Iqbal dan Pemikiran Reformis – I
October 1, 2013

 3218_MainMuhammad Nazreen Jaafar

Abad ke-16 sehingga abad ke-20 menyaksikan pertembungan ketara di antara dua peradaban iaitu peradaban Islam dan Barat. Tatkala paradigma ini bergesel, wujud beberapa pemikir Islam yang cuba menjernihkan keadaan ini. Ada di antara mereka, menolak gagasan pemikiran barat yang sarat dengan nilai-nilai sekularisme. Perbedaan ideologi sekularisme yang dimulai daripada revolusi Protestanisme awal abad ke-16 mengakibatkan ide pemisahan agama dan negara, dalam ranah yang lain – proses memisahkan agama dan institusi mencetuskan debat panjang di antara pemikir-pemikir Islam.

Di tengah-tengah arus perdebatan ini, wujud beberapa kelompok agamawan yang melakukan eksperimen dengan jalan wasatiyyah dan kesederhanaan. Bagi mereka, tamadun Barat tidak boleh ditolak sepenuhnya. Realiti masyarakat Muslim yang masih berpegang dengan romantisisme silam, menyebabkan ramai di antara mereka masih mundur dan tidak maju ke hadapan.

Percubaan untuk mengadunkan peradaban Barat dan Islam pula menghasilkan beberapa dapatan pemikiran dan cara pandang. Tersudut daripada usaha membangunkan keanjalan terhadap pemikiran, dunia Islam menerima kedatangan seorang cendikiawan tersohor dari wilayah Sialkot, Punjab. Penyajak dan penyair terkemuka, Muhammad Iqbal atau digelar Allamah Sir Muhammad Iqbal mendobrak pemikiran baru yang membawa agenda islah dan reformis, iaitu konsep modernisme Islam sebagai respons kepada modeniti Eropah.

3218_IqbalSejarah hidup
Muhammad Iqbal lahir pada tahun 1877, di wilayah Punjab – kini Pakistan. Berketurunan daripada keluarga Brahmin-Kashmiri, yang sangat dihormati membolehkan Iqbal menerima mutu pendidikan yang cemerlang . Semenjak kecil, Iqbal dididik dengan pelbagai aspek keilmuan, termasuklah ilmu kefalsafahan dan syair Islam, ilmu linguistik bahasa, politik, penulisan sejarah, ilmu kalam dan teologi Islam. Bakat Iqbal mengarang puisi dan kesyairan ini awalnya dikesan oleh gurunya, Sayyid Mir Hassan. Kemudian, Iqbal menyambung pengajiannya di Government College, Lahore dalam bidang kesarjanaan Inggeris dan Sastera Arab. Pada masa yang sama, Iqbal tekun menuntut ilmu falsafah dengan begitu mendalam sekali.

Semasa menyiapkan lembaran tesis sarjana, beliau diselia oleh Sir Thomas Arnold – seorang sarjana kesusasteraan Inggeris. Sir Thomas Arnold adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan peradaban Barat kepada Iqbal. Ketertarikan Iqbal terhadap nukleus peradaban Barat diseimbangi dengan kritis sekali. Sir Thomas Arnold daripada seorang penyelia tesis, akhirnya menjadi teman diskusi intelektual Iqbal – dalam wacana lanjut yang menghubungkan nilai peradaban Barat dan Timur. Iqbal, walau berasa takjub dengan pembangunan falsafi Eropah, beliau sama sekali tidak pernah hanyut di dalam penyakit Eurosentrisme, malahan beliau mencermati ide peradaban Eropah dan Timur dengan cemerlang sekali.

Medan perbualan dan pertukaran ide tentang kebudayaan, falsafah dan peradaban Barat-Timur bersama Sir Thomas Arnold, lanjutnya mendetikkan peluang Iqbal untuk melanjutkan pelajarannya di Eropah sehingga berjaya memperolehi Ijazah Kehormat di Trinity College, Cambridge pada tahun 1907. Semuanya bermula daripada saranan Sir Thomas Arnold yang melihat potensi Iqbal untuk menjadi sarjana terulung. Usaha Iqbal untuk memperkukuhkan faham intelektual Barat tidak mematikan langkah beliau untuk meneroka ilmu. Tahun 1908, beliau lulus untuk bergelar Barrister oleh Lincoln Inn setelah melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan selama setahun. Tahun yang sama juga, Iqbal lulus tesis kedoktoran Metaphysic of Persia daripada University of Munich yang membawa gelaran PhD.

