Dimensi yang hilang dalam pemikiran kontemporari gerakan Islam
June 4, 2013

Islam dan Kesejahteraan Sosial
Terdapat perdebatan konsep gerakan sejarah seperti yang telah dihuraikan oleh Arnold Toynbee yang hanya memberi fokus penelitian kepada pengaruh alam sekitar tabii sebagai faktor utama yang menerangkan perubahan, begitu juga dihuraikan sebagaian pengaruh lain seperti aliran Marxis yang melihat kepada faktor penekanan pengaruh tekanan ekonomi.

Walaubagaimapun, seperti yang dinyatakan didalam buku On The Origin Of Human Society tulisan Malik Bennabi, hakikatnya perjalanan dan dinamika gerakan sejarah adalah faktor yang berasal dari tekanan faktor psikologi yang sebenarnya berasal pula dari tekanan rohani yang tertentu maka tenaga rohani yang membentukkan jiwa itu tenaga pemacu dalam sejarah umat Islam.

Konsep pembentukan pastinya akan menentukan kesan kepada kehidupan manusia dan suasana sekitar kehidupan didalam masyarakat itu. Sejak awal sejarah dimana manusia berperanan dimuka bumi, terdapat dua masharakat manusia dan bergerak kedua arah atau kutub yang saling berlawanan, dua bentuk yang saling bermusuhan dan ia menggambarkan kepada realpolitik yang berlaku pada gambaran historis itu.

Book-Man-and-IslamAli Shariati didalam buku Man and Islam ada mengatakan kutub pertama merupakan kutub negatif yang diwakili oleh mereka yang menghambat kemajuan dan evolusi dengan melakukan perbuatan jahat, dictator dan penyelewengan dengan jalan menindas, memperbodohkan massa kemanusian dengan jalan menegakkan tirani atas rakyat, dan merampas hak-hak serta menanamkan benih-benih rasisme, fanatisme dalam masharakat, keluarga, suku, ras dan lembaga-lembaga mereka.

Manakala kutub kedua adalah kutub positif kemanusiaan, yang selalu menentang tirani dan ketidakadilan serta korupsi demi menegakkan pendamaian dan keadilan serta persaudaraan dimuka bumi, terus menerus berada dalam pertempuran melawan kutub yang negatif tersebut. Kutub kedua sentiasa memimpin kekuataan kolektif massa yang berjuang melawan kekuasaan dan hak-hak istimewa dari kelas penguasa.

Sejarah peristiwa ini telah dibuktikan didalam penceritaan konflik kisah anak Adam antara Qabil dan Habil. Apa yang terjadi diantara keduanya merupakan suatu cerita penting didalam sejarah manusia. Fenomena ini telah membentukkan keadaan masyarakat didalam hukum kehidupan yang melibatkan pembentukkan kesejahteraan keadaan hidup. Islam dan kesejahteraan didalam masyarakat adalah falsafah yang tiada terdapat perkara yang menjadi keraguan didalamnya dan ianya mengangkat ketenangan, keamanan masyarakat dan menjauhi segala jurang ketakutan yang boleh menghalang kepada pembangunan Insan mahupun kemanusiaan.

Pembentukkan yang dianjurkan Islam adalah merangkumi kepada konsep asasi yang membawa kepada pembangunan Insan didalam masyarakat ianya tidak akan mengubah tujuannya dan konsepnya yang dipandu kepada keperluan dan keinginan pembaikkan insani. Maka konsep kesejahteraan sosial mesti tidak keluar atau melanggari maqasid asy-syari’ah yang didasarkan kepada lima nilai iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Maka seperti memeliharaan Insan, maqasid tidak akan terhenti hanya kepada pemeliharaan sudut jasadiah semata tetapi ianya memenuhi fitrah insaniah sebagai manusia.

Diskusi Keadilan dalam masyarakat madani

Aristotle dIdalam bukunya Nicomachean Ethics meletakkan keadilan sebagai keutamaan yang paling penting dalam politik kerana keadilan adalah perkara yang paling utama dilaksanakan berbanding dengan keutamaan yang lain kerana perlaksanaannya melibatkan atau berkaitan dengan manusia. Baginya ia adalah sebuah keadaan tanggungjawab dan tuntutan yang mesti dilaksanakan untuk manfaat manusia.

