Seminar Pemikiran Reformis – Siri V: Ibnu Taimiyyah
October 14, 2016

gray-V

 

Tarikh: Sabtu, 26 November 2016
Jam: 9AM – 5PM
Tempat: Persatuan Akademik Universiti Malaya Clubhouse (PAUM), Jalan Susur Damansara, Kuala Lumpur

Pendaftaran: https://www.eventbrite.com/e/seminar-pemikiran-reformis-siri-v-ibnu-taimiyyah-tickets-27871517459?aff=ehomecard

Ucaptama: Sahibus Samahah Dato’Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Panelis:
Ustaz Dr Muhamad Rozaimi Ramle
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Ustaz Abdul Rasyid Idris
Institut Al-Qaiyyim

Dr Azhar Ibrahim,
National University of Singapore

Moderator:
Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
Islamic Renaissance Front

Shaykhul Islam Taqi ad-Din Ahmad Ibn Taymiyah adalah ulama hukum, ahli kalam dan pelopor mazhab fiqh dan sosok yang fenomenal dan penerus legasi Imam Ahmad ibn Hanbal dalam mazhab Hanbali di Timur. Beliau merupakan pendiri mazhab Salafi yang berjuang menegakkan fahaman al-Qur’an dan as-Sunnah yang asli dengan pengikut yang ramai dalam aliran ahlus-sunnah wal-jamaah. Dan diantara muridnya yang cemerlang adalah Imam Ibnul Qaiyyim, Imam Az-Zahabi dan Ibnu Kathir, ulama’ tafsir yang terkemuka.

Pengaruh Ibnu Taimiyyah yang signifikan dan meluas sejak abad ke lapan hijrah, telah bertahan sebagai aliran terpenting dalam mazhab pemikiran Islam kontemporer. Ideologi dan falsafah kalam yang dikembangkannya memperlihatkan kekuatan idealisme dengan gagasan salafi yang barakah yang diperjuangkannya dan didukung oleh gerakan Islam yang besar di abad ini seperti al-Ikhwan al-Muslimun dan dipertahankan oleh ahli-fikir Islam yang utama seperti Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, al-Mawdudi, Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Rida, Muhammad al-Khudari, Mustafa al-Maraghi, Jamaluddin al-Qasimi, Mahmud Shaltut, Muhammad Abu Zahrah, Yusuf al-Qaradawi, Muhammad al-Ghazali, Muhammad Nasir al-Din al-Albani dan sebagainya.

Dilahirkan di kota Harran, yang terletak di Turki, berhampiran sempadan Syria, beliau berdarah Kurdish dan hidup dalam zaman yang bergolak ketika serangan Mongol ke atas negara Islam. Antara karyanya yang utama adalah as-Siyāsah al-Sharʿiyyah, Kitab Al-Iman, Tafsir al-Kabir, Fatawa al-Kubra serta puluhan kitab yang lain. Ibnu Taimiyyah adalah sosok yang sangat kritis terhadap pemeritah yang berkuasa pada zamannya. Fatwa-fatwa beliau menyebabkan kemarahan pemerintah dan beliau dituduh sebagai penghasut umat. Kerana ketajaman kritikan beliau itulah, beliau dipenjara sebanyak empat kali. Namun beliau tetap vokal dan lantang bersuara mengkritik pemerintah dengan gagah berani. Dalam perjalanan hidupnya yang penuh tantangan dan rintangan itu, beliau tetap konsisten dalam prinsip kebenarannya sebagai seorang pejuang yang sejati.

Dan demi memandangkan kepada pengaruh, semangat dan terobosan pemikirannya yang menakjubkan di dunia Islam dan kesan pemikirannya kepada gerakan revivalis dan tajdid di kalangan gerakan Islam masakini, seminar ini bertujuan untuk membahas kedalaman fikrah dan keteguhan hujah yang dipaparkan dalam kitab dan karya-karya Ibn Taymiyah dan aliran mazhab salafinya yang kini telah dituduh sebagai pencetus kepada budaya ekstemisme dan terorisme di dunia pada hari ini.