Sekembalinya beliau dari Eropah pada Julai 1908, Iqbal dilantik sebagai Professor Falsafah dan Kesusasteraan Inggeris di Government College, Lahore. Tahun 1911, beliau berhenti daripada mengajar kerana merasakan dia perlu untuk meneruskan profesyen sebagai pengamal undang-undang. Walaubagaimanapun, Iqbal kekal menjadi akademia di beberapa institusi pengajian tinggi seperti Oriental College, Government College di Lahore dan Jamia Milia di Delhi.

Semasa Roundtable Conference di London, beliau terlibat aktif bersama-sama beberapa ahli jawatankuasa bertindak di dalam agenda reformasi pendidikan. Di situlah juga, Iqbal memanjangkan perkenalan beliau dengan beberapa tokoh penting di dalam bidang pendidikan. Pada tahun 1933, beliau dijemput oleh kerajaan Afghanistan untuk melakukan tinjauan di sana, seterusnya bertindak selaku penasihat di dalam hal ehwal pendidikan di Afghanistan.

Penerus Legasi Shah Waliyullah ad-Dahlawi
Pengalaman intelektual yang beliau perolehi di Cambridge, Heidelberg dan Munich mengasah pemikiran beliau supaya berlaku lebih kritis terhadap falsafah Barat. Iqbal memimpin legasi yang ditinggalkan Sir Sayyid Ahmed Khan (1817-1898), seorang reformis Islam yang dianugerahi gelaran “Sir” semasa pemerintahan empayar Bahadur Syah Zafar II, atas usaha beliau mereformasi institusi pengajian dan pendidikan.

Sir Sayyid menerima pendidikan daripada seorang tokoh reformis bernama Shah Waliyullah ad-Dahlawi, yang mementingkan ajaran rasional di dalam Islam. Sir Sayyid memulakan agenda reformasi Islam menerusi bidang pendidikan. Beliau melihat kemunduran umat Islam berpunca daripada pandangan fatalis mereka yang menolak rasionalisme dan sains. Beliau mendirikan Muhammedan Anglo-Oriental College pada tahun 1875, atas inisiatif menolak kejumudan umat Islam yang membelakangka sains sebagai wasilah kehidupan.

Sepertimana gurunya Shah Waliyullah ad-Dahlawi, Sir Sayyid yakin akan kesesuian antara agama dan sains dan menganggap hukum alam dan hukum samawi mestilah bersesuaian kerana wahyu tidak mungkin berlawanan dengan kenyataan sains lantaran kesesuaian wahyu Tuhan dan penciptaan kerjaNya amat terpenting.

3218_Sir-Sayyid-Ahmed-KhanNamun, Sir Sayyid Ahmed Khan menumpukan taat setianya kepada British Raj. Walaubagaimanapun, beliau kekal bersifat kritikal terhadap dasar British dan menulis Asbab-e-Baghawat-e-HindThe Causes of the Indian Mutiny – dimana beliau mengkritik dasar British yang menyebabkan “Pemberontakan Rakyat” pada tahun 1857.

Tetapi, ketepersonaan Sir Sayyid terhadap agenda kejuruteraan pembaratan oleh kolonial British menyebabkan Iqbal mengkritik tindakan-tindakan lalu Sir Sayyid. Dimana jelas kelihatan Sir Sayyid membelakangkan kondisi masyarakat Muslim yang terjerumus dengan masalah kemisikinan dan kemunduran ketika itu. Atas dasar yang sama, sikap empati Iqbal terhadap nasib dan kemunduran masyarakat India terutamanya orang Islam, beliau kemudiannya bersama-sama tokoh negarawan lain seperti Muhammad Ali Jinnah, Maulana Kalam Azad Khan mengadakan siri pertemuan untuk meransang emansipasi rakyat ke arah berkerajaan sendiri.

Bermula daripada gerakan Liga Muslim, yang dibangunkan pemikir bernama Aga Khan semasa persidangan All India Muhammadan Educational Conference di Dhaka pada tahun 1906. Gerakan yang bermula daripada Gerakan Aligarh, yang membawa agenda modernisme pendidikan ini dianggotai ramai pemikir-pemikir Islam dari Asia Tengah. Malahan Iqbal merupakan salah seorang yang bersama-sama menerajui gerakan ini.

