PEMIKIRAN ZA‘BA DAN KESANNYA KEPADA KEBANGKITAN PERJUANGAN NASIONALISME MELAYU
January 11, 2021

Ahmad Nabil Amir & Tasnim Abdul Rahman || 11 Januari 2021

 


Abstrak

Makalah ini cuba membincangkan pemikiran dan penulisan-penulisan Pendeta Za‘ba (16 Sept 1895- 23 Ogos 1973) yang berpengaruh yang ditinggalkannya dari warisan pemikiran dan bekas-bekas perjuangan intelektualnya yang bersejarah. Hal ini diangkat dan dirumuskan dari pergerakan dan usaha-usahanya dalam mengangkat darjat dan harakat bangsa Melayu. Makalah ini bersifat deskriptif, analitis dan historis. Ia meninjau legasi dan warisan intelektual yang ditinggalkan Za‘ba dan menggarap aspirasi perjuangan dan keyakinan intelek yang tinggi yang dibawanya dan paham-paham pembaharuan yang berpengaruh yang dimanfaatkannya untuk mengangkat dan membangkitkan kesedaran orang-orang Melayu. Kajian merumuskan bahawa daripada kecekalan dan kesungguhannya, ia berhasil menggembling harakat perubahan dan ijtihad dan meniupkan kesedaran nasionalisme di kalangan bangsa Melayu.

Kata kunci: Za‘ba, Orang Melayu, Kemiskinan, Kebangsaan


 

Pendahuluan

Tulisan ini menelusuri idea-idea dan penulisan Pendeta Za‘ba (16 Sept 1895-23 Ogos 1973) yang berpengaruh yang ditinggalkannya dari warisan pemikiran dan bekas-bekas perjuangan intelektualnya yang bersejarah dalam usahanya mengangkat darjat dan harakat bangsa. Hal ini ditinjau daripada legasi dan keyakinan intelek yang tinggi yang dibawanya dan faham-faham pembaharuan yang berpengaruh yang dimanfaatkannya untuk mengangkat dan membangkitkan kesedaran dan menggembleng harakat perubahan dan ijtihad. Kesedaran ini dibawakan dalam banyak penulisan dan makalah yang dikarangnya seperti Jalan Keselamatan Bagi Orang-Orang Melayu yang berusaha membangkitkan kesedaran dan aspirasi penting dalam perjuangan orang Melayu untuk mencapai kemajuan. Menurutnya, orang Melayu ini telah lama dijajah dan dikikis habis hasil mahsulnya oleh bangsa penjajah, dan pemerasan selama beratus tahun itu bertanggungjawab atas nasib buruknya yang terpuruk dalam kemiskinan, yang meranapkan segala kebaikan maslahatnya yang membawa pada cemuh dan lesu pada segenap seginya. Kemiskinannya ini tidak hanya dipandang Za‘ba pada kekurangannya pada wang ringgit dan harta benda, malah ia juga telah sangat ketinggalan dan miskin pada akal budi, pengetahuan dan pelajaran yang asas, nilai-nilai pemikiran dan sifat-sifat keperangaian yang mulia, sehingga ia tertinggal jauh daripada pencapaian bangsa-bangsa yang besar.

Kerana kebodohan dan kemiskinan akal budi ini juga orang Melayu bersikap pesimis dan mulai berserah dan bertaqlid buta sahaja, bergantung pada usaha orang lain, tanpa daya juang dan keyakinan atas ikhtiar yang dituntut agama untuk merubah dan menentukan nasibnya sendiri. Kejahilan yang parah ini telah membawa pada kepercayaan yang tidak-tidak, pada amalan-amalan syirik, dan bacaan Qul Huwallah dan doa-doa dan sedekah tahlil sebagai penebus dosa ketika mati kelak. Tegas Za‘ba, nilai agama dan kekuatan ajarannya terletak pada dorongan dan keyakinan yang diilhamkannya, bersendiri pada amalan dan perbuatan yang dikerjakan sendiri. Tuhan tidak pernah menyuruh kita berserah buta mengharapkan pemberian sedekah dan fidyah, mengemis dan mengharap usaha yang dibanting orang lain. Segala pekerjaan ibadat itu harus dikerjakan sendiri, yang diwajibkan atas setiap orang, tanpa boleh diwakilkan pada orang lain.

Dalam mengungkapkan pemikirannya, ia sangat keras menentang kebodohan dan memperlihatkan ketegasan yang bukan main dalam kritikannya terhadap kenaifan dan kebodohan nasib pengikut-pengikut fikiran-fikiran lapuk. Ia menganggap orang-orang Melayu ini, dari satu keturunan kepada satu keturunan, mewarisi sikap dan pemikiran yang sama. Orang-orang alimnya, mahupun orang-orang jahilnya sama saja, hidup sebagai katak di bawah tempurung. Orang-orang alimnya hanya tahu kulit-kulit agama, tidak pernah terbayang adanya ilmu-ilmu pengetahuan yang lebih luas daripada yang telah diketahui sedikit-sedikit itu, sedang pengikut-pengikutnya yang jahil menyangka tuan-tuan guru mereka adalah alim-alim besar belaka, tiada lagi orang-orang lain yang lebih alim daripada tuan-tuan syeikh dan guru-guru tarekat mereka yang keramat itu.

