Para Penterjemah: Marmaduke Pickthall, Yusuf Ali, dan al-Qur’an  – Bahagian I
May 14, 2022

Oleh: Steve Noyes
Penterjemah: Ahmad Muziru Idham Adnan || 14 May 2022

Artikel asal: https://rabbitholemag.com/the-translators-marmaduke-pickthall-yusuf-ali-and-the-quran/

Marmaduke Pickthall dan Yusuf Ali, para penterjemah al-Qur’an pada awal kurun ke-20, dikebumikan di bahagian Muslim di Tanah Perkuburan Brookwood berhampiran Woking, Surrey, iaitu setengah jam di luar London. Tanah Perkuburan Brookwood pada satu ketika pernah menjadi tanah perkuburuan terbesar di dunia. Kubur mereka bersaiz hanya beberapa ela sahaja; mereka menikmati suasana kejiranan yang mereka tidak pernah hadapi dalam masa hidup mereka. Satu-satunya pertemuan mereka yang direkodkan adalah pada tahun 1917 apabila Pickthall memeluk Islam (walaupun ada kemungkinan mereka bertemu semula di India). Tertulis pada batu nisan Pickthall sepotong ayat Qur’an: “Sesiapa yang benar-benar hamba Allah, tiada ketakutan terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati”. Batu nisan Ali memiliki pelbagai gelaran, serta tertulis “Aku adalah untuk Allah dan kepada Allah aku akan kembali.” Ramai Muslim yang berkhidmat dengan Britain pada Perang Dunia Kedua telah dikebumikan di sini, bersama tokoh-tokoh Muslim British yang lain, seperti Arthur Quilliam yang mengasaskan masjid pertama Britain di Liverpool, Lord Hewadley dan warga British yang telah memeluk Islam, beberapa pegawai pada Empayar Uthmaniyyah terakhir, dan sarjana-sarjana Orientalis. Kubur orang Islam agak uzur dan berkarah, serta bekerdipan dan berselingan dengan bayang-bayang dahan-dahan pohon pine berserta cahaya matahari yang memutih.

Setelah aku memberikan penghormatan yang sewajarnya, aku mendapati bahawa peta di tepi jalan tidak menyebutkan tentang kuburan bahagian Muslim, meskipun bahagian-bahagian lain ditandakan dengan jelas. Aku menemui kubur Ali dan Pickthall disebabkan aku sudah mengetahui kuburan mereka di sana. Maklumat yang hilang tersebut agak mengganggu fikiranku. Ia menggambarkan sesuatu mengenai ketiadaan perwakilan; suatu lompang yang disengajakan dalam sejarah.

Pickthall dan Ali merupakan Muslim bertakwa yang menjawab tuntutan zaman mereka terhadap agama, bangsa dan budaya serta terdera oleh perubahan sejarah dan peperangan. Dalam pergolakan hidup, yang merangkumi keruntuhan dua empayar – Empayar Uthmaniyah dan British – mereka berjaya memancarkan teks utama umat Islam ke dalam bahasa Inggeris. Pada mulanya, aku tertarik kepada mereka disebabkan mereka berdua seolah-olah melambangkan pertukaran pada arah yang bertentangan: Pickthall menjadi seorang Muslim, manakala Ali pula menjadi seorang Inggeris.

