Merawat Masyarakat Diktator
September 8, 2012

Apabila menyebut tentang kediktatoran dan sifat-sifatnya, antara yang terawal muncul dalam minda sesetengah orang ialah gambaran sebuah pemerintahan mutlak yang berlandaskan pandangan seseorang individu, ataupun beberapa individu tertentu dan tidak terikat dengan perlembagaan mahupun peraturan. Pemerintah diktator lazimnya akan menuju ke arah kezaliman kerana sesebuah kuasa dan pemerintahan mutlak seringkali akan menjadi korup dengan mutlak.

Namun demikian perbincangan mengenai kediktatoran sentiasa terhenti sekadar sifat “pemimpin diktator” sambil dilupakan perihal kediktatoran yang wujud dalam diri sesetengah masyarakat itu sendiri. Kewujudan pemimpin diktator dan zalim bermula dengan wujudnya sebuah masyarakat yang diktator. Justeru, sebuah pemerintahan diktator hanya bisa dijatuhkan sekiranya dijalankan aktiviti merawat masyarakat yang bersifat diktator.

Masyarakat diktator

Masyarakat diktator yang dimaksudkan ialah sebuah masyarakat yang mementingkan diri dan tamak walaupun beragama dan berideologi. Sekiranya sesebuah pemerintahan diktator mahu menentukan cara pemerintahan, undang-undang dan sebagainya menurut kepala mereka semata-mata, masyarakat diktator juga berkongsi sikap sedemikian. Sekiranya mereka majoriti, mereka mahu menentukan cara berpakaian, mazhab dan agama golongan lain dengan kekuasaan ataupun kekuatan yang dimiliki. Pokoknya, masyarakat diktator ingin menentukan semua perkara.

Menurut masyarakat diktator, kelompok minoriti ataupun the other mestilah hanya mengikuti apa yang mereka yakini sekalipun dalam masa yang sama, mereka sendiri tidak gemar jika kehidupan mereka dikawal dan ditentukan oleh orang lain. Justeru dalam hubungan antara kaum dan agama, perbahasan dalam ruang awam tidak digunakan untuk menyelesaikan perselisihan dan perbezaan, sebaliknya pengharaman buku, serbuan dan undang-undang menjadi  norma.

Anggapan mereka bahawa kebenaran itu hanya milik mereka dan mereka sahajalah yang layak untuk mentakrifkan apa itu kebenaran. Lantas, demokrasi yang asal kononnya becita-cita ke arah kesetaraan telah mencetuskan tirani majoriti ke atas kaum minoriti.

Kalaupun masyarakat diktator melaungkan slogan kebebasan bersuara, syaratnya suara itu menyebelahi mereka. Jika tidak, orang yang bersuara itu akan dilabel sebagai reaksionari, sesat, liberal ataupun kafir. Mereka mahu berkata-kata tetapi enggan mendengar, mereka mahu bebas tetapi enggan membebaskan. Justeru, sikap individualistik itu menyebabkan hanya wujud satu masyarakat yang dominan yang mejadi tuan.

Barangkali inilah yang dinamakan sebagai dogmatic mind sebagaimana dinyatakan oleh Tariq Ramadan yang bermaksud:

“Minda dogmatik memperlihatkan satu lagi ciri. Adalah suatu kesalahan untuk mengandaikan bahawa ia hanya menerima kewujudan hanya satu pandang arah: minda dogmatik itu adalah satu minda binari. Manakala ia menyatakan bahawa kebenarannya itu adalah satu-satunya kebenaran, jalannya pula begitu ekslusif dan universalnya hanyalah ia satu-satunya, kerana ia mengandaikan – pada masa yang sama – sesuatu yang tidak mengikuti kebenaran tersebut, jalan itu dan universal itu, paling tidak, sesuatu yang sama sekali “lain’ dan lebih parah, sesuatu yang salah”.

