Islah dan Tajdid menerusi lensa IRF
May 17, 2015

irf-tagline

Islamic Renaissance Front (IRF) sejak penubuhannya telah menggariskan agenda utamanya dalam mencanangkan islah dan tajdid. Maka apakah yang dimaksudkan oleh islah dan tajdid itu.

Apabila kita bercakap tentang islah atau tajdid, seseorang harus memahami bahawa intipati daripada pemikiran reformis berakar daripada prinsip untuk tidak mengubah umat Islam hari ini menjadi pentaqlid umat Islam terdahulu. Dengan berpegang teguh pada prinsip, kita harus menemui bagaimanakah caranya untuk hidup pada zaman kita sendiri.

Gerakan islah ini menuntut sebagai keperluan yang pertama, pengetahuan tentang risalah Islam yang komprehensif, prinsipnya yang universal, dan alat yang tersedia untuk membantu umat manusia menyesuaikan diri dengan masyarakatnya, dan juga untuk mengubah dunia.

Gerakan islah ini menuntut revolusi intelek yang sebenar yang memungkinkannya untuk berdamai dengan kesyumulan nilai-nilai Islam, untuk membangunkan pemikiran yang kritis, untuk membuat pilihan dengan menggunakan akal, dan istiqamah dengan tidak bertaqlid sama ada kepada yang telah lampau atau yang pada masakini.

Gerakan islah ini menuntut penyesuaian dan penyatuan nilai yang tidak berbentur dan menjadikannya milik kita sungguhpun jika ia berasal dari luar lingkungan Islam.

Dalam rakaman al-Qur’an tentang kisah pembunuhan yang pertama di dunia, Qabil, beliau telah digambarkan sebagai terdesak dalam kesulitan yang besar, tidak hanya kerana jenayahnya, tetapi juga kerana dia tidak punyai sebarang ide tentang bagaimana untuk melenyapkan mayat Habil.

Kisahnya berlanjut: “Setelah itu Tuhan mengirimkan seekor gagak yang mencakar bumi, untuk menunjukkan kepadanya bagaimana dia dapat menyembunyikan mayat saudaranya. [Dan Qabil] menyeru: “Oh, celakalah aku! Adakah aku begitu lemah untuk melakukan apa yang dilakukan oleh gagak ini, dan untuk menyembunyikan mayat saudaraku ini?” – dan lantaran itu dia terdera dengan sesalan.” (al-Maaidah 5: 31)

Dan pengajaran moral daripada kisah ini adalah jika Tuhan boleh mengajar manusia melalui pemerhatian tentang bagaimana haiwan bertindak, tentu saja banyak yang dapat dipelajari daripada bagaimana manusia lain sendiri berbuat atau dengan menggunakan keupayaan akalnya.

para9-Crossroads-rightSekiranya kita menilik tulisan Muhammad Asad dalam Islam at the Crossroads (Islam di Persimpangan Jalan), kita akan menyedari penekanan yang kuat yang diletakkannya terhadap umat Muslimin untuk berpegang pada ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah.

“As-Sunnah,” beliau tekankan, “adalah kunci untuk memahami kebangkitan Islam lebih daripada tiga belas abad yang lalu; dan mengapa ia tidak harus menjadi kunci untuk memahami keterbelakangan kita hari ini?”

Tetapi kemudian beliau menulis:

“Hal ini tidak bermakna bahawa umat Islam harus menjauhkan diri mereka daripada suara yang datang dari luar. Seseorang bisa pada segenap masa menerima pengaruh baru, positif dari tamadun asing tanpa semestinya menyingkirkan tamadunnya sendiri.”

para12-asad_menyambung-leftAsad menyambung:

“Contoh daripada jenis ini adalah Renaisans Eropah. Kita telah melihat bagaimana Eropah bersedia menerima pengaruh Arab dalam urusan dan manhaj pembelajaran. Tetapi ia tidak pernah pula bertaqlid kepada kerangka zahir dan semangat kebudayaan Arab, dan tidak pernah mengorbankan mandiri intelektualnya dan kemerdekaan estetiknya. Ia menggunakan pengaruh Arab hanya sebagai penyubur kepada tanahnya sendiri, sebagaimana bangsa Arab telah menggunakan pengaruh Helenistik pada zaman mereka. “

“Dalam kedua-dua kes, natijahnya adalah pemerkasaan rohani, pertumbuhan dan perkembangan baru yang kuat daripada sebuah peradaban yang asli, sarat dengan keyakinan-diri dan kebanggaan dalam dirinya. Tiada peradaban dapat berkembang, atau malahan wujud, setelah hilang kebanggaan ini dan hubungan dengan zaman silamnya sendiri.”

Hanya sekadar berbicara pada keperluan terhadap reformasi tidak lebih baik daripada berbangga dengan kegemilangan kita yang lampau dan menyanjung kehebatan mereka yang terdahulu daripada kita. Dan membataskan diri kita hanya dengan menarik petunjuk daripada tiga generasi terawal as-salafus-soleh, adalah jelas bertentangan dengan semangat dan mesej al-Qur’an itu sendiri.


Dr-Ahmad-Farouk-MusaDr Ahmad Farouk Musa adalah Pengarah Islamic Renaissance Front, badan pemikir yang komited membebaskan pemikiran umat Islam daripada pandangan konservatif dan ortodoks yang tegar. Artikel ini diterjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group daripada artikel asal Reform and Renewal through the lens of IRF yang diterbitkan oleh The Malaysian Insider pada 26 September 2013 di: http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/reform-and-renewal-through-the-lens-of-irf-dr-ahmad-farouk-musa

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022