Tantangan terhadap kebobrokan ini sebagai diungkapkan oleh Hamka dalam perbahasannya yang mendalam tentang faham dan kepercayaan lapuk yang di bantah akal, yang ditekankan dalam bukunya Membahas Kemusykilan Agama: “kerana pada zaman yang sudah-sudah orang hanya diwajibkan taqlid (menurut sahaja), dengan tidak boleh mempergunakan akalnya, sehingga kepercayaan agama telah dicampur adukkan dengan dongeng dan ketololan.”

Rumusan Hamka tentang sikap berserah buta dan bertaqlid tanpa soal dan kepercayaan- kepercayaan yang bebal dan tolol ini turut diperkukuhkan oleh Za‘ba, yang menguraikannya dalam konteks zamannya, yang jauh lebih terpuruk: “maka sebandinglah mereka dengan katak kolam yang tiada pernah melihat laut dalam cerita perumpamaan itu, iaitu beberapa pun dinyatakan dan diceritakan kepadanya oleh katak laut peri kebesaran dan keluasan laut maka dibandingkannya dengan kolam kecil tempat ia tinggal itu juga!”

 

Pemikiran Za‘ba

Pemikiran Za‘ba yang tinggi dan luar biasa telah mendapat pengiktirafan yang meluas dari sarjana- sarjana besar dunia. Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Malaya ketiga di Johor Bahru pada 16-21 September 1956, beliau telah dianugerahkan gelaran pendeta oleh pejuang-pejuangnya. Kongres yang dirancang oleh Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS ’50) itu memberinya anugerah berupa songkok, yang disampaikan oleh Cikgu Muhammad Noor bin Ahmad, Naib Pengerusi Kongres, yang memasyhurkan perisytiharan anugerah pendeta yang bermakna itu. Dalam melakarkan penghargaan ini, Usman Awang telah diminta untuk mendrafkan kata-kata penghargaan terhadap Za‘ba, “yang akan dianugerahkan gelaran ‘Pendeta’, kerana gelaran itu dicipta untuk memberikan pengiktirafan konkrit kepada pejuang bahasa dan sumbangan mereka yang juga menjadi lambang dari perjuangan Bahasa dan Persuratan Melayu di Tanah Air kita yang amat kita junjung tinggi ini.” (Muhammad Haji Salleh, 2017, 109)

Ungkapan yang puitis yang dilakar Usman Awang itu melafazkan:

“Di antara deruan angin selat Melaka, di antara kocakan ombak dan air yang memisahkan dengan kepulauan Indonesia, maka dengan ini Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Malaya menganugerahkan kehormatan dengan meletakkan lambang dan tonggak Bahasa dan Kesusasteraan Melayu kepada Tuan Haji Zainal Abidin Ahmad (Za‘ba).”

(Utusan Melayu, 22.9.1956)

Tetapi ini tidak diharapkan oleh Za‘ba yang tidak memandang keperluan pada gelar pangkat dan gembar gembur, kerana memandang kerja-kerja politik dan gembar gembur sepertinya tak dapat dipertanggungjawabkan untuk membina bangsa yang besar. Hal ini dibayangkan dalam suratnya kepada O.T. Dussek bertarikh 20.10.1936, yang menegaskan:

The Johor Society of Malay literature wished to acknowledge my help in this Dictionary of theirs by conferring on me the ‘title’ of Pendeta Bahasa Johor; but I politely and tactfully declined it, as I am not out for such petty ‘titles’ and ‘honours’. The glitters of ephemeral greatness and honour never appeals to me.”

(Adnan Haji Nawang, 1994, 147).

Menurutnya, tanggungjawab yang dipikulnya dalam mengangkat harakat dan darjat bahasa tidak memerlukan bintang penghargaan dan gembar gembur dan membuat heboh kerana keyakinannya bahawa kesan yang lebih berpanjangan adalah perjuangan seseorang dalam mempengaruhi pemikiran yang menentukan masa depan bangsa dan kemanusiaan:

“To me a man’s value is only estimated by grandeur of his ideas dan his achievements as influencing the thought and destinies of mankind for good, not by the grandeur of his ‘titles’ or by his own estimate of himself. The kind of greatness that, I always admire is that of the enduring and imperishable type, undetectable from its owner even by his death.”

Menurut Za‘ba, tanggungjawab memajukan dan mengangkat darjat bahasa dan pengembangannya jauh lebih mendesak daripada gembar gembur yang menjadi permainan dan percaturan politik pihak yang berkepentingan, dan merupakan tinggalan adat feudal yang lapuk. Pandangan ini dilahirkannya dalam suratnya bertarikh 8.9.1958 kepada Muhammad Noor bin Ahmad (yang bertanggungjawab menyuntingkan gelar pendeta itu):

“Adat mengurniakan bintang dan gelar itu adalah adat feudal dan simbol penjajah yang tidak sayugia dikekalkan; dan memakai gelar dan bintang itu pada perasaan ayahanda ialah seperti burung kesayangan memakai kalong emas yang diberi oleh tuannya…walau bergelar walau tidak ayahanda begini juga. Kalau dikatakan yang memberinya itu rakyat, ayahanda pun rakyat juga, dan tidak ingin jadi lain daripada itu.” (Adnan Haji Nawang, 1994, 170).