Al-Kawakibi, kediktatoran dan ilmu

al-Kawakibi

Seorang tokoh intelektual Muslim terkenal khasnya pada era kolonial, Abdul Rahman al-Kawakibi (1849-1902) semasa mengulas perihal kediktatoran telah mengatakan seperti yang dilaporkan oleh Dr Muhammad Imarah di dalam al-A’mal al-Kamilah yang bermaksud:

“Kediktatoran merupakan musuh kebenaran, musuh kebebasan dan merupakan pembunuh kedua-duanya. Kebenaran merupakan bapa kepada manusia, sementara kebebasan pula ibu mereka. Rakyat merupakan anak-anak yatim yang tidur dan tidak mengetahui apa-apa, sementara para ilmuan pula merupakan saudara mereka yang bijaksana. Sekiranya mereka iaitu golongan yang berilmu mengejutkan rakyat, pasti rakyat akan bergerak aktif. Adapun jika para ilmuan meninggalkan mereka, mereka akan kekal sebagaimana sebelumnya, lantas akan bersambung tidurlah mereka dengan kematian”.

Kenyataan tersebut wujud dalam bukunya yang terkenal yang berjudul Tobai’ al-Istibdad wa Masori’ al-Isti’bad (Tabiat-tabiat Kediktatoran dan Kematian Perhambaan). Menurutnya lagi, antara kediktatoran yang paling hodoh ialah kediktatoran kejahilan ke atas ilmu dan kediktatoran nafsu ke atas akal. Al-Kawakibi mengulang-ulang hubungan antara ilmu dan akal dalam menangani kediktatoran, membayangkan betapa sesebuah masyarakat yang diperintah oleh kuasa yang diktator sebenarnya disebabkan sikap mereka menyerahkan akal kepada pihak pemerintah sehingga diperbodohkan, selain ketidak upayaan mereka bertindak ke atas projek pembodohan yang sedang ditimpakan ke atas mereka.

Selain itu, al-Kawakibi menegaskan: “Para ilmuan menggesa kepada pencerahan akal, sementara golongan diktator gigih berusaha memadamkan cahaya pencerahan itu. Dua golongan ini (para ilmuan dan pemerintah diktator) saling menarik orang ramai, siapakah orang ramai itu? Mereka merupakan golongan yang apabila jahil, mereka menjadi takut; dan apabila takut, mereka menyerah (kepada diktator). Sebagaimana mereka merupakan golongan yang apabila berpengetahuan, mereka berkata-kata; dan apabila mereka berkata-kata, mereka melaksana.”

Kaum yang jahil pasti akan memberi keuntungan kepada pemerintah yang diktator. Justeru sekalipun sesebuah pemerintah diktator memberi ruang demokrasi menerusi pilihanraya yang diadakan beberapa tahun sekali, ruang kebebasan memilih itu ibarat debu-debu yang berterbangan kerana masyarakat terus bodoh dan diperbodohkan.

Apa guna kaum yang dibutakan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap perkara yang memerlukan penglihatan yang tajam? Apa yang boleh dibanggakan jika kaum yang dipekakkan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap sesuatu yang memerlukan pendengaran yang teliti. Oleh yang demikian, kediktatoran pemerintahan sememangnya berasal daripada sifat-sifat kediktatoran yang wujud pada sesebuah masyarakat. Adapun antara penawar kepada kediktatoran itu ialah rawatan terhadap masyarakat, salah satunya yang penting ialah menerusi medan pendidikan.

Hukum alam dan perubahan

Sebagaimana kertas tidak akan basah selagi tidak dicurahkan air, demikian juga sekalian perubahan lain yang tidak akan berjaya selagi tidak dijalankan usaha untuk mengubahnya . Seorang tokoh ilmuan terkenal dari Turki, Fethullah Gulen menyatakan:

“Islam menganggap sesuatu masyarakat itu terdiri daripada manusia yang sedar yang dipersiapkan dengan pilihan sendiri dan mempunyai tanggungjawab terhadap diri mereka dan orang lain. Islam melangkah setapak lagi dengan menambahkan dimensi kosmik. Ia melihat kemanusiaan sebagai “motor” yang menggerakkan sejarah. Hal ini bertentangan dengan pendekatan fatalis sesetengah falsafah sejarah Barat abad ke-19 seperti materialis dialektik dan historisisme. Sepertimana kehendak dan kelakuan seseorang individu itu akan menatijahkan hasil kehidupannya di dunia ini maupun di hari akhirat, kemajuan dan kemunduran sesuatu masyarakat itu ditentukan oleh kehendak, pandangan sarwa dan gaya hidup umat itu sendiri. Al Qur’an [ar-Ra’d 13: 11] menyebutkan: “Sesungguhnya Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri merubah apa yang ada dalam dirinya (berupa keyakinan, pandangan sarwa dan gaya hidup.”

Demikian inilah rahsia perubahan sosial zaman berzaman, perjuangan yang kental dan berterusan akhirnya pasti melahirkan kemenangan. Dalam merawat penyakit masyarakat diktator, menarik jika kita bisa melihat pandangan Dr Jasser Auda yang mengulas perihal revolusi Arab dan perubahan dan pengorbanan masyarakat dalam Bayn ash-Shari’ah was-Siyasah. (Antara Syari’ah dan Politik). Menurut Jasser Auda:

Jasser Auda

“Bahawa manusia atau rakyat telah mengubah apa yang ada pada diri mereka bersama-sama revolusi dan merobohkan benteng ketakutan, lantas Allah menghilangkan ketakutan daripada hidup mereka. Mereka melempar di medan-medan revolusi pemisahan, individualistik, perbalahan, penguasaan, hasutan pihak pemerintah, kekerasan dan tamak. Kemudian Allah mengubah keadaan mereka dan membaiki menerusi revolusi setiap keburukan yang menular dalam masyarakat, bahkan Dia menjatuhkan pemimpin pemerintah yang rosak.

Mesir telah sekian lama melalui pengalaman getir dan menyeksakan di bawah pemerintahan yang korup dan despotik. Setelah sekian lama para ilmuan dan aktivis politik di sana menyeru kepada perubahan demi menentang kezaliman kediktatoran, mereka hanya berjaya melakukannya setelah sanggup membuang sikap individualistik, tamak, dan berkepentingan dan menuju ke Medan Tahrir menuntut reformasi dan pembebasan. Demikian juga dengan kejatuhan Ben Ali di Tunisia, menerusi pengorbanan dan kesungguhan rakyatnya untuk “mengubah takdir” yang sekian lama dikenakan oleh pemerintah dan konco-konco mereka.

Pendidikan demokratik

Mengulang kembali pandangan al-Kawakibi di atas berkenaan pertembungan antara sang diktator dan ilmuan dalam menarik masyarakat, jelas bahawa ilmu menjadi tulang belakang kepada kewujudan kediktatoran dalam pemerintahan, sementara masyarakat menjadi penentu kepada kekalnya kediktatoran sesuatu pemerintahan ataupun robohnya kediktatoran tersebut. Sekiranya masyarakat jahil, maka mereka akan takut, kemudian setelah takut mereka akan menyerah kepada kekuasaan. Sebaliknya jika masyarakat berpengetahuan, mereka akan berkata-kata, kemudian setelah berkata-kata mereka akan melaksana.

Dalam mengkritik sistem pendidikan dunia Arab yang bermasalah dalam membentuk masyarakat yang sedar dan berperanan, Dr Louay Safi daripada International Institute of Islamic Thought menjelaskan:

Louay Safi

“Kita bercakap tentang kekayaan tetapi kita tidak bercakap tentang tanggungjawab mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain. Apabila kita bercakap tentang kekuasaan, kita tidak mengaitkannya dengan tugas sosial untuk meningkatkan struktur sosial, ia sentiasa dikaitkan dengan kehebatan seseorang. Masyarakat Arab kita mesti menyelesaikan masalah ini. Sudah tentu ini merupakan asas kepada korupsi dalam politik, perhubungan yang kuat antara kehebatan manusia dengan kekuasaan – dan bercakap tentang pahlawan-pahlawan, bagaimana mahu menyembah mereka, sesugguhnya inilah masalahnya, dan hal ini jugalah yang membawa kepada korupsi.”

