Muhammad Asad tentang Ijtihad
November 4, 2016

Ahmad Nabil Amir

Every Muslim ought to be able to say ‘The Qur’an has been revealed for me’ [Muhammad Asad]

1.Para2Tulisan ini akan membincangkan kefahaman asas tentang ijtihad yang dirumuskan oleh Muhammad Asad dalam penulisannya seperti Islam at the Crossroads, This Law of Ours and Other Essays, The Message of the Qur’an, The Road to Mecca dan Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam. Tema ijtihad dan rekonstruksi pemikiran ini merupakan topik yang signifikan yang dilontarkan oleh Asad dalam perbincangannya yang berkaitan dengan fiqh dan syari’ah. Pemahaman tentang prinsip nalar dan kebebasan akliah dan ijtihad ini dikembangkan oleh Asad daripada tinjauannya tentang hujah fuqaha dan pelopor mazhab seperti Ibn Hazm dalam al-Muhallā dan Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam Zād al-Ma‘ād yang menekankan kepentingan akal dan pemikiran dan idealisme pembaharuan dan kelestariannya dalam tradisi intelektual dan peradaban Islam.

Pendahuluan

Dalam karya-karyanya yang muktabar, Muhammad Asad banyak menekankan keperluan ijtihad dalam dunia moden. Tema asas tentang idea dan prinsip ijtihad ini sebenarnya telah pun dianalisis dan diperdebatkan dalam karya-karya klasik dan medieval Islam yang menghuraikan tentang aspek-aspek yang fenomenal daripada ijtihad yang cukup signifikan dalam tradisi pemikiran dan warisan intelektual Islam. Daripada ideal seputar fiqh dan ijtihad inilah analisis dan penelitian Asad tentang hukum berkembang. Polemik tentang ijtihad ini berkisar daripada sejarah peradaban dan pemikiran Islam dan tradisi kebudayaannya yang berakar dengan nilai pemikiran yang tinggi. Gambaran ini ditampilkan dalam karya-karya dan penulisan Asad yang berbobot dan penghujahannya yang mendasar untuk mengembalikan nilai pencerahan dan kebebasan akliah dan intelek dan penyangkalannya terhadap dugaan penutupan pintu ijtihad.

Tema Ijtihad dalam karya Muhammad Asad

Every Qur’ānic verse or statement is directed to reason and therefore must be comprehensible [Muhammad Asad]

2.Para5Dalam diskusinya tentang ijtihad, Asad membawa pesan intelektual Islam yang ideal tentang prinsip dan nilai ijtihad dan semangat pencarian akliah yang kritis dan bebas. Perspektif ini dilakarkan dengan jelas dalam pengantarnya kepada terjemahan dan komentarnya terhadap kitab Sahih al-Bukhari iaitu Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam yang mengungkapkan idealisme yang kental tentang ijtihad dan pengaruhnya yang intens dalam tradisi intelek dan pemikiran Islam:

“Tetapi apakah maksud ayat “sunnah ini, jika difahami dengan tepat”? Adakah interpretasinya – malahan, interpretasi al-Qur’an sendiri – telah ditetapkan kepada kita, secara definitif, pada suatu period yang jauh pada masa lalu? Hal ini malangnya, kelihatan menjadi sikap majoriti yang besar daripada umat Islam. Sejak berabad lamanya mereka telah berhenti untuk berfikir secara bebas tentang ajaran Islam dan berpada dengan diri mereka dengan hanya mengulangi idea dan konsep yang dibentuk tidak lewat daripada abad keempat Hijrah, dan sering mencerminkan simpang siur falsafah Neo-Platonik yang menguasai begitu besar pemikiran kebanyakan ulama’ Islam dari kurun kedua selanjutnya: idea dan konsep yang tidak dalam setiap kes, sejajar dengan tujuan Nabi Terakhir dan para Sahabatnya.