Kerana beliau memandang tidaklah sayugia sekadar bermegah dengan pangkat, kerana yang dipentingkan bukanlah meraih barang yang rendah, dan gembar gembur yang tak berfaedah, sebaliknya keasyikan pada sesuatu yang menjadi sebutan yang berkekalan, yang terhasil daripada perjuangan dan kekuatan pemikiran-pemikiran dan penghasilan-penghasilan yang dikerjakan diam-diam, yang lebih layak dan berguna. Hal ini dijelaskan oleh Za‘ba kepada Muhammad Noor bin Ahmad, pada akhir tahun 1958, setelah beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Tetap Kongres (LTK):

“…hati ayahanda tidak sekali-kali tertarik kepadanya dan kekuatan ayahanda tidak cukup hendak mengerjakan tugas-tugasnya. Kalau tertonggok jadi pengerusi sahaja tetapi tidak bekerja maka sangatlah ayahanda malu. Istimewa pula jika tidak menghasilkan buah-buah yang ayahanda inginkan, hanya bermesyuarat, bercakap, membuat heboh berjumpa menteri ke sana ke mari, dan mengeluarkan kenyataan dalam suratkhabar! Apa lagilah kalau kerja-kerja yang dijalankan atas nama ayahanda itu perkara yang ayahanda sendiri tiada bersetuju. Umpamanya ayahanda tidak suka sangat- sangat jikalau ayahanda hendak digunakan orang sebagai alat politik – untuk ‘memperjuangkan’ itu dan ini. Ayahanda lebih suka bekerja diam-diam daripada bercakap dan membuat heboh atau bermegah-megah pada hal kosong dan tak sampai ke mana.”

Pada tahun 1947, dalam usia 52 tahun, Za‘ba melanjutkan pengajiannya ke University of London dan mengajar bahasa Melayu di Sekolah Kajian Ketimuran dan Afrika [SOAS] kepada bakal penjabat Inggeris di Tanah Melayu. Beliau menduduki peperiksaan diploma Bahasa Arab klasik pada tahun 1949 dan lulus. Setelah pulang beliau dilantik sebagai pensyarah kanan, sekali gus memegang kedudukan ketua jabatan di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya, Singapura yang disandangnya sebagai yang pertama ditunjuk ke jabatan itu dari bulan April 1953 sehingga Januari 1959, dan berkesempatan membentuk persekutuan bahasa Melayu pada 29 Januari 1955 – yang dirancang bersama Profesor Diraja Ungku Aziz. Pencapaian ini sangat dibanggakan sebagai anak Melayu pertama yang memangku jabatan penting yang mengkaji dasar bahasa dan sastera mereka sendiri. Kenyataan ini sebagai disoroti oleh Muhammad Haji Salleh, yang mengupas pengalaman dan pencapaian yang signifikan yang diraihnya ini:

“Pada waktu ini, Za‘ba ialah Ketua Jabatan Pengajian Melayu, pensyarah tempatan yang pertama memegang jawatan itu, yang baru pulang dari England pada tahun 1953. Apabila beliau diangkat maka rasanya seperti terselamat maruah orang Melayu. Sekarang, sekurang-kurangnya anak Melayu mengetuai jabatan yang mengkaji bahasa dan sastera mereka sendiri. ‘Kita sampai setingkat lagi dalam proses mencari diri dan mengembalikan harga diri’, kata Usman. Za‘ba masih agak muda pada waktu beliau dilantik sebagai ketua. Beliau pendek dan gemuk, dengan kaca mata berbingkai bulat. Tetapi apabila beliau bersyarah maka disulamnya dengan kelakar, dengan salutan telor Negeri Sembilan. Walaupun ada unsur seksual tetapi nuansanya dijalin dengan agak halus. Dalam kelakarnya itu Za‘ba membawa semangat nasionalis, yang memperjuangkan bangsa dan jati diri.”

Dalam membangunkan kekuatan intelek, tulisan-tulisannya cuba menghimbau fikiran-fikiran kritis yang berpengaruh terhadap daya pemikiran dan pengembangan tradisi aqliah dan pencerahan dan menolak taqlid buta yang sembarangan. Hal ini banyak diangkat dalam karyanya Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Menurutnya pada zaman-zaman terakhir Islam ini, kira-kira akhir abad ke 18 dan 19, kekuatan semangat kesendirian dan ijtihad dalam tradisi aqliah sudah hampir hilang dan melenyap dan umat hanya bersandar pada teks yang dikarang ulama-ulama terdahulu. Perbahasan-perbahasan yang bersendiri tentang fiqh dan hukum hakam syariat yang dipelopori ahli- ahli mazhab sudah pudar, hanya memakai ijtihad dan kesimpulan pendahulu-pendahulu, dan kebanyakannya dan di mana-mana orang-orang hanya bertaqlid buta pada pendapat-pendapat lama. Hal ini dipersulit oleh sikap reaksioner golongan tua, yang mengongkong dan menentang sebarang pemikiran baru yang hendak mencabar dan mengganggu gugat keputusan-keputusan dan fatwa-fatwa fiqh yang tertua yang dianggap putus. Orang yang berani mencabar dan membantah penafsiran- penafsiran lama dianggap penyesat. Yang sebetulnya menurut Za‘ba fikirannya sudah jumud, dan terlempar dari semangat al-Qur’an dan hadith yang asal:

“Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat.”

