Tunisia Di Persimpangan: Sebuah Wawancara Bersama Sheikh Rachid Al-Ghannouchi – Bahagian III
November 1, 2015

Oleh: Noureddine Jebnoun

Diterjemahkan oleh:  Imran Mohd Rasid

1.Para1Dr. Noureddine Jebnoun telah menemu ramah Sheikh Rachid Ghannouchi, Ketua Gerakan Ennahdah di Tunisia di rumah beliau di Tunis pada tanggal 9 Januari 2014.

Noureddine Jebnoun: Tidakkah anda merasakan bahawa identiti itu adalah hasil daripada nararif-naratif tertentu—terutama apabila sebahagian pihak merujuk pada latar belakang rakyat Tunisia dan klasifikasi yang sedia untuk melabelkan sebuah identiti tetap, misalnya seperti Phoenicia, Berber, Arab, Islam, Francophones, Islam, sekular, kiri, liberal, dan lain-lain? Mereka adalah rakyat Tunisia, dan sewajarnya parti politik tidak harus mengeksploitasi identiti Islam–Arab ini untuk tujuan politik. Hal ini boleh menjejaskan perpaduan masyarakat Tunisia dan menyebabkan perpecahan. Adakah anda bersetuju dengan hujah ini?

Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Latar belakang elit Tunisia yang sekular mula berkembang dan lahir daripada konteks tertentu yang wujud semasa era penjajahan: pengaruh asing mula mneyerap masuk ke dalam budaya segelintir masyarakat Tunisia, serta mula campur tangan dalam gaya hidup mereka, dan seterusnya mengubah kelompok ini mejadi kelompok elit politik yang dikawal oleh pihak  berkuasa.

Hal ini menyebabkan masyarakat Tunisia terbahagi kepada dua: Pertamanya ialah masyarakat di kawasan luar bandar, iaitu masyarakat yang lebih tradisional yang berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan nilai-nilai tradisional yang dipegang semasa mereka membesar dan berkembang; dan keduanya ialah masyarakat moden yang mempuyai masalah idiosinkrasi yang mewakili gaya hidup moden Perancis, dan mereka ini berhadapan dengan masalah-masalah tertentu yang menyentuh soal hubungannya dengan agama.

Masalah-masalah ini berbeza-beza antara masyarakat dan tidak sama pada semua orang yang menganut faham sekular. Perkataan “laïcité” misalnya tidak sama maknanya dengan sekularisme.

2.Para6.Lower RightDi Britain, sebagai contoh, terdapat seorang ratu yang mewakili gereja dan dia adalah “Pembela Iman dan Gabenor Teragung Gereja England,” manakala Perancis pula melarang perempuan Muslim Perancis, dalam kalangan rakyat dan pendatang, untuk memakai hijab di tempat-tempat awam. Walhal hijab tidak pernah pun menjadi isu di mana-mana negara Eropah kecuali Perancis.

Kejelekan yang begitu mendalam terhadap apa-apa sahaja yang berkaitan dengan agama berakar dari sejarah kelahiran caesarean negara Perancis dan persengketaannya dengan insitusi gereja. Kerajaan Perancis menganggap dirinya bukan sekadar perwakilian, sebaliknya sebagai pemutus kepada definisi sebuah bangsa, dan penjaga identiti masyarakat di dalamnya.

Hal ini berbeza dengan negara British, yang mengekspresikan ide pluralisme (Inggeris, Scotch, Ireland, dan Walsh); di mana kerajaan British sendiri adalah hasil daripada pluralisme ini.

Perancis pula tidak membenarkan penubuhan parti diraja kerana ia percaya bahawa kewujudan parti tersebut merupakan ancaman kepada republik dan menjejaskan dasar negara. Oleh sebab itu, kebebasan yang diberikan mempunyai had tertentu yang tidak boleh dilangkaui, dengan alasan bahawa kerajaanlah penjaga rasmi identiti negara.