Pickthall Menjadi Seorang Muslim Dan Ali Menjadi Seorang Inggeris

Yusuf Ali dilahirkan pada tahun 1874 dalam keluarga Islam di Surat, iaitu sebuah bandar yang berbahasa Gujerati di India. Beliau menukar kesetiaannya seumur hidup kepada Empayar British sewaktu di sekolah Kristian Protestan dan di Cambridge, England tempat beliau belajar tentang perundangan. Beliau berjaya lulus peperiksaan untuk Perkhidmatan Awam India, dan kembali ke India sebagai majistret daerah dan pemungut cukai. Kerjayanya yang kemudian lebih jelas digambarkan sebagai gabungan kepimpinan pendidikan di India, usaha diplomatik kecil yang mewakili India, mempropagandakan bagi pihak Pejabat Dalam Negeri British, menerbitkan mengenai sejarah dan budaya Muslim secara meluas, serta kesarjanaan Islam perorangan. Perpindahannya kepada sebuah realiti politik yang menghanyutkan – Raj (kekuasaan British di India) – telah membentuknya dan menjadikannya agak bertentangan dengan gerakan untuk memiliki kerajaan sendiri di India. Sekitar tahun 1920-an, selepas usaha-usaha untuk mewakili Muslim India di Persidangan Paris dan persidangan-persidangan lain, beliau berpindah ke Lahore dan menjadi pengetua di sekolah lelaki Muslim. Kebanyakan hidupnya adalah dipenuhi dengan pengembaraan; beliau merentasi dunia untuk memberikan kuliah-kuliah mengenai sejarah dan kebudayaan Islam, menghadiri persidangan pendidikan dan antara agama, serta pernah mengetuai pembukaan sebuah masjid di Edmonton.

Marmaduke Pickthall pula dilahirkan di London pada tahun 1875. Beliau merupakan anak kepada seorang menteri Methodist, dan memulakan penukaran agamanya pada awal 1890-an apabila beliau melawat wilayah yang kini dikenali sebagai Israel, Lubnan, dan Syria serta mempelajari bahasa Arab. Sewaktu perjalanannya, beliau menemui seorang sheikh di masjid Damsyik dan menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam; sheikh tersebut menasihatinya supaya beliau bersabar sehingga  berpeluang berada dalam kaumnya sendiri. Marmaduke menunggu sehingga tahun 1917 untuk memeluk Islam, iaitu sewaktu beliau berusia 25 tahun. Beliau merupakan seorang sasterawan, pengarang bagi 20 buah novel dan koleksi cerita, yang berlatarkan England dan Timur Dekat.

Sewaktu Perang Dunia Pertama, beliau menyatakan ketidaksetujuannya secara terbuka dengan ahli politik British mengenai nasib Empayar Uthmaniyyah dan bertelagah secara khusus dengan seorang pegawai Pejabat Luar Negeri, Sir Mark Sykes, yang menulis kepadanya berkata, “Saya tidak rasakan bahawa adalah wajar untuk anda menjalinkan persahabatan mutlak dengan negara musuh… dan seterusnya bercakap dengan nada permusuhan yang jelas terhadap kerajaan anda sendiri.” Selepas hal tersebut, Pickthall yakin bahawa Sykes telah menyenaraihitamkannya; beliau telah jatuh miskin dan peluangnya di Britain telah hilang. Beliau berangkat ke India untuk menyunting Bombay Chronicle dan Islamic Culture, dan kemudian berkhidmat kepada Nizam Hyderabad sebagai pengetua dan pegawai istana.

Yusuf Ali, sebagai peguamcara, pegawai kolonial, propagandis untuk kerajaan British, dan jurusosial tetap dengan kelas atasan, tidak pernah mengalami pengawasan yang mencurigakan seperti ini sebagai seorang Muslim di England. Sebaliknya, beliau telah dipilih ke Persatuan Kesusasteraan dan Kesenian Diraja, dan dijadikan sebagai Komander Empayar British. (Walau bagaimanapun, di India, beliau dihalang daripada kelab dan gymnasium olahraga British yang eksklusif). Permasalahannya adalah lebih kritikal. Pada tahun 1920, Ali juga meninggalkan England ke Lahore sesudah lama perceraian pahitnya dengan seorang wanita Inggeris, Teresa Shalders, yang telah memulakan hubungan sulit dengan Obed Thorne sewaktu ketiadaan Ali dalam tempoh yang lama. Ali telah dibenci dan diasingkan daripada anak-anaknya, yang ditinggalkanya dalam jagaan seorang pengasuh ketika beliau meneruskan kembaranya. Khususnya anak lelakinya, Bloy – menurut Dr. Jemil Sherif, penulis biografi pertama Ali – yang terus membuatkannya sengsara. Pada akhirnya, beliau terpaksa memilih untuk memutuskan hubungan dengan anaknya. Beliau menyatakan kekecewaan ini dalam kata pengantar terjemahannya:

