Dr Burhanuddin al-Helmy dan PAS – Bahagian II
January 10, 2022

Ahmad Nabil Amir || 10 Januari 2022

 

Perjuangan

Pada dekad awal 30-an, Dr Burhanuddin telah memimpin referendum membantah pendudukan Palestin yang menyebabkannya ditahan oleh British kerana mempelopori gerakan memprotes Deklarasi Balfour yang diisytiharkan pada tahun 1917. Tempoh antara tahun 30-an ini merupakan dekad yang penting yang menyaksikan kebangkitan gerakan Islam di seluruh dunia, yang dicetuskan dengan penggembelingan angkatan pemuda, dengan penubuhan Partai Nasionalis Indonesia (PNI) oleh Soekarno pada tahun 1927 dan Ikhwanu’l-Muslimin oleh Hassan al-Banna, pemimpin Islam Mesir pada tahun 1928.

Pak Doktor terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan keadilan. Ketika kes Natrah (Maria Hertogh) dibicarakan di Singapura pada tahun 1950, yang telah meributkan seluruh gelanggang perdebatan di tanah air, beliau bertegas mempertahankan aqidah Islam dan bersama Abdul Muhammad menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Natrah dan bangkit membantah keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang menyebabkannya ditahan kerana didakwa terlibat dalam rusuhan.

Beliau ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pada 28 Januari 1965 kerana dituduh bersekongkol menjatuhkan kerajaan dan menentang pentadbiran yang sah dan terlibat mendirikan kerajaan buangan di Riau, Indonesia. Penahanan tanpa bicara dan pendakwaan kejam itu tidak mematahkan semangat perjuangannnya dan setelah beliau dibebaskan tanpa syarat pada Mac 1966, Pak Doktor enggan menandatangi surat pembebasan kerana mempertahankan kenyataan bahawa beliau tidak bersalah.

Pengalaman dalam sel itu dicatat dengan terperinci dalam bukunya Hari-Hari Aku Dizalimi, yang mengaitkan rencana jahat pemerintah dalam menuduhnya bersubahat dengan Dato’ Raja, Ishak Haji Mohamad dan Aziz Ishak. Turut dicatatkan tekanan dan layanan buruk serta fitnah yang dilemparkan dan direka-reka terhadapnya, dan dakwaan merancang exile government dan memobilisasi gerakan subversif, yang menurutnya mencemarkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin dan tidak selayaknya dituduh kepadanya sebagai “seorang ahli politik yang telah lama di gelanggang politik dan berjuang cara Perlembagaan dari tahun 1937 lagi”.

Hal ini seperti yang dilakarkan dalam bukunya: “Tidak pernah saya lakukan dan berniat melakukan perkara-perkara di luar Perlembagaan, peraturan kemanusiaan, Human Rights dan piagam-piagam Bangsa-Bangsa Bersatu. Segala tuduhan itu saya jawab bahawa saya tidak tahu dan mana yang patut saya nafikan saya nafikan… saya merasakan dan mengira bahawa tekanan ke atas saya dengan segala tuduhan yang tidak betul adalah direka-reka semata-mata… Perikatan dalam ketakutan dan kebimbangan disebabkan bangkangan oleh saya.”

 

Memimpin PAS

Sejarah penubuhan PAS bermula daripada gerakan Parti Golongan Muslimin Malaya (Hizbul Muslimin) yang diasaskan pada 17 Mac 1948 oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Hizbul Muslimin tertubuh hasil daripada konferens Islam se-Malaysia pertama yang diadakan pada Mac 1947, di Madrasah Ma‘ahad al-Ehya al-Sharif di Gunung Semanggul, Perak. Konferens ini ditaja oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy yang dianjurkan untuk membincangkan permasalahan ekonomi umat Melayu-Muslim, dan mendirikan pergerakan Islam yang progresif dan memperjuangkan kemerdekaan dari penjajah British.

Menurut Zainal Abidin Abdul: “Sebenarnya sebelum PAS lahir, perjuangan menerusi parti politik yang menekankan soal ugama Islam telahpun dimulakan oleh Hizbul Muslimin di tahun 1948. Tetapi umur Hizbul Muslimin adalah pendek kerana kebanyakan pemimpin-pemimpinnya seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir, telah ditangkap oleh kerajaan British apabila darurat bermula. (Zainal Abidin Abdul 1978; “Semangat Perjuangan Melayu”. Seminar Sejarah Intelektual dan Perjuangan Kebangsaan Melayu, Universiti Malaya).