Islam adalah kepercayaan pencapaian kerja di dalam bidang kehidupan praktikal, ia bukan agama pada kata-kata semata atau bimbingan abstrak yang wujud dalam dunia imaginasi. Islam adalah agama universal atau berkonsep menyeluruh didalam semua aspek kehidupan. Ia meletakkan nilai keadilan sebagai asas didalam kepercayaan beragama. Ia tidak memisahkan konsep keadilan dalam kemanusian dengan memisahkan antara jiwa dan jisim, spiritual dan intellektual didalamnya. Konsep keadilan hendaklah dilaksanakan dalam bentuk hubungan subjek dan objek dan kepentingan meletakkan kefahaman kepada subjek iaitu manusia mesti diutamakan sebagai penghubung kepada yang lain didalam ruang memberi keadilan.

Tidak ada nada keadilan jika individu ditekan dan hak asasinya dinafikan. Keadilan juga tidak akan wujud selagi tata dunia dikuasai oleh sekelompok penguasa yang menyerukan demokrasi dalam negara tetapi menodainya diluar negaranya.
Konsep kefahaman keadilan hendaklah menjadi teras kesatuan didalam moral masyarakat plural. Kehidupan masyarakat plural seperti Malaysia memerlukan kepada ide kebersamaan tentang hidup yang baik – good life – untuk bersama membentuk keluar dalam bentuk kesulitan konflik sosial. Nilai keadilan mestilah dijadikan pendukung masyarakat sebagai nilai bersama yang mengikatkan kesepaduan hubungan sosial dan ia sangat diperlukan didalam masharakat politik yang plural.

John Rawls didalam idenya menerusi A Theory of Justice tentang teori keadilan menegaskan kehidupan yang majmuk atau plural baginya mesti diangkat atau diikat masyarakatnya dengan konsep politik keadilan dan bukannya moral semata. Baginya dalam sesebuah masyarakat, politik keadilan mestilah diangkat dan keutamaannyalah yang paling tertinggi. Bagi John Rawls, alam pluralisme, ikatan sosial tidak dibangun pada lewat komuniti moralitas melainkan melalui kesedaran memberi ruang toleransi bagi setiap komuniti masyarakat yang hidup dalam keberagaman nilai, agama, dan pandang hidup dan bersedia menghargai dan menerima kehadiran moral yang berbeza.

Bagaimanapun, ia meletakan perlembagaan kepada asas pengikat masyarakat. Persoalan bermain sentiasa bagaimana untuk memperolehi keadilan pada masyarakat dalam pandangan Islamiyyah?

Ad-daulah Madinah yang diperlukan pada marhalah selepas revolusi, dimulakan dengan keadilan sosial, maka tidak perlu tidak bahawa yang pertama yang diangkat adalah keadilan sosial didalam masyarakat Arab selepas kehilangan yang panjang.

Firman Allah: “Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. [Surah al-Hasyr: 7]”

FirmanNya lagi: “Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. [ Surah an-Nisa’: 58 ]

Keadilan bukanlah kesamaan sama rata, tetapi keadilan yang diperlukan disana adalah kesamaan di dalam hak dengan makna ia mengandungi hak kemanusiaan dan mengiktiraf akan haknya. Dan terlaksananya keadilan ini pada falsafah tasyri’iyyah yang meletakkan sebahagian piawaianya dengan dinamakan “Hak-Hak Asasi” maka digambarkan hak asasi didalam Islam adalah mencapai yang diperlukan didalam maqasid syar’iah sebagai pemeliharaan agama, diri, akal, keturunan, harta dengan makna memelihara asas-asas sesuatu dan didasarkan pada peringkat individu dan kumpulan.

