Paksi Kiri
November 3, 2013

“Tidak harus wujud bagi rakyat kemiskinan yang tegar atau, sekali lagi, kekayaan yang melampau, kerana keduanya menghasilkan kebejatan yang besar” [Plato, The Republic]

Sebarang langkah ke arah demokrasi yang lebih mampan dan pembentukan negara madani atau dalam istilah Parti Islam Se-Malaysia (PAS): “a state of care and opportunity” – negara yang berkebajikan dan menjamin peluang; hanya sia-sia tanpa agenda ekonomi yang komprehensif. Perkembangan terbaru di Timur Tengah dan Afrika Utara pasca-Musim Semi Arab mencadangkan bahawa sebarang transformasi yang bersifat politik akan kekosongan daripada sebarang nilai jika tiada perubahan yang seimbang dalam agenda ekonomi. Oleh itu adalah perlu bagi Parti Islam yang berjuang ke arah perubahan dalam kerajaan untuk memberikan sepenuh perhatian terhadap perkara ini.

3310_Main

Al-Ikhwan al-Muslimun mungkin merupakan masyarakat madani paling terancang di Mesir sebagai contoh telah dikritik kerana agenda ekonomi mereka yang telah memberi keutamaan kepada hanya satu peratus daripada kesemua populasi. Lantaran itu mereka dikenali sebagai “the Brotherhood’s one percent”, istilah yang mulanya diungkap oleh gerakan protes sedunia Occupy Movement.

Lingkungan satu peratus ini merujuk kepada segmen kaya yang kecil daripada kalangan elitis golongan pemerintah yang mengaut faedah daripada polisi ekonomi berbanding dengan sembilan puluh-sembilan yang di luar daripada rakyat murba. Tiada perubahan yang signifikan dalam polisi neoliberal daripada rejim terdahulu yang menguntungkan sekelompok kecil saudagar kaya dengan penekanan kepada ekonomi pasaran bebas dan penswastaan melainkan hanya dalam mengekang amalan rasuah.

Pengkritik menekankankan bahawa dengan polisi neoliberal ini, ia tidak akan mengurangkan beban kewangan negara sebaliknya sektor swasta akan lebih bergantung kepada perlindungan negara dengan mengorbankan golongan pembayar cukai dan pengguna. Justeru intipati daripada projek penswastaan ini sebahagian besarnya membawa kepada pengumpulan kekayaan oleh golongan satu peratus.

3310_Abdul-Hamid-Al-GhazaliGolongan liberal dan penganjur pasaran-bebas kerap berhujah bahawa kewujudan golongan kaya yang satu-peratus akan seterusnya mengangkat status kelompok miskin bersama mereka. Bagaimanapun sejarah telah menunjukkan bahawa sifat tamak dan kerakusan manusia akan pastinya menjanjikan kegagalan bagi ide yang luhur tersebut. Hakikat bahawa revolusi yang tercetus di wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara itu adalah sebenarnya saksi terhadap kegagalan tersebut.

Justeru pendekatan ke arah sistem ekonomi yang adil yang akan mempertahankan semangat keadilan sosial berkemungkinan sama dengan apa yang digariskan oleh pemuka Ikhwan dalam ekonomi, Abdel-Hamid el-Ghazali bahawa:

“Islam dan sistem ekonomi dan pendekatannya terhadap pembangunan adalah suatu pertarungan yang hakiki, berterusan dan berhasil terhadap semua bentuk ketidakadilan ekonomi – yakni eksploitasi – melalui pengharaman yang jelas dan mutlak ke atas riba dan tipu daya; monopoli dan penimbunann; pemborosan dan penipuan; kecurangan dan penyusutan nilai; pemalsuan dan pengelabuan; rasuah dan nepotisme. Dan segala bentuk yang lain daripada perampasan harta orang lain dengan zalim, termasuk juga semua bentuk amalan yang tidak sah dalam aktiviti ekonomi dalam pengeluaran, pengagihan dan penggunaan.”

