Keadilan Kepengagihan dan Tanggungjawab Intelektual Muslim: Satu Pernyataan Awal – Bahagian I
June 13, 2014

Comparing mid-century with earlier times, it is now quite extraordinary to note that there was no figure or text or even discipline which could have claimed continuity with the greats of the past. There were many students of Machiavelli, Hobbes, Rousseau, Montesquieu, Mill and the like there were few who did what those thinkers did; few who took up the challenge of political theory. The last great political theorist had probably been Henry Sidgwick.
[Kukathas & Pettit, Rawls: A Theory of Justice and Its Critics]

 

“Sesungguhnya Allah menyuruh kepada keadilan dan sifat ihsan
[An Nahl, 16: 90]

Persoalan keadilan sememangnya sudah lama membelenggu sejarah intelektual dan politik kemanusiaan. Para filasuf sejak zaman-berzaman berusaha mencari konsepsi keadilan yang paling sesuai dengan masyarakat pada zaman dan tempatnya, agar semua pihak mendapat hak mereka seadil-adilnya. Para penguasa pula, bersama penggubal dasar, berusaha menggubal dasar agar masyarakat mendapat hak mereka yang selayaknya dengan adil agar tiada penindasan, baik fizikal mahupun sebaliknya, berlaku dalam masyarakat tersebut.

Apabila kita bercakap mengenai keadilan, kita membuka kepada beberapa isu untuk dibahaskan. Antaranya keadilan jenayah (criminal justice) dan keadilan kepengagihan (distributive justice) secara umum. Dalam makalah ini, saya hanya akan berfokus kepada keadilan kepengagihan sahaja.

Dalam memikirkan tentang konsep keadilan yang paling baik, kita harus mengakui bahawa keadilan mutlak, yakni keadaan di mana semua orang mendapat hak yang selayaknya, adalah mustahil di dunia ini atas sebab wujudnya terlalu banyak kekangan, sama ada bersifat institusional atau individu. Tetapi, hakikat ini tidak juga wajar dijadikan alasan untuk kita tidak berusaha membuang segala ketidakadilan yang jelas berlaku di depan mata kita.

RawlsSelepas kita memasuki zaman moden yang dilatari dengan kepesatan industri kapitalis dan segala institusi kekuasaan dalam sebuah negara (negara di sini difahami sebagai ‘negara-bangsa’ moden), tamadun Barat telah berkembang pesat dalam inkuiri mereka untuk memahami masyarakat. Dari sini, mereka berusaha memahami implikasi yang wujud dalam sebuah masyarakat moden agar mampu difahami apakah tuntutan keadilan yang perlu dilunasi bagi menjamin sebuah masyarakat yang adil. Hal ini telah membawa kepada perkembangan teori keadilan kepengagihan yang pelbagai dalam tamadun Barat, daripada idea Hugo Grotius pada abad ke-17 sehinggalah John Rawls dan Robert Nozick pada abad ke-20.

Meneliti teori-teori keadilan kepengagihan, kebanyakan pemikir kontemporari seperti Rawls dan Nozick benar-benar menekankan penyusunan institusi-institusi yang wujud dalam sebuah negara—yang mereka maksudkan sebagai negara moden—bagi mengagihkan beban (burdens) dan faedah (benefits) yang diperoleh oleh anggota masyarakat tertentu supaya keadilan tertegak. Karakter teori yang menekankan keberadaan institusi sebegini sememangnya bertitik tolak daripada ide sebuah negara moden bersama institusinya yang didefinisikan secara jelas.

Jika kita meneliti pula perkembangan di negara-negara umat Islam, kita masih mempunyai satu kelompongan besar dalam membahaskan persoalan keadilan kepengagihan dalam konteks negara moden secara serius. Selepas hampir satu abad kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah yang membawa konsepsi negara moden kepada umat Islam, persoalan besar seputar keadilan kepengagihan ini masih belum cuba dijawab secara tuntas oleh para ilmuwan dalam kalangan umat Islam sendiri. Kesarjanaan Muslim dalam hal ini seolah-olah telah mandul dalam tempoh seratus tahun ini.