Pendeknya, ia adalah kebekuan pemikiran Muslim abad pertengahan tentang ajaran Nabi dan bukan yang disangka “kebekuan sunnah” sepertinya yang tanpa ragu adalah salah satu daripada punca utama kelunturan budaya di dunia Islam. Sudah pasti, tiada yang dapat berpura-pura menyangka bahawa karya-karya generasi Muslim terawal dapat dikesampingkan dalam zaman kita; malahan ia adalah suatu kebutuhan kepada kita sebagaimana ianya menjadi kebutuhan kepada pendahulu kita. Tetapi adakah kita harus menganggap bahawa semua kemungkinan dari pengetahuan agama telah kering dilacak oleh karya-karya awal itu, dan bahawa tidak ada yang berbaki untuk kita kecuali untuk mengikut mereka secara semberono, tanpa hak untuk merongkai dan menginterpretasinya dalam kerangka yang baru?

Jelas, ia tidak mungkin begitu. Hakikat kebesaran al-Qur’an – dan, pada gilirannya, sunnah Nabi – terdiri dalam kenyataan bahawa apabila meningkatnya pengetahuan dunia kita, lebih banyak makna yang baru dan yang sebelumnya tersembunyi terserlah di dalamnya. Ketaqwaan dan komitmen keagamaan umat Islam mungkin lebih rendah pada zaman kita berbanding pada abad-abad terawal Islam; tetapi pastinya tidak cara pemahaman kita. Interpretasi yang diberikan kepada ajaran Islam oleh Nabi Terakhir akan selamanya terus mengikat kepada orang Islam; tetapi melangkaui hal ini, dia adalah bebas – malah, dituntut – untuk menggunakan daya intelek dan suara dhamirnya sendiri.

Hal ini, dan tidak yang lain, adalah sikap pemikir Islam yang besar yang kita sifatkan sebagai para Imam. Mereka tidak pernah berpura-pura sebagai ma‘sum; mereka adalah manusia terpelajar yang mengabdi untuk mencari kebenaran, dan mereka arif bahawa tugas berfikir tidak akan pernah lenyap daripada menjadi tugas manusia. Ia adalah tugas kepada Abu Hanifah dan juga kepada Ibn Hazm atau Ibn Rushd; kepada Al-Ghazali dan juga kepada Ibn Taymiyyah atau kepada Shah Waliyullah; dan ia adalah tugas kepada saudara dan kepada saya.

Kebangkitan Islam yang tulen adalah mustahil tanpa pencarian yang intensif terhadap semangatnya yang asli. Kita harus membina lebih lanjut dan tinggi daripada landasan yang diasaskan oleh generasi ulama’ dan pemikir yang lepas. Kita tidak boleh menerima idea bahawa ajaran Islam akan sesekali menyusut kering dalam segala kedalamannya; dan tiada perkataan seseorang di bawah Nabi dapat sama sekali dipertimbangkan sebagai kata-putus dan muktamad: kesemua kita yang membanting usaha untuk meraih pemahaman yang lebih baik terhadap Kalam Tuhan dan contoh daripada Nabinya adalah pengembara yang mengarah kepada penemuan baru dalam medan spiritual.

Dan dalam usaha kita ini kita tidak dapat menemui penolong dan pendamping yang lebih baik daripada Sahih al-Bukhari yang abadi.”

Maka adalah menjadi impian Asad untuk melahirkan pemahaman yang baru terhadap teks yang berusia ribuan tahun yang dapat memberikan penghargaan langsung terhadap semangat dan ajaran Islam yang sebenar – yang mengilhamkannya untuk menterjemahkan Kitab al-Jami‘ as-Sahih oleh Imam al-Bukhari. Hujah ini diperkukuhkan dengan argumennya bahawa “adalah tidak memadai untuk hidup di bawah bayangan pemikiran yang telah difikirkan pada zaman yang begitu jauh dari kita yang hampir tiada persamaan dengan kehidupan kita sekarang. Apa yang sangat mendesak yang kita perlukan hari ini adalah kefahaman baru dan penghargaan langsung terhadap ajaran Islam yang sebenar.”

