Risalah Kemanusiaan dan Keadilan dalam Islam

February 9, 2014 by Mohd Syazreen Abdullah


3492_Main

Dalam buku The Second Message of Islam, Mahmoud Mohammed Taha melihat bahawa akan berlaku perubahan di dalam hukum Islam sebagaimana perkara perubahan itu boleh berlaku di dalam kehidupan yang lain. Menurut beliau, asas penelitian ini adalah ke atas kandungan al-Qur’an dan Sunnah yang berlaku dalam dua tingkat period iaitu tempoh risalah Islam yang terjadi pada tingkat pertama di Mekah dan tempoh kedua di Madinah.
Maka menurut beliau:

“Teks risalah era Mekah dan Madinah adalah berlainan, bukan kerana masa dan tempat penurunan wahyu tetapi bersandarkan kepada audiens yang ditangani.”

3492_Islamic-ReformationBeliau menegaskan bahawa risalah awal di Mekah itu merupakan Risalah Islam yang abadi dan bersifat asasi dengan penekanannya tentang kemuliaan semua bangsa manusia yang tidak mengira jantina, kepercayaan agama, bangsa dan seterusnya risalah ini dicirikan oleh kesetaraan antara lelaki dan wanita serta kebebasan penuh untuk memilih agama dan kepercayaan. Demikian jugalah yang telah dikomentarkan oleh Abdullah Ahmed An-Naim didalam bukunya Toward an Islamic Reformation.

Menurut Taha, ayat Makkiyah itu dikatakan sebagai al-Risalah al-Tsaniyah min al-Islam (Risalah Kedua Islam) manakala ayat Madaniyah sebagai al-Risalah al-Ula fi al-Islam (Risalah Pertama Islam). Menurut beliau lagi, penekanan risalah di Mekah adalah sebuah konsep yang berbentuk pilihan dan tiada unsur kekerasan maupun paksaan dalam menerima sebuah kepercayaan. Ia adalah risalah kepercayaan untuk diterapkan maka penolakan masyarakat di Mekah ke atas risalah itu tidak boleh dipaksa dengan tindakan kekerasan tetapi hakikatnya bahawa wujud ketidaksediaan penerimaan ketika itu. Kerana itu ia ditangguhkan atau digantung dahulu tindakan perlaksanaannya untuk dialihkan pada period Madinah yang lebih praktikal untuk dilaksanakan.

Apabila premis asas ini lengkap dipatuhi maka seluruh era perundagan Islam yang baru dapat bermula. Sesuatu yang akan mengizinkan perkembangan konsep kebebasan yang menyeluruh dan kesetaraan untuk semua manusia sejagat. Namun apa yang ada pada masa kini, syariah historis ini memang ada unsur diskriminasi atas dasar gender dan agama.

Peralihan ini juga menurut beliau, bukanlah bermaksud untuk mematikan risalah yang pertama yang berlaku pada period di Mekah tetapi ia ditunda dan dengan itu membuktikan peralihan ini sebagai respon terhadap perubahan zaman dan keperluan.

Sebagai usaha kearah reformasi ini beliau juga menambah:

“Untuk mencapai darjah reformasi tersebut, kita mesti meletakkan teks yang jelas dan muktamad daripada al-Qur’an dan Sunnah sebagai telah memenuhi tujuan transisi dan mengimplementasikan teks daripada tahap Mekah yang sebelum ini dianggap tidak bersesuian untuk dilaksanakan secara praktikal tetapi kini merupakan satu-satunya cara untuk diteruskan.”

3492_Second-MessageThe Second Message of Islam (Risalah Kedua Islam) atau syariah historis itu bukanlah Islam keseluruhannya tetapi merupakan tahap perundangan Islam yang sesuai bagi perkembangan manusia pada masa lalu. Reformasi yang sepatutnya berlaku ialah dengan menghidupkan semula teks-teks asal yang tidak pernah menjadi hukum pada masa lalu lantas menjadikan mereka asas kepada perundangan Islam yang moden. Teks yang jelas telah dan pernah menjadi asas kepada diskriminasi terhadap golongan wanita dan yang bukan Muslim di bawah syariah historis harus diketepikan lantaran ia telah memenuhi tujuan transisinya yang asal.