Di Malaysia, kepercayaan menggerakkan wacana minoriti sukar dilaksana dan menjadi penghalang kepada para Islamis serta budaya kuasa milik penuh pemerintah tertinggi menguasai budaya dan pemikiran masih wujud jika konsep kuasa masih bergerak pada had pemerintah kepada rakyat.

Michel-Foucault

Michel Foucault

Budaya ini mesti dihilangkan dalam membentuk kuasa wacana pengetahuan masyarakat bukan hanya ditentukan oleh kuasa yang tertinggi sahaja atau satu pihak. Masyarakat madani adalah diasaskan pada perinsip pemerintahan yang tidak mencantas pengetahuan, kebebasan bersuara dan berfikir dan penghambaan pemikiran kepada pembodohan massa.

Budaya kuasa dalam satu pihak tanpa dua pihak yang melibatkan hubungan masyarakat akan membentuk ketidakadilan dalam proses kebaikan sistem bersama. Perlu difahami, bukan kuasa dari atas atau kuasa dari bawah tetapi ianya melibatkan hubungan keduanya. Dalam membina masyarakat madani, ide kuasa yang dikonsepkan oleh Michel Foucault tentang kuasa adalah bukan melibatkan antara dua pihak, dan kuasa itu tiada hak milik antara pemerintah atau yang diperintah tetapi ia wujud dalam bentuk dimana sahaja. Maka wacana keadilan yang menjadi kuasa pengetahuan perlu digerakkan oleh setiap individu untuk menjadikan ia sebagai kuasa yang menggerakkan pengetahuan masyarakat.

Wacana intipati Krisis intelektual

Setelah kemanusiaan yang tunggal telah terpisah dua kutub seperti telah dihuraikan diatas, lalu ia terhasil menjadi dua pola pemisahan pandangan hidup dalam melihat Tuhan. Pandangan hidup yang terpisah atau dualistik adalah juga ruh yang mendominasi kebudayaan dan peradaban dewasa ini .

Dalam bentuk pemisahan ini, bukan hanya terdapat kutub negatif dan positif sahaja antara manusia yang menolak Tuhan dan yang tunduk pada Tuhan. Tetapi hasil dialektika pada lewat wacana mampu menghasilkan kutub ketiga yang meletakkan kebudayaan dan bentuk pemikiran masyarakat dalam bentuk “kejahatan progresif” yang tidak merosakkan fizikal tetapi merosakkan spiritual kebenaran lantas menjatuhkan kezaliman dihadapan.

Kutub ini tidaklah kepada manusia yang rosak akhlaknya, ataupun menolak agama seperti berlaku pada kejahatan manusia pada kutub yang pertama tetapi mereka adalah ruh manusia yang masih bertuhan tetapi telah merosakkan sistem dan perancangan kerana gagalnya memahami wacana intipati tentang ide keadilan seperti telah dihuraikan diatas.

Kejahatan progresif ini akan terjadi pada lewat masyarakat plural apabila mereka gagal memahami tuntutan seperti ruh borjuasi yang merosakkan kebudayaan untuk kepuasan nafsu. “Kejahatan progresif” ini telah menghancurkan sebahagian jiwa manusia dan budaya berfikir masyarakat.

Para agamawan juga tidak terlepas dalam budaya “kejahatan progresif ini”. Mereka menutup wacana keadilan dan membisu kezaliman dengan membawakan dalil-dalil agama dalam bentuk literal, peggunaan pakaian Islam mereka telah membodohkan fikiran masyarakat daripada kesedaran dalam memahami penderitaan umat Islam di tangan kezaliman.

Krisis intelektual ini juga tidak terlepas kepada gerakan Islamis yang gagal mencari jalan penyelesaian dan masih dalam dilema konflik identiti pada wacana intipati yang menuntut mereka untuk lebih pragmatis. Mereka gagal meletakkan keupayaan dalam metodologi ruang pendebatan sekular kepada teks syariah dan gagal menangani cabaran kemodenan.

Maka kegagalan identiti itu sering menuntut mereka membuat tindakan yang gagal dalam arus kemodenan dan lebih-lebih lagi pada masyarakat yang majmuk budaya, agama dan ras.