Selain itu, umat Islam pasca-kejatuhan Uthmaniyah, melalui penubuhan gerakan Islam, seolah-olah obses dengan persoalan ‘mengembalikan khilafah’ dan yang senada dengannya. Peristiwa ini telah membawa kepada kewujudan gerakan-gerakan Islam dengan rencana politik, yakni mempunyai matlamat akhir untuk memperoleh penguasaan politik yang dilakukan melalui pelbagai wahana dan wujud dengan beraneka wajah. Hal ini dapat dilihat melalui penubuhan Ikhwan Muslimin di Mesir, Jamaat-e-Islami di Pakistan, dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Malaysia. Biarpun berbeza pendekatan, tetapi gerakan-gerakan ini secara umumnya memaparkan orientasi gerakan moden yang bertunjangkan perjuangan politik bernuansakan Islam.

Negara BerkebajikanAkibat obsesi inilah, kita lihat gerakan-gerakan ini masih gagal untuk menggarap teori keadilan kepengagihan berpandukan kerangka masyarakat moden kini, dengan tidak menafikan sebab-sebab yang lain. Sedangkan, sebagai gerakan dengan rencana politik, keadilan kepengagihan merupakan antara persoalan paling mendesak yang wajib ditelusuri dan digeluti. Dengan menyatakan hal ini, saya tidak pula menafikan sumbangan tokoh-tokoh seperti al-Banna, al-Maududi, Dr Burhanuddin al-Helmi atau Prof Zulkifli Muhammad dalam membentuk ide politik mereka. Kerisauan saya, khususnya, terletak kepada betapa bantutnya perkembangan pada hari ini, bila mana tradisi intelektual yang mereka mulai itu tidak dikembangkan lebih jauh. Jika ada pun, sangat sedikit atau hanya bersahaja seperti yang berlaku kepada gagasan Negara Berkebajikan PAS yang gagal dikembangkan dengan lebih holistik dan mendalam.

Lebih menggamamkan, kita lihat wacana yang cuba digerakkan oleh PAS di Malaysia amat berorientasikan hukum-hukum jenayah seperti Hudud dan Qisas. Saya tidak menafikan bahawa hukum-hukum termaktub di dalam al-Qur’an, tetapi apa yang dapat kita lihat kini, persoalan tersebut terlalu ditekankan sehingga mengabaikan sisi keadilan yang penting untuk didalami dan dikembangkan ide-nya. Selalu sahaja kita dengar ungkapan retorik “keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya” dan cukup sekadar itu, tiada dihurai lagi. Hakikat bahawa kadar kemiskinan dan jurang kaya-miskin di negara-negara umat Islam masih tinggi[1] menuntut kita untuk mendahulukan persoalan keadilan sosial dalam masyarakat sebelum kita obses dengan persoalan hukum jenayah seperti Hudud dan Qisas. Tetapi kini, sekurang-kurangnya di Malaysia, prioriti kita sudah tunggang-terbalik!

Menerusi makalah ini, saya akan cuba membawa tema besar iaitu cabaran umat Islam dalam menanggapi persoalan keadilan kepengagihan yang saya kira amat serius untuk digeluti pada masa kini. Untuk tujuan itu, saya terlebih dahulu akan menjalankan tinjauan terhadap perkembangan ide keadilan kepengagihan moden di dunia Barat supaya kita mampu melihat apakah dasar konsepsi keadilan yang mereka pegang bersama persoalan penting yang perlu dijawab. Selain itu, saya juga akan menggariskan perbezaan utama antara struktur sosio-politik pramoden dengan moden agar kita mampu melihat dengan lebih jelas apakah bentuk masyarakat hari ini yang perlu kita dalami bagi menyelesaikan masalah sekitar persoalan keadilan. Struktur ini juga, saya kira, terpakai juga dalam perjalanan sejarah umat Islam yang panjang. Akhir sekali, saya akan menggariskan secara ringkas persoalan-persoalan lain yang perlu diperhalusi seperti kedudukan monarki (yang malangnya masih wujud di beberapa negara umat Islam kini), persempadanan politik dan keadilan berskala global sekiranya kita benar-benar mahu serius dalam perbahasan keadilan ini.

