Rasuah: Ibu Segala Kejahatan
August 7, 2016

Muhammad Luqman bin Ahmad Tarmizi || 7 August 2016

1.Para1Arthashastra[1], sebuah risalah India purba mengenai tatakelola negara, polisi ekonomi dan strategi ketenteraan, ada memerihalkan mengenai rasuah dalam bab The Duties of Superintendents:

“Tepat seperti halnya tidak mungkin untuk tidak akan merasakan madu atau yang ada di hujung lidah, maka tidak mungkin pula bagi pegawai pemerintah untuk tidak makan, setidak-tidaknya secebis pendapatan raja.”[2]

Seawal kurun keempat sebelum Masihi, Arthashastra telah memberikan satu pandangan yang begitu tajam mengenai tabiat rasuah ini. Amat tepat slogan yang digunakan oleh Transparency International, sebuah badan antarabangsa terkemuka dalam menilai indeks rasuah dan korupsi di seluruh dunia: Not One Single Country, Anywhere in The World, Is Corruption Free!

 

1MDB: MOTHER OF ALL SCANDALS

Perubahan demi perubahan dilakukan oleh tampuk kepimpinan kerajaan Malaysia dalam usaha membanteras rasuah. Di zaman Mahathir Mohamad, Akta Pencegahan Rasuah dibentuk pada tahun 1997 yang memberi kuasa yang lebih kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR); di zaman Abdullah Badawi, BPR dinaik taraf menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bermodelkan Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong.[3] Namun rasuah tetap juga secara istiqamah dan konsisten muncul selaku yang paling banyak mengempiskan kantung negara.

2.Para5RightPerdebatan mengenai rasuah di Malaysia mungkin sedang berada di kemuncak ketika ini. Mantan Perdana Menteri (PM) Malaysia Mahathir Mohamad- yang punya reputasi tersendiri dalam ‘bidang rasuah’- kembali ke gelanggang politik untuk bertarung menjatuhkan PM Najib Razak, atas alasan bahawa PM sekarang sedang memandu negara ke arah kehancuran dan kebinasaan dengan palitan najis rasuah yang kian membusuk.

Jika sebelum ini skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) yang melibatkan kerugiaan kira-kira RM12.5 billion dianggap sebagai “the mother of all scandals” oleh Tony Pua[4], maka saya kira beliau perlu menarik balik kata-kata tersebut dan menganugerahkan kes 1MDB sebagai ibu, bapa, raja dan ratu kepada seluruh skandal yang pernah berlaku di negara kita. Seluruh institusi utama negara terpalit dengan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia ini; Gabenor Bank Negara ditekan dan tidak diberi kerjasama secukupnya dalam penyiasasatan, Attorney General diberhentikan tanpa pengetahuan beliau, Timbalan Perdana Menteri dilucutkan jawatan, pembunuhan sadis Timbalan Pendakwaraya, penglibatan Tabung Haji, KWSP dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, transaksi penuh mencurigakan melibatkan akaun peribadi Perdana Menteri, kaitan seorang ‘Datin’ dengan urusan pembelian barang kemas melalui Jho Low; senarai ini tidak akan berpenghujung selagi kes ini tidak diselesaikan.

 

INDEKS SYARIAH MALAYSIA

3.Para7aMenurut laporan Corruption Perception Index 2015 oleh Transparency International, Malaysia menduduki tangga ke 54 daripada 168 negara yang dinilai, dengan markah keseluruhan sekadar 50%.[5] Tanpa angka ini sekalipun, cukup sekadar membelek akhbar dan menggunakan akal yang waras sudah memadai untuk kita menginsafi bahawa keadaan negara sudah terlalu tenat. Bandingkan pula dengan dapatan Indeks Syariah Malaysia yang telah diperkenalkan pada tahun lepas untuk menilai tahap pengurusan negara mengikut parameter Syariah:

“…dapatan Indeks Syariah dalam bidang ekonomi pula adalah sebanyak 65.27 peratus. Apa yang menariknya daripada rumusan kajian ini adalah usaha memartabatkan Islam dalam bidang ekonomi yang dilaksanakan oleh pemerintah adalah baik iaitu 76.25 peratus. Nilai skor Indeks Syariah Malaysia dalam bidang politik adalah sebanyak 79.19 peratus.”[6]

Jika Malaysia ini diibaratkan sebagai mahasiswa universiti, maka skor nya dalam subjek politik ialah 79-80%, iaitu markah bertaraf Cemerlang. Rakyat terhimpit dengan kemiskinan dan melambungnya harga barang, institusi kehakiman, legislatif dan eksekutif diperkosa sesuka hati, pergolakan politik makin meruncing; apakah ini tanda sebuah kerajaan yang cemerlang?