Program:

0830-0900: Pendaftaran dan minum pagi
0900-0905: Ucapan oleh Pengerusi majlis, Shuhaib Ar Rumy Ismail
0905-0915: Bacaan al-Qur’an oleh Thufail Sayuti. Surah An-Nisa’: 94-99
0915- 0955: Ucaptama oleh Sahibus Samahah Dato’Arif Perkasa
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
0955-1000: Ucapan pengenalan oleh moderator, Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
1000-1045: Pembentang I: Ustaz Dr Muhamad Rozaimi Ramle
“Kontroversi Fatwa Ibnu Taimiyyah: Suatu Analisis”
1045-1215: Perbincangan dan soal jawab
1215-1415: Makan tengahari dan solat
1415-1500: Pembentang II: Ustaz Abdul Rasyid Idris
“Suasana Hidup Ibnu Taimiyyah”
1500-1545: Pembentang III: Dr Azhar Ibrahim
“Ibnu Taimiyyah Dalam Pertarungan Idea: Dahulu Dan Masakini“
1545-1700: Perbincangan dan soal jawab
1700: Minum petang dan bersurai

 

Biografi ringkas pembentang-pembentang yang terlibat:

Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle lahir pada 22 Jun 1983. Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tasek Ipoh, dan Sekolah Menengah di Sekolah Izzuddin Shah Ipoh dan telah menduduki peperiksaan SPM di sana pada tahun 2000. Beliau telah berangkat ke Jordan pada tahun 2001 untuk menyambung Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Mu’tah Jordan. Beliau telah berkhidmat di Majlis Agama Islam Perak sebagai pegawai zakat pada tahun 2007. Pada tahun 2008, beliau dilantik menjadi tutor di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI. Beliau telah menyambung pengajian sarjana hadith di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) pada tahun 2008, ditaja oleh UPSI. Seterusnya beliau menyambung pengajiannya di peringkat PhD di University of Jordan pada tahun 2011 bawah tajaan UPSI dan tamat pengajian pada 1 Disember 2014. Beliau telahh dilantik menjadi pensyarah kanan di UPSI pada tahun 2015. Dr Rozaimi juga merupakan ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan sangat aktif mempromosikan budaya kritis dalam menanggapi hadith dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Ustaz Abdul Rasyid Idris dilahirkan di selangor pada tahun 1974. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu, Negeri Sembilan. Kemudian melanjutkan pelajaran ke the University of Jordan, Amman, Jordan dan memperolehi B.A. (Hons) di dalam jurusan bahasa dan kesusasteraan arab. Beliau juga memperolehi diploma pendidikan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seterusnya beliau mengikuti pelajaran di Universiti Sains Malaysia dan memperolehi M.A. dalam bidang tamadun (falsafah dan pemikiran islam) hasil tesis beliau yang berfokus pada pemikiran Ibn Taymiyyah dan falsafah yunani. Di dalam bidang al-qur’an, beliau mempunyai sijil al-qur’an dan sanad riwayat al-Hafs ‘an ‘Asim daripada Sheikh Ibrahim Rumahnah, Masjid Universiti of Jordan. Memulakan kerjaya sebagai seorang guru kemahiran al-qur’an di Sekolah Menengah Pekan Baru, Parit Buntar, Perak. Beliau merupakan seorang pendakwah bebas yang aktif mengajar di masjid-masjid dan surau-surau. Beliau kini adalah Penasihat bagi Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim Malaysia.

Dr Azhar Ibrahim adalah Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Beliau telah menerima Ph.D., MA, daripada Jabatan yang sama pada tahun 2002 dan 2008. Disertasi beliau bertumpu pada hal humanisme dan intelektualisme dalam kesusasteraan ilmuwan Melayu manakala tesis MA beliau adalah berkenaan kajian orientasi keagamaan seperti yang tercermin dalam masyarakat feudal Melayu dan penerusannya hingga ke hari ini. Beliau mengambil jurusan Pengajian Melayu dan Pengajian Asia Tenggara pada peringkat ijazah. Beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah selama hampir sedekad di Institut Pendidikan Kebangsaan (NIE), Universiti Teknologi Nanyang, mengajar persuratan Melayu klasik dan moden, sosiologi Bangsa Melayu, dan juga tradisi intelektual dan peradaban Islam. Beliau juga telah berjaya menyiapkan pengkajian di peringkat pasca kedoktoran di Faculty of Theology, University of Copenhagen, Denmark (2009/2010), dan kemudian di Tample University, USA (2010/2011). Kajian beliau berfokus pada Teologi Sosial dalam Muslim Asia Tenggara: Trend dan Cabaran, dan Teologi Dialog dalam Masyarakat Melayu-Indonesia: Prospek dan Halangan. Beliau telah menulis banyak makalah dan buku-buku dalam bahasa Inggeris dan Melayu dan sangat aktif memberikan syarahan di Malaysia dan juga antarabangsa.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022