Jawapan terhadap tuduhan IRF ingin menghapuskan Mahkamah Syari’ah

December 22, 2019


Ahmad Farouk Musa || 22 Dec 2019

 

Sesungguhnya bukan menjadi style saya menjawab tuduhan-tuduhan yang tidak bersasas. Tapi memandangkan niat penyebar berita tersebut di berbagai grup WhatsApp adalah untuk memburukkan dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan dengan mengaitkan isu ini dengan DAP – sesuatu tuduhan yang tidak masuk akal – maka saya akan membuat penjelasan di sini. Kali terakhir saya menjawab tuduhan yang sedemikian adalah kepada cabaran PEMBELA dengan tajuk “The Constitution laid down the guidelines for a secular state

Tuduhan yang kononnya saya dan IRF mencadangkan untuk menghapuskan undang-undang Syari’ah melalui pindaan perlembagaan adalah dirujuk. Tuduhan itu dikeluarkan berhubung dengan satu “slide” yang tersebar di internet tanpa memahami konteks sebenar penyampaian saya dalam acara Regaining Democratic Momentum: Stories from Malaysia and the World pada 9 Julai 2019 anjuran World Movement for Democracy, iaitu sebuah badan antarabangsa yang membentuk jaringan hubungan dengan pendokong-pendokong demokrasi di seluruh dunia. Dalam program tersebut, saya telah menyampaikan satu perbentangan dengan tajuk, “Discussion on Malaysia: Navigating Malaysia’s Political Transition”.

Pembentangan tersebut, secara ringkasnnya, adalah tentang masalah utama yang dihadapi oleh masyarakat Muslim di Malaysia pasca Pilihanraya Umum ke-14 dalam membina institusi dan nilai-nilai yang berasaskan kepada prinsip-prinsip demokrasi, keadilan sosial, dan humanisme universal. Saya menegaskan bahawa masyarakat sivil yang berasaskan Islam perlu memainkan peranan aktif dalam mempromosi Islam yang lebih terbuka dan benar-benar bersifat rahmatan lil ‘ālamin, yang berbeza daripada golongan literalis Islam yang bersifat sempit dan rigid yang didokong oleh sesetengah organisasi dan parti politik.

Maka, antara cadangan yang dikemukakan adalah bagi membangunkan sebuah situasi masyarakat Muslim yang progresif ini dengan membentuk pengasingan institusi agama yang dalam konteks Malaysia – apparat-aparat agama Islam – dengan pentadbiran negara bagi melahirkan Muslim yang taat bukan atas sebab takutkan kuasa kerajaan, tetapi atas kebebasannya memilih untuk melakukan kebaikan atas dasar taqwa. Hal yang demikian ini adalah kerana, seorang Muslim itu hanya akan mencapai ketaqwaan atas dasar keimanan yang sebenar-benarnya kepada Tuhan, apabila dia melakukan sebarang usaha ketaatan serta mejauhi segala yang terlarang, semata-mata atas kehendak dan kerelaan dirinya sediri; bukannya kerana takutkan aparat kerajaan yang ingin bertindak menjadi polis moral ke atas dirinya. Apabila masyarakat Islam melakukan ketaaatan semata-mata kerana takutkan kekuasaan pemerintah, maka dengan sendirinya lahirlah sebuah masyarakat munafik.

Secara falsafahnya, hal ini diungkapkan dengan amat baik oleh seorang ahli tafsir yang tersohor, Muhammad Asad, di dalam tafsirnya The Message of the Qur’an tentang kisah Adam tergelincir daripada rahmat.

Dia (Tuhan) berkata: “Turunlah kamu [dari kedudukan yang diredai dan suci ini]…” [Al-A’raf; 7: 24]

Muhammad Asad menunjukkan bahawa kisah yang sama daripada perbandingan “Kegelinciran” ini pada surah al-Baqarah; 2: 35-36, panggilan dalam bentuk kata dua iaitu Adam dan Hawa, bertukar pada peringkat ini kepada kata jamak, yang menjelaskan bahawa kisah Adam dan Hawa adalah, pada hakikatnya, kiasan kepada ketentuan nasib manusia.

Pada saat awal ketika dirinya suci, manusia tidak menyedari akan adanya kejelekan dan kebatilan, justeru tidak merasai akan keperluan untuk membuat pilihan di antara sekian banyak kemungkinan dalam tindakan dan perbuatan. Dalam kata lain, ia hidup – sepertimana haiwan yang lain – berdasarkan deria rasanya sahaja. Disebabkan kesucian ini hanyalah satu kondisi daripada kewujudannya dan bukan suatu keutamaan, maka ia menempatkan hidupnya dalam kualiti yang statik dan lantaran itu menyisihkannya daripada sebarang bentuk kemajuan moral dan intelek.