Perbahasan yang krusial yang dilontarkannya cuba mengetengahkan pandangan rasional dan mengajukan nilai-nilai pembaharuan yang mengesankan dalam sejarah dan tradisi intelek. Usaha yang signifikan untuk memaknai dan menggembleng idea-idea yang bermakna dalam tradisi pemikiran yang moden. Ia bermaksud hendak membuka pandangan dan ufuk pemikiran terhadap nilai-nilai yang segar dan mengetengahkan fikiran-fikiran baru yang hidup yang dapat dibuktikan kebenarannya secara empirikal mengikut ujian aqliah dan ilmu pengetahuan yang sebenar. Tulisannya tuntas menolak cara lama yang kolot dan fikiran-fikiran yang membatu dan jumud yang berpaut pada kepercayaan-kepercayaan lama yang usang yang tidak dapat dipertahankan oleh akal dan penyelidikan yang saksama.

Ia menzahirkan tekad dan kesedaran terhadap perjuangan hendak membebaskan umat daripada kepincangan dan ketertindasan dan daripada terpuruk dalam kedaifan dan kemiskinan yang parah. Dalam menzahirkan aspirasi ini, ia mengajak kita mempertimbangkan dengan akal fikiran yang sihat pendapat-pendapat nenek moyang dan jalan-jalan orang-orang dahulu yang berlawanan dengan pertimbangan-pertimbangan aqliah yang sebenar. Tuhan sendiri mencela kita mengikut membuta tuli dan serampangan pendapat-pendapat dengan tidak diperhalusi betul-betul menurut neraca akal. Tuhan mencela keras kita mengikut-ikut kebiasaan-kebiasaan yang dibuat-buat tanpa dasar dan landasan fikiran yang sebenar, yang menuntut pertimbangan dan penilikan dengan pengetahuan yang hakiki terhadap keabsahan dan kesahihannya.

Dalam mengungkapkan keperluan bangsa bersaing dengan kemajuan dunia moden, Za‘ba merumuskan aspirasi penting terhadap keupayaan pendidikan kelas dunia, dalam usaha mengejar kepantasan perubahan dan ketangkasan sejagat. Kepentingan mempelajari dan mencapai kemajuan setanding dengan bangsa-bangsa yang maju dalam merempuh cabaran dan bangkit dari keterbelakangan dan keterpurukan dalam mengejar perubahan yang pantas. Keadaan kita yang tersangkut dari arus moden dan keterbelakangan dari pelajaran kelas dunia ini dihuraikannya dengan berkesan:

“Adapun pelajaran yang betul banyaknya cukup sukatannya itu pula bagi masa kita sekarang ini ialah kadar sebanyak yang melayakkan orang yang berpelajaran itu berdiri sama-sama bersaing pada nisbah otak dan kawasan pengetahuan dengan orang-orang yang terpelajar di negeri Barat dan pada nisbah hal yang lain-lain layak bersaing dan setanding tiada kurang dengan orang baik-baik di dalam dunia dengan barang mana jua kaum.”

Beberapa tema terkait dengan nilai kemerdekaan dan pembebasan yang dibawakannya memperlihatkan kekentalan dan keghairahannya dalam memperjuangkan dan mempertahankan identiti bangsa dan membela nasib bangsa Melayu yang buruk dan pincang kerana ditekan dan diperas oleh kaum penjajah dan pemerintah. Kesan-kesan ini sebagaimana diungkapkan dalam makalahnya “Kemiskinan orang Melayu” (al-Ikhwan, 1927), yang menzahirkan penyesalannya atas nasib bangsa Melayu ini yang beratus-ratus tahun telah kena picit dan peras oleh penjajah Inggeris dan diteruskan pula oleh pemerintah dari bangsa mereka sendiri yang memunggah hasil mahsulnya dan memerah keringatnya dan memperkecil-kecilkan nilainya sebagai bangsa yang bermaruah.

Pandangan-pandangan yang penting yang dirumuskan dalam tulisannya menyingkapkan idealisme kebebasan dan cita-cita perubahan yang mendalam yang menekankan kekuatan daya juang dan pemulihan kekuatan aqliah dan ijtihad sebagai diilhamkan dalam al-Qur’an dan berkembang dalam tradisi Islam:

Segala seruan dan ajaran di dalam Qur’an adalah dihadapkan Tuhan kepada manusia dari pintu akalnya dan pengenalan mata hatinya. Tuhan sentiasa menyuruh kita menggunakan akal dan timbangan kita sendiri dan di dalam Qur’an kita dapati berulang-ulang pada beberapa banyak tempat perkataan-perkataan seperti Afala Ta‘qilun dan Afala Tatafakkarun ertinya, “Tidakkah kamu menjalankan akal! Tidakkah kamu menimbang dengan fikiran kamu sendiri?”

Dalam mengajarkan filsafat kemerdekaan dan pembaharuan, Za‘ba sering menekankan kekuatan dan kepentingan bahasa dan kedudukannya yang penting dalam membangun budaya dan memperjuangkan kepentingan bangsa, sebagai dilontarkan dalam Pelita Bahasa Melayu Penggal III. Dalam pengantar kitab ini, beliau menzahirkan harapannya kiranya karangannya ini dapat menghidupkan dan mengilhamkan kecintaan yang mendalam pada bahasa di kalangan anak-anak Melayu dan dapat menghargai dan merasai keindahan dan kelebihannya yang tersendiri. Pelajaran bahasa ini dipandang tinggi olehnya, yang telah menghabiskan kudratnya untuk mempertahan dan memajukan harakat dan pemahamannya di kalangan bangsa, di mana bahasa Melayu inilah yang menjadi penyantun cita-cita bangsa yang harus diangkat dan dimartabatkan sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi pemerintahan dalam negeri ini.