 

MASYARAKAT ANTI RASUAH

Dalam keadaan rasuah yang semakin menggila ini, tidak dapat tidak seluruh lapisan masyarakat harus menggembleng tenaga bagi membentuk sebuah masyarakat antirasuah yang mapan dan komprehensif. Mapan dalam erti kata ia tidak akan bertoleransi dengan apa jua bentuk rasuah; amaunnya kecil atau besar, pelakunya orang atas atau orang bawah; semuanya ditentang sehabis kudrat. Komprehensif dalam erti kata ia merangkumi semua yang terlibat dalam hal pengurusan samada dalam kerajaan atau korporat. Syed Hussein Alatas dalam bukunya “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi” telah merakamkan pandangan beliau akan langkah yang wajib diambil untuk membanteras rasuah:

“…membangkitkan sebanyak mungkin orang untuk melawan rasuah, membangunkan kesedaran intelektual melawan rasuah, memperingatkan para pemuda akan bahaya rasuah bagi masyarakat manusia, menjadikan rasuah sebagai inti percakapan, membuang rasa hormat dan kepercayaan kepada orang yang rasuah, menghubungkan rasuah mereka dengan masalah-masalah kenegaraan, dan menulis sebanyak mungkin tentang rasuah.”[7]

Para sasterawan dan karyawan harus secara aktif dan agresif menghasilkan karya-karya kreatif samada puisi, cerpen, drama, lirik mahupun novel dalam membungkam kebejatan rasuah yang semakin menggila. Almarhum Talib Samat sebagai contoh, ada menulis mengenai kurangnya novel-novel yang mampu meningkatkan kesedaran mengenai politik dan kenegaraan dalam esei bertajuk Kekurangan Novel-Novel Berunsur Politik, dan secara lebih tajam membungkam kefasadan rasuah dalam Rasuah dan Keruntuhan Moral.[8]

Dan oleh kerana media perdana kini dikawal rapi oleh pihak penguasa, dan secara realistiknya kita tidak mungkin dapat melihat ianya berubah dalam masa terdekat; kita para netizen dan wartawan bidan terjun harus memainkan peranan. Public opinion selain melalui rapat umum, referendum dan pilihanraya, perlu dan boleh juga dibentuk menerusi media sosial, untuk memberi keyakinan mesej yang jelas bahawa masyarakat Malaysia adalah masayarakat anti-rasuah. Bahaskan isu rasuah pada tiap kesempatan, samada secara serius mahupun santai. Jangan beri ruang kepada perasuah ini untuk bernafas, bangkitkan kesedaran melawan rasuah agar mereka ini terus terhimpit dan tersudut ke dinding pengadilan.

 

ISLAM DAN RASUAH

4.Para14Para penuntut dan pakar ilmu Syariah, Fiqh dan Usul harus mula membahas nas-nas syara’ mengenai rasuah secara tuntas dan menjadikan topik rasuah sebagai fokus perbincangan;

“Dan janganlah kamu memakan harta sebahagian kamu dengan jalan yang batil”
(al-Baqarah: 188)

“Pemberi dan penerima rasuah, (kedua-duanya) di dalam neraka”
(Hadith Riwayat Imam at-Tirmizi)

“Apabila disia-siakan amanah, tunggu lah terjadinya kehancuran.” Apabila Baginda ditanya bagaimanakah amanah itu disia-siakan, bagina menegaskan “Apabila amanah itu diberikan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran!”
(Hadith Riwayat Al-Bukhari: 6015)

 

Nas-nas yang sebegini harus mula dibincangkan secara serius dan meluas, dan tidak hanya sekadar menjadi topik pinggiran dan dibincangkan dalam bab-bab tertentu saja. Perbincangan mengenai Fiqh Tatakelola atau Urus Tadbir harus diperluaskan dalam kalangan penuntut bidang Syariah dan Pengajian Islam, agar fikrah bahaya rasuah ini dapat meresap kedalam jiwa mereka sebagaimana sebatinya jiwa mereka dengan fikrah bahaya syirik kerana sering diperingatkan mengenainya.

Sayugia juga diingatkan, para pelajar dan mahasiswa aliran agama harus berhenti menjadi fitnah kepada agama itu sendiri. Berbilion wang rakyat dijarah rakus koruptor bangsat, apakah kita terus tega bersorak tempik: Syiah laknat, Wahabi sesat? Adakah suatu agama itu boleh dianggap sebagai solusi kepada segala masalah – al-Islam huwa al-hal – jika umatnya masih aktif dan lantang berbicara soal remeh-temeh seputar sesat atau tidak ajaran tauhid tiga? Jangan nanti ada yang mempertikaikan relevansi kursus-kursus pengajian Islam lantaran gagal melahirkan manusia yang cakna dan sensitif dengan isu semasa serta bijak mengadaptasikan apa yang dipelajari selari dengan tuntutan semasa.

