Reformasi ke arah perubahan transformasi: Ulasan buku Radical Reform: Islamic Ethics and Liberation oleh Tariq Ramadan – Bahagian I
June 27, 2016

1.Para1Perubahan zaman yang menuju ke arah era globalisasi membawa masyarakat dan dunia ke arah naratif keduniaan yang semakin kompleks. Proses modernisasi telah membawa pelbagai cabaran terhadap pembangunan kemanusiaan. Sebagai salah seorang daripada warga dunia, umat Islam pada hari ini benar-benar memerlukan kepada suatu anjakan paradigma terhadap pendekatan tradisi disiplin ilmu dan pemikiran Islam dalam memastikan semangat yang dibawa daripada teks Islam dapat berintegrasi terhadap konteks zaman yang semakin mencabar.

Menyedari perkara tersebut, Tariq Ramadan mencadangkan suatu reformasi (tajdid) secara besar-besaran terhadap disiplin tradisi Islam dan penaakulan ke atas teks wahyu dalam memastikan agar pengintegrasian antara teks dan konteks dapat disepadukan dalam menyegarkan kembali maksud sebenar yang dibawa oleh agama. Beliau tidak sekadar membuat semakan semula terhadap ilmu alat serta sejarah perlaksanaan fekah, tetapi juga terhadap sumber-sumbernya, pengkategoriannya, dan dalam masa yang sama melakukan peninjauan semula terhadap kaedah-kaedah usul fiqh, lingkungan autoritinya dan sifat pendekatan yang dibawa terhadapnya dalam menafsirkan syariah.

Reformasi yang dibawa oleh Tariq Ramadan menuju ke arah perdamaian antara dimensi spiritual agama dan pembacaan semula teks wahyu kerana menyedari bahawa disiplin tradisi Islam yang digagaskan oleh ilmuwan Islam lampau telah sampai kepada perbatasannya untuk berhubungan dengan konteks era kontemporari yang kompleks. Disiplin tradisi keilmuan Islam perlu disemak semula dan diberi pembaharuan yang sesuai dengan semangat zaman dalam memastikan prinsip-prinsip universaliti yang dibawa oleh teks tidak terhalang oleh pentafsiran teks dan gagasan disiplin yang bersifat terbatas.

Oleh sebab itu, bahagian pertama untuk sesi bedah buku Radical Reform ini akan membincangkan tentang konsep “reform” yang membawa pendekatan tajdid dan islah dalam berhubungan antara teks dan konteks. Seterusnya, akan dibincangkan tentang bagaimana untuk melihat perbezaan perkara fundamental dalam lingkungan kehidupan antara prinsip at-Thawabit (tetap) dan al-Mutaghayyirat (berubah-ubah). Akhir sekali, akan dibincangkan tentang seruan Tariq Ramadan untuk menuju lebih jauh daripada sekadar reformasi beradaptasi (adaptation reform) yang terdedah kepada pemanipulasian agama menuju kepada reformasi transformasi (transformation reform) yang lebih mendorong kepada pembingkaian nilai-nilai moral ke arah pemantapan konteks sesuatu perkara dan menutup ruang-ruang ketidakadilan daripada pemanipulasian teks untuk berlaku.

 

Reformasi sebagai tajdid dan islah

2.Para5Dalam buku Radical Reform, Tariq Ramadan sedari awal telah memberi penegasan bahawa pembaharuan agama (tajdid ad-din) yang sedang dilakukannya bukanlah sebuah perubahan yang melibatkan sumber dan prinsip fundamental dalam Islam, tetapi adalah berfokus kepada perkaedahan ataupun metodologi dalam memahami agama, diimplementasi, dan berada dalam suasana dan zaman yang berbeza.[1] Al-Qur’an dan as-Sunnah kekal sebagai rujukan utama terhadap keimanan Islam dan ia tidak lagi menjadi suatu pertikaian dalam kalangan sesiapa pun. Tetapi kefahaman terhadapnya memerlukan suatu pembaharuan perspektif pada dunia kontemporari pada hari ini disebabkan oleh peredaran zaman telah membawa kepada pelbagai pembaharuan dan cabaran yang tidak ada pada zaman yang lampau.