Kata Muhammad Asad, pertumbuhan kesedarannya – dizahirkan secara simbolik daripada aksi membelakangi perintah Tuhan dengan sengaja – menterbalikkan semua ini. Ia merobah dirinya daripada makhluk yang menurut deria rasa sahaja kepada entiti manusia yang sempurna, seperti yang kita ketahui. Seorang manusia yang berupaya membezakan antara benar dan salah, dan dengan itu memilih untuk menentukan haluan hidupnya sendiri.

Pada pengertian yang lebih mendalam, kiasan tentang “Kegelinciran” tidak menunjukkan aksi yang retrogresif, bahkan, suatu peringkat baru dalam kemajuan manusia: iaitu pembukaan pintu pada pertimbangan moral. Dengan larangan “mendekati pohon ini”, Tuhan memberikan kemungkinan kepada manusia untuk membuat salah – atau apa yang kita namakan sekarang sebagai dosa –  dan, dengan itu, untuk membuat perlakuan yang benar juga. Lantaran itu, manusia telah diberikan keupayaan moral dengan kebebasan memilih atau moral free will yang akan membezakannya daripada seluruh makhluk hidup yang lain.

Maka, bagaimanakah untuk kita mencapai hasrat ini, di mana setiap Muslim yang di berikan Tuhan kebebesan untuk memilih, sama ada untuk taat ataupun sebaliknya? Sesungguhnya pada pertimbangan saya, perkara ini hanya akan terhasil apabila kita dapat mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan sekularisme pasif di mana secara praktisnya, Senarai II – Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan (List II – Schedule 9) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa, “…pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu….” haruslah ditinjau semula dengan memperincikan apakah itu yang dimaksudkan “against the precept of Islam” – bercanggah dengan ajaran Islam – itu.

Peruntukan yang sedia ada telah memberikan pihak berkuasa negeri suatu bentuk kebebasan dan kuasa mutlak untuk menghendap, mencari, dan menghukum kesalahan dan dosa-dosa peribadi seseorang Muslim sedangkan dosa-dosa peribadi atau personal sins tersebut tidak melibatkan kesalahan sivil dan tidak memberi kesan negatif ke atas pihak lain, apatah pula terhadap masyarakat dan negara. Oleh kerana terdapatnya peruntukan yang sedemikian, maka dapatlah dilihat timbulnya kes-kes saman atau tangkapan ke atas kesalahan-kesalahan yang tidak relevan untuk dikenakan tindakan perundangan seperti kesalahan lelaki memakai seluar pendek, perempuan berpakaian “seksi”, tidak menghadiri solat Jumaat, tidak berpuasa pada bulan Ramadan, dan sebagainya yang langsung tidak memberi kesan kepada keselamatan sivil.

Kenapa bahayanya perkara itu terjadi?

Pertama, sesetengah kesalahan yang dikenakan penalti perundangan itu masih berada dalam khilaf para ulama’ mujtahid dalam menentukan hukum. Sepertimana lelaki yang memakai seluar pendek di khalayak awam ataupun buruh kasar yang tidak berpuasa, maka bukankah ada pendapat yang mengabsahkan bahawa peha bukan aurat bagi lelaki dan mereka yang membanting tulang dan bekerja keras adalah diharuskan untuk berbuka? Jadi, kenapakah masih berlakunya penangkapan kepada individu-individu yang seperti ini? Bukankah perkara ini masih berada dalam ruang khilaf dalam ijtihad para ulama’? Jelas, apabila sesebuah kerajaan menghukum masyarakat Muslim atas sesuatu kesalahan yang sebenarnya berada dalam ruang khilaf, dengan ukuran daripada ajaran Islam yang manakah yang membenarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan perundangan ke atas persoalan furu’ fiqh tersebut? Hal tersebut kekal berada dalam pilihan individu untuk berpegang kepada pandangan mana yang lebih diyakininya berdasarkan dalil-dalil yang sahih, dan pihak kerajaan tidak berhak menghukum sesuatu yang bertentangan dengan kepercayaan dan keyakinan seseorang individu itu.