Kelompok elit Tunisia termasuk dalam kerangka fikir Perancis ini, dan hal ini menjadikan kewujudan bersama dengan Islam menjadi sukar, terutamanya dalam hal Islam dan keterbukaanya kepada semua. Agama Islam tidak bersetuju untuk membiarkan dirinya hanya diterhadkan kepada kepercayaan individu dalam ruang yang begitu sempit seperti yang dicanangkan oleh kerajaan—terutama seperti yang diperkenalkan melalui model Perancis. Orang Islam memahami konsep tauhid dengan meletakkan Islam sebagai teras kehidupan dan Allah adalah kuasa tertinggi, dan ini bermaksud bermaksud Islam merangkumi hal agama, keduniaan dan kenegaraan (Dīn, Dunya wa Dawla).

Oleh sebab demikian, kewujudan bersama antara kedua-dua pandangan ini berkenaan soal peranan agama Islam dalam masyarakat Tunisia tidak boleh diselesaikan dengan mudah; seolah-olahnya wujudnya pembahagian masyarakat kepada dua bangsa yang berbeza yang mahu hidup sebagai satu negara.

Ennahdah memberikan penafsiran Islam yang mengangkat dengan tinggi tema toleransi sebagai satu formula untuk kewujudan secara bersama dengan golongan sederhana dan berusaha untuk menilai  konflik yang berlaku bukan dari kaca mata konflik identiti atau konflik ideologi, sebaliknya ia adalah sebuah konflik politik antara dua kutub yang ekstremis: ekstremisme sekular dan pelampau Islam.

3.Para13.Lower RightNegara ini milik semua rakyatnya pada peringkat yang sama, dan ia terdiri daripada rakyat yang berasaskan konsep  kewarganegaraan, dan tiada siapa yang boleh mendakwa diri mereka sebagai pemegang amanah di negara ini. Ide seperti ini tidak mudah untuk diterima oleh semua orang—khususnya, golongan pelampau dalam Masyarakat Tunisia. Setiap pihak, baik puak ekstremisme Islam atau ekstremisme sekular, sering mendakwa bahawa mereka mempunyai misi dan berusaha untuk memaksakan perlaksanaannya kepada majoriti rakyat.

Sungguhpun kelompok pelampau ini wujud, kebanyakan orang Tunisia sebenarnya bersedia mematuhi konsep kewarganegaraan, yang berdasarkan kepada kehidupan yang aman dalam satu negara, serta memberi ruang yang cukup untuk semua rakyat di sebalik perbezaan agama yang wujud. Misalnya kelompok ekstremis sekular tidak menghormati perasaan majoriti, yang beragama Islam, apabila mereka menganggap berpuasa di bulan Ramadhan sebagai ritual individu yang tidak sepatutnya memberi kesan kepada gaya hidup masyarakat pada bulan tersebut. Hal ini tergambar dalam pandangan bekas Presiden Bourguiba, yang mengarahkan rakyat agar tidak berpuasa kerana beliau percaya rakyat Tunisia yang berpuasa akan memberikan kesan negatif ke atas kitaran produktiviti negara dan ekonomi secara keseluruhan. Semasa Ramadan tahun 1958, apabila saya  masih berada di sekolah menengah, pentadbiran institut sengaja enggan memberikan kami makanan sebaik sahaja selepas matahari terbenam, iaitu sekitar jam 5 petang, untuk kami berbuka puasa. Mereka cuba untuk memaksa kami untuk makan malam pada masa yang dijadualkan sepanjang tahun sekolah, iaitu pada jam 8:00 malam; tiga jam selepas matahari terbenam. Tambahan lagi, Sahur (makan pada awal pagi) adalah dilarang oleh pihak pentadbiran institut. Ini menggambarkan pemahaman yang cetek oleh pihak kerajaan Tunisia, yang diwakili pada masa itu oleh institusi pendidikannya, bahawa bulan Ramadan menyebabkan berlakunya perubahan dalam gaya hidup masyarakat, dan sewajarnya kerajaan dan semua institusi harus bertimbang rasa dengan perubahan sementara dalam bulan tersebut.