Oleh kerana itu pemikiran Islam kontemporari bukan sekadar perlu kepada pembacaan semula kitab-kitab thurath yang ditulis oleh ilmuwan silam, tetapi turut memerlukan suatu daya usaha untuk menstrukturkan semula perkaedahan dalam disiplin ilmu yang dibina kerana keterbatasan pencerapan fikiran oleh para ilmuwan silam telah sampai kepada hadnya. Ia disebabkan oleh disiplin ilmu agama yang dibina oleh mereka adalah terbatas kepada semangat zaman mereka yang sudah mencecah ratusan tahun lampau dan pada hari ini, semangat zaman telah berubah dan cabaran global masyarakat kontemporari amat memerlukan kepada suatu disiplin ilmu kontemporari dalam memimpin nilai-nilai fundamental dalam agama dalam berinteraksi dengan kehidupan semasa.

Dalam hal ini, terdapat dua konsep yang berkaitan dalam membawa gagasan reformasi seperti yang digagaskan oleh Tariq Ramadan, iaitu konsep “tajdid” dan “islah”. Atas kesedaran bahawa reformasi tersebut melibatkan disiplin ilmu tradisi, maka adalah lebih tepat untuk pemaknaan reformasi tersebut dirujuk kepada dua konsep yang berkaitan tersebut yang berasal daripada tradisi ilmuan silam dalam memastikan reformasi yang bakal diwujudkan masih berada dalam bingkai disiplin agama yang kukuh dan tidak tersasar.

Dengan mengambil pendefinisian daripada ilmuwan tradisi klasik, Tariq Ramadan mendefinisikan tajdid sebagai

…a renewal of the reading, understanding, and, consequently, implementations of texts in light of the various historicultural contexts in which Muslim communities or societies exist.[2]

Pembaharuan semula pembacaan dan kefahaman teks tidak wajar untuk dilihat sebagai suatu bentuk perlanggaran agama atau penyongsangan daripada disiplin ilmu kerana ia adalah suatu bentuk keperluan untuk mengembalikan semula masyarakat kepada moraliti agama tanpa mengabaikan aspek keberadaan dalam dunia kontemporari. Seringkali pertentangan berlaku apabila usaha reformasi agama ini dilihat sebagai seolah-olah mengambil daripada sejarah kebudayaan tradisi agama lain yang bakal melemahkan prinsip-prinsip fundamental agama Islam.
Tetapi perlu dipertegaskan bahawa ia adalah berbeza kerana reformasi agama yang dimaksudkan tidak melibatkan perubahan terhadap prinsip-prinsip fundamental Islam, tetapi menyentuh tentang pembaharuan tafsiran daripada teks untuk disepadukan dengan konteks yang sentiasa berubah. Keterbatasan pengetahuan ilmuwan lampau yang disebabkan oleh konteks zaman yang sentiasa berubah-ubah memerlukan kepada kefahaman baru yang dapat menyegarkan kembali maksud agama untuk sampai kepada kewujudan masyarakat kontemporari yang perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran keduniaan.

Dan usaha pembentukan kefahaman baru itu justeru dilihat selari dengan konsep “islah” di mana ianya membawa maksud “The notion of islah implies bringing the object (whether a heart, an intelect, or a society) back to original state, when the said object was still considered to be pure and good: it is indeed a matter of improving, of curing, through re-forming, through reform.”[3] Menurut Josef W. Meri dalam Medieval Islamic Civilization: An Encylopedia, terminologi islah adalah bertentangan dengan ifsad (korupsi) dan tugas penggerak islah yang dipanggil muslih adalah untuk menggerakkan perubahan ke arah kebaikan dan bertentangan dengan mufsid yang menggerakkan keburukan dalam masyarakat.[4] Muslih menggerakkan agenda islah dengan berpaksikan kepada keuniversalan Islam, kebebasan berfikir, dan menyeru manusia kepada agama dalam konteks seruan yang sebenar, manakala agenda mufsid adalah sebaliknya pula.