“Kehidupan bagi seorang lelaki adalah tertakluk kepada badai dalaman yang jauh lebih dahsyat daripada kehidupan fizikal di sekelilingnya. Dalam badai sebegini, dalam kepedihan pahit sebuah kesedihan peribadi, yang hampir-hampir meruntuhkan nalarku, dan membuatkan hidupku seolah-olah tidak bermakna, sebuah harapan baru lahir dalam usaha sistematik bagi projek yang telah lama aku idami. Dengan siraman air mata, manuskripku ini terus berkembang…”

Terjemahan al-Qu’ran mereka – terjemahan Pickthall diterbitkan pada tahun 1930, manakala terjemahan Ali pula diterbitkan pada tahun 1934 – terus kekal dicetak, dan telah dianggap secara meluas sebagai terjemahan yang paling jujur dan tersusun oleh Muslim berbahasa Inggeris. (Banyak terjemahan Inggeris terdahulu selalunya tidak tepat, disusun secara eksentrik, atau bertujuan memburukkan Islam). Namun tidak dapat dipastikan berapa ramai masyarakat Inggeris yang telah memeluk Islam hasil daripada terjemahan mereka tersebut.

Sherif merumuskan pencapaian Pickthall dan Ali dengan kemas. “Mereka menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa Islami,” katanya.

“Mereka Menjadikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Islami”

Meskipun konteks mereka berdua adalah berbeza pada waktunya, namun kehidupan Pickthall dan Ali berada di tangan sekumpulan kecil ahli akademik dan penulis yang mempelajari Islam British. Sesebuah kehidupan yang secara retrospektifnya dipelihara dalam buku-buku mempunyai ciri pembeza yang lebih jelas berbanding hanya tanggapan, peristiwa dan hubungan yang dilalui Ali dan Pickthall; tafsirannya tidak dapat tidak menjadi reduktif, walau betapa pakar sekalipun ia. Kedua-dua penterjemah tersebut merupakan orang yang berjaya dan sememangnya orang yang memiliki keistimewaan, tetapi mereka menghadapi halangan disebabkan kehidupan mereka merentasi banyak sempadan  – Pickthall semakin diperhatikan dengan syak wasangka oleh golongan kelas atasan Inggeris disebabkan simpatinya terhadap Turki sewaktu Perang Dunia Pertama, manakala Ali kecewa dengan prejudis dalam Perkhidmatan Awam India yang menafikan kenaikan pangkatnya.

Bagi Sir Peter Clark, iaitu penulis buku Marmaduke Pickthall: British Muslim, kepentingan Pickthall adalah pada keberaniannya dan memberi manfaat kepada Muslim dan yang bukan Muslim: “Pickthall, seperti kebanyakan Muslim dalam persekitaran non-Muslim, berada dalam posisi defensif. Selama berabad-abad lamanya terdapat pembohongan dan fitnah terhadap umat Islam. Dengan keberanian dan integriti peribadinya, beliau menghadapi permusuhan ini dengan tulisan-tulisannya. Daripada dahulu sehingga kini terdapatnya komuniti global Muslim…namun banyak konflik dalaman dalam dunia Islam. Dengan akar umbinya dalam masyarakat Inggeris, kefahaman terhadap Pickthall dan kerja-kerjanya membantu kita untuk memahami bahawa tidak ada yang asingnya – bagi non-Muslim – mengenai Islam… serta membantu orang lain untuk memahami antara satu sama lain serta mengurangkan ketegangan budaya antara agama. Terjemahan al-Qur’annya… telah menjadi jambatan kepada kebanyakan orang untuk memahami Islam, dan bagi sesetengah orang… adalah jambatan untuk memeluk Islam.”

Dalam The Infidel Within, Dr. Humayan Ansari menggambarkan kehidupan Yusuf Ali sebagai sebuah strategi yang bertujuan menarik minat golongan atasan British, seperti kaum elit India yang lain pada ketika itu, iaitu suatu sikap yang Ansari sifatkan sebagai “penghormatan, kalau bukan kepatuhan.” Beliau menjadikan Ali kedengaran seperti penjilat kolonial yang hebat, dan ia sememangnya benar bahawa Ali mengagumi British, mengenangkan bahawa “cinta Anglo-Saxon terhadap organisasi dan kemajuan telah meletakkan mereka pada tahap tertinggi bagi kemajuan manusia.” Beliau mengekalkan sokongan padu terhadap Empayar British sekian lamanya walaupun ketika kemerdekaan India telah terjamin. Ansari menyatakan bahawa, propaganda Perang Dunia Pertama Ali yang menggesa Muslim India “untuk mati demi negara, Padishah, Raja, dan Empayar” digambarkan sebagai “bersujud” dan “menjilat” pada ketika itu, dan beliau betul-betul memerhatikan bahawa “sememangnya kerajaan menganggapnya sebagai jurucakap Muslim terkemuka di Britain.”