Perjuangan PAS ketika itu juga terikat dengan tuntutan politik Melayu, seperti dikemukakan dalam manifesto PAS pada pilihanraya tahun 1959: “Mengembalikan hak kedaulatan Melayu dan memberi keutamaan kepada orang-orang Melayu dalam bidang kerajaan dan pentadbiran.”

Pembabitan Dr Burhanuddin dalam PAS bermula sejak awal dengan usahanya memimpin parti dan melakarkan garis perjuangan yang mendasar bagi mendukung cita-cita politik yang besar ke arah membebaskan watan daripada cengkaman penjajah. Menurut Dr Ismail bin Said dalam tesisnya bertajuk Parti Islam Sa-Malaysia: Kepimpinan dan Perjuangan dari Tahun 1951 hingga 1970: “Ketiga-tiga tokoh ini (Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, Dr. Abbas Alias dan Dr. Burhanuddin al-Helmy) bukan sahaja berjuang menuntut kemerdekaan dan membela nasib orang Melayu dan agama Islam, mereka juga menyuarakan kepentingan umat Islam sejagat terutamanya di Palestin, Selatan Thailand, dan di Afrika Selatan… dengan kepimpinan yang diamalkan, mereka telah berjaya membangunkan PAS menjadi sebuah parti yang berjaya dalam tempoh dua dekad awal ini.”

Dr Burhanuddin diangkat sebagai Presiden PAS ketiga pada tanggal 25 Disember 1956 menggantikan Dr Abbas Elias. Kedudukannya yang kukuh dalam PAS telah memungkinkannya untuk melakarkan agenda perjuangan yang bermakna dalam menzahirkan gagasan mewujudkan sebuah negara yang makmur seperti diungkapkan dalam ucapannya:

“Kita dari angkatan PAS akan melancarkan bahtera perjuangan kita menuju pelabuhan cita-cita Islam yang sangat jauh pelayarannya. Kita sama-sama bertolak beriringan aliran-aliran lain dan walaupun nasionalisme dan sosialisme telah sampai, tetapi Islamisme akan berlayar terus, menuju pelabuhan kita: Baldatun Taiyyibatun Wa Rabbun Ghafur.”

[Burhanuddin al-Helmy 1957; Suara Islam]

Pucuk pimpinan PAS yang diterajui oleh Dr Burhanuddin sebagai Yang Dipertua dan Prof Zulkifli Mohamad sebagai Timbalan Yang Dipertua telah memperkasakan pimpinan, dan merobah corak perjuangan secara lebih agresif dengan kejayaan PAS merampas 14 buah kerusi parlimen di Kelantan dan Terengganu dalam pilihanraya tahun 1959. Antara tahun 1956-1969 di bawah tampuk kuasa Presiden yang baru, PAS telah menunjukkan pencapaian politik yang terbaik dengan kemantapan dasar yang dizahirkan, dan sikap keterbukaan yang tinggi dan aspirasi perjuangan yang progresif. Dan Pak Doktor, pejuang demokrat yang Islamis, meneruskan aspirasinya yang radikal untuk memimpin dan mengemudi perjuangan yang dahsyat itu.

Sumbangannya dalam menggembeling jentera parti dan memperkuat saf kader dan merobah struktur dan strategi perjuangan adalah pencapaian yang terbaik dicatat dalam sejarah politik PAS. Mengulas perkembangan ini Dr Farish Noor menulis:

For those who have studied the historical development of PAS, the years of Dr. Burhanuddin al-Helmy’s leadership appear as the period when the party was led by the most progressive Islamist intellectual in the country”.

[Farish Noor, 2004. Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-2003)].