Agenda ekonomi yang gagal
Kritik yang mendasar terhadap mana-mana parti Islam di dunia moden hari ini – terutamanya Ikhwan – adalah samada polisi ekonomi mereka yang akan dapat membezakan mereka daripada segala kuasa ideologi yang lain. Apa yang jelas adalah mungkin selamat untuk mengandaikan bahawa tiada perbezaan yang fundamental antara puak Islamis dengan mana-mana rejim otokratik yang lain.

Justeru seseorang dapat bertanya persoalan yang paling penting: Adakah golongan Islamis mempunyai agenda ekonomi yang berbeza daripada apa yang diperjuangkan oleh regim yang terdahulu daripada mereka? Sekarang, istilah yang lazim digunakan oleh ramai golongan Islamis adalah “Ekonomi Islam”, istilah yang kontroversial di dalam lingkungan akademik dan para intelektual. Istilah ini pada asasnya menandakan sistem ekonomi yang tersendiri yang kononnya berbeza daripada “ideologi kapitalis dan sosialis”.

Masalahnya terdapat perbezaan yang sangat ketara antara apa yang sepatutnya menjadi nilai-nilai Islam dengan apa yang diamalkan dalam sistem berkenaan. Contoh yang jelas adalah yang dipanggil “bank Islam” yang pada dasarnya hanya menggantikan ungkapan perbankan konvensional dengan istilah-istialh Arab, namun apa yang jelas, ia kelihatan lebih represif daripada bank-bank konvensional.

Konsep ekonomi Islam ini telah bertukar kepada perniagaan perbankan yang sangat menguntungkan hasil daripada kejahilan masyarakat umum dan kelicikan penggunaan istilah Arab yang ditafsirkan sebagai Islamik. Dan sesungguhnya, sarjana Islam dengan ijazah kedoktoran dalam perbankan dan ekonomi adalah kolaborator utama kerana mereka turut serta dalam menggariskan asas perundangan dan doktrin dalam transaksi ekonomi dan mengabsahkan produk bank sebagai mematuhi peraturan syari’ah – sharia compliant. Pada pemahaman yang sebenar transaksi seperti itu bertentangan secara langsung dengan nilai-nilai keadilan yang menjadi asas kepada ekonomi Islam.

Lebih menyerlah adalah dikotomi antara apa yang ditetapkan dalam ekonomi Islamis dan polisi sebenar mereka. Banyak daripada polisi ekonomi sebenar pada dasarnya tidak banyak berbeza daripada amalan kapitalis yang bermaharajalela di bawah era rejim yang terdahulu. Hal ini telah membawa kepada ramai peneliti untuk menggambarkan visi ekonomi Ikhwan sebagai visi neoliberal yang serupa dengan regim yang terdahulu.

Golongan Islamis juga gagal untuk menyedari bahawa polisi seperti itulah sebenarnya antara penyebab utama yang mencetuskan pemberontakan terhadap rejim terdahulu. Malah, salah satu daripada slogan yang dipertegaskan dalam Revolusi Mesir adalah nyanyian “roti, kebebasan dan keadilan sosial”.

Sebagaimana Profesor Oxford University Walter Armbrust sebutkan:

“Mesir dan Tunisia adalah bangsa yang pertama yang melancarkan revolusi yang berhasil menumbangkan rejim neoliberal, dan kegagalan neoliberalisme di Mesir adalah salah satu daripada penggerak utama bagi rakyat untuk keluar ke jalanraya.”

Tambahan, tampak terdapat pemisahan antara wacana ideologi golongan Islamis dan sikap tingkahlaku ekonomi mereka. Pada satu sudut mereka bercakap tentang ketelusan, pertanggungjawaban dan keadilan sosial tetapi hal ini becangah dengan kekayaan yang melimpah-ruah di kalangan ahli niaga “Islamis” yang mengorbankan golongan miskin. Ia pada dasarnya adalah suatu teori yang menfokuskan kepada golongan maha kaya dengan menambah bilangan mereka – dengan menaikkan paras tertinggi yang diperuntukkan kepada satu peratus Ikhwan – yang dipercayai akan seterusnya akan mengangkat golongan miskin bersama mereka. Tetapi sesungguhhnya telah dipersaksikan bahawa kegagalan hujah dan projek ini adalah alasan sebenar kenapa tercetusnya revolusi pada asalnya.