3.Para11Projek islah dalam dunia kontemporari dimulakan oleh Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Redha, dan Abdul Rahman al-Kawakibi yang meletakkan asas kepada projek islah dengan mula melakukan seruan ke arah kebangkitan umat Islam, menentang perkara-perkara bida’ah dalam agama, dan keperluan untuk melakukan reformasi terhadap agama. Sejarah perjuangan reformis awal banyak berhadapan dengan pemerintah korup dan agamawan yang mendokong pemerintah serta pemikiran tradisionalis agama yang tidak membenarkan sebarang reformasi dan memandang rendah terhadap ilmu-ilmu duniawi yang selain daripada ilmu-ilmu agama.[5] Kehadiran projek reformisme ini tiba tepat pada waktunya apabila umat Islam semakin mulai mengalami kemunduran disebabkan oleh sikap pemisahan ilmu yang dibahagi-bahagikan antara ilmu duniawi dan ukhwari. Kesan pemisahan ilmu sebegini yang mewujudkan unsur sakral dalam agama apabila ilmuwan dalam lapangan agama dan bukan agama dijadikan hierarki yang membawa kepada kurangnya masyarakat untuk mendalami bidang ilmu lain kerana terlalu fokus untuk memperdalam ilmu agama.

Dalam hal ini, dapat difahami bahawa dua gagasan, iaitu tajdid dan islah adalah dua konsep yang saling lengkap-melengkapi dalam membawa gagasan reformisme. Maka dapat dirumuskan bahawa tajdid adalah konsep yang berhubungan dengan reformasi terhadap pendekatan memahami teks (tajdidiyyah) dan islah adalah konsep yang berhubungan dengan reformasi terhadap pendekatan dalam memahami konteks manusiawi, spiritual, sosial dan politikal (islahiyyah). Perlengkapan antara tajdid dan islah adalah penting dalam membawa agenda reformisme bagi membina keseimbangan antara teks dan konteks supaya keseimbangan tersebut dapat membina suatu disiplin kemanusiaan yang selaras dengan prinsip-prinsip agama. Sebab itu penting untuk perkara fundamental agama digali semula dan diberi nafas baru yang menepati semangat zaman dalam memastikan pengamalan perkara-perkara konteks tidak tersasar daripada jalan keadilan dan kebaikan.

Penting untuk difahami bahawa agama tidak sekadar bertujuan memandu manusia kepada jalan kebaikan, tetapi turut membina hubungan rohani yang melengkapi keperluan jiwa manusia yang melengkapi antara rasional dan spiritual. Rasionaliti (pengetahuan) dan spiritualiti adalah dua elemen penting dalam diri manusia yang menjadikan kewujudan manusia sebagai kewujudan yang berkuasa dan bertujuan seperti yang diungkapkan oleh Ayatullah Murtada Mutahhari dalam bukunya Man and Universe,

“Knowledge give us light and power; faith gives us love, hope and warmth. Knowledge helps make implements and appliance and accelerates progress; faith determines the purpose of human efforts and gives direction to them. Knowledge brings about outer revolution; faith causes inner revolution. Knowledge makes the world man’s world; faith makes life the life of humanity. Knowledge expands the existence of man horizontally; faith lifts it up vertically. Knowledge trains man’s temperament; faith reforms man.”[6]
 

Prinsip dan pengamalan terhadap perkara yang tetap (at-thabit) dan berubah-ubah (al-mutaghayyir)