3.Para12-aTema ijtihad ini turut diangkat dalam karyanya yang lain seperti Islam at the Crossroads. Dalam bab “Tentang Pendidikan” Asad menekankan peri pentingnya nilai pengetahuan dan menghuraikan dalil yang ekstensif dari al-Qur’an dan hadith yang sarat dengan saranan untuk belajar “supaya kamu berakal”, “supaya kamu berfikir”.

Tema yang penting tentang kebebasan akliah ini turut diungkapkan dalam bukunya The Road to Mecca yang merumuskan prinsip asas pemikiran rasional dan tuntutan ijtihad yang dijabarkan dengan komprehensif dalam anekdot-anekdot daripada memoir spiritualnya ini. Hal ini dirumuskannya, daripada dalil-dalil al-Quran dan hadith, bagi membela idea-idea rasional dan semangat pembaharuan: “It was Islam that had made the Muslims great. But as soon as their faith became habit and ceased to be a programme of life, to be consciously pursued, the creative impulse that underlay their civilization waned and gradually gave way to indolence, sterility and cultural decay.” (The Road to Mecca, 193)

[Islamlah yang telah menjadikan umat Islam hebat. Tetapi sebaik agama mereka menjadi adat kebiasaan dan berhenti dari menjadi program kehidupan, untuk diikuti secara sedar, dorongan kreatif yang mendasari peradaban mereka pudar dan perlahan-lahan memberi laluan kepada kelembapan, kemandulan dan kereputan budaya.]

Dalam tulisannya Social and Cultural Realities of the Sunnah, Asad mengupas tentang kekuatan idealisme dan pemikiran Islam yang telah mencetuskan kebangkitan yang luar biasa, dalam penerobosan budaya dan peradaban yang telah mengangkat dinamisme pemikiran dan intelek dan ketangkasan ijtihad di zaman awal Islam. Hal ini terealisasi dalam pengalaman dan perjuangan para sahabat, yang mengalir dalam kesedaran dan keyakinan mereka visi Islam, generasi yang diungkapkan oleh Sayyid Qutb sebagai jiil al-Qur’aniyy al-farid: “the real objective of the sunnah is not, as our antagonistic critics presume, the breeding of pharisees and dry formalists, but of conscious, determined, deep-hearted men of action. Men and women of such style were the companions of the Prophet. The permanent consciousness, inner wakefulness and sense of responsibility in all they did – therein lies the secret of their miraculous efficiency and their startling historical success” (Muhammad Asad, Social and Cultural Realities of the Sunnah, 247)

[Matlamat sebenar daripada sunnah bukan, sepertimana pengkritik yang bermusuhan dengan kita andaikan, pembiakan farisi yang hipokrit dan pengikut formalis yang gersang, tetapi manusia yang sedar, punyai tekad dan keazaman, jiwa yang mendalam. Lelaki dan wanita dengan watak seperti itu adalah para sahabat Nabi. Kesedaran yang berterusan, kesiapsiagaan batin dan rasa pertanggungjawaban dalam semua yang mereka lakukan – di sana terletak rahsia ketangkasan mereka yang luar biasa, dan kejayaan historik mereka yang menakjubkan].

Nilai akliah dan ijtihad dalam Tafsir Muhammad Asad

Al-Qur’an, tulis Asad, adalah “untuk kaum yang berfikir.” [Ahmad Syafii Maarif, 2014]

4.Para17.Right-aAntara karyanya yang penting yang menggarap tema yang signifikan tentang nilai pemikiran dan ijtihad ini adalah magnum opusnya The Message of the Qur’an. Ia melakarkan perspektif yang luas tentang ijtihad, dan memberikan penegasan yang kuat terhadap asas-asas pemikiran dan intelek, dan menekankan keperluan terhadap ijtihad bagi memperkukuh kesedaran dan keyakinan tauhid dan kefahaman Islam yang rasional.

Kitab yang diusahakan oleh Muhammad Asad selama lebih tujuh-belas tahun tahun ini membawa pesan yang signifikan daripada kata kuncinya li qawmin yatafakkarūn – untuk kaum yang berfikir.

