universiti Mashhad, di mana beliau mendapat ijazah dalam bahasa Arab dan bahasa Perancis. Beliau terlibat aktif dalam politik semenjak menjadi pelajar dan pernah dipenjarakan selama lapan bulan. Beliau menerima Ph.D. dalam sosiologi daripada Sorbonne di Paris. Ketika berada di sana, beliau telah bertemu dengan Jean-Paul Satre, para sosiologis Perancis, dan para pelajar aktivis kiri Iran . Beliau sangat dipengaruhi oleh pengalamannya di Paris. Sekembalinya Shariati ke Iran, beliau telah dipenjara selama enam bulan pada tahun 1964. Selepas beliau dibebaskan, beliau mengajar di Universiti Mashhad sehinggalah syarahan-syarahan dan popularitinya dianggap sebagai ancaman kepada pentadbiran.

Kemudiannya, beliau pergi ke Tehrān, di mana beliau membantu dalam mendirikan Husyniya-yi Irshad (sebuah pusat pendidikan keagamaan) pada tahun 1969. Pada tahun-tahun berikutnya, Shariati telah menulis dan mengajar tentang sejarah dan sosiologi Islam serta mengkritik rejim semasa, Marxisme, intelektual Iran, dan para pemimpin keagamaan konservatif. Pengajaran-pengajarannya telah menjadikannya sangat popular dalam kalangan para pemuda Iran namun juga mendatangkan masalah kepada para agamawan dan kerajaan. Beliau telah dipenjara sekali lagi pada tahun 1972 selama 18 bulan dan kemudian diletakkan di bawah tahanan dalam rumah. Beliau kemudiannya dibebaskan dan meninggalkan Iran ke England pada tahun 1977. Tidak lama selepas beliau tiba di England, Shariati telah meninggal dunia disebabkan oleh serangan jantung, namun para penyokongnya menyalahkan SAVAK, iaitu agensi perisikan sulit Iran, yang menyebabkan kematiannya itu.

Ajaran-ajaran Shariati boleh dikatakan telah meletakkan asas kepada revolusi Iran kerana pengaruh besarnya terhadap para pemuda Iran. Pengajaran-pengajarannya menyerang kerajaan zalim Shah dan polisi Westernisasi dan modernisasinya itu. Shariati percaya, polisi-polisi tersebut telah memusnahkan budaya dan keagamaan Iran serta meninggalkan masyarakat tanpa tambatan keagamaan dan tradisi sosial mereka. Shariati menyeru untuk kembali kepada Syiah yang benar yang bersifat revolusioner. Beliau percaya bahawa Islam Syiah itu sendiri merupakan sebuah kekuatan untuk keadilann dan kemajuan sosial namun telah dirosakkan di Iran melalui pengistitusiannya oleh para pemimpin politik.

 


Wawancara ini telah dijalankan oleh Mohsen Haddadi (MH) daripada IQNA News Agency dengan Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa (AFM), Pengasas dan Pengarah Islamic Renaissance Front.

 

MH:  Sejauh mana Ali Shariati dikenali dalam lingkaran akademik di Asia Tenggara? Dan bukunya yang mana telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa tempatan?

AFM: Saya berpandangan bahawa, mana-mana pemikir Asia Tenggara yang mengkaji sosiologi ataupun berminat dengan ideologi kiri akan membaca buku-buku Ali Shariati. Kecenderungan egalitarian yang kuat dan kritikannya terhadap ketidaksamarataan kelas menjadikan Ali Shariati sebagai seorang pemikir sosialis. Namun begitu, baginya, sosialisme itu tidak sekadar sebuah mode of production (sistem ekonomi), tetapi sebagai suatu cara hidup. Beliau merupakan seorang yang kritikal terhadap sifat sosialisme yang menyembah personaliti, parti, dan negara justeru beliau mencadangkan sebuah sosialisme yang dikenali sebagai “sosialisme humanis” (humanist socialism). Kefahaman saya mengenai Shariati adalah, legitimasi negara itu digerakkan daripada rasional awam (public reason) dan kehendak bebas masyarakat secara kolektif. Bagi Shariati, kebebasan dan keadilan sosial mesti dilengkapi dengan spiritualiti moden. Ideanya mengenai kebebasan, kesetaraan, dan spritualiti merupakan sebuah sumbangan baharu terhadap idea “kemodenan alternatif” (alternative modernity).

Buku Ali Shariati yang pertama kali saya baca ialah Hajj ketika zaman muda saya sekitar awal tahun 80-an, di mana buku tersebut merupakan sebuah karya monumental yang telah mengubah kefahaman saya terhadap rukun Islam yang kelima. Hajj bagi Shariati adalah sebuah lambang ciptaan, sebuah lambang sejarah, sebuah lambang kesatuan, sebuah lambang ideologi Islam, dan sebuah lambang Ummah.