4.Para15.RightPerundangan Islam berinteraksi dengan kehidupan manusia melalui dua aspek yang menjadi asas kepada hukum-hakam, iaitu aspek at-thabit (tetap) dan al-mutaghayyir (berubah-ubah). Aspek at-thabit adalah bermaksud “hukum-hakam keseluruhan dan sebahagian yang thabit serta tidak berubah disebabkan perubahan tempat atau masa antaranya termasuk prinsip-prinsip dan asas yang merangkumi akidah, ibadat, perkara-perkara al-ghaib, prinsip hukum hakam muamalat seperti pengharaman riba dan seumpamanya.”[7] Manakala al-mutaghayyir pula bermaksud “hukum hakam furu’ (cabang) yang boleh berubah disebabkan perubahan masa dan tempat dan keadaan berdasarkan maslahah al-syar’iyyah (kepentingan syarak).”[8] Kefahaman terhadap dua perkara tersebut adalah amat penting dalam memastikan perundangan Islam dapat berinteraksi ke dalam konteks masyarakat dengan tepat dan kekeliruan dalam memahami perbezaan konteks dalam meletakkan penilaiannya menyebabkan permasalahan taqlid buta ataupun meletakkan perbatasan (restriction) pada tempat yang tidak tepat.

Dalam hal ini, Tariq Ramadan menjelaskan bahawa pendekatan literalis kontemporari yang cenderung untuk memahami nas agama secara literal menyebabkan aras metodologi interpretatif dalam memahami agama telah direndahkan dan akhirnya gagal untuk berinteraksi dengan cabaran kontemporari.[9] Beliau menyatakan bahawa terdapat tiga perkara yang berakibatkan daripada kecenderungan literalis kontemporari tersebut, iaitu, kegagalan untuk membezakan antara:

  1. Perkara yang tetap (at-Thabit) dengan perkara yang berubah (al-Mutaghayyir) 

    Maksud dan perbezaan tentang kedua-dua perkara tersebut telah diperjelaskan di atas.

  2. Perkara yang bersifat prinsip kekal dan perkara yang bersifat model sejarah 

    Prinsip adalah perkara yang bersifat fundamental (seperti keadilan, kesamarataaan, hak, dan sebagainya) yang dipandu daripada as-Sunnah dan sememangnya merentasi waktu, manakala model sejarah adalah perkara yang relatif dan konsisten berubah (seperti model Kota Madinah yang diasaskan oleh Nabi).Perkara yang bersifat prinsip tersebut adalah suatu nilai yang dipegangi dan bersifat universal justeru sudah tentu perjuangan nilai adalah sesuatu yang tidak dibataskan oleh masa dan tempat kerana setiap manusia berhak untuk memilikinya.Tetapi bagi perkara yang bersifat model, ianya adalah sesuatu yang perlu dipandukan oleh pelbagai faktor seperti faktor adat, budaya, politik, sosial dan sebagainya di mana faktor-faktor tersebut adalah bersifat relatif. Disebabkan oleh itu, model (politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya) adalah memerlukan kepada penyesuaian tempat dan masa serta ia tidak boleh hendak diletakkan pada aras yang sama dengan sesuatu yang bersifat prinsip.

    Kecelaruan untuk memahami perbezaan antara kedua-duanya akan menyebabkan kerosakan terhadap sistem kenegaraan yang tidak dapat untuk disesuaikan dengan model tersebut.

  3. Perkara yang berkaitan akidah dan ibadah dengan perkara yang berkaitan muamalat 

    Akidah dan ibadah adalah berkaitan dengan asas kepercayaan dan ritual yang telah ditentukan oleh wahyu (al-Qur’an dan as-Sunnah) dan akal manusia tidak boleh untuk menambah atau menguranginya melainkan perlu kepada dalil-dalil yang sahih.[10] Sebarang perubahan terhadapnya sama ada pengurangan atau penambahan tanpa dalil adalah tertolak dan bersifat bida’ah yang keji (bidaah dholalah).Manakala muamalat adalah berkaitan dengan pengurusan hubungan sosial yang memerlukan kepada kebijaksanaan akal untuk menguruskannya dengan baik.[11] Maka, ia terbuka kepada penggunaan rasional dan kreativiti untuk menguruskannya selagi mana masih taat kepada perkara prinsip dan mematuhi larangannya.

