Book Dissection: “RADICAL REFORM: ISLAMIC ETHICS AND LIBERATION” oleh Prof. Tariq Ramadan – Bahagian III

September 14, 2016


book-muziru-20160917-slider

Date: Sabtu, 17 September 2016
Time: 5-7PM
Venue: Graha Pemuda, Sri Hartamas

Registration: https://www.eventbrite.com/e/book-dissection-radical-reform-islamic-ethics-and-liberation-oleh-prof-tariq-ramadan-bahagian-iii-tickets-27718411515

Presenter: Ahmad Muziru Idham

Organized by: Islamic Renaissance Front (LOGO)

Keperluan kepada reformasi pemikiran Islam adalah sesuatu yang mustahak dan seringkali dibincangkan oleh ramai ilmuwan kontemporari. Cabaran global dalam pelbagai aspek kehidupan dan pemikiran membawa kepada seruan untuk membangkitkan semula semangat agama dalam diri para penganutnya agar dapat wujud sebagai sebuah komuniti yang tidak terasing daripada arus masa namun dalam masa yang sama keimanan dalam diri seorang Muslim itu tidak berkurangan. Pentingnya kepada pengharmonian antara sumber tekstual, tujuan spiritual, dan tradisi intelektual adalah dalam mewujudkan sebuah komuniti masyarakat yang mampu mengimbangi antara tuntutan moral agama dan relativiti global.

Tariq Ramadan melihat bahawa perdamaian antara teks dan konteks adalah suatu keperluan bagi mengekalkan makna agama itu tidak tersasar daripada tujuannnya. Pergantungan terhadap teks semata-mata atau terikat dengan disiplin tradisi yang tidak diperbaharui akan menyebabkan semangat agama ditenggelamkan oleh arus zaman dan akan mengosongkan ruang spiritual diri seseorang manusia lalu terjebak kepada nihilisme. Manakala pertalian antara konteks dengan teks agama juga adalah penting supaya pergerakan sesuatu perkara dibingkai oleh disiplin agama yang tersusun dan menjaga nilai-nilai moraliti agar tidak terdedah kepada pemanipulasian kekuasaan yang menjerumuskan kepada ketidakadilan.

Sebab itu penting untuk perbincangan wacana global tidak terikat kepada sekadar perbincangan fekah semata-mata yang sekadar menjerumuskan kepada perbincangan hukum-hakam dan persoalan halal dan haram. Penyusunan strategi bagi mengembalikan moral agama ke dalam wacana kontemporari adalah lebih penting agar kestabilan global itu dibina tanpa menjejaskan dimensi spiritual dalam diri manusia.

Oleh sebab itu, bahagian ketiga untuk sesi bedah buku Radical Reform ini akan membincangkan secara khusus beberapa persoalan global yang dijadikan sebagai wacana praktikal dalam menerapkan pembaharuan semula metodologi disiplin tradisi Islam oleh Tariq Ramadan ke atas isu-isu seperti tradisi dan pembebasan wanita, ekologi, ekonomi, kekuasaan, pendidikan, masyarakat dan lain-lain lagi. Perbincangan akan lebih berfokus untuk melihat bagaimana penglibatan moraliti dan spiritualiti diterapkan ke dalam disiplin ilmu tersebut tanpa menjejaskan dasar saintifik dan evolusinya.

Program:

1700-1710: Ucapan moderator, Shuhaib Ar Rumy Ismail
1710-1800: Pembentangan tentang Radical Reform: Islamic Ethics And Liberation – Bahagian III oleh Ahmad Muziru Idham
1800-1900: Perbincangan dan soal jawab
1900-1930: Minum petang
1930: Solat