Namun sebaliknya, wujud pula satu bentuk pengawalan oleh kerajaan Tunisia, di bawah pemerintahan Bourguiba itu, untuk memaksakan gaya hidup tertentu ke atas rakyat Tunisia—tanpa mengambil peduli akan sensitiviti dan nilai-nilai yang dipegang rakyat—atas alasan bahawa masyarakat Tunisia adalah masyarakat yang “bertamadun” dan “moden.”

Noureddine Jebnoun: Sheikh al-Ghannouchi dilihat sebagai pelopor awal tradisi pemikiran politik Islam yang “realistik”; tetapi sesetengah pemimpin dalam Gerakan Ennahdah, seperti Sheikh Abdel Fattah Morou, digambarkan sebagai sebahagian daripada jalur pemikiran “pembaharuan dan reformasi Islam.” Sheikh Sadok Chourou pula dikaitkan dengan aliran “konservatif tradisional” dalam gerakan. Dan adalah dipercayai bahawa jalur “tradisional konservatif” ini terdiri majoritinya daripada ahli Ikhwanul Muslimin di Mesir. Oleh sebab itu, kritikan utama yang ditujukan kepada Ikhwanul Muslimin adalah kelompok ini tidak berubah mengikut arus perdana dalam projek kemasyarakatan dan politik serta gagal untuk mengangkat pendekatan “realistik” seperti yang dibawakan oleh Sheikh Rachid al-Ghannouchi. Bagaimana anda melihat hujah ini?

Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Anda tidak boleh memisahkan mana-mana aliran pemikiran dari persekitaran dan latar belakang mereka sendiri. Apa yang baik untuk Mesir tidak semestinya baik untuk Tunisia, dan begitu juga sebaliknya.

4.Para18.Lower RightMaka, pemikiran kita mesti tidak terpisah daripada keperluan kita sendiri, dan kita menilai pemikiran ini berdasarkan keupayaannya untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan mengemudi laluan keluar dari sebarang masalah yang ada. Oleh itu, saya percaya golongan elit Mesir gagal menguruskan urusan dalamannya. Tidak kiralah siapa pun yang bertanggungjawab atas kegagalan tersebut, kerana tuntasnya praktis mereka tetap menemui kegagalan. Apabila rakyat sendiri telah mula membunuh antara satu sama lain, hal ini menunjukkan bahawa kelompok elit telah gagal kerana mereka tidak dapat menghalang pertempuran rakyat di dalam negara mereka. Di sini boleh kita katakan pertempuran dari dalam ini adalah kegagalan yang paling utama sekali sebenarnya.

Berkemungkinan besar dapat kita simpulkan bahawa kesemua pihak bersama-sama berkongsi tanggungjawab atas kegagalan ini, tetapi dalam perkadaran yang berbeza. Dalam konteks ini, saya ingin mengingatkan pesan Nabi Muhammad yang bersabda: “Pembunuh dan juga yang dibunuh, keduanya akan berada di neraka.”

Sebaliknya di Tunisia, kita melindungi negara daripada nasib ini, dan ini telah menjadi tanggungjawab bersama yang dipikul oleh Ennahdah dengan kerjasama dengan parti-parti politik lain untuk membantu Tunisia mengelakkan tragedi yang sama yang telah berlaku di Mesir. Maka penghargaan juga harus diberikan kepada semua pihak, tetapi juga dalam perkadaran yang berbeza. Tanpa mahu tampak terlalu membangga diri boleh saya katakan Ennahdah mempunyai bahagian yang lebih besar dalam sumbangan ini kerana kami bertindak dalam posisi memegang kuasa dan masih sanggup membuat keputusan untuk melepaskanya secara sukarela tanpa pilihan raya atau hasil daripada revolusi atau rampasan kuasa tentera. Kami mengambil keputusan untuk melepaskan kuasa melalui kompromi. Kami nekad untuk menyerahkan kuasa yang kami peroleh dalam pilihan raya yang demokratis serta adil dan diakui dunia.