Dalam menjunjung makna dan nilai kehidupan, wacana intipati yang menjadikan krisis intelektual mesti dibebaskan daripada menjadi budaya dogmatik kepada masyarakat kerana kejahatan progresif ini sering dilihat gerakan pembawa perubahan dalam bentuk pembodohan budaya, menghasilkan diktator dalam keilmuan dan menakutkan masyarakat atas kejahilan hasil penindasan Ilmu yang telah mereka lakukan. Hasilnya mereka akan menyembelih orang awam dengan usaha mereka disebabkan ketakutan daripada hasil kejahilan dan kebodohan masyarakat itu sendiri. Akhirnya manusia secara fitrahnya bersifat dinamis akhirnya menjadi statik kerana pandangan keagamaan yang tidak rasional, bersifat fatalistic lagi dogmatis dan hanya berorientasi kepada keperluan rohani semata.
Kebebasan Intelektual tidak boleh dihalang atau disekat keperluanya antara hubungannya kepada sosial untuk mencipta keperluan lingkungan baru dalam kehidupan dan membina sebuah Masharakat yang tidak berada dalam kejahilan serta tunduk kepada nafsu penguasa yang zalim yang menindas hak kehidupan manusia.

Akar krisis intelektual ini adalah gangguan pemahaman dalam sumber pemikiran, kecacatan metodologi dan kaedah cara pengajaran yang menuntut kepada pemikiran yang lebih mendalam.

Dimensi yang hilang dalam kontemporari Pemikiran Gerakan Islam

Para Islamis ialah mereka yang bergelut didalam arus krisis dalam cabaran untuk mengisi ruang konsep pembinaan masyarakat plural. Penderitaan ummat telah dibentuk dalam banyak altenatif yang memberi kepada kesan kehidupan berbentuk penyelesaian melalui konsep pengambilan altenatif ide-ide pembaratan, konsep metodologi pembawakan sejarah terdahulu mahupun mengambil altenatif pendekatan melalui sumber kesahihan Islam yang sebenar.

Cabaran meletakkan identiti dan posisi gerakan sangat memerlukan kepada pengkajian dan penelitian Islamis untuk bertindak didalam ruang cabaran modeniti. Konsep “metodologi kesedaran diri” telah memberi kesan kepada para Islamis terutamanya pengkajian kebudayaan dan pembinaan dalam pengkajiaan modeniti dan ekonomi yang kurang didedahkan dalam proses perubahan.

Mereka perlu bebas daripada berlegar menjadi mangsa atau pembina ‘wacana intipati krisis intelektual’ sebaliknya berusaha mencari sebuah konsep metodologi yang kukuh, meletakkan kepercayaan agama yang kuat pada konsep yang memerlukan keazaman untuk mencapai matlamat serta memperuntukkan segala bentuk praktikal untuk mencapai kejayaan.

Masyarakat yang dibangunkan bukanlah daripada hasil daripada produk krisis suasana arus seperti cabaran hegemoni barat tetapi dibangunkan dalam proses pembinaan yang jelas dan meletakkan perinsip kepada kebenaran.

Didalam tajuk kecil ini, fokus menyentuh Islamis perlu diutamakan berbanding topik-topik kecil diatas yang sifatnya hanya sebagai proses kefahaman atau symptom menuju pergolakan matlamat dalam hal identiti Islamis.Tujuan penekanan Islamis perlu difokuskan dalam konsep realiti sekarang.

Gerakan Islamis bukanlah gerakan abad ini yang masih diganggu kepada wacana identiti ataupun halatuju perubahan dalam konsep politik kebekuan tetapi mereka perlu keluar dari ruang permasalahan sempit kepada konsep universal yang menuntut kepada pengkajian gerakan sosial dan bentuk wajah baru dalam gerakan intelektual Islamis.

Tulisan ringkas topik kecil ini tidaklah menyebut sejarah wacana Islamis yang memerlukan ruang wacana yang lain, tetapi ini adalah dimensi yang hilang yang telah gagal dilaksanakan dan diuruskan oleh para Islamis dan bagaimana masa hadapan.

