Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Dalam Jalur Perjuangan “Political Islam”
March 3, 2015

1.Para1Eulogi atau Belasungkawa ini khas buat almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (10 Januari 1931- 12 Februari 2015). Tanggal malam Jumaat serta disemadikan pada penguhulu segala hari, merupakan penyudah kehidupan yang baik (husnul khatimah) bagi insan istimewa ini.

Puluhan ribu manusia yang membanjiri bumi Kelantan persis pengkebumian almarhum Ustaz Fadzil Noor, pada usia lebih muda, 65 tahun (13 Mar 1937 – 23 Jun 2002) ketika memimpin Parti Islam SeMalaysia, PAS selaku Presidennya (1989-2002).

Telah banyak naratif tampil daripada pelbagai sisi tumpuan pengkisahan hidupnya. Pelbagai istilah molok cuba untuk dipakaikan kepada sosok tubuh ulama hebat ini. Satu jilid besar sirah hidup Tok Guru juga tidak mencukupi untuk diabadikan riwayat sang murabbi-murshid-‘abid ini.

Lalu penulis tidak malu dan silu untuk memohon pihak berkuasa mahupun pihak korporat ataupun individu supaya cuba memperuntukkan dana yang selesa menerbitkan sebuah biografi pemimpin ulama-umara hebat ini.

Pentingnya, kualitinya tidak harus dikompromikan setanding biografi founding fathers, bahkan tokoh-tokoh pemimpin dunia yang pernah tampil di muka bumi ini.

Penulis bukan jenis manusia ‘pengkagum’ tetapi untuk Tok Guru, hujahnya ketara dan nyata. Ya, penulis sedar Tok Guru bukan maksum dan tidak pula menerbitkan teori-teori baru ekonomi dan kewangan Islam. Namun penghayatan dan penyerlahan ‘tasawur dan maqasid’ ekonomi dan Kewangan Islam dalam tadbir-kelola pemerintahannya itu wajar terus ditekuni dan dirakamkan.

Telah banyak naratif tampil dari pelbagai sisi tumpuan pengkisahan hidupnya. Pelbagai istilah molok cuba untuk dipakaikan kepada sosok tubuh ulama hebat ini. Ada yang menobat Al-Marhum sebagai ‘Ikon’, ‘Mutiara’, ‘Satu dalam Sejuta’, ‘Manusia Gunung’ dan sebuah ‘Bintang’ yang kini malap kerdipannya ketika Tok Guru kembali ke rahmatulLah. Kehebatan menangkis serangan 3 Perdana Menteri untuk menawan negeri Kelantan yang ditadbirnya 23 tahun, melayakkan Tok Guru diberi jolokan ‘The Giant Slayer’.

Walaupun bukan dari parti pemerintah persekutuan, pemikiran, tatakelola politik yang bersih serta penuh integriti dan juga kehidupannya yang serba sederhana, sangat penting untuk diteladani generasi pewaris.

Fokusnya bukanlah untuk periwayatan dan penonjolan naratif, tetapi maqasid utamanya adalah pencerakinan sebuah pemikiran, bertema-teraskan “Politikal Islam Dalam Sebuah Masyarakat Majmuk”.

Atas pengamatan penulis yang telah berpeluang bukan sahaja hidup dibawah pimpinannya, malah juga bekerja dan ‘belajar’ secara langsung dengan Tok Guru, mahu sahaja penulis syorkan dengan penuh yakin agar Tok Guru dinobatkan sebagai “Mujaddid Zaman”, sekiranya diizinkan Ilahi dan disokong umat Islam terkini.

Dunia kontemporari telah menyaksikan penampilan Politikal Islam dalam pelbagai model dan eksperimen (tajribah) di serata dunia. Politikal Islam, takrif ringkasnya, disepakati sebagai “projek menjayakan Islam dan penghayatan syariat sebagai teras pemerintahan di dalam kerangka negara moden”. Satu snapshot mutakhir kedudukan gerakan Islam wajar dirakamkan.