Makalah ini secara seluruhnya merupakan cabaran kepada seluruh akademia terutamanya intelektual Muslim agar memperhalusi persoalan yang mendesak ini, agar kita mampu mewariskan sesuatu yang lebih baik demi generasi akan datang.

Keadilan Kepengagihan dan Sejarah Modennya

Kita akan bermula dengan meninjau ide-ide keadilan kepengagihan dalam tradisi Barat yang dibentuk berdasarkan pemerhatian para pemikir pasca-Pencerahan. Hal ini saya kira penting kerana pembentukan negara moden bersama institusinya itu merupakan salah satu produk sejarah yang diwariskan daripada wacana zaman Pencerahan[2]. Pemikir-pemikir awal yang mula memikirkan teori keadilan serta pemilikan harta dalam sebuah kerangka transisi pramoden-moden dan moden kebanyakannya terdiri daripada pemikir Barat-Eropah, yang akan kita tinjau secara ringkas di bahagian ini.

JohnLocke.Two-Treatise-of-GovIde keadilan kepengagihan moden boleh dikesan sehingga abad ke-16 dan ke-17 melalui tulisan pemikir-pemikir seperti Hugo Grotius, John Locke dan David Hume. Mereka membina semula warisan pemikiran yang merupakan pusaka pemikir-pemikir agung Yunani dan Rom seperti Aristotle, Plato, Cicero, Seneca dan Justinian. Perkara ini dilakukan atas kesedaran bahawa tamadun Eropah-Barat yang dibina berlandaskan pandangan alam Greco-Roman wajar dibangunkan tradisi intelektualnya di atas satah yang sama juga.

Makalah ini tidak akan berusaha mendalami sejarah pemikiran pramoden terutamanya idea para pemikir Yunani dan Rom itu. Kita akan lebih bertumpu kepada persoalan keadilan kepengagihan yang lebih bersifat kontemporari dan moden. Hal ini disebabkan struktur masyarakat yang cuba dihurai dalam ide-ide keadilan moden adalah lebih dekat dengan struktur yang kita miliki sekarang.

Semasa Eropah mula melancarkan kolonialisasi ke atas negara-negara lain terutamanya di Timur dan Afrika, kita lihat wujudnya beberapa keperluan untuk memikirkan semula beberapa isu seputar pemilikan dan keadilan kepengagihan. Antara isu yang paling awal timbul adalah perebutan hak jalan laut ke Timur antara Portugis dengan Belanda yang telah membawa Hugo Grotius, salah seorang pemikir besar asal Belanda, untuk menulis bukunya, Mare Liberum (Freedom of The Seas). Melalui pendahuluan buku tersebut, Grotius secara jelas menyatakan bahawa motivasi beliau menulis karya itu adalah untuk membidas tuntutan Portugis untuk memiliki hak eksklusif terhadap jalan laut di Timur India (secara geografi, kawasan Lautan Hindi dan ke Timur).

Dalam buku tersebut, Grotius telah berhujah dengan mengambil secara harfiah (verbatim) hujah-hujah pemikir-pemikir lampau dalam khazanah keilmuan Yunani dan Rom. Tujuan beliau melakukan perkara ini antara lain disebabkan Portugis dan Belanda, yang datang dari akar ketamadunan yang sama, mampu menerima hujah-hujah tersebut. Grotius menekankan bahawa sejak zaman-berzaman, jalan laut ke Timur itu sudah lama digunakan dan tiada siapa yang berani mengatakan bahawa mereka memiliki hak eksklusif ke atas jalan tersebut. Perkara ini sememangnya benar, apabila kita sendiri dapat lihat bahawa perdagangan antara India dengan Kepulauan Melayu melalui jalan laut sudah berlaku sejak abad pertama Masihi lagi[3].