Menurut Abdullah Ahmed An-Naim pula di dalam bukunya Toward an Islamic Reformation bahawa Mahmoud Mohammed Taha menyarankan evolusi asas perundangan Islam daripada tahap Madinah ke tahap Mekah iaitu evolusi pentafsiran sekadar menterbalikkan “nasakh” agar teks yang dianggap mansuh suatu waktu dahulu digunapakai sekarang untuk menggubal undang-undang dan sebaliknya teks yang pernah dipakai membentuk syariah pula dimansuhkan. Hal ini kerana peralihan kepada period di Madinah yang bermulanya proses syariah yang membentuk perundangan telah mencipta bentuk yang lebih esklusif kepada kaum muslimin, perundangan yang membezakan antara lelaki dan perempuan dan menjadikan asas ayat diskriminasi perundangan status Muslim dan yang bukan Muslim.

Hal ini menunjukkan bahawa penelitian yang serius untuk membuktikan ayat-ayat Qur’an itu perlu ditafsir dan disesuaikan mengikut zaman sekarang yang moden kerana ayat-ayat Makkiyah lebih menumpukan kepada konsep –konsep asas universal yang sejalan dengan prinsip konstitusionalisme dan hak asasi manusia. Syariah masakini mestilah didasarkan pada ayat-ayat dasar di Mekah sementara syariah historis sebagaimana bemula di Madinah harus ditangguhkan dulu.

Syariah, Negara Dan Hak Asasi Manusia

Tujuan syariah adalah untuk mencapai kemaslahatan manusia dan membentuk suasana kehidupan yang lebih harmoni dan adil. Maka adalah mustahil sifat yang membentuk syariat itu bertindak kepada ketidakadilan. Tetapi bagaimana metodologi syariah kini dianggap begitu sulit untuk menyelesaikan permasalahan yang melibatkan rentas kepercayaan dan bangsa. Malahan yang menjadi ketakutan dan keresahan kita syariah itu ditafsirkan sebagai ajaran pemaksaan sehingga bertindak melalui kekerasan malah lebih bahaya tindakan itu diterjemahkan dengan pihak polis yang menangkap Individu yang menyalahi peraturan syariah.

Lebih kritikal lagi bila syariah dijadikan sebagai alat untuk para penguasa mengekalkan kezalimannya dengan hujah bahawa syariah itu adalah untuk menjaga agama. Syariah akan terus menjadi simbolik kepada penguasa politik dan polisi syariah itu akan menjadikan bukan sahaja membentuk suasana negatif masyarakat plural tetapi menyebabkan proses pentafsiran syariah itu menjadi sempit .

Maka ijtihad baru penafsiran Qur’an membentuk hukum bukan lagi menurut kepada proses kemaslahatan umum tetapi akan berdasarkan kepada kemaslahatan esklusif. Maka dengan itu, sudah pasti ketidakadilan akan terjadi. Maka syariah itu akan dipandang cacat lantaran kerana penafsiran itu bukan lagi diukur pada konsep kemaslahatan bersama tetapi satu pihak yang ekslusif.

Metodologi syariah hendaklah diberi penilitian mengikut peredaran keadaan aman, seperti yang telah dirungkaikan oleh Fazlur Rahman dalam rencananya Islamic Modernism bahawa pendekatan yang jujur dalam mencari makna semula teks al-Qur’an perlu difahami dengan mengambil kira latar belakang sosiologinya seperti mana percubaannya dan Mahmoud Taha dalam usaha ke arah reformasi. Usaha ini menjadi sulit kerana Muslim hari ini sudah dibekalkan kefahamannya bahawa sifat syariah yang dibentuk historis itu bersifat sakral dan para ulama terdahulu adalah pemegang autoriti dalam mendakwa kebenaran.

Berpunca dengan sikap yang tidak meraikan keluasan wacana bebas dan intelektual inilah maka ramai kalangan Muslimin yang telah menjadikan syariah itu bersifat sakral dan tidak boleh diperdebatkan pengaplikasiannya dalam bentuk yang lebih terkini. Seperti yang pernah diungkapkan oleh An-Naim bahawa altenatif seperti konsep syariah yang berbasiskan historis yang cuba diguna pakai di negara-negara seperti Iran, Pakistan dan Sudan telah mencipta permasalahan lebih banyak dan ketara. Justeru itu, maka syariah bukanlah jalan bagi merungkaikan permasalahan. Abdullah An-Naim menambah lagi bahawa kebangkitan fundamentalisme Islam juga telah mendedahkan kecacatan syariah sebagai asas Negara Islam moden.

Maka, dalam penerapan syariah, seseorang individu tidak boleh dipaksa oleh negara akan syariah ke atasnya sebaliknya syariah itu wajib dalam konsep seorang Muslim dan perlaksanaannya itu merupakan kewajipan peribadinya dengan tiada urusan campurtangan kerajaan dalam mengambil alih urusan syariah mereka. Syariah sepatutnya diuruskan melalui tindakan masyarakat bukannya atas arahan atau autoriti kerajaan atau negara. Maka nilai-nilai Islam hanya boleh dihormati oleh penganutnya dengan rela dan bukannya melalui pemaksaan negara.