Dalam hal ini, kekeliruan paling asas dalam mengkategorikan ketiga-tiga bahagian tersebut akan memberi impak besar terhadap pemikiran Islam kontemporari dalam berinteraksi dengan cabaran-cabaran kontemporari. Ia bermula dengan kegagalan untuk memahami perkara yang bersifat tetap dan bersifat fleksibel dalam perundangan Islam justeru membawa kepada kebejatan dalam mengkategorikan setiap isu. Apabila kekeliruan berlaku dalam memahami perkara-perkara tersebut, natijah yang berlaku ialah pertamanya, penyempitan ruang untuk berfikir dalam berinteraksi dengan permasalahan global; dan keduanya, kelompongan prinsip moral agama ke dalam ruang kehidupan.

Perkara yang pertama berlaku terhadap kelompok-kelompok tradisionalis yang tidak memahami penyepaduan antara wahyu dan akal untuk dilaksanakan dalam kehidupan menyebabkan terlalu banyak batasan dan larangan yang diwujudkan berbanding keharusan untuk membuat keputusan berdasarkan kepada pertimbangan akal. Manakala perkara yang kedua berlaku terhadap kelompok-kelompok nihilis yang melihat prinsip moral sebagai sesuatu yang relatif dan tidak tertakluk kepada pembingkaian mana-mana prinsip menyebabkan hilangnya penyepaduan antara perkara prinsip dan fleksibiliti ke dalam ruang kehidupan.

Tariq Ramadan melihat pentingnya kepada ijtihad dalam menganjurkan pembacaan kritikal terhadap teks apabila (i) ia terbuka kepada interpretasi (zanni); (ii) teks tidak menyebut apa-apa tentang sesetengah situasi; dan (iii) konteks memerlukan kepada pertimbangan kepada implementasi teks.[12] Dalam konteks dunia kontemporari, banyak permasalahan baru yang tidak terdapat dalam sumber wahyu mahupun kitab-kitab ulama silam. Sebab itu perlunya kepada ijtihad yang merumuskan permasalahan-permasalahan baru yang perlu dibincangkan dalam konteks semasa. Permasalahan ini tidak lagi sekadar tertumpu kepada pentafsiran teks untuk membuat rumusan, tetapi memerlukan kepada kefahaman konteks dalam bidang ilmu yang tepat supaya setiap jawapan yang diberikan adalah tepat.

Sebab itu perlunya kepada penyepaduan antara ilmuwan teks (ulama an-nusus) dengan ilmuwan konteks (ulama al-waqi’) untuk sama-sama membincangkan persoalan kontemporari dengan disiplin ilmu yang betul. Perbincangan ilmu yang sekadar sentrik kepada ilmuwan agama semata-mata menyebabkan banyak persoalan keduniaan tidak dapat dijawab dengan betul dan mengakibatkan kepada ketiadaan jawapan yang konkrit dan terus menimbulkan pelbagai permasalahan akibat rujukan jawapan yang tidak dipandu oleh disiplin ilmu yang tepat.

5.Para27.AzzamTamimiDalam hal ini, perkara yang sama turut dicadangkan oleh Rachid Ghannouchi menurut teori faraghat. Faraghat berasal daripada perkataan faragh yang bermaksud ruang. Menurut Azzam Tamimi, Ghannouchi mencadangkan idea faraghat di dalam Islam di mana terdapatnya wilayah yang ditinggalkan untuk manusia penuhinya menurut tuntutan masing-masing dan keperluan masa dan tempat.[13] Beliau membahagikan wilayah aktiviti manusia kepada dua kategori, iaitu ad-dini dan as-siyasi. Ad-Dini adalah merujuk perkara-perkara yang bersifat prinsip dan suci seperti akidah, ibadah, dan akhlak. Manakala as-siyasi merujuk kepada perkara-perkara yang bersifat relatif dan ditentukan melalui kebijaksanaan manusia seperti urusan pentadbiran negara, hubungan sesama manusia, dan sebagainya.