Ia menekankan kecintaan yang tinggi terhadap bahasa dengan latihan kepengarangan yang digaris bawahi dengan tuntas, sebagaimana terungkap dalam Pelita Bahasa Melayu Penggal III:

“mudah-mudahan dapat-lah kitab ini jadi suatu panduan kepada anak-anak sekolah dan “pemuda-pemudi” Melayu berlatih mengarang dengan betul dan elok dalam bahasa mereka sendiri, sa-hingga cukup tahu akan salah betul sa-suatu ayat, terang atau tiada terang-nya, dan sedap atau tiada sedap-nya sa-suatu karangan itu”.

Pemikiran kritis yang dibawanya ini menjadi titik tolak yang penting yang cuba ditegakkan dalam penulisannya yang berusaha mengajak kepada pengerahan aqliah dan pencarian intelektual yang   kritis   seperti   tercatat   dalam   pengenalan   bukunya   Chanai   Bachaan   (1924:   iv).    Ia menghuraikannya sebagai karya penulisan yang menghimpunkan cerita-cerita klasik dari hikayat-hikayat Melayu yang purbakala. Cerita-cerita pendek yang dicabut daripada hikayat-hikayat asalnya ini diberhentikan pada ketika sedap membacanya, bagi menggalakkan murid-murid untuk mencarinya sendiri dalam hikayatnya yang asal bagi melatihnya menghargai khazanah dan hikayat-hikayat lama dalam keasyikannya membaca karya-karya lama dan hikayat-hikayat yang panjang. Kitab Chanai Bachaan ini disusun oleh Za‘ba sebagai bahan bacaan murid-murid tahun empat di sekolah-sekolah Melayu yang diusahakannya sewaktu bekerja di pejabat karang mengarang di SITC. Beliau turut menghasilkan beberapa karya penting yang lain yang melakar pemahaman dan kesedaran baru dalam perbahasan nahu dan ejaan jawi dan latihan kepengarangan yang asas. Penghasilan yang signifikan dalam perkembangan pelajaran di Tanah Melayu sebelum merdeka, seperti dirumuskan dalam Ilmu Bahasa Melayu (1927), Ilmu Mengarang Melayu (1934), Rahsia Ejaan Jawi (1929), Bahasa Melayu: Kelebihan dan Kekurangannya (himpunan lapan buah makalahnya yang dikeluarkan dalam majalah Qalam, 1950-an, edisi Rumi diterbitkan pada 2013 oleh Akademi Jawi Malaysia), dan Pelita Bahasa Melayu, yang menampilkan pemikiran-pemikiran asas tentang pengetahuan bahasa, falsafah dan keindahan ilmu persuratan Melayu dan seni kepengarangannya. Karya-karya besar ini disusun sebagai teks latihan mengarang murid-murid peringkat tinggi di sekolah-sekolah Melayu dan pengajian tinggi di kolej-kolej perguruan. Antara buku-bukunya yang terakhir yang dikarangnya ialah Tawarikh Tanah Melayu (1961), dan Kalong Bunga I dan II.

 

Melayu Totok

Membayangkan dirinya sebagai Melayu totok, beliau berazam menegakkan kepercayaan dan keyakinan bangsanya terhadap nilai budaya dan peradabannya sendiri dan menyedarkan masyarakat bangsanya terhadap keperibadian Melayu yang sebenar dan ketinggian idealisme dan identiti bangsa yang berbudaya ini: “Penulis ini sendiri seorang Melayu, seorang Melayu yang penuh totok darah Melayunya, bukannya Melayu jawi pekan atau yang berdarah campur tetapi ialah Melayu kampung yang sejati hati asal Melayu…seorang yang telah melalui dan merasa segala pangkat-pangkat kehidupan yang biasa dirasa oleh orang-orang Melayu kampung yang tiada tahu menulis dan membaca dan tiada pernah merdeka daripada sengsara kepapaannya itu.”

Keyakinannya dalam mempertahankan idealisme dan menggerakkan harakat perjuangan bangsa ini telah memperluaskan pengaruhnya sebagai patriot dan pelopor perjuangannya yang kritis yang kental membela idealisme dan mempertahankan kemuliaan dan maruah bangsanya.

Kecekalannya mengusung ide-ide perubahan telah meninggalkan legasinya yang berpengaruh dalam menggerakkan kesedaran untuk membela dan memperbarui nasib bangsanya yang lemah dan terpuruk. Ia memberikan inspirasi baru dalam membangkitkan usaha untuk mempertahankan dan mengangkat maruah dan hak kedaulatan bangsa yang dirampas. Perjuangannya telah memberi kesannya dalam mengilhamkan perjuangan anak-anak melayu untuk menggembleng kemajuan dan mempertahankan aspirasi perjuangannya yang kental dalam menuntut perubahan dan ketinggian bangsanya.

 

Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri

Pada tahun 2009, DBP telah mengeluarkan bukunya yang disunting oleh Asmah Haji Omar – Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri – di mana Za‘ba mengungkapkan pandangannya yang kritis tentang sikap dan pandangan hidup orang Melayu yang agak sederhana dalam pencapaian hidup, kerana dibelenggu kelemahan dan kekurangan yang ketara dalam nilai keyakinan dan pergantungan kepada ikhtiar sendiri.