mare-liberumSelain Mare Liberum, antara buku Grotius yang paling terkenal ialah De Jure Belli ac Pacis (On The Law of War and Peace). Ide Grotius mengenai keadilan kepengagihan, antara yang paling diingati, adalah tentang tenggungjawab berbuat kebajikan (charity). Grotius berhujah bahawa kebajikan mestilah diletakkan sebagai satu kewajipan untuk anggota masyarakat yang mempunyai harta yang lebih daripada cukup dengan mewujudkan institusi sebagai mekanisme pelaksanaannya. Ide ini berbeza dengan Locke, yang akan kita tinjau selepas ini, yang tidak meletakkan syarat seketat itu dengan tidak menggariskan kebajikan sebagai salah satu tanggungjawab negara.

Selepas British berjaya menemukan benua Amerika (yang mereka namakan, kononnya, sebagai The New World) pula, timbul keperluan untuk menjawab persoalan berkaitan pemilikan tanah benua Amerika yang besar itu dalam kalangan pendatang British. Pada masa inilah, muncul John Locke bersama bukunya yang menggariskan falsafah pemilikan harta, selain justifikasi beliau untuk sebuah kuasa politik serta demokrasi. Melalui The Two Treatises, Locke ada menulis dengan ekstensif akan ide-nya untuk memastikan keadilan terhadap pemilikan harta dan bagaimana kuasa politik dapat memastikan keadilan tersebut ditegakkan.

Locke, menerusi bukunya, memulakan dengan menganalisis ‘the state of nature[4], sebuah keadaan ketika mana autoriti politik tidak wujud dalam sebuah masyarakat. Menurutnya, dalam state of nature, semua manusia memiliki kebebasan sempurna (state of perfect freedom) akibat tiadanya rejim yang akan menjalankan sekatan terhadap beberapa aspek kebebasan (coercion). Perkara ini menjadikan keadilan sukar ditegakkan terutamanya ketika melibatkan perebutan hak pemilikan antara dua pihak atau lebih. Dari situlah, Locke merumuskan bahawa perlunya kebebasan disekat di beberapa aspek demi melindungi kebebasan individu yang hakiki. Hal ini membawa kepada rencana yang lebih besar lewat bukunya, yakni untuk menjustifikasi kewujudan autoriti politik bersama dan bentuk kerajaan yang beliau cadang.

Grotius dan Locke, selain menggunakan premis-premis dan kesimpulan berdasarkan rasional, juga menguatkan hujah mereka dengan hujah-hujah teologi. Grotius umpamanya, menegaskan bahawa Tuhan telah menciptakan dunia ini bersama segala sumber aslinya untuk kegunaan umat manusia, tetapi disebabkan sumber-sumber ini terbatas, kita mesti memikirkan untuk mengagihnya secara adil. Locke juga menegaskan perkara sama, tetapi dengan jalur yang sedikit berbeza. Hal ini boleh dibaca dalam bidasan beliau terhadap hujah-hujah Robert Filmer yang menggunakan hujah agama untuk menjustifikasi monarki Stuart ketika itu.

Memasuki abad ke-20, kita menyaksikan wacana falsafah politik terutamanya yang melibatkan keadilan kepengagihan didominasi kerangka utilitarianisme dan intuisionisme (intuitionism). Hal inilah yang telah mendorong John Rawls, ketika itu profesor falsafah di Harvard, untuk memformulasikan ide keadilannya sendiri yang diiktiraf kini sebagai “pemecah” tembok utilitarian yang sekian lama membelenggu pemikiran politik Barat. Rawls sendiri mengakui, bahawa pendekatan beliau merupakan percubaan untuk keluar daripada kerangka utilitarian yang, jika dibawa secara ekstrem, bakal menggadaikan kebebasan individu dalam sebuah masyarakat liberal dan demokratik[5]. Sebab itulah, di menara gading di dunia Barat, ide Rawls boleh dianggap sebagai revolusionari dan segar.