Asad mengarahkan kitab The Message of the Qurān–nya kepada “mereka yang berakal budi” [li qaumin yatafakkarūn]: kepentingan untuk menggunakan daya intelek seseorang untuk memahami teks suci, fakta yang ditekankan dalam al-Qur’ān sendiri, adalah tema utama yang diketengahkan dalam komentarnya. Setiap ayat atau kenyataan al-Qur’ān dihalakan kepada fikiran dan lantaran itu harus dapat digarap dan ditanggapi. Sejajar dengan agenda reformisnya, The Message of the Qurān adalah tafsiran yang koheren yang memberikan pertimbangan dan fokus yang tuntas terhadap diskursif modernis yang khusus tentang al-Qur’ān. Hasil daripada pendekatan ini jelas terlakar dalam stail tafsirannya tatkala mengungkapkan makna dan interpretasi yang mempertahankan agenda reformis sambil meresapkan tafsiran tradisional dan mengangkatnya dalam sebuah komentar yang komprehensif yang pernah dihasilkan dalam bahasa Inggeris.

Nilai tersendiri daripada karya yang diwakafkan oleh Muhammad Asad sepanjang hidupnya untuk membawa pencerahan terhadap ajaran al-Qur’ān ini telah mendapat pengiktiran yang luas dan wajar di saat bangkitnya kesedaran dan kecenderungan sejagat untuk menyingkap pesan universal yang ditawarkan Islam kepada bangsa manusia.

Dalam prolognya kepada buku ini, Gai Eaton, seorang sarjana Islam British yang terkemuka, menyingkapkan kekuatan dan sumbangan yang signifikan Asad dalam penghasilan tafsir ini:

Tafsir yang terpenting di zaman moden yang telah berupaya menghasilkan semula, sedekat mungkin, terjemahan al-Qur’ān yang terlepas daripada bebanan konsepsi yang lahir dalam perkembangan Islam selepasnya tidak lain daripada kitab The Message of the Qur’ān oleh Muhammad Asad.

Ijtihad adalah tema yang cuba diketengahkan dalam tafsirnya yang signifikan dan autoritatif ini yang dikerjakannya selama tujuh belas tahun di Tangiers, Maghribi, sepertimana dihimbaunya dalam pengantarnya kepada terjemahan kitab Sahih al-Bukhari:

Ten years spent on analyzing, translating and clarifying the Sahih were a God-willed preparation for a work which for a very long time had represented an enticing dream to me: a new rendering into English of The Message of the Qur’an...”

“Sepuluh tahun dihabiskan untuk menganalisis, menterjemah dan menghuraikan kitab Sahih adalah persediaan yang direncana Tuhan bagi karya yang sekian lama merupakan mimpi yang membara kepada saya: terjemahan Inggeris yang baru The Message of the Qur’an” berdasarkan prinsip bahawa pintu ijtihad tidak pernah dan tidak akan tertutup kepada daya pemikiran dan pencarian akliah manusia.

Karya tafsir yang signifikan yang menganalisis dengan tuntas idealisme ijtihad, dan menggagaskan prinsip Islam yang rasional dan kritis dan menegaskan pandangan dan kefahaman rasional yang melatari perbincangan inteleknya terhadap ayat-ayat al-Qur’an. Tafsirannya mempelopori kebangkitan intelek, dan semangat renaisans dan menggembling kesedaran akliah dan ijtihad dan menolak amalan taqlid yang bobrok dan jahil, yang memperbodohkan akal, kerana menurut Bennabi “kejahilan hakikatnya adalah kemusyrikan kerana ia tidak memupuk fikiran, tetapi memahat berhala.”