Menerusi perbincangan ini juga, kita akan melihat kepentingan kaum intelektual dan berilmu menggerakkan masyarakat menuju sedar dan bertanggungjawab. Jika para ilmuan juga bersifat individualistik, maka sudah pasti masyarakat diktator akan terus wujud dan perubahan sosial dan projek pembangunan manusia dan negara akan tergendala.

Masyarakat mesti turut dididik dengan persoalan kedaulatan undang-undang, hak-hak kewarganegaraan dan kesamarataannya, dialog antara kaum dan agama, kebebasan berkeyakinan dan menghormati kaum minoriti. Tanggungjawab pendidikan ini sudah tentu tidak akan berjaya dipikul oleh sebuah pemerintahan diktator, justeru para pendidik, ilmuan dan organisasi sosial patut memainkan peranan dalam membentuk masyarakat sivil sama ada menerusi forum, seminar, teater jalanan, filem atau apa-apa sahaja mekanisme yang relevan.

Pantulan dan Kesimpulan

Kebebasan merupakan antara syarat dalam merawat masyarakat diktator. Masyarakat mestilah bebas daripada tekanan, paksaan dan campur tangan pihak lain dalam membuat pilihan dan keputusan. Kalau keputusan dan pilihan yang baik belum tentu diperoleh jika kebebasan dikurniakan, keputusan dan pilihan yang tidak baik pasti akan diperoleh jika kebebasan tidak dikurniakan.

Tokoh revolusi Perancis, Jean-Jacques Rosseau (1712-1778) yang dikenali sebagai salah seorang intelektual yang berperanan besar dalam masyarakat pada zamannya menulis dalam bukunya bertajuk The Social Contract berkata: “Untuk menolak kebebasan bererti untuk menolak menjadi manusia, menyerahkan hak-hak dan tanggungjawab kemanusiaan. Untuk mereka yang menolak segalanya tiada penebusan yang mungkin. Penolakan sebegitu adalah tidak selari dengan fitrah manusia; untuk membuang segala kebebasan daripada kemahuannya beerti membuang segala moral daripada tindakannya.”

Al-Kawakibi sewaktu ditanya mengapakah Allah menguji hamba-hambaNya dengan para diktator? Beliau menjawab seperti catatan Muhammad Imarah:

Muhammad Imarah

“Sesungguhnya Allah Maha Adil tidak menzalimi seorang pun. Maka seseorang diktator tidak akan menguasai melainkan ke atas golongan yang bersifat diktator. Sekiranya orang yang bertanya itu memandang dengan pandangan orang bijaksana dan mendalam, setiap individu daripada kalangan tawanan sifat kediktatoran merupakan diktator terhadap dirinya. Sekiranya dia mampu, maka dia akan menjadikan isterinya, keluarganya, kabilahnya, kaumnya dan setiap orang, sehinggalah Tuhannya yang menciptakannya, pengikut kepada pandangan dan tindakannya.

Masyarakat merupakan himpunan pelbagai jenis manusia. Dengan kerana itu, sebarang usaha ke arah menrubah masyarakat manusia mestilah dengan merubah manusia yang mejadi unit sesebuah masyarakat itu. Sifat individualistik mestilah digantikan dengan sifat yang penuh keprihatinan sementara sifat redha dengan kezaliman mestilah ditukar dengan kesungguhan dalam perjuangan merubah takdir.

Segala-galanya bermula dalam diri sendiri demi menjadi manusia yang sedar akan tanggugjawabnya dalam penentangan terhadap sebarang kezaliman dan ketidak-adilan dan seterusnya menjadi sebahagian daripada masyarakat sivil yang mendokong kesetaraan dan keadilan sejagat.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022