Shariati telah memberi pencerahaan kefalsafahan terhadap ritual Haji. Pengetahuan (Arafat), Kesedaran nurani (Mashar), dan Cinta (Mina) merupakan tiga isi penting yang mendirikan suatu jalinan bagi seorang Muslim sebenar. Dan perkataan-perkataan yang paling mengesankan adalah pada penjelasannya mengenai melontar jamrah di Mina. Tiga jamrah tersebut menggambarkan Firaun (simbol penindasan), Qarun (simbol kapitalisme), dan Bal’am (simbol hipokrasi) yang merupakan tiga berhala yang diharapkan untuk dimusnahkan. Shariati menjelaskan bahawa, kepentingan untuk merejam berhala-berhala sebegini dengan tujuh batu sebanyak tujuh kali adalah melambangkan bilangan hari-hari penciptaan, tujuh lapisan langit, dan tujuh hari seminggu. “Perkara ini menyiratkan sebuah perjuangann berkekalan yang bermula dengan permulaan penciptaan makhluk dan diteruskan sehingga hari kiamat; suatu medan perang tanpa gencatan senjata; dan ketiadaan suatu hubungan baik dengan mana-mana keberhalaan”. Tiada perkara lain yang lebih menggerakkan hati nurani saya berbanding kata-katanya dalam bukunya Hajj itu.

Selain daripada buku ini –Hajj– yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia/Melayu, organisasi Islamic Renaissance Front yang saya ketuai juga telah menterjemahkan dan menerbitkan bukunya Religion Versus Religion kepada Agama Lawan Agama. Buku ini berdasarkan kepada dua kuliah Shariati mengenai agama yang memiliki dua wajah, iaitu wajah “agama revolusi” (religion of revolution) dan wajah “agama legitimasi” (religion of legitimation). Perbezaan antara kedua-dua wajah tersebut itu diterangkan dengan sangat menarik: “Agama revolusi” merupakan sebuah agama yang berfungsi untuk mengatasi perbezaan dalam kelas dan kedudukan ekonomi, sementara itu “agama legitimasi” pula bermaksud sebuah agama yang menghalalkan dan mengabadikan perbezaan-perbezaan tersebut, Namun begitu, bertentangan dengan sebagian sosialis yang cuba untuk memisahkan agama, Ali Shariati yang mendukung perbezaan kelas dan bukan agama yang mengatasi perbezaan-perbezaan sebegini sebaliknya telah menempatkan garis pemisah dalam agama itu sendiri. Daripada perspektifnya, bukanlah agama itu sendiri yang perlu ditolak sebagai “candu masyarakat” (opium of the people), tetapi hanyalah satu jenis agama yang perlu ditolak, iaitu “agama legitimasi”, sementara itu agama dalam erti kata sebenarnya itu tetaplah kekal tidak terusik. Inilah pendirian Shariati yang bercanggah daripada Marxisme.

Dan kesan daripada analisis yang mengesankan itu sangat luas. Gelarannya sebagai arkitek bagi Revolusi Islam Iran itu bukanlah sesuatu yang sia-sia. Semenjak Perang Dunia Kedua, dunia Muslim telah digegarkan oleh dua gerakan berkuasa, iaitu ideologi sosialis dan – lebih terkini – adalah apa yang sekarang dikenali sebagai fundamentalisme Islam. Garisan yang dilukis oleh Ali Shariati telah menggabungkan dua gerakan ini bersama-sama: Menurut Ali Shariati, Islam sebenar ialah sosialisme sebenar, dan sosialisme sebenar ialah Islam sebenar. Ia merupakan sejenis slogan yang menyebabkan ribuan manusia telah bersedia untuk mati dan ribuan manusia telah pun mati kerananya. Itulah kesan Shariati terhadap Iran dan terhadap dunia Muslim secara umumnya.

 

 MH: Apakah tarikan utama pemikiran Ali Shariati bagi para pemikir dan masyarakat Malaysia?