Kehilangan dimensi sangat mempengaruhi cara Islamis bergerak, dalam metodologi sangat diperlukan. Kepercayaan di dalam Islam adalah rukun yang ditanamkan didalam hati Muslim dan membentuk polisi syariah yang dirumuskan dengan variasi rujukan dan sumber. Maka metodologinya mestilah melalui frasa kepercayaan dan praktis, tetapi malangnya, Islamis hari ini hanya melalui kepercayaan sahaja dan kegagalan menunjukkan praktis dalam usaha metodologi mereka. Kegagalan ini juga disentuh oleh Dr Tahir Jabir Alwani didalam bukunya Issues in Contemporary Islamic Thought. Metodologi mestilah difahami dengan kombinasi kekuatan kefahaman bentuk Ilmu, Sains kemanusian bersama-sama dengan kekuatan universal Qur’an yang dapat merespon kepada segala tindakbalas dalam bentuk realiti dan berupaya membaiki kerosakkan.

Kehilangan kekuatan dimensi Ijtihad dan tindakan secara kolektif dalam menyelesaikan tindakbalas segala masalah dalam kehidupan dan masa hadapan Islamisasi ilmu dalam cabang lapangan ilmu seperti sosiologi, ekonomi dan alam semula jadi sangat menuntut para penggerak islah untuk mengembalikan kajian dan memerlukan madrasah pengkajian didalam bentuk sejarah, arkeologi mahupun pengalaman peradaban.

Wajah cabaran dunia yang menuntut kekuatan sains dan dan segala disiplin keilmuan ini memerlukan para penggerak islah ataupun para Islamis untuk serius membina pasukan wajah intelektual baru di dalam gerakan Islam dan bukan hanya berdiri dibawah perbincangan sekitar teknikal tetapi memerlukan keupayaan dasar. Kegagalan para Islamis dalam melahirkan para ilmuan yang mampu melawan cabaran globalisasi adalah sisi dimensi yang telah dihilangkan dalam perancangan gerakan Islam. Karakter penggerak islah adalah merupakan manusia yang telah diadunkan di dalam kefahaman wahyu dan kekuatan universal pembacaan kemanusiaan.
Akibat kehilangan dimensi didalam pemikiran politik gerakan Islam, maka gerakan Islam telah dicemari dengan mentaliti partisan dan telah berselisih dengan kepentingan ummat yang lebih tinggi. Mereka gagal dan keliru dalam pemahaman kitab suci yang memerlukan tafsiran manusia dan keluasan fiqh melalui asas ijtihad dalam teks. Kekeliruan dalam pemahaman ketuhanan mereka mengakibatkan mereka merasakan kebenaran hanya milik mereka semata.

Kesalahan didalam gerakan adalah mereka hanya menguasai al-Quran dan as-Sunnah tanpa sebarang usaha untuk membina kekuatan intelektual dan sebarang usaha dalam berijtihad yang akhirnya mengakibatkan kegagalan dalam memahami kekuatan teks dalam dunia yang sebenar. Politik dalam gerakan Islam ketika ini memerlukan kekuatan spiritual dan Intelektual yang tinggi untuk mampu menampung segala kepincangan didalam masharakat, dunia dan alam sekitar.

Menguasai wacana diskusi keadilan atau menentang kezaliman tidak cukup bagi Islamis utuk menjuarai kebenaran. Mereka perlu keluar daripada menjadi mangsa wacana intipati krisis intelektual dan mereka harus berusaha melahirkan model gerakan dalam pembentukkan gerakan sosial yang membawa panji-panji keadilan dan kesetaraan.

Gerakan Islam: Ke Arah Resolusi Krisis

Gerakan Islam mestilah meneroka mencari semula kehadiran dimensi dan mendapatkan semula dengan mengabungkannya ke dalam diskusi atau wacana supaya ia boleh mengembalikan semula penyelesaian mengatasi krisis. Islam adalah bentuk karekter yang merangkumi Shariah yang menyeluruh yang toleran dalam setiap pendekatan terhadap kemanusiaan bersesuaian dengan masa, tempat dan tujuan penciptaan. Risalah Islam tidak hanya tertumpu kepada komuniti, masa dan tempat tertentu sebaliknya ia adalah panggilan untuk sekelain manusia pada segenap zaman.