2.Para12Tentunya kejayaan berserta kegagalan Dr Morsi dan Ikhwan Muslimin mendepani ujian demokrasi serta kecurangan-kebobrokannya, menjadi naratif ilmiah yang didambakan generasi pemimpin gerakan Islam yang mendatang.

Erdogan dan AKP pula pastinya tampil sebagai gerakan Islam yang cukup moden dan sofistikated. AKP tidak mempedulikan sangat status “gerakan Islamnya” berbanding perlaksanaan program, agenda dan objektif mereka. Berpandukan road-map partinya, Erdogan lantas merintis jalan-jalan baru yang tidak konvensional yang penuh risiko. Kini AKP mula meraih pulangan pelaburan berisiko tinggi itu.

Satu lagi keterampilan gerakan Islam yang turut mewarnai naratif Politikal Islam kontemporari dipimpin Sheikh Rashid Ghanoushi. Suaka politik di United Kingdom diakhir tahun 80an tamat apabila kembali memimpin an-Nahdah. Beliau menang pada pilihan raya umum tahun 2011, tetapi kemudian kalah ketika menyerah kuasa pemerintahan kepada rakyat ketika didesak seteru pada 2014 secara damai dan demokratik.

Sesuai dengan penegasan sebuah Qawaid Fiqhiyyah: “Tasharruful imam ala ra’iyyah, manutum bil maslahah’ yang bermaksud “Tindak-rencana dan advokasi polisi Imam atau para pemimpin adalah tergantung dan bersesuaian dengan kemaslahatan rakyat yang mereka pimpin”. Begitulah kira-kira ketetapannya.

3.Para16Pemimpin Islam sangat sedar, siasah atau politik diukir dalam keluasan syariat yang menjadi asas dan memandu segala tindakan dan pendirian, berlegar disekitar bab muamalat, yang bersifat berubah-ubah (mutaghayyirat). Ruang siasah (Al-Faraghaat) seperti yang pernah diistilahkan Sheikh Rashid Ghanoussi inilah yang sentiasa bersifat baru dan memerlukan ijtihad.

Sebab itu hukum asal muamalat itu harus (mubah). Perkara ini adalah sebaliknya dalam perihal akidah atau akhlak, yang sifatnya tetap, tidak berubah dan tidak fleksibel. Akidah dan akhlak tidak tertakluk kepada ijtihad justeru berubah zaman dan realiti kehidupan yang moden.

Nah, dengan catatan pengantar di atas penulis ingin membuat komentar tentang kepimpinan Politikal Islam Tok Guru. Penulis hanya mampu memberi contoh-contoh secara selektif.

Terpenting, Tok Guru sangat konsisten dan tabah mendukungi teras dan prinsip Islam sebagai rahmat lil ‘aalamin. Politik Islam olahannya terpasak di atas paksi dakwah Islamiyah, sekaligus menghapuskan polemik jurang “politik vs dakwah”. Kedua anasir ini seiring dan sebati serta menonjol dalam pemikiran siasahnya.

Meskipun Tok Guru tidak dikenali sebagai ideolog parti, tetapi penghayatnnya jelas mencerminkan peranan dan kedudukan itu. Tok Guru juga dilihat oleh samada kawan ataupun lawan sebagai seorang pemimpin yang mengotakan kata-katanya atau walk the talk (cakap serupa bikin) dan punya daya ‘enterprising’ yang segar dalam garapan Siasah dan Dakwah.

Tindakan Tok Guru menyantuni para selebriti seperti Konsert Mawi di Kota Bharu dan pelbagai program ‘engagement’ dengan kelompok bidang seni sekaligus menjadi pendorong kepada trend penghijrahan golongan ‘selebriti’ di negara ini. Sedikit waktu terdahulu, ada pihak ‘agamawan’ yang kurang menyenangi PAS mengambil pentas tersebut bahkan berpolemik tentang muzik dan seni dalam Islam.