5.Para27Memetik pernyataan Syaikh Mustafa al-Maraghi, salah seorang ulama’ terkemuka di al-Azhar dan bekas murid Syaikh Muhammad Abduh dan temannya sewaktu di Kaherah, Asad menyingkapkan anjurannya kepada ijtihad dan kemerdekaan akliah dan menolak kecenderungan taqlid yang membabi buta kepada ulama:

If there is to be any change for the better, thinking must be encouraged instead of the present thought-imitation.” (The Road to Mecca, 191)

[Bagi memungkinkan sebarang perubahan kepada yang lebih baik, pemikiran harus digalakkan ketimbang daripada taqlid yang dominan sekarang]

Asad mendukung hujah dan idealisme fiqh yang dibawanya yang menekankan kekuatan ijtihad, pemugaran akliah dan menggagaskan fikrah rasional, kebangkitan tradisi intelek dan saintifik di al-Azhar, kerana “Al-Qur’an ingin daya intelek anda sentiasa aktif dan cuba untuk mendekati pesan ketuhanan. Tuhan sendiri mendedikasikan kitab ini kepada mereka yang berfikir.”

Dari kacamata Asad, semangat al-Qur’ān tidak dapat sebenarnya difahami sekiranya kita membacanya hanya dalam rangka perkembangan ideologi yang lahir setelahnya dan terlepas daripada melihat makna dan aspirasinya yang asal.

Daripada helaian-helaian teks al-Qur’ān, Asad menemui kesedaran-bertuhan yang intens yang tidak membuat pemisahan antara jasad dan ruh, atau agama dan akal, sebaliknya terdiri daripada interaksi yang harmonis terhadap keperluan spiritual dan tuntutan sosial. Tanpa ijtihād; Asad yakin umat Islam akan mendapatinya sukar, jika bukan mustahil, untuk mempraktikkan Islam yang sebenar dalam kehidupan mereka, dan mereka akan terbelenggu sebagai tawanan intelektual terhadap kelompok yang lain seperti mana mereka juga adalah tawanan kepada idealisme lampau dan tidak mampu melahirkan sumbangan yang bermakna kepada kebangkitan Islam dalam dunia moden. Hanya melalui ijtihad, beliau rasakan, bahawa umat Islam dapat berkembang, berubah dan membangun selaras dengan keperluan masa dan perkembangan pengalaman manusia, sementara tetap setia kepada al-Qur’an dan ajaran yang dibawa Nabi.

Menurut Asad, sungguhpun mustahil untuk ‘mengeluarkan semula’ al-Qur’an yang sepertinya dalam mana-mana bahasa, namun adalah mungkin untuk menterjemah pesanannya kepada kefahaman mereka yang tidak mengetahui bahasa Arab dan menguasai bahasa Inggeris; cukup untuk menghadam pesanannya tanpa dibantu. Sepertimana Asad dengan penuh tawadu’ akur dengan keterbatasan tafsirnya – memperlihatkan konfesi seorang cendekia yang sedar: “Saya sepenuhnya sedar bahawa terjemahan saya tidak akan dan tidak mampu dengan sebenar ‘memberi keadilan’ kepada al-Qur’an dan terhadap tiap lapis maknanya: kerana, ‘sekiranya seluruh lautan menjadi tinta untuk menulis kalam Tuhanku, lautan itu akan kering sebelum habis kalam Tuhanku.’ (Qur’ān 18:109).”

6.Para33-aKitab tafsirnya ini juga turut disinggung dalam bukunya yang lain, This Law of Ours and Other Essays – yang diselenggara oleh Pola Hamida Asad – di mana beliau memuatkan bab bertajuk “The Message of the Qur’an” yang melantarkan uraian yang ringkas tentang signifikasi moral dan spiritual daripada al-Qur’ān dalam abad moden. Ia menzahirkan pemikirannya tentang beberapa aspek dari kedalaman Kitab Suci – “yang abadi dan tak berpenghujung” – subjek dari syarahannya yang disampaikan dalam Persidangan yang dianjurkan oleh The Islamic Council, London pada bulan April 1980:

I must confess that at first I was somewhat taken aback by this request – for the simple reason that “The Message of the Qur’an” is the title of my translation of and commentary on the Holy Qur’an which has just been published after more than seventeen years of labour. Since this work consists of about 1000 printed pages, it seemed to me that I could not profitably add anything to it within the limited compass of a talk such as the present one…And so, despite my just having published 1000 pages on “The Message of the Qur’an”, I now stand before you ready to offer a few more thoughts on one or two particular aspects of this eternal, inexhaustible subject.”   (1987: 187)

