Blurb “Islam Di Persimpangan Jalan” Terjemahan Daripada “Islam at the Crossroads” oleh Muhammad Asad
August 25, 2016

7895302Islam at the Crossroads” adalah satu refleksi diri dalam satu kerangka minda dan jiwa yang terperangkap dalam kembara mencari cahaya kebenaran. Dalam pencarian tersebut, pengembara menemui keindahan dan kehebatan cahaya Islam. Lantas dengan itu dijadikan keunggulan Islam itu sebagai satu neraca dan satu pedoman.

Bahkan pada satu keadaan, Islam yang penuh dengan keindahan itu terus berkembara menerobos hiruk-pikuk, riuh rendah serta kekeliruan yang lama kelamaan bertukar menjadi sunyi yang menghingarkan dan turut terhenti di suatu persimpangan – crossroads. Persimpangan itu pula pelbagai, majmuk dan satu hiruk-pikuk tetapi dalam kesunyian yang mengelirukan.

Di situ pula terdapat lorong dan jalur yang bersimpang siur sehingga ternyata bahaya kata-kata “if you do not know where to go, any road will take you there“?

Persimpangan yang bersimpang siur penuh hiruk-pikuk tetapi dalam sunyi sepi daripada hidayah dan kebenaran itu terdapat satu jalur dominan yang mudah memikat manusia ramai ke jalan pemisahan prinsip dan nilai kemanusian serta hubungannya dengan Pencipta dan insan keseluruhannya.

Di persimpangan tersebut juga terdapat satu jalur yang samar dan serabut bagi manusia yang gelap hatinya tetapi tidak kepada mereka yang subur jiwanya, cerdas akalnya dan tinggi azamnya bahkan tulen sumber panduan hidupnya dalam berdepan dengan seribu satu fatamorgana di persimpangan tersebut.

Dalam kata-katanya yang penuh kesedaran dan keikhlasan, pengembara menegaskan fatamorgana dalam hiruk-pikuk persimpangan tersebut hanya dapat dirungkaikan dengan kebangkitan seangkatan anak muda yang dalam jiwa membakar api kebenaran sebagaimana yang terdapat dalam jiwa dan akal budi para sahabah Rasulullah iaitu dengan berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah – tuntas dan persis katanya sebagai  “for those (Muslims) in whose hearts still lives a spark of flame which burned in the hearts of the Companions of the Prophet”.


SaariSungib-bw-pngYB Saari Sungib adalah ADUN Hulu Kelang dan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negeri Selangor merangkap mantan Presiden Jamaah Islah Malayisa (JIM).

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022