Kedua, tindakan kerajaan mengambil tindakan ke atas dosa-dosa peribadi adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang bersifat sejahtera dan penuh kasih sayang. Allah berfirman dalam surah az-Zumar, ayat ke-53,

“Katakanlah: [Demikian Tuhan berfirman:] “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap dirimu sendiri! Jangan berputus asa dari kemurahan Tuhan: saksikanlah, Tuhan memaafkan semua dosa – kerana, sesungguhnya, Dia sahaja yang Maha-Pengampun, Penebar kasih sayang!” [Surah Az-Zumar; 39: 53]

Firman Tuhan tersebut jelas menunjukkan bahawa pintu keampunan terbuka luas kepada semua hamba-hambaNya apabila mereka telah melakukan sesuatu dosa peribadi, dan pihak berkuasa tidak wajar untuk menjadikan dosa peribadi itu sebagai suatu yang digazetkan dalam perundangan kerajaan. Sekiranya Tuhan sendiri Maha Pengampun, maka apakah pihak kerajaan ingin bertindak lebih daripada Tuhan yang Maha Pengampun itu sendiri?

Dalam masa sama, janganlah dosa peribadi itu dibandingkan pula dengan dosa sivil yang berkait dengan kemaslahatan awam. Tugas pihak kerajaan sememangnya menjaga maslahat awam, justeru sesuatu kesalahan sivil yang melanggar maslahat awam sememangnya wajar dicegah dan dikenakan hukuman perundangan seperti kesalahan membunuh, merompak, mencuri harta rakyat, rasuah, merogol, perdagangan dadah, dan sebagainya yang boleh memudaratkan keselamatan awam. Dosa-dosa yang bersifat jenayah sivil itu secara sebulat suara adalah menjadi hak kerajaan untuk mengawal dan mencegahnya daripada berlaku. Tetapi, berbeza dengan dosa peribadi yang berada dalam kerangka syar’ie dan terbatas kepada amalan kepercayaan seorang Muslim semata-mata, justeru ia sepatutnya tidak menjadi tugas pihak berkuasa kerajaan untuk mengawalnya kerana ia tidak melibatkan hal ehwal keselamatan awam.

Maka persoalannya berbalik kepada apa yang tercatat pada Senarai II, Senarai Negeri Jadual kesembilan, di mana frasa “…pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu….” haruslah diberi perincian lebih lanjut agar ia tidak digunakan secara bebas oleh aparat-aparat agama Islam negeri yang secara semulajadinya memang bersifat tidak toleran dan bengis.

Daripada hal tersebut, jelas menunjukkan bahawa pendirian saya dalam hal ini adalah semata-mata berkait rapat dengan cadangan untuk menambah baik institusi perundangan negara selari dengan prinsip rahmatan lil ‘ālamin. Saya tidak sekali-kali mencadangkan kepada penghapusan Mahkamah Syariah seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut. Apa yang saya kehendaki adalah kesemua institusi agama tidak akan bersikap angkuh yang seakan-akan mendakwa hanya mereka yang memiliki kebenaran dan bersikap kuku-besi terhadap pelaku dosa peribadi sedangkan apa yang patut diberikan perhatian dalam memperkasakan Mahkamah Syari’ah adalah dalam hal isteri yang didera dan dianiaya, isteri yang diceraikan tanpa bertali, dan nafkah anak-anak dan isteri yang diabailkan dan pelbagai masalah kekeluargaan dalam Islam yang mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

Perlu juga disebutkan di sini bahawa sebarang usaha untuk mengaitkan IRF dengan DAP adalah dusta dan suatu fitnah jahat untuk menjatuhkan kerajaaan Pakatan Harapan kerana IRF ialah sebuah badan  pemikir yang mandiri dan bebas daripada perkaitan dengan mana-mana parti politik di dalam mahupun di luar negara. Cadangan dan pendirian saya ini boleh sahaja diperdebatkan dalam wacana-wacana awam, tetapi untuk membuat tuduhan terhadap sesuatu yang tidak diperkatakan itu sama sekali jelas adalah berunsurkan fitnah, lebih-lebih lagi daripada pihak yang sengaja melakukannya dengan menyembunyikan identitinya demi kepentingan politik. Sepatutnya, semua pihak perlu menyemak kembali dan tidak bermudah-mudah untuk mempercayai mesej berantai yang tidak bernama seperti itu kerana Islam sangatlah menganjurkan agar umatnya sentiasa bertabayyun terhadap sebarang berita yang diterima. Bukankah Allah telah berfirman yang maksudnya:

Wahai orang- orang yang beriman, jika ada seorang fasiq datang kepada kalian dengan membawa suatu berita penting, maka tabayyunlah (telitilah dulu), agar jangan sampai kalian menimpakan suatu bahaya pada suatu kaum atas dasar kebodohan, kemudian akhirnya kalian menjadi menyesal atas perlakuan kalian.” [Al-Hujurat; 49: 6]


Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa adalah Pengasas dan Direktur di Islamic Renaissance Front, sebuah badan pemikir yang mengupayakan reformasi dalam pemikiran umat Islam.