Semangat dan aspirasi pembaharuan dan ijtihad yang dibawanya ini didukung daripada penafsirannya yang meyakinkan terhadap al-Qur’an, dengan kekuatan idea dan daya ijtihad yang tinggi. Menurutnya interpretasi tidak bermaksud sebagai pemutus yang muktamad dan akhir, sebaliknya sebagai landasan awal bagi meneroka makna universal yang dikemukakan al-Qur’ān kepada kita. Fikrah tafsirnya yang universal dan konstruktif ini dimanifestasikan dalam penjelasannya yang ekstensif pada ayat 53-55, surah 40 (al-Ghafir), menyangkut tentang ulul-albab: Asad mengaitkan pencerahan yang diberikan kepada Bani Israil (Taurat) dengan risalah yang diberikan kepada pengikut al-Qur’an (umat Islam) yang dipandang sebagai ulu al-albab dan qawm yatafakkarun:

The reference to “those [of the children of Israel] who were endowed with insight” and therefore could benefit from the message of Moses, is undoubtedly meant to remind the followers of the Quran that this divine writ, too, is for those who are endowed with insight (ulu’l-albab), for people who think (qawm yatafakkarun), and people who use their reason’”(qawm ya‘qilun).

[Rujukan kepada “golongan (daripada Bani Israel) yang dikurniakan dengan pencerahan” dan justeru bisa meraih faedah dari risalah Musa, adalah jelas dimaksudkan untuk mengingatkan para pengikut al-Qur’an bahawa perintah Ilahi ini, juga, adalah untuk “mereka yang dikurniakan pencerahan” (ulu’l-albab), untuk, “kaum yang berfikir” (qawm yatafakkarun), dan “kaum yang berakal” (qawm ya‘qilun).]

Kefahaman dan gagasan ini turut diperlihatkan dalam tafsirnya pada surah 12: 2 (Surah Yusuf). Beliau mengungkapkan pandangan mufassir dan fuqaha’ yang muktabar tentang takwil ayat la‘allakum ta‘qilun dan idealisme yang dizahirkannya tentang pemekaran akliah dan rekonstruksi pemikiran dan ijtihad dalam tradisi intelektual dan pemikiran Islam:

Behold, We have bestowed it from on high as a discourse in the Arabic tongue, so that you might encompass it with your reason” (12: 2)

[Lihatlah! Ini adalah pesan wahyu yang jelas dalam dirinya dan dengan nyata memperlihatkan kebenaran yang jelas. Saksikanlah, Kami telah turunkannya dari ketinggian sebagai diskusi dalam bahasa Arab, supaya kamu dapat mencakupinya dengan akalmu] (12:1-2)

Asad mengulas:

This, according to Zamakhshari, is the meaning of la’allakum ta’qilun in the above context. Although they were in the first instance addressed to the Arabian contemporaries of the Prophet, these two verses apply to all people, whatever their origin, who understand the Arabic language. They are meant to impress upon everyone who listens to or reads the Qur’an that its appeal is directed, primarily, to man’s reason, and that “feeling” alone can never provide a sufficient basis of faith.”

[Hal ini, menurut Zamakhshari, adalah maksud daripada ungkapan la‘allakum ta‘qilun dalam konteks di atas. Walaupun ia pertamanya ditujukan kepada masyarakat Arab yang sezaman dengan Nabi, dua ayat ini terpakai kepada semua manusia, apa jua asal usul mereka, yang memahami bahasa Arab. Ia bermaksud untuk menarik terhadap semua orang yang mendengar kepada atau membaca al-Qur’an bahawa sarannya adalah diarahkan, pada asasnya, kepada akal manusia, dan bahawa “perasaan” sahaja tidak akan sesekali memberikan dasar yang secukupnya bagi keimanan. (Lihat juga 13:37 dan 14:4, dan juga nota yang mengikutinya.]