Protesters carry the Turkish flag and shout anti-government slogans during a demonstration at Gezi Park near Taksim Square in central IstanbulTanpa sebarang kesangsian, ramai dikalangan para Islamis menarik inspirasi mereka daripada model ekonomi yang dirangka oleh Justice and Development Party (AKP) di Turki yang telah digembar-gembur sebagai suatu kejayaan dalam meningkatkan pengeluaran negara kasar (GDP) dan membayar ansuran terakhir daripada hutangnya kepada International Monetary Fund (IMF).

Walaubagaimanapun, harus diperhatikan bahawa pada dekad yang lepas Turki telah meminjam lebih banyak dalam pasaran kewangan antarabangsa, dan secara khususnya hutang luar daripada sektor-swasta telah mencapai tahap yang tak terjangka. Hal ini ternyata suatu situasi yang sangat rapuh kerana ketika pemiutang swasta jatuh muflis; kerugian swasta ini akan disosialisasikan. Melalui polisi ekonominya, AKP juga telah memaksakan agenda neoliberalnya dengan menambah pengkomersilan khidmat awam, menciptakan lingkungan sewa untuk syarikat korporat yang besar dan mengikis tahap kehidupan dan keselamatan sejumlah bahagian daripada kelas pekerja.

Walaupun GDP Turki telah meningkat, pengagihan pendapatan atau kekayaan adalah sangat tempang. Dan jika jurang kesenjangan- Gini coefficient – adalah suatu ukuran terhadap ketidakseimbangan pendapatan, maka India dikatakan telah mengalahkan Turki sejauh ini; .34 kepada .40 pada 2010 masing-masing, di mana semakin rendah jurang kesenjangan – Gini coefficient – maka semakin rendahlah ketidakseimbangan pendapatan.

Malangnya, kisah kejayaan yang palsu tentang peningkatan dalam GDP telah memperkuat kepercayaan tahyul tentang pasaran bebas sungguhpun pada hakikatnya petunjuk sosial tentang pembangunan seperti jumlah manusia yang hidup di bawah garis kemiskinan telah menjunam semakin teruk setelah tahun 2008.

AKP telah bagaimanapun berhasil menguatkan polisi neoliberal yang telah wujud sejak 1990. Hal ini selanjutnya membuktikan kenyataan bahawa kelompok “Islamis” tidak mempunyai agenda ekonomi mereka sendiri selain daripada penerusan sistem kapitalis yang bermaharajalela. Dan rancangan penstrukturan semula bandar pada Taksim Square dan pemusnahan Gezi Park harus difahami dalam konteks projek penswastaan oleh negara yang digerakkan oleh dasar polisi neoliberal.

Revolusi yang belum selesai
Sejarah telah merakamkan bahawa Musim Semi Arab bermula di kota Tunisia Sidi Bouzid pada 17 Disember 2010 apabila Mohammad Bouazizi membakar dirinya. Ia menyemarakkan ketegangan yang membawa kepada revolusi yang menyebar merentasi Mesir bermula pada 25 Januari 2011 dengan penggembelingan yang masif di Midan at-Tahrir yang mengakibatkan kejatuhan Hosni Mubarak pada 11 Februari.

3310_in-tahrir-square-unfinished-revolution

Jelas bahawa cetusan bagi Revolusi Tunisia yang menyebar ke Mesir dan ke tempat lain adalah penzahiran dua aksi iaitu daripada kesempitan ekonomi dan juga tekanan politik di wilayah tersebut. Bouazizi adalah contoh “orang umum” terhadap masalah yang mencengkam wilayah: kesulitan ekonomi pada satu sudut dan penindasan yang ditanggungnya di bawah kewenangan penguasa yang merampas satu-satunya mata pencariannya.