Iqbal juga diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama di Konferensi Tahunan All–Indian Muslim League di Lahore pada tahun 1930, beliau mensyarahkan agenda kesedaran islah umat Islam dari perspektif seorang pemikir yang berpengalaman menekuni pertautan tradisi kebudayaan Barat-Timur dan serba-sedikit menceritakan pengalaman beliau yang memulakan dialog antar-peradaban Barat-Timur. Tahun 1930 di London dan 1934 di Lahore, koleksi ucapan dan syarahan beliau dikompilasi dan diterbitkan di dalam makalah Reconstruction of Religious Thought in Islam, dimana makalah tersebut menjadi magnum opus-nya dan menjadi rujukan pengkaji dan pemikir seluruh dunia. Hasil kerja beliau ini, meletakkan beliau sebagai salah seorang pemikir agung dunia Islam di sepanjang zaman.

Latar belakang kesarjanaan Iqbal yang diperoleh daripada warisan pemikir Islam, seperti Sir Sayyid Ahmad Khan, Shah Waliyullah ad-Dahlawi dan Mulla Sadra. Pada masa yang sama, kemahiran Iqbal menekuni tradisi falsafah Barat yang berlanjutan daripada ide Hegel, Bergson, Freige dan Fredriech Niestzche membenarkan Iqbal untuk merenkonstruk ide pemikiran yang jernih dan segar terhadap sintesis pemikiran dan reinterpretasi terhadap faham Islam. Iqbal tidak menolak aspek positif daripada Barat dan beliau juga tidak mengggalakkan sikap taqlid mebuta tuli terhadap Barat. Malahan apa yang beliau hajati ialah kerangka intelektual bagi Islam yang moden dan mencari jalan bagi membangunkan tamadun Islam berdasarkan khazanah agama dan budaya Islam sendiri.

Menurut R. Hasan, di dalam buku Islamic Modernist and Reformist Discourse in South Asia, pemikiran reformasi yang dibangunkan Muhammad Iqbal meletakkan beliau bersama-sama pemikir islah yang lain, seperti Syed Ameer Ali (1849-1928), Jamaluddin Al-Afghani (1838-1897), Namik Kamel (1840-1888) dan Imam Muhammad Abduh (1849-1905) yang menjadi rujukan mujaddid seluruh dunia di era kontemporari Islam, dimana pemikiran pragmatik dan sistematik mereka di dalam membebaskan belenggu kejumudan umat Islam dalam budaya taqlid dan tradisi, berjaya mencetuskan revivalisme pemikiran masyarakat Muslim dimana agama memerlukan fahaman rasional untuk menghadapi gelombang penjajahan Orientalisme barat.

Jika JMS Baljon di dalam The Reforms and Religious Ideas of Sir Sayyid Ahmad Khan (1920) mengangkat ide Sir Sayyid sebagai “Jurutera Revolusi Teologi Islam Moden”, dan Fazlur Rahman pula menggambarkan Sir Sayyid sebagai seorang “pemikir yang mempunyai visi moden terhadap Islam” – Muhammad Iqbal pula dikatakan pemikir yang mencetuskan ide “rekonstruksi pemikiran keagamaan di dalam Islam” seperti pandangan saintis politik, David Levyfeld memuji Iqbal sebagai “pemikir yang membangunkan konsep masyarakat dinamik dan demokratik berdasarkan inspirasi terhadap penaakulan ajaran al-Qur’an dan gaya hidup Nabi Muhammad” . Manakala, di dalam kata-kata Javeed Majed (2004) menerusi makalah Modernity and Encylopedia of Islam menegaskan bahawa pemikiran Iqbal bersesuaian dengan tema “modernisme Islami sebagai respon terhadap modeniti Eropah” yang dikesan menerusi stail pembawakan dan kandungan syarahan Muhammad Iqbal.

Majid Fakhry (1999) di dalam buku Philosophy and Theology: From 8th century to the Present menyimpulkan bahawa Iqbal berargumentasi bahawa agama sama sekali tidak bertentangan, malah agama mempunyai kecenderungan ke arah falsafah. Tegas Iqbal, ajaran al-Qur’an mengajak manusia supaya berfikir bahawa ilmu kewahyuan merupakan sebahagian daripada refleksi seruan Allah yang menuntut manusia mencari pengetahuan dan senantiasa berfikir demi mencapai sesuatu yang ideal dan hakikat yang sebenarnya.


Muhammad Nazreen Jaafar adalah mahasiswa jurusan ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak dan juga Intern di Islamic Renaissance Front.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022