Usaha mengubah wacana sangat memainkan peranan penting usaha mengembalikan dimensi yang hilang daripada para islamis. Politik yang semakin menghancurkan budaya masyarakat dan manusia di dalamnya yang telah membawa kepada pergolakkan pemikiran dan etika.

Projek islah mestilah dimulakan dengan pendamaian dengan teks, pemahamannya dan tujuan akhir matlamat dalam pertimbangan masyarakat. Pembacaan yang bersifat taqlid atau ikut-ikutan dan konsep fahaman literal mestilah dihilangkan dalam fenomena sebuah gerakan dalam memahami teks masyarakat.

Perkara utama untuk memahami pendamaian memerlukan sikap intelek didalam karekter muslim itu memahami kembali “Wacana etika dan universal” dalam mengembalikan segala simbol, peraturan ataupun budaya dalam mencapai keutamaan masyarakat plural yang didasarkan dalam kehormatan perlembagaan yang satu didalam komuniti yang pelbagai agama, ras, warna dan budaya. Gerakan dinamik dan inklusif adalah gerakan masharakat plural bukan yang penuh dengan ketakutan, rigid dan tertutup. Kita perlu berdamai dengan kesejagatan Islam yang dasarnya adalah majmuk.

Harus difahami, sebarang perbincangan perubahan, transformasi, atau pembaharuan tidak dapat dielakkan bercampur dengan dikelilingi urusan ijtihad. Segala perbincangan baru secara langsung atau tidak secara langsung dan setiap keputusan itu memerlukan sebuah ijtihad. Para ulama nusus dan ulama waqi’ – teks dan konteks – mestilah disatukan keupayaan mereka dalam konsep mencari kebenaran dan mencapai tujuan dan objektif terakhir.

Radical-ReformKekuatan gabungan kepakaran para intelektual teks dan konteks ini hendaklah disalurkan pengkajian dalam hal-hal kritis melibatkan sains, budaya, ekonomi, gender, pendidikan, ekologi dan seumpamanya. Wacana etika mestilah dipraktiskan dalam semua lapangan dan perkara ini telah disentuh oleh Prof Tariq Ramadan didalam bukunya Radical Reform. Muslim aktivis mesti menekankan dinamik, fleksibiliti dan penyesuaian itu dalam bentuk karekter untuk pembangunan sosial.

Sesungguhnya agama bukanlah sebuah rancangan projek politik yang telah lengkap dan hanya untuk diimplementasikan. Tetapi ia adalah wacana dan amalan praktis untuk evolusi masyarakat yang beretika dan adil. Sesungguhnya Islam tidak menetapkan suatu bentuk khusus jenis kerajaan atau negara tetapi memberikan prinsip-prinsip asas yang memerlukan kekuatan akal dan ijtihad berdasarkan zaman yang senantiasa berubah.

Para Islamis perlu melihat cabaran pada waktu ini adalah terhadap karekter dan wacana yang perlu disantuni dalam keadaan kritis. Mereka memerlukan kepada usaha kebangkitan kembali segala proses pembinaan masyarakat dan proses pendidikan yang dihidupkan fungsinya semula.

Memperluaskan kuasa dialog adalah agenda utama yang mesti dikuatkan dan diperdebatkan dalam bentuk beberapa nilai sebagai menyantuni kepelbagaian, pengurusan yang berbeza bukan untuk menimbulkan sebarang bentuk provokasi dan ancaman atau serangan kepada masyarakat. Dialog mesti disatukan sebagai wadah penyatuan dan penghormatan kepelbagaian yang muncul yang membabitkan isu-isu yang kritikal. Resolusi krisis ini mestilah diambil perhatian oleh para Islamis dan projek pengislahan mesti dilaksanakan dalam konsep metodologi yang memberi manfaat kepada manusia, negara dan agama.

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022