Kami tidak menyerahkan kuasa dengan sebarang keganasan, namun harus diakui wujud tekanan daripada parti-parti politik yang lain kerana, umumnya, dunia yang kami ceburi ini adalah dunia politik, dan seperti yang anda tahu dunia politik ini bukanlah satu dunia yang dipenuhi sifat ihsan.

Tekanan tersebut bukanlah satu tekanan yang besar kerana kerajaan yang ditubuhkan mempunyai majoriti dalam NCA dan sokongan untuk Ennahdah di jalanan adalah lebih besar berbanding untuk kelompok yang lain. Apabila kita menyeru untuk diadakan demonstrasi di Kasbah pada bulan Ramadan, 2013, sekurang-kurangnya suku juta rakyat menyahut seruan kami. Mobilisasi popular seperti ini tidak pernah berlaku lagi dalam sejarah Tunisia.

Makanya kerajaan yang ada hari ini tidaklah terpencil, sebaliknya mereka menerima sokongan orang ramai. Walau bagaimanapun, saya tidak boleh mengatakan dengan pasti bahawa kerajaan sekarang sedang dalam posisi yang selamat.

5.Para24Negara Tunisia kini memang sedang sakit dalam pelbagai peringkat. Oleh itu, adalah perlu untuk mengambil langkah yang berani untuk membawa negara keluar dari situasi bermasalah ini—yakni  satu situasi yang boleh mencetuskan segala macam bentuk keganasan, seperti pembunuhan dan rampasan kuasa tentera. Kami cuba untuk mengelakkan tekanan yang tidak rasional seperti perkiraan yang salah oleh sesetengah pihak yang boleh membawa bencana kepada negara. Ennahdah telah bertindak bijak pada masa lampau dan akan terus bertindak dengan bijak melalui penilaian yang objektif bagi membaca keadaan dan kami menyimpulkan bahawa jika kita kekal terus di atas jalan ini, kita semua akan mengalami kerugian, dan analisis akhir kami juga menyimpulkan, kerugian yang paling besar akan ditanggung oleh negara Tunisia keseluruhannya. Kami sentiasa menumpukan kepentingan jangka panjang dan bukannya kepentingan parti semata-mata.

Kami melihat dengan mengekalkan kuasa untuk parti tidak memberi manfaat buat negara berbanding manfaat yang diperoleh melalui kejayaan pilihan demokratis di Tunisia. Hal ini akan menyediakan asas untuk kebebasan berserta sebuah perlembagaan yang dirangka berdasarkan konsensus, dan hal ini membuka jalan untuk kehidupan politik di Tunisia lebih demokratis dan seterusnya membina sistem demokrasi tu sendiri.

Kami percaya bahawa jika kami kekal berkuasa, objektif yang dinyatakan sebelum ini tidak akan tercapai; yang berlawanan, yang sebaliknya mungkin berlaku. Jika kami kekal berkuasa hal ini boleh mencetuskan perang sivil dalam bentuk konflik berdarah dan rampasan kuasa tentera. Perkembangan seperti ini membuka ruang untuk justifikasi akan keganasan politik dalam wacana masyarakat Tunisia.

Oleh sebab itu, kepentingan negara bergantung pada pemilihan demokratis ini. Pilihan ini menggesa kami untuk melepaskan kuasa, bukan kerana dipaksa oleh sesiapa, tetapi kerana kami bertanggungjawab mengutamakan masa depan Tunisia.


Imran Mohd Rasid adalah graduan University of Manchester dalam bidang Politik, Filosofi dan Ekonomi yang juga merupakan pengasas bersama Universiti Terbuka Anak Muda dan seorang Felo di Islamic Renaissance Front. Wawancara ini diterbitkan oleh Al Waleed bin Talal Center for Muslim-Christian Understanding, (ACMCU), Georgetown University pada April 2014.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022