Jawapan kepada MUAFAKAT seputar Isu JAIS & Syiah
February 4, 2020

Ahmad Farouk Musa || 4 Februari 2020

Tulisan Mahmud Hishamuddin, Setiausaha Agong MUAFAKAT adalah dirujuk. Setelah membaca segala kandungan kenyataan beliau, apa yang pasti adalah tiada satupun jawapan kepada kenyataan saya tentang sikap autoritarian JAIS terhadap para penganut Syiah melainkan kata-kata kesat yang menyerlahkan akhlaq sebenar beliau. Maka besar kemungkinan apa yang perlu sebenarnya adalah untuk beliau mempelajari pelajaran Hak-hak Asasi Manusia 101 sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Artikel pertama dalam Universal Declaration of Human Rights (UDHR) atau Deklarasi Sejagat Hak-Hak Asasi Manusiawi menyebut tentang perkara pokok yang paling utama iaitu kebebasan suara hati nurani atau apa yang dikatakan freedom of conscience.

Semua manusia diciptakan bebas dan setara dalam harga diri dan hak. Mereka dikurniakan dengan akal dan dhamir dan harus berbuat terhadap satu dengan yang lain dalam semangat persaudaraan.”

Secara umumnya, diketahui bahawa Deklarasi Sejagat Hak-Hak Asasi Manusiawi (UDHR) dimaklumkan dengan tujuan utama untuk mendokong pengiktirafan sejagat terhadap hak asasi dan kebebasan yang fundamental bagi setiap orang tanpa sebarang perbezaan tanpa mengira ras, jantina, maupun agama. Tetapi apa yang terjadi beberapa hari yang lalu dengan kenyataan JAIS itu adalah aib yang menjijikkan terhadap sejarah negara yang telah dua kali duduk dalam Majlis Hak Asasi Bangsa-Bangsa Bersatu. Kita harus memahami bahawa intipati daripada perisytiharan UDHR adalah bahawa, “Semua manusia diciptakan bebas dan setara dalam harga diri dan hak”. Fasak pertama ini adalah prinsip yang pokok daripada hak asasi yang mendasar kepada setiap insan di atas muka bumi ini.

Keprihatinan kita atas serangan terhadap prinsip yang asas ini tidak seharusnya hanya terhadap kaum minoriti di negara ini seperti golongan Kristian, Hindu, atau Buddha, tetapi juga terhadap puak minoriti di dalam agama Islam itu sendiri, seperti Shiah dan Ahmadiah. Kebimbangan kita ini merentasi semua sempadan, semua kerakyatan, dan semua agama, di mana ia bukan sahaja tentang hak yang dirampas daripada masyarakat Rohingya atau Uighur, sebaliknya mengungguli idea tentang keuniversalan hak asasi manusiawi. Kita tidak boleh bersikap dwi-standard, di mana kita memperjuangkan hak puak minoriti Muslimin yang dianiaya di negara yang jauh tetapi melupakan tentang kekejaman kita kepada saudara kita sendiri di tanah air ini.

Sehingga sekarang, kegagalan untuk memahami bahasa hak asasi manusiawi inilah, seperti yang dipamerkan oleh JAIS dan seumpamanya, dan sikap lepas-tangan kerajaan persekutuan, yang telah membuatkan negara ini terperuk dalam negara dunia-ketiga meskipun pelobian negara ini yang tak henti-hentinya untuk berada dalam Majlis Hak Asasi Bangsa Bangsa Bersatu. Apakah keperluan untuk duduk dalam Majlis yang seumpama itu ketika kita tidak mematuhi hak asasi yang mendasar dan gagal dengan amat buruk sekali dalam hal yang melibatkan kebebasan dhamir dan hati nurani yang merupakan prinsip asas yang paling utama daripada UDHR?

Mungkin sudah waktunya untuk kita mengimbau kembali sejarah tentang Sayyidina Ali, Khalifah Ar-Rasyidin yang keempat dan keluarganya, para ahlul bait, yang diburuk-burukkan dalam setiap khutbah Jumaat di zaman pemerintahan dinasti Umayyah. Tetapi pada masa pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, Khalifah yang adil daripada Bani Umayyah, beliau telah mengarahkan kesemua para Imam untuk berhenti menjelek-jelekkan Sayyidina Ali dan keluarganya semasa khutbah Juma’at dan menggantikannya dengan ayat al-Qur’an daripada surah ke 16, Al-Nahl ayat ke-90:

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.

Sehingga ke hari ini, sesudah lebih daripada seribu tahun, para Imam di mana-mana akan membaca ayat ini dalam khutbah kedua ketika solat Jumaat menggantikan kutukan kepada Sayyidina Ali dan kaum keluarganya. Tiada lagi kedengaran ayat-ayat yang mencela Sayyidina Ali dan kaum keluarganya sehinggalah JAIS menghidupkan semula tradisi Bani Umayyyah yang jelek ini dalam bentuk moden dengan menujukan kutukan tersebut kepada para pencinta Sayyidina Ali dan ahlul bait.

Sesungguhnya apa yang diperlukan sekarang ialah kepimpinan yang tercerah dan berprinsip yang memahami bahasa hak asasi manusiawi dan bekerja ke arah pelaksanaan yang idealisme yang sedemikian itu, bukannya kepimpinan bacul yang sentiasa terikat dengan institusi agama yang bengis lagi kasar. Harus terdapat entiti atau alat hukum yang dapat secara berkesan berusaha menegakkan keadilan dan memantau penyalahgunaan hak asasi di negara ini. Mungkin akan terdapatnya penyalahgunaan hak asasi berleluasa di setiap sudut dunia, akan tetapi kita harus berdiri tinggi di antara semua yang lain untuk menegakkan nilai-nilai hak asasi tersebut dan menjadi pemimpin terutamanya di kalangan negara-negara Islam di dunia ini.


Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa adalah Pengasas dan Pengarah di Islamic Renaissance Front, sebuah badan pemikir yang mengupayakan Islah dan Tajdid.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022