 

Reformasi Kedua 

Setelah berhasil menumpaskan penjajah dan meraih kemerdekaan pada tahun 1957, maka perjuangan Pak Doktor diisi dengan gerakan membawa perubahan dan menegakkan cita-cita Islam dan menggarap idealisme dakwah, seperti yang diungkapkan oleh Prof Zulkifli Mohamad yang menggariskan khittah Islamiyah yang tuntas dalam pidatonya:

“Setelah mencapai kemerdekaan sampailah kita kepada peringkat perjuangan mengisi kemerdekaan, dari sini bermulalah peringkat kedua perjuangan kita, peringkat jangka panjang perjuangan PAS. Sebagai sebuah parti yang berideologi, kita berazam hendak mengisi kemerdekaan itu dengan ideologi kita sendiri, iaitu ideologi Islam atau Islamisme. Kita percaya dengan Islam sahajalah negara kita dan umat kita dapat dibawa ke arah keselamatan dan kebahagiaan yang sebenar-benarnya. Dengan lain-lain perkataan bahawa tugas kita yang terpenting sesudah tercapainya kemerdekaan ialah berikhtiar supaya undang-undang dan peraturan yang diamalkan dalam masyarakat dan dalam pemerintahan negara, sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah. Dengan itu barulah ada nilainya Islam itu sebagai agama pembimbing hidup kemanusiaan.”

Perjuangan yang dipelopori Dr Burhanuddin menzahirkan ideologi perjuangan yang praktikal dan realistik. Sumbangannya yang penting adalah dalam merealisasikan cita-cita Islamisme dan nilai perjuangan yang pragmatik, seperti yang ditegaskan dalam pidatonya:

“Saya berpendapat bahawa sebarang ideologi hanyalah alat saja untuk memperjuangkan cita-cita nasional, cita-cita kebangsaan, iaitu cita-cita menegakkan suatu negara Malaya yang merdeka, demokratis dan berdaulat… Ideologi nasionalisme atau kebangsaan ialah [bertujuan untuk] mencapai kemerdekaan politik, ekonomi dan sosial, dan terdirinya kebebasan dan kemakmuran rakyat bersih dari sebarang pengaruh penjajahan… semua isme ini timbul daripada pengalaman-pengalaman manusia yang telah berlaku dalam proses perkembangan masyarakatnya dari zaman kuno hingga ke zaman moden ini. [Tetapi] ideologi Islam (atau Islamisme) adalah berbeza dan berlainan daripada isme-isme yang lain. Keistimewaan Islamisme ialah datangnya sebagai hukum ketatapan yang diturunkan Tuhan yang menjadikan manusia seluruhnya dan menciptakan alam ini sekaliannya. Hukum ini tidak dapat di-ubah-ubahkan dan ditukar atau dipinda-pinda. Yang boleh berubah dan bertukar ialah hanya manusia itu sahaja. Islamisme tegasnya adalah hukum Tuhan bagi seseorang dalam perhubungan dan masyarakat dan dalam perhubungan dengan Tuhan.” [Farish Noor, 2004. Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-2003)].

Perjuangan PAS adalah bersandar kepada tuntutan untuk menegakkan syari’at dan hukum. Inilah pijakan perjuangannya yang jelas, untuk mewujudkan “negara yang menghayati tuntutan Islam yang sebenar (al-dīn wa ad-daulah) dalam segala bidang, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa… (yakni) sebuah negara kebajikan yang diasaskan atas prinsip syara‘” (PAS 2003; Negara Islam).

Inilah antara tasawwur perjuangan yang dilakarkan Dr Burhanuddin dalam harakah PAS, yang menetapkan iltizam dan kesediaan untuk mengharungi dan melompat ke tengah-tengah gelanggang dan tampil menuntut dan membela maruah agama dan bangsanya dan mempertahankannya habis-habisan. Merumuskan gerakan pembaharuan yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin, kita dapat menyimpulkan bahawa ketangkasan ideanya telah mengangkat martabat perjuangan dengan sumbangan yang penting dalam (1) memimpin perubahan (2) mengangkat kedudukan PAS ke persada dunia (3) menyiapkan golongan pelapis (4) menggalakkan wacana demokratis dan terbuka, dan (5) mencetak kader dakwah yang mendukung cita-cita keadilan dan islah.

Ketangkasannya mengatur aktiviti politik diperkukuh dengan kemantapan daya juang dan peranannya yang aktif dalam mengetengahkan agenda Islam dan mengangkat harakat bangsa, dan inisiatif yang strategik untuk mengemukakan isu-isu yang mustahak dan mendesak ke parlimen. Strategi perjuangannya direncana dengan tuntas. Beliau berhempas pulas memperjuangkan asas politik Islam berteraskan matlamat syari’ah yang menuntut “kekuasaan diselenggarakan dengan cara yang saksama”, menggembeling masyarakat madani, dan membina kerangka pemerintahan berteraskan prinsip al-adl wa’l ihsan.