Negara sepatutnya hanya memelihara hak-hak yang terkandung dalam perlembagaan, kesetaraan antara muslim dan mereka yang berlainan akidah, keharmonian bangsa dan hak asasi manusia.

3492_Islamic-RootsMasyarakat Pluralisma Dan Kemerdekaan Beragama

Menurut Abdulaziz Sachedina dalam bukunya The Islamic Roots of Democratic Pluralism, beliau dengan tegas membezakan antara kebenaran agama dengan fanatisme agama. Baginya, seorang pemeluk agama semestinya meyakini kebenaran agama yang dianutinya tetapi tidaklah bermaksud dengan meyakini kebenaran agamanya itu membuatkan ia membentuk kebencian terhadap agama lain yang berbeza.

Sebaliknya pula fanatisme agama adalah yakin akan agamanya tetapi dalam masa yang sama mencipta permusuhan terhadap agama lain yang berbeza dengannya. Dalam konsep pluralisma, Sachedina beralasan bahawa bukan sahaja perlu untuk meletakan kesedaran dalam keadaan masyarakat plural sahaja, tetapi juga bagaimana kita tidak akan menjuruskan konsep ekslusif itu kepada fanatisme . Lantaran itu amat tepat sekali apa yang disarankan oleh beliau sepertimana yang termaktub di dalam al-Qur’an Surah al-Maaidah ayat 48 yang bermaksud:

Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (fastabiqul khairat; beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.

Asas pemerhatian Sachedina pada ayat ini adalah konsep “fastabiqul khairat” sebagai asas prinsip pluralism yang dibangunkan atas prinsip etika berbuat kebaikan dengan memahami dan mengakui keterlibatan aktif bersama penganut agama lain. Al-Qur’an jelas dasarnya menganjurkan keterlibatan kerjasama antara agama lain atas dasar ia sebagai penegak keadilan dan kebenaran kerana menurut beliau, sudah jelas al-Qur’an itu mengiktiraf kemuliaan manusia dan kemerdekaan beragama. Manusia bebas memilih dalam urusan keimanannya sejajar dasar pluralism agama yang mendorong kebebasan dalam beragama.

Maka dalam hal ini, menjamin sebuah masyarakat yang plural dan kebebasan beragama, negara tidak seharusnya mendokong atau mendominasi wacana agama tertentu sahaja dalam masa yang sama menindas kepercayaan dan penglibatan agama lain mahupun daripada sekte atau mazhab yang berlainan dengan mazhab negara. Semua warganya mempunyai hak untuk melaksanakankan aktiviti kepercayaan agama masing-masing dan haruslah diberi ruang kebebasan yang sebenarnya tanpa sebarang sekatan, pencerobohan dan penindasan.

3492_FinalSeruan Kearah Manusiawi Dan Praktikal

Islam adalah agama yang menuntut kepada seruan pengislahan dan pembaharuan. Kecelakaan yang menimpa ketika ini adalah bagaimana pengamalan atau perlaksanaan undang-undang syariah yang bersifat historis atau pentafsiran klasik yang membentuk wajah syariah itu dilihat sebagai agama yang bersifat ekslusif, menindas dan melanggar hak asasi kemanusian.

Penganut agama yang bersifat fundamentalis hari ini menggambarkan wajah permusuhan dan kekerasan. Para Islamis hari ini gagal meletakkan konsep agama sebagai titik kesatuan yang menghubungkan kemajmukan dalam budaya dan agama. Kegagalan ini mengakibatkan wacana intelektual tradisi Islam gagal dikembangkan dalam konteks masyarakat kontemporari.

Seperti yang telah dijelaskan An-Naim, untuk mencapai tahap reformasi yang secukupnya, kita perlu mengenepikan teks-teks Quran dan sunnah era Madinah kerana teks tersebut memenuhi tujuan yang sementara manakala menerapkan teks-teks pada era Mekah yang sebelum ini dianggap tidak sesuai tetapi menjadi keperluan mendesak masakini. Demikian itulah yang telah di anjurkan oleh Mahmoud Mohammed Taha bahawa seruan risalah yang disampaikan periode Mekah adalah seruan perpaduan yang sebenarnya dengan melihat kepada keadaan mendesak dunia global hari ini yang lebih memerlukan kesatuan hidup masyarakat plural yang aman damai.


Mohd Syazreen Abdullah adalah mahasiswa pengajian Sarjana Muda Usuluddin di University of Yarmouk.