Menurutnya, jika Islam adalah wahyu terakhir kepada seluruh manusia, ia hanya akan berdaulat melalui ketiadaan ajaran yang tetap dalam perkara-perkara yang bersifat berubah. Dengan berdasarkan kepada murunah (fleksibiliti) dan kewujudan faraghat, umat Islam dapat mengamalkan ijtihad untuk merencanakan penyelesaian yang sesuai terhadap permasalahan-permasalahan yang berlaku dalam memaparkan bahawa Islam adalah sesuai dengan semua masa dan tempat.

Sebab itu bagi Tariq Ramadan, dapat disimpulkan bahawa, tidak semua jawapan dapat ditemui di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah; dan kerana itu, ia memerlukan kepada perhitungan dan ijtihad munasabah daripada para ilmuwan untuk kekal beriman terhadap ajaran Islam.[14] Penolakan terhadap hakikat perkara ini akan menyebabkan keluasan ajaran Islam dilihat sempit dan ketat serta terbatas. Adalah amat penting untuk mengenalpasti perkara-perkara yang bersifat at-thabit dan al-mutaghayyir agar tidak mudah untuk memukul rata semua perkara dalam satu-satu bahagian sahaja bagi menjamin ketulenan ajaran Islam dalam berinteraksi dengan urusan kehidupan.

Daripada reformasi beradaptasi, kepada reformasi transformasi

Dalam buku Radical Reform, Tariq Ramadan menyatakan bahawa,

If modernity, progress in any era, means “breaking away from tradition,” then such modernity very well be the euphemistic expression of a state of being that has no landmarks, no history, no principles, no vision.[15]

Tradisi keilmuan Islam daripada ilmuwan-ilmuwan silam adalah sesuatu yang bernilai tinggi kerana mereka telah meletakkan asas yang kuat terhadap disiplin ilmu Islam untuk membingkai ajaran agama daripada sebarang penyalahgunaan interpretasi atas nama agama. Ia merupakan pertalian ilmu yang berantaian daripada ajaran Nabi dan para Sahabat justeru sudah tentu ia tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja bagi menuju ke arah reformasi. Sebab itu perlunya kepada perdamaian dengan tradisi klasik dalam memandu jalan ke arah masa depan yang baru.

Tetapi dalam masa yang sama, ia tidak bermaksud kepatuhan terhadap tradisi klasik yang membawa kepada taqlid buta tanpa melihat kepada kesesuaian konteks semasa yang memerlukan pembaharuan terhadap kefahamannya. Ilmuwan lampau meninggalkan khazanah ilmu sebagai pintu kepada pembukaan ilmu yang lebih luas dan tidak meminta untuk generasi ilmuwan selepasnya sekadar meniru kembali apa yang telah mereka tinggalkan pada ratusan tahun yang lampau. Daripada hal itu, maka reformasi menuntut kepada penyesuaian ajaran agama dan moral terhadap konteks kontemporari.

Namun begitu, dalam menuntut kepada perubahan, ia perlu dilihat dengan lebih teliti terhadap persoalan, “Bagaimanakah perubahan yang dimaksudkan?”

Tariq Ramadan mengkategorikan perubahan kepada dua jenis, iaitu reformasi beradaptasi (adaptation reform) dan reformasi transformasi (transformation reform).

  • Reformasi beradaptasi 

    Reformasi beradaptasi bermaksud reformasi yang melibatkan perubahan yang dilakukan dengan membentuk penyesuaian dengan berdasarkan bentuk dunia yang sedang wujud. Ia melibatkan pemerhatian terhadap apa yang sedang berlaku di dalam dunia, menyedari perubahannya, dan kembali kepada teks untuk mencadangkan pembacaan yang baru dalam bentuk membina pengurangan atau pengecualian dalam perlaksanaannnya.

  • Reformasi transformasi 

    Reformasi transformasi bermaksud reformasi yang melibatkan perubahan secara menyeluruh terhadap aturan dunia dengan menjadikan moral sebagai landasan perubahan. Ia adalah sebuah langkah untuk menggerakkan daripada apa yang ada di dalam teks kepada tindakan terhadap konteks dan dalam masa yang sama, menambahbaiknnya tanpa memberi ruang kepada sebarang pengurangan atau ketidakadilan (injustice) untuk beradaptasi dengannya.