Sherif, penulis biografi pertama Ali, dibesarkan dalam sebuah perumahan di mana terjemahan al-Qur’an Ali merupakan satu-satu buku Muslim yang dimilikinya. Apabila Masjid London lama telah dirobohkan pada awal 1980-an, beliau terjumpa sebuah buku skrap yang dipenuhi dengan keratan akhbar Ali, yang mendorongnya untuk menjadi penulis biografi Ali. Beliau melihat banyak konsistensi yang merentasi wawasan keagamaan Ali dan Pickthall, dan legasi mereka terdiri daripada kesarjanaan dan jasa mereka ke arah pendidikan Muslim yang lebih baik. “Kedua-dua lelaki itu datang daripada persekitaran berbeza dan memiliki kesetiaan politik yang tidak sama, namun memiliki pandangan keagamaan yang sangat serupa.” Dalam salah satu esei terakhirnya, The Idea of Salvation in Islam, Yusuf Ali mencatatkan tangisan seorang lelaki, “Kesombongan! Semuanya adalah kesombongan!” Frasa yang Pickthall selalu gunakan adalah, “Mati, sebelum kamu mati.” Kedua-duanya adalah kiasan kepada kilauan sementara dan kemahsyuran bagi kewujudan material.

Sherif juga turut menekankan tentang ketakwaan awal mereka. Pickthall merupakan seseorang yang sangat spiritual meskipun beliau belum menjadi seorang Muslim, contohnya beliau berpuasa pada hari perkahwinannya bagi menghormati nazar Kristian. Manakala Yusuf Ali, sewaktu berusia 19 tahun di Cambridge, beliau akan datang ke London untuk terlibat dalam perhimpunan Muslim dan membaca puisi pujian terhadap Nabi.

Dr. Geoffrey Nash berkata, walaupun sebilangan tafsiran Yusuf Ali tentang al-Qur’an adalah idionsinkratik dan tidak ortodoks, namun beliau patut dihormati kerana “cuba mentafsir al-Qur’an yang pelbagai makna dengan kefahamannya tersendiri.” Bagi Pickthall, Nash mengingatkan kita bahawa khutbah-khutbahnya di Masjid Woking merupakan kesinambungan daripada kerja Arthur Quilliam sebelum ini di Liverpool. Quilliam berusaha untuk menyampaikan Islam dengan cara yang munasabah kepada masyarakat Inggeris. Dalam jurnalnya, The Crescent, beliau menyelitkan artikel-artikel keagamaan dengan artikel-artikel mengenai sains pembangunan, dan membincangkan pengharaman Muslim terhadap alkohol dari segi Gerakan Kesederhanaan.

Sewaktu Marmaduke dan Yusuf masih muda, pada tahun 1890-an, terdapat suatu tradisi perdebatan yang rencam sepanjang abad ke-19 mengenai keperluan untuk mereformasi Islam, sama ada untuk menjadikannya sesuai dengan pembangunan kuasa dan keunggulan teknologi Barat, ataupun untuk memurnikan Islam dengan kembali kepada suasana zaman Nabi dan para Sahabatnya.

Terdapat beberapa penyelesaian yang diperhujahkan: konsep pan-Islamisme, pengembalian semula kewibawaan Khalifah, nasionalisme Arab, Islam yang lebih fundamentalis, menggunakan sistem perundangan dan pendidikan Barat, dan pemberontakan. Perdebatan tersebut berlaku di banyak negara: Algeria, Tunisia, Mesir, Lubnan, Arab, dan Empayar Uthmaniyyah sendiri. Pernyataan masalah dan cadangan-cadangan penyelesaian yang dikemukakan memiliki tiga kecenderungan utama.