AFM: Saya kira ianya agak sukar untuk menjelaskan tentang tarikan pemikiran Ali Shariati terhadap masyarakat Malaysia. Saya hanya boleh jelaskan mengenai diri saya sendiri dan bagaimana pemikiran Shariati itu sangat berkuasa dalam membawa kepada perubahan rejim di Iran dan di mana-mana di dunia Muslim. Sedihnya, tidak banyak buku-bukunya yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Cuma, apa yang saya boleh katakan iaitu bagi saya sendiri, Shariati telah berhujah bahawa Muslim memerlukan sebuah kepimpinan jenis baharu, yang menghayati dinamika, berfikiran visonari, tidak mementingkan diri sendiri, dan kualiti Islam yang berwawasan. Beliau mencirikan pemimpin yang sebegini sebagai seorang “raushanfikr”, yang kebiasaannya diterjemahkan sebagai “jiwa yang tercerah” (englightened souls) walaupun hubungan nalurinya dengan “pencerahan” Eropah mesti dihalang. Dalam Where Shall We Begin?, Shariati menulis:

“Apakah itu sebuah jiwa yang tercerah? Secara ringkasnya, jiwa pencerahan itu ialah seseorang yang memiliki kesedaran diri tentang “kondisi manusiawi” pada zamannya dan pada suasana sosial dan sejarah, serta kesedaran tersebut adalah sesuatu yang tidak terelakkan dan semestinya memberikannya suatu rasa tanggungjawab sosial. Dan sekiranya dia berpendidikan, dia mungkin menjadi lebih efektif, dan sekiranya tidak berpendidikan dia mungkin akan menjadi kurang efektif. Tetapi perkara ini bukanlah suatu hukum yang umum…”

Hakikatnya, banyak tulisan Shariati membincangkan tentang idea ini, dan menyeru kepada masyarakat muda Iran yang bercita-cita untuk mencapai kualiti-kualiti sebegini. Sebagai contoh, beliau sentiasa merujuk kembali kepada sejarah Islam dan tokoh-tokoh besar pada zaman lampau. Inilah suatu wilayah di mana idea-ideanya kelihatan telah berkembang dari semasa ke semasa. Dalam tulisannya, Approaches to the Study of Islam sebagai contoh, beliau telah memberikan sebuah senarai ringkas jurusan-jurusan pengajian di mana pengajian tradisional Islam terhadap jurusan tersebut telah berkurangan. Dalam Where Shall We Begin?, beliau berbicara tentang sebuah “reformasi Islam” dan sebuah “protestantisme Islam”, yang nampaknya berkaitan secara eksplisit terhadap Euro-Kristian terdahulu. Dalam makalahnya What Is To Be Done?, beliau memaparkan wawasannya mengenai sebuah program kajian bagi Hussainiyah Irshad yang nampaknya menjadi perkara paling dekat yang beliau hasilkan terhadap sebuah program berbentuk tindakan. Namun begitu, meskipun kritikan-kritikannya ditujukan kepada institusi Syiah itu sendiri, namun tuduhan bahawa beliau merupakan anti agamawan merupakan sesuatu yang kurang tepat, memandangkan beliau memberi penekanan terhadap pengetahuan Islam. Sebaliknya, dorongannya adalah untuk menciptakan golongan ulama yang baharu, dengan sebuah kefahaman Islam yang lebih baik daripada ulama-ulama mereka yang terdahulu, iaitu ulama yang mampu menggalas tanggungjawab yang gagal digalas oleh ulama-ulama sebelumnya.

Ya, Shariati memang merupakan seorang intelektual pertamanya dan terutama, yang kemuncak fikirannya adalah untuk membangunkan dan melahirkan semula Islam dan masyarakat Muslim. Tetapi, sesetengah orang berhujah bahawa idea-ideanya itu memiliki pendahulunya dalam kalangan para pemikir Muslim yang lain, dan kebanyakan daripada mereka ialah Sunni, seperti ahli falsafah Muhammad Iqbal yang buku-bukunya itu adalah sangat terkenal dan berpengaruh di Iran. Ramai orang juga sangat terpengaruh dengan kajiannya terhadap falsafah-falsafah dan ideologi-ideologi Barat. Tetapi, tidak terdapat sedikitpun keraguan di sini terhadap pandangan sebegitu, memandangkan latar belakang Shariati dalam sebuah persekitaran Islam tradisional dan kekuatannya yang bertumpu kepada Islam dalam tulisan-tulisannya, bahawa beliau merupakan Muslim yang pertama dan terpenting – seperti kebanyakan orang sezamannya di serata dunia Muslim – untuk mengutarakan perihal  penderitaan yang menyedihkan yang terdapat dalam masyarakat Muslim, dan untuk mencari penyelesaiannya dalam Islam.