Kritikan dan pukulannya yang keras terhadap keteledoran dan kebangkrutan bangsanya menyebabkan buku ini tidak sampai diajukannya kepada mana-mana penerbitan. Usaha percetakan dan penerbitannya hanya diupayakan 8 tahun selepas pemergian Za‘ba, – pada tahun 1982. Ia diserahkan kepada DBP oleh warisnya, Zaharah Za‘ba (1920-1988) daripada khazanah penulisannya yang tersimpan dalam bentuk manuskrip.

Karangan ini dianggap sebagai penyambungan dari risalah pertamanya bertajuk Umbi Kemajuan atau Falsafah Takdir (1932). Risalah pertama ini telah diharamkan oleh Pemerintah Perak ketika itu dan ditentang hebat oleh golongan agama dan ulama-ulama tua yang lapuk dan reaksioner – menyebabkan risalah keduanya ini tidak diterbitkan – berikutan bantahan keras dan penentangan yang memuncak itu. Bukunya dikatakan disogok dengan pandangan agama yang kontroversial dan telah membangkitkan polemik yang sengit dengan tanggapan-tanggapannya yang sinis terhadap praktik ugama yang diwarisi turun temurun serta bertolak belakang dengan pandangan Islam yang konvensional dan normatif.

Edisi khas yang dikeluarkan pada tahun 2009 oleh pihak DBP ini disediakan dalam edisi Melayu rumi, dan jawi, serta Inggeris – bertajuk Habits of Self-Reliance (diterjemahkan oleh Wan Ahmad Hulaimi) – yang ditangani dan diselenggarakan oleh Prof Asmah Haji Omar. Prof Asmah telah memberikan pengenalan yang signifikan tentang latar penulisan dan tema-tema sejarah dan pemikiran yang diangkatnya dan kekuatan faham pembaharuan yang diilhamkan daripada karangan ini. Ia turut memuatkan pengantar yang ringkas yang ditulis oleh Datuk Haji Hassan Ahmad.

Buku ini terdiri daripada dua bahagian, Risalah kedua dan risalah ketiga yang masing- masing merangkumi empat bab. Risalah kedua dengan tajuk kepalanya “Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri” menerangkan bab-bab berikut: (1) Wajibnya bagi mendapat kejayaan (2) Kekurangan kita dalam sifat ini (3) Fikiran, kepercayaan dan pegangan agama (4) Bersendiri pada ilmu dan amalan. Risalah ketiga pula yang mengupas tentang kebajikan dan kejahatan dan asas-asas penghujahannya memuatkan bab-bab berikut: (1) Fahaman yang luas (2) Baik dan jahat tetap ada (3) Fahaman yang sempit (4) Kejatuhan umat Islam dan jalan kepulihannya.

Pada asasnya, buku ini membawa penghujahan al-Qur’an dan hadith yang menganjurkan kepada sikap berdikari (al-i‘timad ‘ala al-nafs) tanpa mengharapkan pertolongan orang lain. Hal ini ditakrifkannya sebagai bersendiri dalam menyempurnakan pekerjaan. Menurutnya, yang dikatakan pergantungan atas diri sendiri itu ialah kemandirian dan kesendirian dalam berbuat, dan kesanggupan untuk memikul sendiri beban tanggungjawab yang diakibatkan daripada perbuatannya. Pekerjaan yang dilakukan atas pertimbangan dan penilikan sendiri terhadap hal-hal yang bersangkut dengan pekerjaan itu, dan menanggung kesan-kesan buruk dan baiknya, tanpa bergantung manfaatnya dari orang lain.

 

Nilai Kemajuan

Nilai yang diperjuangkannya dalam buku ini adalah iltizam dan kepercayaan terhadap usaha sendiri. Pekerjaan yang dibanting dengan tenaga dan keringat sendiri, kekuatan himmah dan sikap pergantungan kepada diri inilah faktor penentu dalam mengangkat atau menjatuhkan nilai sesuatu bangsa, dan yang menginsafi bahawa kelemahan dan kenaifan peribadi itulah pokok puncanya yang mengakibatkan lemah dan jatuhnya sesuatu bangsa.

Kebergantungan kepada diri sendiri ini dirumuskan dari keinsafannya terhadap keunggulan dan ketinggian peradaban yang dicapai pada zaman awal dan pertengahan Islam, di mana semangat kesendirian ini menjadi sikap dan prasyarat pokoknya dalam pencapaian-pencapaian yang mengagumkan yang ditunjukkan oleh pelopor-pelopor Islam yang awal. Sikap bersendiri ini kini telah kering dan mereput, dan orang-orang alim Islam yang belakangan jaranglah punyai himmah yang tinggi dalam menyelidik sesuatu persoalan yang melayakkannya memakai fikiran sendiri dalam memutuskan persoalan, di mana kebanyakannya mengambil hukum hakam dengan hanya menurut- nurut saja perkataan orang-orang dahulu dan bertaklid pada fatwa para imam.

Kelemahan dan kemunduran fikiran inilah yang diselarnya dalam upaya mendobrak dan merobohkan benteng taqlid, yang mengikat kebebasan akal dan menyebabkan kebodohan dan ketertinggalan orang Melayu dan kemiskinannya yang mengharapkan fidyah dan syafaat penebus di akhirat, sedekah tahlil dan bacaan Qulhuwallah setelah mati. Sikap permisif (mengalah) dan menyerah kepada nasib tanpa ikhtiar dan daya juang inilah yang telah membelenggu pemikiran tanpa memahami maqasid sebenar daripada ibadah yang menyuruh bersendiri dalam penyempurnaannya, yang memberi nilai pada perbuatan dan pada ketinggian akal budi dan peri kemanusiaan yang sebenar. Ketundukan dan kepatuhan membuta tuli pada kebiasaan-kebiasaan yang teradat inilah “yang membawa tersimpang dari jalan yang betul” yang dianjurkan agama.