Penulis menanti sepuluh tahun untuk merealisasi resolusi Seminar Seni-Budaya anjuran Pusat Penyelidikan PAS, untuk menubuhkan Lujnah Seni dan Budaya PAS Pusat pada tahun 2012 yang di rasmikan khas oleh Tok Guru, dalam pelancaran program ‘Konsert Artis Hijrah’ sempena Muktamar ke-58 di Kota Bharu, Kelantan.

Penglibatan politiknya yang bermula sejak 1967 meletakkan Tok Guru amat peka dengan dinamika politik negeri dan negara bahkan dunia seanteronya. Evolusi tahapan pemikirannya disegi penggarapan perjuangan lebih menyerlah ketika mengemudi PAS selaku Murshidul ‘Am parti.

4.Para24Tidak kurang juga yang masih mahu tahu mengapa Tok Guru menyokong tindakan Dato Asri membawa PAS ke dalam Barisan Nasional pada tahun 1974, serentak mengingatkan umum sikapnya yang sangat ‘alergik’ dan tegas terhadap Umno sehingga ke tahap akhir hayatnya.

Kerap Tok Guru mengingatkan kepimpinan dan aktivis untuk mendahulukan dan mengutamakan mesej Islam dari kepentingan kepartaian. Apabila Islam dibela maka PAS akan turut didukungi bersama, tegasnya.

Di negara yang fahaman rasisme dan asabiyyah Melayu sangat tajam dan mendalam, bahkan menjadi modal politik bagi meraih sokongan untuk kekal berkuasa, doktrin ketuanan Melayu mewarnai ideologi dan advokasi polisi-polisi pemerintah.

Penentangan Tok Guru secara tidak berbelah bagi, layak menjadikannya lambang atau ikon pendobrak asabiyyah paling lantang dan konsisten. Rasisme, sejak berzaman dan khasnya semakin terserlah mutakhir ini, dengan repackaging baru atau transformasi kepada ketuanan Melayu-Islam (seperti yang ditaja oleh beberapa badan NGO yang pro-BN), dijadikannya sasaran untuk didobrak, dikalahkan dan disingkir dalam pencerahan mesej politik dan dakwah Tok Guru dan PAS yang dipimpinnya.

Lebih terperinci, kalau ada yang mendakwa mereka yang memulakan pendekatan engagement dengan kaum bukan Islam dan bukan Melayu untuk meruntuhkan tembok-tembok pemisah atas garis ras dan kaum, maka wajar memerhatikan Tok Guru. Siasah Tok Guru berjalan serentak dan seiring dengan dakwahnya bermula sejak pemerintahannya, awal 90an.

Tahaaluf Siyasi atau koalisi politik juga bukan fenomena yang baru bermula dengan kemenangan besar pembangkang selepas PRU ke-12 pada 2008, lantas menubuhkan Pakatan Rakyat. Tok Guru sangat prihatin memecahkan halangan ras dan rintangan kaum serta sentiasa bersedia untuk berkoalisi sebagai pendekatan siasahnya bagi mendepani cabaran kuasa pemerintah. Bahkan tahaaluf-lah yang meletakkan Tok Guru ke tampuk kuasa sejak 1990.

Tok Guru adalah perintisnya, hasil tekunan dan ijtihadnya, untuk menjayakan perjuangan politiknya dan penyebaran dakwah Islamnya. Pemimpin ini jelas menyerlahkan erti dan kefahaman tuntutan Siasatud-Dakwah, istilah gerakan Islam, yang tidak begitu popular di kalangan pimpinan PAS berbanding di negara Arab atau golongan Islamis di Indonesia.

Maksud mudahnya, dalam langkah siasah terangkum perhitungan dakwah sementara penganjuran dakwah sentiasa bermatlamatkan meluaskan tapak sokongan siasah. Tidak pernah wujud konflik, pertembungan, jauh lagi kecelaruan, seperti yang selalu dipolemik sesetangah pihak kononnya, terlalu banyak bersiasah atau sebaliknya, kritikan tidak peka dengan dakwah!