7.Para42.RightTema-tema ini turut digarap daripada analisisnya pada surah 9: 122 tentang ayat yang menekankan kewibawaan ulama’ dan keutamaan fiqh dan keupayaan istinbat mereka, dan kepada upaya pencerahan dan pemekaran akliah yang signifikan dalam masyarakat:

With all this, it is not desirable that all of the believers take the field [in time of war]. From within every group in their midst, some shall refrain from going forth to war, and shall devote themselves [instead] to acquiring a deeper knowledge of the Faith. and [thus be able to] teach their home-coming brethren, so that these [too] might guard themselves against evil “(9:122)

[Dengan semua ini, ia tidaklah pantas bagi semua orang-orang beriman berangkat ke medan [ketika perang]. Dari dalam setiap kumpulan di tengah mereka, sebahagian harus menahan daripada mara menuju perang, dan harus mengabdikan diri mereka [sebaliknya] untuk mencari pengetahuan yang lebih mendalam tentang Agama. dan [justeru akan sanggup untuk] mengajar saudara mereka yang pulang, supaya kelompok ini [juga] dapat melindungi diri mereka daripada kejahatan.]

Asad menguraikan:

“Walaupun perintah di atas menyebut secara spesifik ilmu agama, ia mempunyai hubungan yang positif kepada setiap jenis ilmu – dan ini mengingat kenyataan bahawa al-Qur’an tidak menggariskan sebarang garis-pemisah antara perhatian hidup terhadap spiritual dan duniawi tetapi, sebaliknya, menganggapnya sebagai aspek yang berbeza dari satu realiti yang sama.

Dalam banyak ayat-ayatnya, al-Qur’an menyeru kepada orang yang beriman untuk mengamati seluruh alam dan untuk mengesan aktiviti kreatif Tuhan dalam berbagai lapis fenomena dan “undang-undang”nya, dan juga untuk merenung pelajaran dari sejarah dengan harapan untuk memperoleh pencerahan yang lebih mendalam terhadap dorongan manusia dan punca yang terdalam dari tindak tanduknya: dan, justeru, al-Qur’an sendiri disifatkan sebagai ditujukan kepada “kaum yang berfikir”.

8.Para47Pendeknya, aktiviti intelektual tersebut dianggap sebagai cara yang sah untuk memahami dengan lebih baik terhadap kehendak Tuhan dan – jika dikejar dengan kesedaran moral – sebagai metode yang sah dalam beribadah kepada Tuhan. Prinsip al-Qur’an ini telah ditekankan dalam banyak hadith Nabi yang sahih, sebagai contoh, “mencari ilmu adalah kewajipan yang suci (faridah) ke atas setiap lelaki dan perempuan yang telah menyerahkan dirinya kepada Tuhan (muslim wa-muslimah)” (Ibn Majah); atau, “kelebihan (fadl) orang yang berilmu ke atas [seorang yang hanya] beribadah [i.e., seorang yang hanya bersembahyang, berpuasa, dan sepertinya] adalah seperti kelebihan bulan yang penuh di atas semua bintang” (Tirmidhi, Abu Da’ud, Ibn Majah, Ibn Hanbal, Darimi).

Alhasilnya, kewajipan orang yang beriman untuk “mengabdikan diri mereka untuk mencari pengetahuan yang lebih mendalam tentang agama” (li-yatafaqqahu fi’d-din) dan untuk menyampaikan hasilnya kepada saudara-mukmin yang lain berkait dengan setiap cabang pengetahuan dan juga penerapan praktiknya.”

Rumusan

Muhammad Asad telah memberikan penekanan yang mendasar tentang nilai ijtihad seperti yang dicanangkan dalam karya-karya tafsir, hadith, pemikiran hukum dan memoirnya. Perkara ini dipaparkan dengan cukup kritis dan substantif bagi merekonstruksi pemikiran, dan menggembling semangat pembaharuan dan memperjuangkan idealisme dan gagasan rasionalisme Muhammad Abduh yang dinamik. Idealisme ini penting untuk diketengahkan kepada umat Islam dan khalayak Melayu khususnya bagi menampilkan kekuatan pemikiran dan ijtihadnya yang universal. Masyarakat Islam di Nusantara sepatutnya terbuka dan teraruh dengan fikrah dan pemikiran rasional dan pembaharuan yang dibawa dalam tafsir-tafsir reformis dan modernis yang tersebar di rantau kepulauan Melayu ini kerana hal ini mampu menyegarkan wacana pemikiran dalam tradisi tafsir di tanah air. Kepentingan ijtihad dan pemikiran dalam penganalisaan teks ini mustahak bagi menyingkirkan kejumudan dan kenaifan bangsa dan membuka kemungkinan interpretasi yang luas dan progresif, seperti yang ditekankan oleh Abdullah Saeed dalam perbincangannya tentang corak dan idea hermeneutika Fazlur Rahman dalam tafsirnya:

“Sacredness and immutability are to be attributed to the text itself, not to its interpretations, which are merely the human understandings.”

[Kesakralan dan kekebalan harus dibangsakan kepada teks itu sendiri, tidak kepada tafsirannya, yang cuma pemahaman manusia belaka]


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua Umum, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front dan seorang Sarjana Kedoktoran dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya.


Bibliografi 

Abdin Chande (2004). Symbolism and Allegory in the Qur‟an: Muhammad Asad‟s Modernist Translation. Islam and Christian-Muslim Relations, 15, (1), 79-89.

Ahmad Syafii Maarif, Muhammad Asad tentang Alquran. (2011). Diakses dari situs: www.al-ahkam.net/home/content/muhammad-asad-tentang-al-quran/

Ahmad Syafii Maarif, Kata Pengantar Risalah al-Qur’an: Muhammad Asad, Risalah Al-Qur’an, dan Dunia Melayu. (Disember 24, 2014). Diakses dari situs: http://irfront.net/post/opinion-features/kata-pengantar-risalah-al-quran-muhammad-asad-risalah-al-quran-dan-dunia-melayu/

Asad, M. (1980). The Message of The Qur’ān, Dar al-Andalus: Gibraltar.

Asad, M. The Road to Mecca, 4th rev. ed. (1980). Louisville, KY: Fons Vitae.

Asad, M. This Law of Ours and other Essays. (1987). Kuala Lumpur: Islamic Book Trust.

Asad, M. (2003). “Social and Cultural Realities of the Sunnah”, dalam P.K. Koya (ed.), Hadith and Sunnah: Ideals and Realities, 233-250. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust.

Asad, M. (2012). Risalah al-Qur’an, Juz 30. tr. Ahmad Nabil Amir. Islamic Renaissance Front: Kuala Lumpur.

Eaton, G. Prologue. Dalam: Asad, M. (2008). The Message of The Qur’ān, The Book Foundation: London.

Hoffman, Murad W. (2000). Muhammad Asad: Europe’s Gift to Islam, Islamic Studies, 39 (2), 233-247.

Ahmad Farouk Musa. Rationalism: Understanding symbolism and allegory in the Qur’an through the lens of Muhammad Asad. Al Quran Seminar and Development of Excellent Humankind Proceedings, vol. CD-ROM, Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn Bhd, 2008, p. 1-14

Ahmad Farouk Musa. Rationalisma: Memahami Simbolisma dan Alegori di dalam al-Qur’ān Menerusi Kacamata Muhammad Asad. Seminar Al Quran. Universiti Darul Iman, 19 Ogos, 2008, diterjemahkan oleh Faridz Aiman.

Maziah Mahmud (2007). The Tafsir of Muhammad Asad: An Analytical Study of His Methodology. (Unpublished M.A. Thesis, International Islamic University Malaysia).

Muzaffar Iqbal (2000). Abdullah Yusuf Ali & Muhammad Asad: Two Approaches to the English Translation of the Qur’an, Journal of Qur’anic Studies, 2 (1), 107-123.

Nawwab, Ismail Ibrahim. A Matter of Love: Muhammad Asad and Islam. Islamic Studies 1998; 39(2): 155-231.

Nawwab, Ismail Ibrahim (2002). Berlin to Makkah: Muhammad Asad Journey into Islam, Saudi Aramco World, 53 (1), 6-32.

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022