5.Para19RightAgama merupakan satu kuasa yang cukup kuat, dan mempunyai suatu ‘emotional appeal’ yang cukup ampuh. Dato Seri Anwar Ibrahim dalam bukunya Gelombang Kebangkitan Asia telah menggesa supaya rasuah ini dilihat sebagai satu kebejatan moral, krisis nilai dan keruntuhan akhlak yang perlu diberi perhatian.[9] Mengetatkan undang-undang semata-mata tanpa ada pendidikan etika yang mantap terutamanya diperingkat akar umbi tidak akan memberi kesan yang diinginkan. Seperti mana halnya di Indonesia, ‘desentralisasi rasuah’ sudah mengambil tempat dimana rasuah tidak hanya melibatkan pimpinan kerajaan dan taikun perniagaan, malahan pegawai-pegawai kantor dan kakitangan bawahan. Kebebasan media dan institusi kehakiman gagal membanteras rasuah dengan efektif tanpa pendidikan moral dan agama diperingkat akar umbi. Pegangan teguh masyarakat Malaysia – Muslim khasnya – terhadap agama mereka perlu diambil kesempatan sepenuhnya untuk memastikan agama yang mereka anuti itu merupakan agama yang melawan rasuah, bukan yang menggunakan nas-nas agama untuk melindungi perasuah atas nama ketaatan pada ulil amri dan kestabilan negara. Di penghujung buku beliau, Syed Hussein Alattas telah memetik tulisan Sari Mehmed Pasha, Bendahara Kerajaan Turki pada abad ke-17 Masihi mengenai rasuah:

“Penyuapan adalah biang keladi dan akar segala pelanggaran hukum dan kewenang-wenangan, sumber dan landasan segala macam gangguan dan benih-benih pemberontakan, kejahatan dan bencana yang paling besar. Tidak ada yang membawa bencana lebih besar bagi rakyat negara Islam atau yang lebih merosak sendi-sendi agama dan pemerintahan daripada rasuah yang tidak ada habis-habisnya. Tidak ada penyebab ketidakadilan dan kekejaman yang lebih besar daripada rasuah, kerana penyuapan menghancurkan baik iman mahupun negara.”[10]

Peringatan ini telah disebut seawal abad ke-17. Maka amatlah hairan dan ajaib, apabila ada yang berpandangan dangkal bahawa rasuah bukan sebab hancurnya sesebuah negara, seolah dirinya terputus daripada realiti semasa bahawa kebejatan akibat rasuah sudah tidak terkawal lagi.

PENUTUP

“Arak ialah ibu bagi segala kejahatan”
(Hadith Riwayat at-Thabarani)

Izinkan saya menafsirkan perkataan arak diatas dengan maksud rasuah. Disini saya mengqiyaskan rasuah dengan arak, kerana kedua-duanya mempunyai ‘illat yang sama; arak itu makin diteguk makin memabukkan. Rasuah juga makin ditelan, makin mencandukan. Makin banyak disogok, makin banyak yang dimahukan. Hal ini telah disebut oleh Syed Hussein Alattas:

6.Para24“Rasuah secara psikologis adalah sesuatu yang membuat orang ketagihan. Seperti para pencandu ubat bius, orang yang rasuah, homo venalis, memenuhi fikiran dan tindakannya dengan hal-hal yang berkaitan dengan rasuah. Ia menjadi dorongan utama dan kecenderungan-kecenderungan lain tunduk terhadapnya.”[11]

Saya bukan pakar usul fiqh. Tiadalah saya seorang faqih untuk mentafsir hadith ini secara ‘ilmiah dengan sokongan nas-nas syara’ yang lain. Yang saya tahu, saya amat bencikan rasuah, dan saya percaya agama saya patut berada di barisan hadapan melawan rasuah.


authorLuqman Tarmizi adalah Pengerusi Siswa Progresif (SISPRO), sebuah fron bebas anak muda yang bertapak di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


[1] Risalah ini dinisbahkan kepada Kaultilya, seorang filasuf, ahli ekonomi dan penasihat diraja India kurun ke-4 sebelum Masihi.

[2] Syed Hussein Alatas, 1995, Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, Dewan Bahasa Pustaka, hal. 3. Teks asal dalam bahasa Inggeris berbunyi: Just as it is impossible not to taste the honey or the poison that finds itself at the tip of the tongue, so it is impossible for a government servant not to eat up, at least, a bit of the king’s revenue.

[3] Anis Yusal Yusoff et al, 2014, Memerangi Rasuah di Malaysia: Cukupkah Usaha Kita, Institute for Democracy and Economic Affairs, hal. 37-39.

[4] Tony Pua, 2011, The Tiger That Lost Its Roar, Democratic Action Party, hal. 117 dan 156

[5] https://www.transparency.org/country/ – MYS

[6] http://www.bharian.com.my/node/138168

[7] Syed Hussein Alatas, hal. 301-302

[8] Kedua-dua esei kritikan beliau ini boleh didapati didalam buku Di Sekitar Dunia Sastera dan Permasalahannya, terbitan Dewan Bahasa Pustaka tahun 1993.

[9] Anwar Ibrahim, 1997, Gelombang Kebangkitan Asia, Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 110-111

[10] Syed Hussein Alatas, hal. 302 (beliau memetik daripada buku Ottoman Statecraft, 1935, Princeton University Press)

[11] ibid, hal. 224

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022