Pertama: Islam berada dalam bahaya disebabkan kemerosotannya sebagai sebuah tamadun dan perlu menerima penguasaan Barat serta menggunakan kod perundangan dan teknologinya – untuk menjadikan kerajaan sekular – dan berusaha ke arah kenegaraan Islam secara individu bagi entiti-entiti geografi, jika perlu, dengan bekerjasama bersama penjajah Eropah.

Kedua: Islam adalah rasional, demokratis, dan boleh membentuk asas kerajaan yang berkesan (tinggal sahaja ianya perlu diubah suai). Para penjajah boleh mengajarkan kita pelbagai perkara berguna, namun mereka juga adalah berbahaya dan mesti ditentang kerana mereka akan melemahkan moral dan cara hidup spiritual kita. Persoalannya adalah, aspek Barat yang manakah kita akan tolak dan terima.

Ketiga: Satu-satunya asas untuk masyarakat Muslim dan kesejahteraan manusia umum ialah al-Qur’an, dan as-Sunnah daripada perbuatan dan perkataan Nabi. Dengan terlalu banyak perhubungan dengan Barat, terlalu banyak kepercayaan masyarakat Islam yang menyeleweng, dan terlalu sedikit perhatian diberikan terhadap teras agama kita, maka Islam secara berbahaya telah hanyut daripada akarnya. Kita mesti kembali kepada kesucian umat Islam yang terawal jika kita berharap untuk memperbaiki nasib kita.

Imaginasi tidak banyak diperlukan untuk melihat dalam pendirian ini bagi ciri-ciri tipikal yang muncul di dunia kita sekarang. Kenegaraan, orientasi keagamaan, penentangan terhadap pencerobohan: ianya adalah tekanan-tekanan yang masih wujud pada hari ini, serta kehidupan Pickthall dan Ali menggambarkan perjuangan konseptual di antara idea-idea Timur dan Barat; Dunia Pertama dan Dunia Ketiga; sekularisme dan teokrasi. Para penterjemah tidak memainkan peranan besar dalam perdebatan ini, namun projek politik utama yang mereka dokong – Pickthall, sebuah Empayar Uthmaniyyah yang diperbaharui; Ali, sebuah India yang diperintah oleh British – telah ditakdirkan punah oleh sejarah. Kekuasaan British India dan Kekuasaan Uthmaniyyah telah tiada, namun bentuk geopolitik negara pernah dan masih dipengaruhi oleh penjajah.

Terjemahan al-Qur’an oleh Pickthall dan Ali yang diterbitkan pada tahun 1930-an telah mendapat sanjungan yang meluas, hasil kerja yang panjang dan tertumpu, di mana Pickthall menghabiskan cutinya selama dua tahun yang diberikan oleh Nizam Hyderabad, dan Ali menyiapkannya sewaktu pelayaran kapal wapnya yang kerap. Kerja mereka tidaklah berlangsung tanpa sebarang kritikan. Ia tidak mungkin tidak boleh dikritik. Al-Qur’an yang terdiri daripada 114 surah dan lebih daripada 250 ayat panjang merupakan teks yang sukar untuk diterjemah. Al-Qur’an menggunakan bahasa Arab klasik, fus’hah, iaitu sebuah bahasa yang tidak memiliki sebarang persamaan sama sekali dengan bahasa Inggeris, sama ada dari segi perbendaharaan kata, sintaksis, mahupun ortografi. Hampir setiap hari ada makalah baharu yang dimuat naik di Academia.com yang menganalisis dan mengkritik beberapa aspek terjemahan mereka. Namun kritikan merupakan bentuk sanjungan kesusasteraan yang paling tulus.

Mereka juga menghadapi beberapa tentangan apabila terjemahan disiapkan pada tahun 1930-an. Pickthall ditentang oleh para ulama daripada masjid Al-Azhar di Kaherah, manakala Ali dibantah oleh sasterawan India Muslim yang menganggap terjemahannya penuh dengan kesilapan kerana pengetahuannya yang tidak sempurna mengenai ilmu-ilmu berkaitan bahasa Arab.