Dalam hal ini, dapat dibuat suatu perbandingan antara reformasi beradaptasi dan reformasi transformasi dalam konteks reformasi yang digagaskan oleh Tariq Ramadan. Secara sepintas lalu, kelihatan bahawa kedua-duanya tidak bermasalah. Tetapi jika diteliti secara kritikal, reformasi beradaptasi adalah sebuah reformasi yang bermasalah dalam interaksi dengan evolusi dunia. Ia seolah-olah suatu kepatuhan teks terhadap konteks sehingga menyebabkan tenggelamnya prinsip-prinsip fundamental di dalam teks kerana kepatuhan terhadap konteks yang sedang berubah. Ia melibatkan suatu penyesuaian terhadap dunia yang sedang berubah dan seolah-olah perlu bertoleransi terhadap kerencaman dan kepincangan dunia yang sedang berlaku atas nama “kemodenan”.

Perkara ini yang sedang berlaku dalam apa yang dipanggil sebagai “jenama Islam” (seperti sistem perbankan Islam, ekonomi Islam, politik Islam, dan seumpamanya) apabila reformasi beradaptasi telah mencipta suatu “wilayah perlindungan” terhadap krisis integriti dalam sistem yang sedang berlaku. “Wilayah perlindungan” tersebut telah melindungi kelemahan-kelemahan sistem kontemporari dan menerima pakainya dengan perubahan sekadar pada penjenamaannya sedangkan permasalahan dari sudut nilai dan moral sebagai dasar pergerakan sistem tetap wujud seperti rasuah, riba, dan sebagainya.

6.Para38.RightSebab itu maka perlunya kepada reformasi transformasi dalam menggerakkan suatu perubahan radikal terhadap sistem aturan dunia dengan membawa kembali sistem dunia kepada nilai dan ajaran agama dengan menjadikannya sebagai landasan perubahan terhadap sistem-sistem dunia kontemporari. Pentingnya kepada suatu kefahaman teks yang baru adalah supaya kefahaman tersebut yang datang dengan landasan prinsip fundamental agama diberi nafas yang baru sesuai dengan semangat zaman. Ia tidak bermaksud penggadaian prinsip agama seperti yang berlaku terhadap reformasi beradaptasi, tetapi ia melibatkan suatu pembinaan jambatan antara prinsip fundamental agama dengan kaedah pembacaan teks yang baru. Daripada pembinaan metodologi tersebut, lalu dibina integrasi antara teks dan konteks global kontemporari dengan mewujudkan keseimbangan antara kedua-duanya dalam memastikan penyesuaian konteks semasa dapat diimbangi dengan nilai dan moral daripada ajaran agama itu sendiri.

Langkah ke arah reformasi transformasi memerlukan kepada kefahaman ilmu yang mendalam terhadap lapangan bidang kehidupan termasuk bidang kemanusiaan dan sains teknologi. Sebab itu langkah ini tidak boleh untuk sekadar bergantung kepada ilmuwan teks dalam menanggapinya. Ia memerlukan kepada integrasi antara semua ilmuwan daripada lapangan bidang ilmu tanpa sebarang pembinaan hierarki keutamaan mana-mana ilmu. Dalam sebuah dunia kontemporari yang penuh dengan cabaran-cabaran global, penyisihan ilmu dengan melihat ilmu mana yang lebih utama dipelajari adalah sesuatu yang merugikan kerana kepakaran dalam segala bidang adalah diperlukan pada hari ini. Membiarkan tanggungjawab perbincangan ilmu kontemporari dibincangkan oleh ilmuwan teks secara bermudah-mudahan akan turut menimbulkan suatu ketidakadilan dan merumitkan keadaan kerana ia tidak dibincangkan oleh para pakar bidang ilmu yang betul.