Setelah kewafatan Pak Doktor pada 10 Oktober 1969, kerusi Presiden diambil alih oleh Ustaz Mohd Asri Muda (1969-1982), Ustaz Yusof Rawa (1982-1988) dan Ustaz Fadhil Noor (1988-2002) yang telah menunjukkan daya kepimpinan yang luar biasa di kalangan pemimpin dan akar umbi PAS dan ABIM pada dekad-dekad 80-90 an. Kepimpinan Ustaz Fadhil (1937-2002) menyerlahkan kekuatan idealisme yang diasaskan oleh pejuang-pejuang PAS yang besar seperti Dr Burhanuddin al-Helmy dan Prof Zulkifli Muhammad dalam harakat politik. Kepimpinan PAS kini digalas oleh Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang, yang menerajui perjuangan sejak 2002.

 

Faham Islamis Nasionalis

Dr Burhanuddin berjuang mengembangkan faham kebangsaan Islam seperti yang digagaskan oleh Sang Maestro, M. Natsir di Indonesia. Tema politik yang diangkatnya adalah Kebangsaan Melayu, Hak Ketuanan Melayu dan Melayu Raya seperti dijelaskannya:

“Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci.”

Dan dalam bukunya Falsafah Kebangsaan Melayu (1954), beliau mengetengahkan pandangannya tentang dasar kebangsaan Islam: “Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan tetapi hanya satu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat”.

Nilai asabiyyah sempit ditolak, ditempa dengan asabiyyah positif yang dibarengi oleh kesedaran, semangat persaudaraan dan solidaritas sosial yang tinggi seperti yang diungkapkan oleh Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah, yang menolak fanatisme dan faham perkauman sempit dan menekankan ikatan masyarakat dan budaya yang kuat, keselarasan sosial, keadilan, dan kebenaran sebagai kunci bagi melahirkan sebuah negara yang teguh dan asas yang menopang kebangkitan, seperti dihuraikan oleh Ustaz Haji Yusuf Rawa dalam ucapan dasar Muktamar PAS pada tahun 1984:

“Kita yakin walaupun manusia dijadikan Allah terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan keturunan, tetapi bangsa dan keturunan tidak boleh dijadikan teras pembentukan suatu ideologi yang menentukan nilai-nilai dan pegangan perjuangan yang benar… kecenderungan menolong orang-orang Melayu dari kalangan pemimpin yang berbangsa Melayu, tidak seharusnya melampaui batas-batas kebenaran dan keadilan. Kecenderungan itu tidak seharusnya dilayani sehingga membenarkan kezaliman, pembaziran, perlindungan ke atas jenayah dan rasuah. Begitu juga pembaziran, kezaliman, rasuah dan penyelewengan, tidak seharusnya dibiarkan menjadi rintangan dalam usaha-usaha untuk memperbaiki kehidupan orang-orang Melayu.”

[Riduan Mohamad Nor 2008; Makkal Sakhti 2008: Analisis Pilihanraya Umum ke-12].

Menurut Ustaz Yusuf, faham asabiyyah ini telah mengasak dalam masyarakat yang tertindas dan merupakan warisan penjajah yang harus ditolak: “Orang-orang Melayu menjadi mundur kerana amalan sistem ‘asabiyyah yang zalim. Sistem yang zalim itu mestilah dihancur-musnahkan… kerana sistem ‘asabiyyah yang zalim itulah menjadi punca kemunduran dan penderitaan seluruh rakyat… fahaman nasionalisme asabiyyah di negara kita adalah warisan pemikiran penjajah yang dicorakkan mengikut acuan nasionalisme barat dan sikap permusuhan barat terhadap Islam. Perjuangan parti-parti asabiyyah ini tidak akan dapat mewujudkan pemikiran baru di kalangan rakyat Malaysia yang bebas dari pertentangan dan tanaqudat.”

Dalam artikelnya yang disiarkan oleh The Malaysian Insider bertajuk “Apa mesej PAS” Dr Mujahid Yusof Rawa menekankan: “Ketuanan Bangsa bagi PAS terpaksa tunduk kepada keadilan Islam, dengan cara itu orang Melayu akan selamat dan bukan Melayu akan terjamin. Inilah politik baru yang PAS cuba bawakan supaya negara ini tidak lagi terjerat dengan kitaran ketuanan bangsa yang UMNO perjuangkan selama ini.”