Cara mereka menguruskan kritikan-kritikan ini memberi suatu petanda tentang keperibadian mereka. Pickthall mengembara ke Mesir untuk melobi para alim ulama di Universiti Al-Azhar bagi mendapatkan persetujuan mereka dengan mengeksploitasi perbezaan pendapat dalam kalangan ahli lembaga universiti; separuh daripada mereka beranggapan bahawa terjemahan al-Qur’an adalah satu keperluan, manakala separuh lagi menganggapnya sebagai mustahil dan bahkan suatu penghinaan terhadap agama. Apabila diberitahu bahawa beliau mesti mendapatkan fatwa untuk meluluskan kerjanya itu, Pickthall hanya berkata bahawa beliau sudah memiliki fatwa tersebut daripada seorang imam di India. Hal ini menggambarkan bahawa Pickthall merupakan seorang ahli taktik mahir yang mencari sekutu bagi ke mana-mana sahaja beliau pergi.

Sebaliknya, Yusuf Ali tidak mahu terjemahannya itu diluluskan oleh para ulama Muslim Arab. Responnya terhadap kritikan-kritikan mengenai bahasa Arabnya itu berbau defensif yang kelihatan tercalar yang setelah berdekad-dekad diraikan di tiga benua, tidak banyak yang dapat mengurangkannya: “Saya tidak menyangka bahawa begitu banyak kecemburuan manusia, salah faham dan kekeliruan menyakitkan yang harus dilalui oleh seseorang yang tidak mencari keuntungan duniawi dan berlagak seakan tiada memiliki kewibawaan dogmatik.” Mungkin inilah sebabnya apabila Pickthall menterjemahkan frasa al-Qur’an sebagai “dendam”, Ali pula menterjemah frasa yang sama sebagai “rasa kecederaan yang tersembunyi”.

Pengetahuan mereka tentang bahasa Arab mungkin tidak sempurna ataupun fasih, tetapi Ali belajar bahasa Arab daripada bapanya semenjak kecil, dan Pickthall pada usia 19 tahun telah menyampaikan khutbah dalam bahasa Arab di Masjid Woking. Kedua-duanya telah menulis secara meluas dan mendalam dalam banyak subjek Muslim sepanjang kerjaya mereka yang memaparkan keterdedahan mereka terhadap banyak aspek kesarjanaan Islam terdahulu yang mengagumkan.

Penulis biografi Pickthall, Dr Peter Clark berkata bahawa, Pickthall merupakan seorang autodidak yang belajar sendiri tentang bahasa Arab, dan “beliau memakai topeng keangkuhan pada waktu tertentu, ekspresi luaran yang kurang yakin dengan diri, dan tidak mempunyai guru ataupun mentor”. Pickthall menguasai bahasa Arab dengan baik. Dalam biografi Pickthall yang lain, Loyal Enemy, yang ditulis oleh Anne Fremantle, beliau memetik daripada surat Pickthall, “pengetahuan bahasa Arab saya adalah lebih baik daripada para ulama Muslim.”

Pickthall tidak berusaha untuk menulis sebuah tafsir al-Qur’an, dengan membataskan dirinya menulis sebuah esei pengenalan tentang kehidupan Nabi, tetapi Peter Clark memanggil eseinya sebagai, “The Cultural Side of Islam“, yang diterbitkan dalam Islamic Culture pada tahun 1927, di mana esei tersebut merupakan sebuah kenyataan yang fasih dan jelas mengenai Islam liberal. Bagi Pickthall, Islam adalah berdasarkan akal, dan beliau memetik sebuah hadith di mana Nabi Muhammad bersabda (atau dikatakan telah bersabda): “Yang pertama diciptakan adalah akal”. Baginya, Islam adalah sentiasa malar segar dan lebih daripada cabaran zaman – bahkan beliau memuji “kemodenan al-Qur’an dan banyak ajaran Nabi yang mengagumkan – tetapi beliau menekankan bahawa “pada akhirnya adalah penting untuk membezakan antara tubuh ajaran Islam dan cerita dongeng yang telah dilemparkan sebagai sebuah pakaian yang berfesyenkan antik”. Tambahan pula, Islam adalah bersifat optimistik, tidak fatalistik, dan menggalakkan manusia berusaha ke arah pembaikan diri. Beliau mengimbau Damsyik, Aleppo, dan Baitulmaqdis pada tahun 1890-an dan menulis, “Apa yang mengejutkan saya, meskipun ia rosak dan miskin, namun ia adalah kegembiraan bagi kehidupan tersebut berbanding dengan apa-apa yang saya lihat di Eropah.” Beliau menawarkan Islam sebagai alternatif kepada “Komunisme, Sosialisme, Bolshevisme, dan semua isme yang lain.”