Dalam memahami hubungan antara ekonomi dan tuntutan demokratik, pungutan suara yang dibuat oleh International Republican Institute (IRI) (Institut Antarabangsa Republikan) menunjukkan bahawa keluhan ekonomi mendapat penilaian yang tertinggi dalam pemikiran rakyat. Kebanyakan orang – 63 peratus – menyebut pengangguran sebagai masalah yang terbesar yang melanda Mesir. Sementara 30 peratus yang lain menyebut kemiskinan dan hanya 6 peratus sahaj yang menyebut tentang kepincangan demokrasi dan pilihanraya yang bebas1.

Pungutan suara oleh Pew Research Center juga telah menunjukkan tren yang sama di mana kepincangan ekonomi diletakkan terkehadapan daripada tuntutan demokratis2. Adalah jelas bahawa hasrat untuk membangunkan sistem sosio-ekonomi yang berdasarkan kepada harga diri, kebebasan dan persamaan adalah tuntutan yang utama daripada penunjuk perasaan di segenap daerah dan yang menjadi cetusan semangat mereka untuk berjuang bagi perubahan ini.

Dalam persekitaran global neoliberalisme di mana revolusi Arab tercetus, revolusi umum yang spontan terhadap polisi ini dimangkin oleh kondisi sosio-ekonomi dan tekanan politik dari negeri mereka masing-masing. Demokrasi sendiri tidak semestinya menjamin pengagihan semula kekayaan atau mengecilkan jurang ketaksamaan dalam sebuah negara.

Sebagaiman telah kita lihat, al-Ikhwan al-Muslimun dan Freedom and Justice Party (FJP) hanya komited terhadap “ekonomi pasaran-bebas dengan sektor swasta yang kuat” dan meniru model Turki. Ramai anggota Ikhwan mempunyai kepentingan perniagaan yang besar dan polisi negara dibentuk untuk mengupayakan sektor swasta dan mendukung dasar pro-pasaran. Semua ini diperuncing oleh situasi di mana institusi kewangan antarabangsa merekomendasi penerusan dan perluasan polisi neoliberal ini di Mesir. Dengan sebab itu dapat dirumuskan bahawa tuntutan bagi keadilan sosial adalah hampir tidak akan terhasil di tangan Ikhwan.

Reformasi demokratis sahaja tidak akan menangani isu tentang partisipasi, yakni ketempangan sosio-ekonomi yang menjadikan hubungan dengan demokrasi mustahil bagi kebanyakan orang, atau mengatasi semua kekangan yang dihadapi oleh sebuah demokrasi kebangsaan dalam suatu ekonomi global. Menangani isu sosio-ekonomi seperti kemiskinan dan ketempangan adalah sangat penting bagi sebuah demokrasi yang berkembang dan membangun. Oleh itu memperbaiki kondisi sosio-ekonomi adalah jawapan yang paling praktikal dan berjangka-panjang terhadap sesebuah revolusi.

Jelasnya, mengambil langkah ke arah reformasi ekonomi dan peningkatan kondisi kehidupan harus langsung dihubungkan kepada pengagihan semula pendapatan dan kekayaan, dan menganjak semula ekonomi supaya lebih akomodatif terhadap sembilan puluh-sembilan peratus. Golongan Islamis tidak harus berpuas hati hanya dengan retorik mereka bahawa semua perkara akan beres apabila negara Islam ditubuhkan dan syariah dijalankan. Cabaran sebenar di luar sana adalah sama ada mereka mempunyai polisi ekonomi yang adil yang samarata kepada semua tanpa mengira kaum dan agama dan mereka mempertahankan semangat yang sebenar daripada demokrasi dan menghormati hak-hak individu, toleransi, persamaan gender dan pluralisme.

Langkah ke hadapan
Sejarah telah menunjukkan dua tren utama iaitu kegagalan kapitalisme untuk menyediakan tahap kehidupan yang selesa bagi majoriti rakyat, dan timbulnya pemberontakan yang mendadak terhadap kepincangan dan ketidakadilan yang dibawa sistem tersebut. Kerana keadilan politik dalam masyarakat demokratis yang moden adalah tentang kesetaraan dan kebebasan. Jika sama ada kebebasan ataupun kesetaraan rakyatnya pincang, maka keadilan terganggu.