 

Penerus Perjuangan

Perjuangan Dr Burhanuddin ini akan terus dikenang oleh generasi PAS yang baru, yang terkesan dengan aspirasi yang dicetuskan dan digerakkannya, dan daya tahannya yang keras mengasak dan meniupkan idealisme pembaharuan. Tradisi perjuangan yang dimulakannya akan terus dinyalakan untuk menebus perjuangan para pejuang kemerdekaan yang cekal berjuang menuntut kebebasan. Harakat dan cita-cita perjuangannya yang keras akan terus dibakar dengan hasrat perjuangan yang lebih besar, seperti yang disingkap oleh sasterawan ulung A. Samad Said dalam puisinya yang khusus dilakarkan untuk Dr Burhanuddin berjudul Tapak Yang Luhur:

pagi ke malam berjuang tegap,
di tengah rakyat gigih bersikap…
menyala unggun zaman yang garang,
membakar tekad cekal berjuang.”

 

Rujukan

Abdullah Hussain (1996), “Burhanuddin al-Helmi, Pelopor Kebangkitan Semangat Kebangsaan Melayu”. Dewan Masyarakat, Nov. 1996.

Ahmad Boestamam (1972), Merintis Jalan ke Puncak. Kuala Lumpur: Pustaka Kejora.

Burhanuddin al-Helmy (t.t.), Hari-Hari Aku Dizalimi. Gombak: PAS. 

Burhanuddin al-Helmy (1957), Suara Islam, 16 Januari, 1957.

Burhanuddin al-Helmy (1988), ‘Ucapan Dasar Parti PAS, 1956’ dalam Jomo K.S. (ed.), Islam dan Sosialisme. Kuala Lumpur: Ikraq Press.

Farish A. Noor (2004), Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-2003). 2 jil. Kuala Lumpur: Malaysian Sociological Research Institute.

Ismail Said (2008), “Parti Islam Sa-Malaysia: Kepimpinan dan Perjuangan dari Tahun 1951 hingga 1970” (Tesis Phd, Universiti Sains Malaysia).

Kamarudin Jaffar (1980), Dr Burhanuddin Al-Helmi: Politik Melayu dan Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Anda.

Kamarudin Jaffar (1979), “Perjuangan Dan Pemikiran Politik Dr. Burhanuddin Al-Helmy”. Akademika 15.Kamaruddin Jaffar (2000), Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Pemikiran Dan Perjuangan. Kuala Lumpur: IKDAS.

M. Natsir (1980), Fiqhud-Da‘wah. Kuwait: IIFSO.

Mohd Fuzi Omar (2005), “Burhanuddin Al-Helmy: Political Activities and Ideas”, dalam Zeenath Kausar (ed.), Contemporary Islamic Politcal Thought, A Study of Eleven Islamic Thinkers. Kuala Lumpur: Reseach Centre, IIUM.

Mujahid Yusof Rawa (2003), Permata Dari Pulau Mutiara. Kuala Lumpur: Warathah Haji Yusof Rawa Sdn. Bhd. dan Dewan Muslimat.

Ramlah Adam (1996), Burhanuddin al-Helmy: Sebuah Kemelut Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Ramlah Adam (1993), Dr. Burhanuddin al-Helmy: kajian mengenai kegiatannya dalam PKMM 1946-1948. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Riduan Mohamad Nor (2008), Makkal Sakhti 2008: Analisis Pilihanraya Umum ke-12. Kuala Lumpur: Jundi Resources.

PAS (2003), Negara Islam. Kuala Lumpur: Parti Islam Se-Malaysia.

Saliha Hj. Hassan (1972), “Dr Burhanuddin Al-Helmi, A Political Biography” (Latihan Ilmiah, B.A, Universiti Malaya).

Salina Hj Hassan (1986), “Dr Burhanuddin Al Helmy, 1911 – 1969”. JEBAT, bil 14.

Seminar Pemikiran Dr. Burhanuddin al-Hilmi (2009), (anjuran Pusat Kecemerlangan Ummah, di Dewan Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, 2 Ogos, 2009)

Zainal Abidin bin Abdul Wahid (1978), “Semangat Perjuangan Melayu”. Seminar Sejarah Intelektual dan Perjuangan Kebangsaan Melayu, Universiti Malaya, 18 November, 1978.

 


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front. Beliau adalah Sarjana PhD dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022