Yusuf Ali menuliskan beberapa catatan yang serupa dalam “The Religious Polity of Islam” yang ditulisnya dalam jurnal yang sama. Tapi baginya, Islam sebagai penanda kepada kemajuan yang lebih besar, tetai bukanlah benar selama-lamanya. “Nabi menunjukkan jalan negara yang tidak berpuak-puak, tidak bersifat sakral, dan tidak autokratik”. Ali, seperti Pickthall, melihat Islam sebagai berakar umbi dalam kehidupan seharian yang praktikal, yang menunjukkan bahawa Muhammad “sentiasa mengikuti ajaran dengan teladan”, namun pergi lebih lebih jauh berbanding Pickthall dalam mencirikannya sebagai “agama awam”. Beliau berpendapat bahawa salah satu daripada punca kemerosotan Islam adalah kerana ia “ditunggangi para ulama”. Beliau juga percaya bahawa Islam adalah tidak bertentangan dengan penggunaan kod-kod perundangan daripada negara-negara Eropah.

Walaupun penekanan mereka berbeza, namun kedua-duanya memaparkan sebuah Islam yang moderat dan toleran sebagai peluang politik dan sosial untuk berdaya maju bagi dunia moden. Nash menyebutkan perkara ini sebagai “sebuah kemodenan di mana Islam bukan sahaja bersesuaian, malahan boleh memimpin”.

Kita mengetahui tentang pemikiran Yusuf Ali mengenai al-Qur’an dengan lebih lanjut berbanding Pickthall disebabkan tafsiran Ali diterbitkan bersama terjemahannya. Ali sering cenderung untuk membuang tafsiran yang berlebihan dan bernada mistik. Seperti kata seorang ulama al-Qur’an, Dr. Abdurahim Kidwai, “Walau bagaimanapun, kelihatan beberapa catatannya tentang syurga, neraka, dan malaikat mencerminkan tasawufnya dan terlalu menekankan terhadap perkara-perkara spiritual, serta bercampur-baur dengan semangat pseudo-rasionalis pada zamannya”. Bahkan, Ali percaya bahawa al-Qur’an merupakan ekspresi bagi kebenaran sejagat kepada semua agama yang hanya dapat dihayati oleh orang-orang yang teruji seperti dirinya. “Pada pandangan saya, agama bagi semua orang yang berfikir adalah sama, meskipun betapa berbezanya pada falsafah yang digunakan untuk menjelaskan naluri spiritual mereka, ataupun acuan yang mereka letakkan harapan spiritual mereka”. Beliau memberikan gambaran yang memihak kepada sebuah spiritualiti universalis sintetik, seorang Esperanto yang beragama, yang serupa – mungkin – kepada Teosofi.

Al-Qur’an sendiri menyatakan bahawa ia mengandungi ayat-ayat dalam makna muhkamat (literal) dan mutasyabihat (metafora), namun “hanya Allah mengetahui makna bagi ayat-ayat mutasyabihat“. Dalam tafsirnya, Ali melayari semua itu dan menulis esei yang menyeluruh mengenai makna kiasan bagi cerita Yusuf dan Zulikha (isteri firaun): sebuah khutbah tentang cinta spiritual yang bersifat platonik yang muncul selepas api keghairahan dipadamkan. Apabila menterjemah ayat daripada Surah Al-Fajr  sebagai “dengan selang-seli antara genap dan ganjil”, iaitu salah satu daripada siri pasangan yang bertentangan, Ali mengulas secara kiasan, “Kedua-dua perkara yang abstrak dan konkrit sering difahami secara bersenjangan daripada perkara yang berlawanan dengannya. Dari segi spiritual, kenapa kita tidak memahami kehidupan kita secara lebih baik dengan merujuk kepada Hari Akhirat?”

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022