Sangat tepat dan mudah jalur pemikiran Tok Guru. Tegasnya, penulis telah lama memerhatikan Tok Guru inilah ulama haraki yang punya penguasaan (isti’ab) terhadap realiti politik pelbagai tuntutan, yang saling bertentangan (mutually exclusive) di kalangan masyarakat plural, yang majmuk di negara ini. Tok Guru tetap bertegas dan tidak mengundur, namun bijak dan licik (savvy) menangani realiti ini.

5.Para33Justeru kerana itu juga, Tok Guru pernah dicemuh dan ditohmah sebagai ‘pengamal pluralisme’ agama bahkan ‘liberal’. Golongan agamawan samada dari luar mahupun dalam parti ini cepat menuduh Tok Guru ketika mereka tidak memahami strategi siasah dan pendekatan dakwahnya. Hanya dengan ilmu, yang mengizinkan Tok Guru meneroka dan merentas keluasan siasah dan dakwah serta faham batas-batas tasaamuh atau toleransinya.

Tok Guru jelasnya ‘tidak bermudah-mudah dan tidak pula memberat-beratkan’ dalam uslub atau pendekatan Dakwahnya, cerminan pendirian ‘Wasatiyyah’ sebenar dalam Islam.

Tok Guru tidak takut dikritik ketika hadir menziarahi kematian Sami Buddha yang terkemuka. Tok Guru menghadiri tempat ibadat seperti tokong dan keramaian budaya di restoran-restoran besar di kalangan kaum Tionghua meskipun arak serta hidangan yang kurang ‘menyenangkan’ di mata masyarakat ummat Islam persis Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimin, yang menyatuni dan berdakwah kepada anak muda Mesir di pusat-pusat hiburan di bandar-bandar di Kaherah.

Bahkan Tok Guru dikatakan memberi keutamaan meraikan program seumpama ini, seandainya bertembung dengan perihal pentadbiran yang lain.

Kerap Tok Guru memulakan ucapannya di hadapan kaum Tionghua dengan ayat-ayat al-Quran yang releven dan sesuai dengan tujuan dakwahnya. Contohnya, kerap Tok Guru mengungkapkan ayat 13 Surah Hujurat yang menekankan manusia dari datuk dan moyang yang sama yakni Adam dan Hawa. Itu perkara biasa.

Namun apabila Tok Guru tekankan bukan sahaja “kita bersaudara”, tetapi acap didengari menggunakan kalimat kita ini “adik-beradik” itu ajaib dan istimewa. Wow!

Dari sudut psikologi komunikasi, Tok Guru lebih arif bagaimana untuk menjadikan dakwah dan mesej politik yang benar-benar berkesan sekaligus inklusif, yang merangkum dan terangkum serentak menambat hati budi dan pemikiran kaum Tionghua khasnya di bumi Kelantan itu. Tidak aneh kalau akhbar Mandarin menobatkannya “Tok Guru Sepanjang Zaman”. Ajaib.

Bandingkan hakikat ini dengan pelbagai episod konflik kaum yang tidak ada kesudahan di negara ini, seumpama kontroversi oleh seorang menteri mutakhir ini. Perkauman sudah mendarah-dagingi warga negara ini. Malangnya umat Islam tidak mampu menunjukkan penyelesaiannya, bahkan juga sebati dan berakar-umbi dalam benak hati dan pemikiran, justeru kerana tidak mendapat pencerahan Islam sebenarnya.

Persoalan yang perlu dihalusi adalah mengapakah Tok Guru mengambil pendekatan untuk benar-benar melazimi dan mendampingi kaum Tionghua, sehingga negara luar yang pertama dilawati sebaik sahaja menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, ialah membuat lawatan ke negara China?