Sesungguhnya saranan-saranan yang konkrit yang diutarakan dalam buku Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri ini telah melantarkan asas penting bagi menegakkan perubahan budaya dan peradaban. Pencerahan aqliah yang meyakinkan yang menggaris-bawahi usaha pemberdayaannya dalam memperkukuh dan membina jati diri dan keyakinan dan membentuk ketinggian himmah dan sahsiahnya. Pemikiran yang radikal yang dibawanya ini berupaya membakar semangat dan menggilap daya juang dalam meninggikan harakat dan kemuliaannya dan mempesatkan kemajuan bagi orang Melayu.

 

Qada’ dan Qadar

Dalam perbahasannya seputar persoalan Qada’ dan Qadar dan kemusykilan-kemusykilan terkait perbahasan sifat dan perbuatan Tuhan (yang dipertentangkan oleh mazhab-mazhab kalam), Za‘ba cenderung kepada pendirian Muktazilah, atau yang dikenal ahl al-‘adl wa al-tawhid yang menegaskan prinsip kebebasan berkehendak (al-hurriyah dan al-ikhtiyar). Hal ini diperlihatkan dalam tulisan- tulisannya yang bernafaskan falsafah yang diterjemahkan daripada karya-karya Arab dan Inggeris, seumpama kitab Umbi Kemajuan atau Falsafah Takdir (Sukatan Azali) dalam Agama Islam (1932); dan Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba (yang diterjemahkan daripada kitab Arab Sharh ‘Aqa’id as-Safaraini, dan ditashih oleh Shaykh Tahir Jalaluddin, Jelutong Press, 1934) yang jelas menolak faham al-Jabariyah dan pegangan mazhab ahl al-sunnah wal-jamaah yang menyalahi iktikad Imam al-Asy‘ari dan bertentangan dengan faham Muktazilah yang bersendiri dalam masalah ini.

Menurut Za‘ba:

“Bahwa sesungguhnya segala keadaan yang demikian inilah yang telah menarik perhatian ahli “nasib” (Jabariyah) itu mengatakan bahwa tiap-tiap hal adalah karena terpaksa berlaku dengan tidak dapat disalahi atau dihindarkan lagi…Agama Islam mencibir pikiran yang bodoh dan palsu ini.”

Beliau turut menolak pendirian ahl al-sunnah dengan mempertikaikan:

“Nampak nyata dalam kitab ini, ada uraian-uraian yang tidak sependapat dengan pandangan al-Imam Abu Hasan al-Asy‘ari rahimahullah yang jadi pengasas mazhab Ahli Sunnah…masih banyak lagi perselisihan lain, dapat diperhatikan dalam isi kitab ini.” Ia tuntas mempertahankan prinsip asas bahawa pemahaman asas dari i‘tiqad taqdir yang sebenarnya ialah kebebasan ikhtiar manusia.” (Taqdir (sukatan Azali) dalam Ugama Islam, al-Ikhwan 1928, penggal 8, jilid 2, April 1928 – al-Ikhwan penggal 11, jilid 3, julai 1929).

Ketinggian pemikirannya telah meraih pengiktirafan yang tinggi dan mendapat penghormatan yang meluas daripada kaum cendekiawan dan sarjana dan orientalis Barat. Yang menzahirkan penghargaan atas ikhtiar dan kesungguhannya dalam menggembleng harakat perubahan dan mempelopori dan mempertahankan dasar bahasa dan meninggikan harakat bangsa dan perbaikan ekonominya sejak 1920-an. Antaranya yang diungkapkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (1976), “Ketahuilah bahawa sebelum pakar-pakar ekonomi muncul melaungkan peri kemiskinan orang Melayu, lama sebelum golongan-golongan sosialis memukul gendang anti-feudalisme, Za’ba yang bukan pakar ekonomi atau sosialis telah dengan beraninya mengulas, membidas dan menghuraikan punca-punca dan akar umbi masalah ini”.

Al-Attas melahirkan kekagumannya terhadap keberanian Za‘ba membidas sistem-sistem ekonomi dan sosial penjajah yang tempang dan analisis-analisisnya yang tajam yang menyerang kebobrokan dasar sosialis dan kapitalis dan kebijakan ekonominya yang menindas dan mengabaikan penderitaan dan kemiskinan orang Melayu. Ia turut menjelaskan usahanya dalam menggerakkan paham kebangsaan dan kepeloporannya dalam membangkitkan kesedaran dan menggembleng perjuangan nasionalisme: “Dialah pemukul rebana kalbu masyarakat kita dalam Dewan Persuratan dan nyaring debarannya masih terdengar ke hari ini.”

Hamka dalam tinjauannya turut menegaskan kekuatan pengaruh dan sumbangan penting Za‘ba yang krusial sebagai pelopor kesusasteraan Melayu, dengan menyatakan, “Za‘ba adalah derma termahal yang diberikan Islam ke dalam kesusasteraan Melayu moden. Za’ba adalah laksana jambatan yang menghubungkan antara perbendaharaan Melayu lama dengan perkembangan bahasa yang moden”.