Kesetaraan bermaksud adil dalam pemahaman ungkapan itu seluruhnya. Tidak seorangpun harus dikurangi oleh nasib buruk dan tiada seorang harus dilebihi kerana nasib yang baik. Pada akhirnya, kesetaraan berasal daripada nilai manusiawi yang fundamental – kita semua mempunyai hak yang sama terhadap kesempatan untuk meraih kehidupan yang baik. Hanya setelah kita memenuhi sumber asas daripada keperluan kesetaraan ini, barulah dapat kita menempa kebebasan dalam sebarang pengertian yang bermakna.

3310_Economic-justiceJohn Rawls dalam bukunya “A Theory of Justice” telah menggambarkan kepentingan untuk mencapai keadilan dalam masyarakat. Keadilan bagi Rawls adalah pengagihan. Hal ini tidak bermakna bahawa pengagihan keadilan adalah tentang upaya memperbetul kepincangan dengan mengagihkan semula pendapatan. Sebaliknya, pengagihan adalah tentang barangan utama yang didefinisikan sebagai “apa yang diperlukan seseorang dalam status mereka sebagai rakyat yang bebas dan sama rata, dan sebagai anggota masyarakat yang normal dan bekerjasama sepenuhnya terhadap kehidupan yang sempurna.”

Dengan perkataan lain, hal ini adalah perkara seperti hak, peluang, kebebasan dan kehormatan-diri. Pengagihan kekayaan yang tidak seimbang tidak buruk dalam dan pada dirinya, tetapi buruk kerana ia membawa kepada ketidaksamaan dalam barangan asas yang diperlukan untuk meraih kehidupan yang baik. Oleh itu kita dapat mengakses sama ada sebuah negeri adalah adil atau tidak dengan mengakses pengagihan barangan-barangan asas.

Kita telah menyaksikan bahawa Musim Semi Arab tercetus bukan kerana “Kebangkitan Islam” tetapi kerana kekangan ekonomi dan pengagihan yang tidak sekata daripada pertumbuhan ekonomi. Kajian empirikal yang luas telah menunjukkan bahawa jurang yang lebar dalam kesenjangan tidak hanya menghambat pertumbuhan masa depan tetapi juga mencelakakan terhadap kestabilan negara.

Sesungguhnya The Republic tulisan Plato telah mengangkat isu tentang pengagihan ekonomi yang tidak seimbang dan mengingatkan kita tentang akibatnya. Bahawa kepincangan yang fatal akan terhasil sekiranya batasan kekayaan pada kedua belah pihak tidak ditetapkan dan menatijahkan dalam pelebaran jurang antara yang kaya dan yang miskin. Kerana keharmonian sosial hanya dapat dicapai melalui masyarakat yang setara. Jika tidak maka keributan akan terhasil, sepertimana telah dipersaksikan berulang kali dalam sejarah.

“Sebarang kota sekecil mana pun, kenyataannya terbagi kepada dua, satu bagi golongan miskin, yang lain bagi kelompok kaya; keduanya saling berperang antara satu sama lain.”
[Plato, Book IV: The Republic]


Esei ini diterjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group daripada tulisan asal bertajuk “Left of Centre” oleh Dr Ahmad Farouk Musa yang diterbitkan oleh The Malaysian Insider di: http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/left-of-centre-dr-ahmad-farouk-musa


1. The International Republican Institute (IRI), ‘Egyptian Public Opinion Survey, April 14 – April 27, 2011’ (Williams and Associates, 2011), p. 11. Available at: http://www.iri.org/sites/default/files/2011%20June%205%20Survey%20of%20Egyptian%20Public%20Opinion,%20April%2014-27,%202011_0.pdf

2. Pew Research Center, ‘Egyptians Embrace Revolt Leaders, Religious Parties and Military, As Well’. (Washington DC, Pew Research Center, 2011), p. 2. Available at: http://pewglobal.org/files/2011/04/Pew-Global-Attitudes-Egypt-Report-FINAL-April-25-2011.pdf

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022