 

KESIMPULAN

7.LastParaReformasi dalam agama memang mempunyai pelbagai rintangan bukan sekadar daripada luaran, malahan daripada dalaman itu sendiri. Jika dalam sejarah tanah air, reformis agama seringkali mendapat jolokan Kaum Muda yang diberi pelbagai label negatif dan mendapat tentangan daripada Kaum Tua yang kebiasaannya berkhidmat dalam sektor kerajaan atau pro kepada pemerintah. Projek reformasi agama seringkali dilihat sebagai ancaman kepada agama apabila reformis membawa seruan penilaian semula terhadap teks-teks klasik dan membina semula metodologi dalam memahami agama yang selari dengan semangat zaman. Daripada hal tersebut, Tariq Ramadan membawa suatu idea reformasi transformasi dalam membina kesepaduan antara sistem dunia kontemporari dengan nilai dan moraliti dalam ajaran agama. Keperluan itu dikira mustahak tidak sekadar dalam mewujudkan jalan kepada umat Islam dalam mendepani cabaran dunia, tetapi turut memastikan agar penyesuaian sistem dengan dunia global tidak sekadar menjadi fesyen dalam mengangkat nilai-nilai kemanusiaan, maruah, keadilann, kebajikan, keamanan dan sebagainya. Tetapi yang paling penting ialah nilai-nilai tinggi tersebut diangkat dalam konteks pengamalan yang betul dan membebaskan manusia daripada sebarang penyalahgunaan dan pemanipulasian agama dalam menghalalkan cara bagi sesebuah perkara atau sistem global yang pada hakikatnya adalah tersasar daripada disiplin prinsip dan moraliti yang betul. Umat Islam kontemporari harus melihat wacana ini sebagai batu loncatan kepada perbincangan yang lebih mendasar untuk memastikan keberadaan dalam sebuah masyarakat global tidak menghalang daripada pengamalan ajaran-ajaran Islam yang sebenar.


Ahmad Muziru IdhamAhmad Muziru Idham adalah graduan Hubungan Antarabangsa, UNIMAS dan juga Advocacy Officer di Islamic Renaissance Front. Kertas kerja ini disampaikan semasa program Bedah Buku di Graha Pemuda, Sri Hartamas pada hari Sabtu, 25 Jun 2016.


[1] Lihat Tariq Ramadan, (2009). Radical Reform: Islamic Ethics and Liberation, Oxford University Press, m/s 12

[2] Ibid, m/s 13

[3] Ibid, m/s 13

[4] Lihat Josef W. Meri (Ed.), (2006). Medieval Islamic Civilization: An Encyclopedia: Volume 1, Routledge: Taylor & Francis Group

[5] Lihat Peter R. Demant, (1951). Islam vs. Islamism: The Dilemma of the Muslim World, Praeger Publisher

[6] Lihat Murtada Mutahhari, (1990). Man and Universe, Islamic Seminary Publications

[7] Lihat Faisal Ahmad Shah, (2011). Pendekatan kontekstual dalam memahami hadith-hadith Rasulullah S.A.W., Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, 4(Julai), 101-120

[8] ibid

[9] Lihat Tariq Ramadan, (2009), m/s 17

[10] Qawaid fiqhiyyah menetapkan prinsip bahawa perkara-perkara di dalam ibadah ialah “Al-Asl fi al-ibadah at-tahrim wa al-batl illa ma ja’a bihi ad-dalil ‘ala awamirih” [Asal ibadah adalah haram kecuali ada dalil yang memerintahkan]

[11] Qawaid fiqhiyyah menetapkan prinsip dalam hal muamalat ialah “Al-asl fil ashya’ al-ibahah hatta yadullu ad-dalil ‘ala at-tahrim” [Asal segala sesuatu (muamalat) adalah harus sehingga ada dalil yang melarangnya].

[12] Lihat Tariq Ramadan, (2009), m/s 22

[13] Lihat Azzam Tamimi, (2001). Rachid Ghannouchi: A Democrat Within Islamism, Oxford University Press, m/s 187

[14] Lihat Tariq Ramadan, (2009), m/s 24

[15] Ibid, m’s 27

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022