Hamka turut menyingkapkan keluasan tinjauan Za‘ba tentang pemikiran sejarah dan kesulitan usaha yang ditempuhnya dalam penyelidikan bahan-bahan lama, yang diuraikan dalam bukunya Dari Perbendaharaan Lama, tatkala menyebut tentang pengembara Arab yang pertama:

“Akan tetapi, seorang ulama tua yang berminat besar kepada sejarah Islam di tanah air kita, Indonesia dan Semenanjung Tanah Melayu, yaitu Mufti Kerajaan Johor Said Alwi bin Taher al-Hadad, menganut pendapat bahwa sebelum zaman Khalifah Yazid bin Muawiyah, sudah pernah datang pengembara Islam, yaitu di zaman Khalifah Utsman bin Affan. Beliau menunjukkan nomor-nomor sumber buku bacaannya dalam Museum Jakarta, sehingga Za’ba, sarjana dan ahli bahasa Melayu yang terkenal itu, pada tahun 1956, dengan sengaja datang ke Jawa dan mencari buku tersebut di museum. Namun sayang, tidak beliau jumpai.”

Dalam bukunya Kenangan-Kenanganku di Malaya, Hamka turut menzahirkan kekagumannya terhadap kekuatan pengaruh pemikiran Za‘ba yang signifikan dan keluasan pengaruhnya dalam dunia persuratan Melayu Islam: “Pendeta Za‘ba dari tulisan-tulisannya selama ini saya kenal sebagai seorang pendeta Bahasa Melayu yang berwarna dan berjiwa Islam.”

Hamka turut merakamkan penghargaannya kepada Za‘ba yang mengundangnya ke Kongres Bahasa Melayu di Istana Johor sebagai penghormatan dan penghargaan besar kepada perjuangan bangsa ini: “Saya ucapkan tahniah kepada Tuan atas kehormatan yang diberikan oleh umat Melayu atas diri Tuan dengan gelar ‘Pendeta’ Bahasa Melayu, dan terima kasih pula atas jemputan Tuan kepada diri saya, dan sudilah Tuan mengetahui, bahawa jika pun di atas puncak Gunung Ledang ada Kongres Bahasa Melayu, jika saya tahu, saya akan memohon dijemput juga.”

Penghargaan tertinggi terhadap perjuangan dan perubahan yang signifikan yang dibawa Za‘ba turut dizahirkan oleh DS Anwar Ibrahim dalam bukunya Menangani Perubahan:

“Kesedaran kebangsaan umat Melayu pada awal abad ini yang dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Dato Onn bin Jaafar, Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Pendeta Za‘ba telah berjaya menggerakkan semula orang-orang Melayu daripada kelesuan akibat belenggu penjajah. Kesedaran ini selain menyentuh soal agama dan politik telah dengan sendirinya membantu meyakinkan umat akan keupayaan bahasanya sendiri.”

Dan cita-cita besar yang ditegakkannya dalam membela maruah perjuangan dan harakat bangsanya dan kemuliaan dan ketinggian budayanya ini sebagai diungkapkan A Samad Said dalam lakaran puisinya yang mengasyikkan, berjudul “Di Tanah Za‘ba”:

Di pentas Za’ba ini budi hiasan batin yang jujur,
menghantar getar pepatah pusaka memoyang terluhur.

 

Bibliografi

Abdullah Fahim, Pendeta Za‘ba, Tokoh Bahasa Disegani Ramai. Subang Jaya, Selangor: Pustaka Seri Idaman, 2010.

Abdullah Hussain, Khalid M. Hussain, Pendeta Za‘ba dalam Kenangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000.

Adnan Haji Nawang, Za’ba: Patriot dan Pendeta Melayu. Kuala Lumpur, Yayasan Penataran Ilmu, 1994.

Adnan Hj. Nawang, Za‘ba dan Melayu. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1998. Adnan Hj. Nawang, Memoir Za‘ba. Tanjong Malim, Perak: Penerbit UPSI, 2005.

Adnan Hj. Nawang, Za‘ba dan Melayu. Tanjong Malim, Perak: Penerbitan UPSI, 2007.

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, “Pendita Za‘ba: Suatu Penghormatan” (Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu: Esei-Esei Penghormatan kepada Pendita Za‘ba). Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1976.

Anwar Ibrahim, Menangani Perubahan. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1989. Hamka, Sejarah Umat Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1965.

Hamka, “Pengaruh Islam dan Kebudayaan Melayu” (Kertas Kerja Seminar Kebudayaan 25-28 Julai 1976). Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Hamka, Dari Perbendaharaan Lama. Jakarta: Pustaka Panjimas, 1982. Hamka, Membahas Kemusykilan Agama. Shah Alam: Pustaka Dini, 1983. Hamka, Kenangan-Kenanganku di Malaya. Kajang: Jejak Tarbiah, 2019.

Mark Twain, Anak Raja dengan Anak Papa: iaitu suatu cerita untuk anak-anak dan budak-budak sekolah daripada segala tingkatan umurnya. Diterjemahkan oleh Za‘ba. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001.

Muhammad Haji Salleh, Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh Biografi Usman Awang. Petaling Jaya: SIRD, 2017.

Za‘ba, Pelita Bahasa Melayu Penggal I-III. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000. Za‘ba, Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002

Za‘ba, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009. Za‘ba, Bahasa Melayu: Kelebihan dan Kekurangannya. Bandar Baru Bangi, Selangor: Klasika Media-Akademi Jawi Malaysia, 2013.


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua Umum, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front dan seorang Sarjana Kedoktoran dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya.

 

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022