Mengapakah Tok Guru mengizinkan kalimah “Allah” digunakan dan tidak salahgunakan penganut agama lain, sementara wujud golongan agamawan yang bertegas dan berkeras untuk tidak mengizinkan sehingga ke hari ini?

Terdahulu, ramai masih ingat pelbagai reaksi dan kontroversi terhadap usaha Tok Guru membina masjid yang rekabinanya berbentuk bumbung pagoda, sehingga mendapat jolokan Masjid Cina.

Mungkin telah ada masjid seperti ini lebih awal di negara ini, tetapi tatkala Tok Guru membinanya ia punya matlamat yang jelas dalam siasah dan dakwahnya bagi menambat hati kaum Tionghua dan meredakan prajudis terhadap Islam. Kerap Tok Guru menekankan kaum Cina lebih dahulu Islam dan lebih ramai Islam dari orang Melayu!

Mesej Tok Guru ini sangat menyerlahkan penghayatan siasah dan dakwahnya. Bukan sahaja untuk kekal berkuasa seperti sang penguasa politik di mana pun di dunia ini.

Seperkara lagi, meskipun Tok Guru sedar, demografi negara ini berteraskan majoriti orang Melayu pastinya, sengaja Tok Guru lontarkan, satu hari nanti mahu dilihat seorang Perdana Menteri berketurunan Cina. Melompat pelbagai pihak. chauvinist Melayu pastinya berang dan kita mampu faham. Tetapi chauvinist Cina pun marah, sebab kononnya Tok Guru mahu ‘Islamkan’ mereka.

Hanya rakyat Malaysia sejati yang memahami ‘insinuasi’ bahkan ‘nuansa’ Dakwah ulama bertubuh kecil ini tetapi mempunyai minda dan mantik yang tak bertepi dan berfikir diluar kotak.

6.Para48Mampukah PAS meneruskan penerobosan pemikiran Tok Guru?

Sangat tegas dengan prinsip, kreatif dalam perlaksanaan dan antisipatif dengan cabaran dan persaingan.

Mampukah PAS memenuhi perlaksanaan syariat yang telah diasaskan oleh Tok Guru dengan penuh kebijaksanaan dalam ruang-lingkup keluasan demokrasi dan peruntukan perlembagaan negara?

Mampukah pimpinan tertinggi PAS meneruskan penegasan Tok Guru, untuk kekal bertahaaluf dalam Pakatan Rakyat sementara bijak mengurus perbezaan yang terkadangkali sangat tajam dan mendebarkan?

Itulah siyasah syar’iyah Tok Guru yang bijak persis mencerminkan sifat al-fatonah atau Kebijkasanaan para anbiya’ yang perlu dicontohi.

Itulah legasi siasatud-dakwah Tok Guru yang menambat hati-budi mereka yang mulanya curiga dan sangsi, tetapi kini sudah mula senang dengan slogan “PAS Untuk Semua” dan Islam agama yang mendamaikan dan mensejahterakan.

7.Para54Tok Guru berjaya menampilkan “Islam Adil Untuk Semua”.

Malangnya hanya setelah ketiadaannya, negara bahkan dunia mula mengiktiraf bahawa Tok Guru adalah tokoh pemimpin negara merentas agama, etnik dan budaya. Amat sukar mencari calon yang boleh dinobatkan begitu dan hilangnya sukar dicari ganti.

Banyak lagi yang harus digali dan dicerakinkan dari segenap aspek hidupnya ulama yang cukup sederhana dalam kehidupan. Cukup sekadar ini untuk penulis berhujah agar Institut Pemikiran Tok Guru yang telah ditubuhkan di bawah kerajaan negeri Kelantan benar-benar dapat diberdayakan dan biografi ulama ulung ini diabadikan secara bersungguh dan profesional.

Moga Allah merahmati ruhnya Tok Guru bersama Al-Akhyar! Amin. Al-Fatihah.


Dzul_AhmadDr Dzulkefly Ahmad adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022