Sumbangan terbesar Shariati adalah dalam mengungkapkan idea-ideanya itu dalam sebuah persekitaran Syiah; eseinya Red Shiism Vs Black Shiism merupakan sebuah contoh yang baik. Dalam eseinya itu, beliau membincangkan idea-ideanya tentang dua aspek yang dirasakan daripada mazhab Syiah sepanjang sejarah. Syiah Merah (Red Shi’ism), yang beliau lihat sebagai bentuk asal bagi agama, yang bersikap peduli terhadap keadilan sosial dan penyelamatan bagi masyarakat, yang tanpa sebarang ritual penyembahan berhala mahupun pada para agamawan negara. Sebaliknya, Syiah Hitam (Black Shi’ism) baginya adalah  bentuk yang bercanggah dengan agama, yang berada di bawah penguasaan monarki dan para agamawan, yang tidak peka dengan keperluan-keperluan masyarakat, yang kemudiannya telah ditubuhkan di Iran di bawah kekuasaan Safavid.

Tidak diragukan lagi, bahawa Shariati akan sentiasa dikenang kerana Revolusi Islam yang datang sejurus selepas kematiannya pada usia muda itu, dan ramai orang percaya bahawa Revolusi Islam itu hanya boleh berlaku dan berjaya disebabkan oleh komitmennya terhadap Islam sebagai sebuah kuasa dinamik kepada perubahan di mana Idea-ideanya itu telah timbul dalam kalangan generasi dan kelas masyarakat muda Iran yang sebaliknya akan menjadi lebih terasing dari Islam daripada apa yang mereka telah miliki sebelum kerja-kerja yang dilakukan Shariati.

 

MH: Adakah terdapatnya mana-mana pemikir di Asia Tenggara yang boleh dibandingkan dengan Ali Shariati?

AFM: Jika anda bertanyakan sekiranya terdapat mana-mana sarjana Asia Tenggara yang dapat dibandingkan dengan Ali Shariati, dari segi membawa sebuah revolusi dengan idea-ideanya, maka jawapan mudahnya ialah tidak ada. Tetapi, kita memiliki ramai pemikir besar di Nusantara Melayu pada awal kurun ke-20 ini yang telah mencipta sebuah anjakan paradigma dalam kefahaman Islam yang mengubah keseluruhan masyarakat dan kekal sehingga ke hari ini. Ia lebih bersifat kepada sebuah evolusi berbanding revolusi. Satu nama yang datang ke dalam fikiran saya di antara ramai tokoh-tokoh yang lain ialah Ahmad Dahlan.

Kiyai Ahmad Dahlan merupakan seorang tokoh pengasas Muhammadiyah, iaitu sebuah gerakan reformis pada kurun ke-20 yang kekal sehingga ke hari ini dan memiliki jutaan pengikut yang komited dalam kerja-kerja sosial dan pendidikan bagi mengangkat masyarakat Muslim Indonesia-Melayu dalam setiap aspek kehidupan mereka. Dan gerakan ini telah menciptakan sebuah anjakan tektonik dalam kefahaman Islam Melayu Muslim Sunni berbanding dengan nenek moyang mereka. Tetapi di sini bukanlah tempatnya untuk membincangkan hal ini lantaran fokus kita ialah terhadap Ali Shariati dan pola pemikirannya.

 

MH: Adakah anda fikir bahawa Ali Shariati merupakan seorang pemikir untuk masa lampau ataupun dia memiliki mesej terhadap dunia Muslim kontemporari? 

AFM: Adakah Ali Shariati merupakan seorang pemikir yang hanya relevan pada waktu lalu? Saya tidak berpandangan sebegitu. Legasi dan pemikiran Shariati itu masih relevan sehingga ke hari ini dan menyumbang kepada sebuah dekonstruksi terhadap pembahagian binary yang salah antara Islam & Kemodenan, Islam & Barat, dan Timur & Barat. Dalam mendokong sebuah cara ketiga antara kedua-dua pembahagian ekstrim sebegini, pemikiran Shariati menemukan titik persamaan dengan para reformis kontemporari, termasuklah idea pembebasan Islam Abdolkarim Soroush dan Abdullahi Ahmed An-Na’im.

Sumbangan Ali Shariati terhadap sosiologi diambil sebagai premis mereka dalam mewacanakan tentang penguasaan berterusan oleh ketamadunan Barat terhadap masyarakat bukan Barat. Bagi saya, banyak tulisannya kekal relevan dan berguna dalam dunia kontemporari seperti mana ia telah ditulis sejak dahulu. Untuk menyebut semula pandangannya itu, sebuah pengorientasian baharu yang mengiktiraf agensi dan autonomi individu akan membantu masyarakat Muslim untuk mengatasi penyebab-penyebab struktural yang menyebabkan kepada berlakunya kelembapan dan ketidakmajuan mereka. Dan apabila saya melihat terhadap wacana anti kolonial beliau, Shariati menggariskan peranan agama dalam membebaskan masyarakat, iaitu sejenis teologi pembebasan Muslim (Islamic liberation theology), dan perkara ini kekal relevan sehingga ke hari ini.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022