Rawls merupakan seorang liberal yang komited dengan aksiom “bebas dan saksama” (everyone is born free and equal). Salah satu sumbangan terbesar beliau ialah ide keadilan yang bersifat institusional dan mengikut kerangka negara moden yang bersifat demokratik. Di sinilah, beliau telah membentuk ide keadilan kepengagihan berlandaskan dua prinsip utama, iaitu:

Pertama: semua orang diberikan hak yang sama rata ke atas skema paling ekstensif kebebasan asasi yang saksama, bersesuaian dengan skema kebebasan yang sama ke atas orang lain.

Kedua: Ketidaksaksamaan sosial dan ekonomi adalah dibenarkan selagi (1) kesannya memberi manfaat kepada strata masyarakat paling bawah dari sudut ekonomi dan sosial dan (2) semua jawatan dalam institusi negara mempunyai akses terbuka kepada semua[6].

Ralws.Theory of JusticeDaripada dua prinsip utama inilah, Rawls telah membangunkan teori keadilannya melalui A Theory of Justice. Beliau kemudiannya dikritik rakan se-universitinya sendiri, Robert Nozick melalui Anarchy, State and Utopia. Nozick tidak bersetuju dengan Rawls yang tidak menekankan secara mendalam hak individu dalam pemilikan harta.

Sepanjang sejarah perkembangan intelektual di Barat tentang ide keadilan kepengagihan, kita pastinya dapat mengesani satu tema besar yang menjadi kebimbangan para filasuf zaman-berzaman, iaitu bagaimana menyusun hak dan tanggungjawab antara anggota masyarakat agar keadilan dapat ditegakkan. Persoalan ini kemudiannya menimbulkan persoalan yang lebih besar, iaitu bagaimana mengagihkan beban dan faedah dalam kalangan anggota masyarakat pada hari ini. Tema besar inilah, dalam kerangka masyarakat hari ini, yang mesti kita geluti.

 


Hazman Baharom adalah graduan Ekonomi dan Pengajian Sosial di University of Manchester, UK dan calon Sarjana bagi Pengajian Asia Tenggara di University of Washington, US. Beliau juga merupakan Intern di Islamic Renaissance Front.


[1] Lihat data pekali Gini (Gini coefficient) yang direkodkan oleh CIA World Factbook di sini: https://www.cia.gov/library/publications/the-world-factbook/rankorder/2172rank.html. Pekali Gini dan keluk Lorenz merupakan sukatan kesenjangan pendapatan yang paling umum yang digunakan ahli ekonomi untuk menganalisis ketidakadilan ekonomi.

[2] Lihat Jürgen Habermas, The Philosophical Discourse of Modernity

[3] Lihat Anthony Reid, Southeast Asia in The Age of Commerce, Vol. 1

[4] Lewat teori-teori politik awal zaman moden, kita dapati kebanyakan pemikir cenderung untuk memulakan analisis mereka melalui naratif state of nature sebelum menjustifikasi rejim yang mereka cadang. Perkara ini dapat dilihat melalui Thomas Hobbes dalam Leviathan, Grotius melalui De Jure, dan Locke sendiri. Biarpun setiap daripada mereka meletakkan ciri yang berbeza terhadap naratif state of nature mereka—seperti Locke yang sangat berbeza berbanding Hobbes. Satu generasi selepas mereka, David Hume telah melakukan revolusi dengan tidak bermula dengan state of nature dalam teorinya. Pada abad ke-21 pula, kita dapat lihat Robert Nozick memulakan Anarchy, State and Utopia dengan merujuk sekilas kepada state of nature.

[5] Lihat John Rawls, A Theory of Justice; di bahagian Pendahuluan.

[6] Ibid, m/s 53.

 

 

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022